Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yehuwa Membantu Kita agar Diselamatkan

Yehuwa Membantu Kita agar Diselamatkan

 Yehuwa Membantu Kita agar Diselamatkan

‘Kerana kamu percaya kepada Tuhan, kamu dipelihara oleh kuasa Tuhan supaya kamu menerima penyelamatan yang siap dinyatakan pada akhir zaman.’​—1 PTR. 1:5.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

Bagaimanakah Yehuwa memimpin kita ke ibadat sejati?

Bagaimanakah kita boleh memanfaatkan nasihat Yehuwa?

Bagaimanakah Yehuwa menggalakkan kita?

1, 2. (a) Mengapakah kita boleh yakin bahawa Tuhan akan membantu kita memelihara integriti? (b) Sejauh manakah Yehuwa mengenal kita?

“SESIAPA yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan,” kata Yesus. (Mat. 24:13, ABB) Jelaslah, jika kita ingin terselamat semasa Tuhan menghukum dunia Syaitan, kita mesti memelihara integriti sampai akhir. Namun, Yehuwa tidak bermaksud kita harus bergantung pada akal dan kekuatan sendiri untuk bertahan. Bible memberikan jaminan ini: ‘Tuhan setia kepada janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung. Pada waktu kamu ditimpa cubaan, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan untuk menanggungnya.’ (1 Kor. 10:13) Apakah maksud kata-kata ini?

2 Yehuwa boleh memastikan agar kita tidak dicubai lebih daripada yang dapat kita tanggung kerana Dia sangat mengenal kita. Dia tahu akan cabaran yang kita hadapi, sifat-sifat kita, dan sejauh mana kita dapat bertahan. Adakah Tuhan mengenal kita dengan begitu mendalam? Ya. Bible menunjukkan bahawa Yehuwa mengenal kegiatan harian dan tabiat kita. Dia bahkan mengetahui fikiran dan isi hati kita.​—Baca Mazmur 139:1-6.

3, 4. (a) Bagaimanakah pengalaman Daud menunjukkan bahawa Yehuwa mengambil berat terhadap kita semua? (b) Apakah yang sedang dilakukan oleh Yehuwa dewasa ini?

3 Mungkinkah Tuhan Yang Maha Tinggi mengambil berat terhadap manusia? Daud pernah menanyakan soalan ini kepada Yehuwa, “Apabila aku melihat langit yang telah Engkau ciptakan, bulan dan bintang yang Engkau tempatkan, apakah manusia itu  sehingga Engkau ingat akan mereka?” (Mzm. 8:4, 5, ABB) Barangkali, pengalaman Daud yang membuatnya memikirkan soalan itu. Meskipun dia anak bongsu Isai, dia telah menjadi orang ‘yang dikehendaki Tuhan.’ Yehuwa telah memilihnya ‘daripada menjaga domba di padang dan menjadikannya pemimpin’ Israel. (1 Sam. 13:14; 2 Sam. 7:8) Bayangkan perasaan Daud ketika mengetahui bahawa Pencipta alam semesta telah mengambil kira fikiran dan perasaan seorang gembala yang muda!

4 Hari ini, Yehuwa juga sangat mengambil berat terhadap kita. Dia sedang mengumpulkan orang yang berharga daripada semua bangsa untuk menyembah-Nya dan Dia sedang membantu hamba-hamba-Nya agar tetap memelihara integriti. (Hag. 2:7) Bukankah ini sesuatu yang mengagumkan? Untuk memahami dengan lebih mendalam bagaimana Yehuwa membantu kita memelihara integriti, mari kita renungkan bagaimana Dia memimpin orang ke penyembahan sejati.

TUHAN MEMIMPIN KITA

5. Bagaimanakah Yehuwa memimpin orang kepada Anak-Nya? Berikan contoh.

5 Yesus berkata, ‘Tidak seorang pun dapat datang kepadaku, kecuali Bapa yang mengutus aku, memimpin dia datang kepadaku.’ (Yoh. 6:44) Untuk menjadi pengikut Kristus, kita memerlukan bantuan Tuhan. Bagaimanakah Tuhan memimpin kita kepada Kristus? Menerusi kerja penyebaran dan daya aktif. Misalnya, semasa Paulus dan rakan-rakannya berada di Filipi, mereka menginjil kepada seorang wanita yang bernama Lidia. Ketika itu, “Tuhan membuka fikirannya sehingga dia menyambut ajaran Paulus.” Tuhan telah menggunakan daya aktif-Nya untuk membantu Lidia memahami berita baik. Hasilnya, dia dan seisi rumahnya dibaptis.​—Kis. 16:13-15.

6. Bagaimanakah kita semua dipimpin oleh Tuhan ke ibadat sejati?

6 Adakah pengalaman Lidia luar biasa? Tidak. Sebagai orang Kristian, anda juga dipimpin oleh Tuhan ke ibadat sejati. Sepertimana Bapa kita yang di syurga telah melihat sesuatu yang berharga dalam diri Lidia, Dia juga melihat sesuatu yang baik dalam diri anda. Semasa anda mendengar berita baik, Yehuwa menggunakan daya aktif-Nya untuk membantu anda memahami berita itu. (1 Kor. 2:11, 12) Ketika anda berikhtiar mentaati kehendak-Nya, Dia telah memberkati usaha anda. Semasa anda membaktikan diri kepada-Nya, hati-Nya penuh sukacita. Sebenarnya, sejak anda menjejakkan kaki di jalan yang menuju kehidupan, Yehuwa selalu berada di sisi anda.

7. Bagaimanakah kita tahu bahawa Tuhan akan membantu kita tetap setia kepada-Nya?

7 Yehuwa sudah membantu kita mengambil langkah yang pertama untuk berjalan dengan-Nya, dan Dia tidak akan membiarkan kita berusaha seorang diri untuk mengekalkan kesetiaan. Memandangkan kita memerlukan pimpinan Tuhan untuk menerima kebenaran, mustahil kita tetap berpegang pada kebenaran tanpa bantuan-Nya. Rasul Petrus  menulis kepada orang Kristian terurap, ‘Kerana kamu percaya kepada Tuhan, kamu dipelihara oleh kuasa Tuhan supaya kamu menerima penyelamatan yang siap dinyatakan pada akhir zaman.’ (1 Ptr. 1:5) Kata-katanya penting bagi semua orang Kristian hari ini. Mengapa? Kerana kita semua memerlukan bantuan Tuhan agar tetap setia kepada-Nya.

MENGHALANG KITA DARIPADA TERSILAP LANGKAH

8. Apakah yang boleh menyebabkan kita tersilap langkah?

8 Tekanan hidup dan ketidaksempurnaan boleh menyebabkan kita hilang tumpuan rohani. Hal ini boleh menyebabkan kita tersilap langkah tanpa disedari. (Baca Galatia 6:1.) Mari kita lihat contoh Daud.

9, 10. Bagaimanakah Yehuwa menghalang Daud daripada tersilap langkah? Bagaimanakah Dia menolong kita hari ini?

9 Semasa Raja Saul memburunya, Daud menahan diri daripada membalas dendam. (1 Sam. 24:2-7) Namun, tidak lama selepas itu, Daud hilang kawalan diri. Dia telah meminta Nabal membekalkan makanan dan minuman kepada dia dan pengikutnya. Apabila Nabal menghinanya, Daud marah dan merancang untuk membalas dendam ke atas seluruh keluarga Nabal. Dia lupa bahawa dia akan berhutang darah di hadapan Tuhan jika dia membunuh orang yang tidak bersalah. Hanya apabila isteri Nabal, Abigail campur tangan, barulah Daud dicegah daripada membuat kesilapan besar. Daud sedar bahawa Tuhan telah mengutus Abigail untuk membantunya, maka dia berkata, ‘Pujilah Yehuwa, Tuhan umat Israel, yang sudah mengutus kamu kepadaku pada hari ini! Aku bersyukur kerana kebijaksanaanmu. Tindakanmu pada hari ini telah mencegah aku melakukan pembunuhan untuk membalas dendam.’​—1 Sam. 25:9-13, 21, 22, 32, 33, ABB.

10 Apakah yang dapat kita pelajari daripada hal ini? Yehuwa telah mengutus Abigail untuk mencegah Daud daripada tersilap langkah. Tuhan juga melakukan hal yang sama untuk kita. Sudah pasti, kita tidak akan berharap bahawa Tuhan akan selalu menghantar orang untuk menghalang kita daripada berbuat silap. Kita tidak tahu dengan tepat bagaimana Tuhan akan bertindak dalam situasi tertentu. Kadangkala, Tuhan mungkin mengizinkan sesuatu untuk berlaku supaya tujuan-Nya terlaksana. (Pkh. 11:5) Walau bagaimanapun, Yehuwa sentiasa tahu keadaan kita dan pasti membantu kita agar tetap setia kepada-Nya. Tuhan berfirman, “Aku akan menunjukkan jalan yang harus kauikuti. Engkau akan Kubimbing dan Kunasihati.” (Mzm. 32:8, ABB) Bagaimanakah Yehuwa menasihati kita? Bagaimanakah kita boleh meraih manfaat daripada nasihat-Nya? Mengapakah kita yakin bahawa Yehuwa sedang memimpin umat-Nya hari ini? Buku Wahyu akan menjawab soalan-soalan ini.

NASIHAT TUHAN MELINDUNGI KITA

11. Sejauh manakah Yehuwa mengetahui apa yang berlaku dalam sidang-sidang?

11 Dalam penglihatan di Wahyu bab 2 dan 3, Raja Yesus Kristus memeriksa tujuh sidang di Asia Kecil. Hal ini menunjukkan bahawa Kristus bukan sahaja memperhatikan sidang secara keseluruhan, tetapi dia juga mengetahui situasi sidang secara spesifik dan bahkan menyebut individu-individu tertentu. Dia memberikan pujian atau nasihat yang sewajarnya kepada setiap sidang. Tujuh sidang ini melambangkan kaum terurap selepas tahun 1914, dan nasihat yang diberikan kepada mereka juga bermanfaat  bagi semua sidang hari ini. Jadi, kita boleh menyimpulkan bahawa Yehuwa sedang memimpin umat-Nya menerusi Kristus. Bagaimanakah kita boleh memanfaatkan bimbingan ini?

12. Bagaimanakah kita mengizinkan Yehuwa untuk membimbing kita?

12 Satu cara kita berbuat demikian adalah dengan membuat pembelajaran peribadi. Hamba yang setia dan bijaksana menyediakan bahan bacaan yang kaya dengan nasihat daripada Yehuwa. (Mat. 24:45) Jika kita ingin meraih manfaatnya, kita mesti meluangkan masa untuk mengkajinya dan menerapkan apa yang dipelajari. Pembelajaran peribadi merupakan satu cara Yehuwa ‘menjaga kita supaya tetap beriman’ dan tidak tersandung. (Yud. 24) Pernahkah anda membaca sesuatu dalam bahan bacaan yang rasanya dituliskan khas buat anda? Anggaplah ini nasihat daripada Yehuwa. Sebagaimana seorang sahabat akan menyentuh bahu anda untuk mengingatkan anda tentang sesuatu, Yehuwa boleh menggunakan daya aktif-Nya untuk mengingatkan anda tentang kelakuan atau perangai yang perlu diperbaik. Jika kita mengikut bimbingan daya aktif, kita sedang mengizinkan Yehuwa untuk membimbing kita. (Baca Mazmur 139:23, 24.) Bagaimanakah tabiat pembelajaran anda?

13. Mengapakah kita patut memikirkan tabiat pembelajaran kita?

13 Jika kita menghabiskan terlalu banyak masa untuk hiburan, kita mungkin tiada masa untuk pembelajaran peribadi. Seorang saudara berkata, “Sangat mudah untuk mengabaikan pembelajaran peribadi. Hiburan lebih murah berbanding dahulu, dan senang didapati di TV, komputer, dan telefon. Hiburan terdapat di mana-mana sahaja.” Jika kita tidak berwaspada, masa yang diperlukan untuk mendalami Firman Tuhan boleh beransur-ansur kurang sehingga semuanya hilang. (Ef. 5:15-17) Kita harus bertanya: “Adakah saya meluangkan masa yang secukupnya untuk mengkaji Firman Tuhan dengan mendalam? Atau adakah saya hanya mengkaji Bible semasa saya perlu menyampaikan ceramah atau bahagian perjumpaan?” Jika kita menggunakan masa penyembahan keluarga atau pembelajaran peribadi untuk meraih kebijaksanaan Tuhan, kita akan dilindungi agar tetap setia sampai akhir.​—Ams. 2:1-5.

DIGALAKKAN AGAR BERTABAH

14. Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa Yehuwa mengetahui perasaan hati kita?

14 Kehidupan Daud penuh dengan liku-liku. (1 Sam. 30:3-6) Bible menunjukkan bahawa Yehuwa mengetahui perasaannya, dan hal ini melegakan hati Daud. (Baca Mazmur 34:19; 56:9.) Tuhan juga tahu akan perasaan kita. Sewaktu kita tawar hati atau putus asa, Dia akan mendekati kita supaya kita berasa lega. Daud berkata, “Aku akan bergembira dan bergirang, kerana Engkau tetap mengasihi aku. Engkau nampak penderitaanku; Engkau tahu kesusahanku.” (Mzm. 31:8, ABB) Yehuwa bukan sahaja mengetahui kesusahan kita. Dia akan menggalakkan kita dan membantu kita agar bertabah. Satu  cara Dia berbuat demikian adalah menerusi perjumpaan Kristian.

15. Apakah yang dapat kita pelajari daripada pengalaman Asaf?

15 Contoh Asaf menunjukkan pentingnya menghadiri perjumpaan. Asaf asyik berfikir tentang ketidakadilan yang berlaku dan tertanya-tanya sama ada berbaloi untuk menyembah Tuhan. Asaf menjadi tawar hati. Dia berkata, “Aku sakit hati, dan perasaanku dilukai.” Dia hampir-hampir berhenti menyembah Yehuwa. Bagaimanakah dia pulih? ‘Aku masuk ke dalam Rumah Tuhan,’ katanya. Semasa Asaf bergaul dengan umat Yehuwa, pandangannya telah berubah. Dia nampak bahawa kejayaan orang jahat hanya sementara, dan Yehuwa pasti akan menegakkan keadilan. (Mzm. 73:2, 13-22, ABB) Dewasa ini, ketidakadilan dalam dunia Syaitan boleh melelahkan kita. Menghadiri perjumpaan bersama saudara saudari akan menyegarkan kita dan membantu kita untuk menyembah Yehuwa dengan sukacita.

16. Apakah teladan baik yang ditunjukkan oleh Hana?

16 Bagaimana pula jika anda keberatan untuk menghadiri perjumpaan kerana adanya masalah dalam sidang? Mungkin anda berasa malu kerana tidak lagi memikul tanggungjawab dalam sidang, atau kerana berlakunya perselisihan faham dengan rakan seiman. Jika begitu, teladan Hana dapat membantu anda. (Baca 1 Samuel 1:4-8.) Dia amat susah hati kerana dihina oleh madunya Penina. Setiap tahun semasa keluarganya mempersembahkan korban kepada Yehuwa di Silo, Hana menjadi begitu sedih sehingga dia “menangis dan tidak mahu makan apa-apa.” Walaupun bersedih, dia tetap hadir di tempat ibadat. Yehuwa mengetahui kesetiaannya dan telah memberkatinya.—1 Sam. 1:11, 20.

17, 18. (a) Bagaimanakah kita digalakkan di perjumpaan? (b) Yehuwa telah menyediakan banyak bantuan agar kita diselamatkan. Apakah perasaan anda?

17 Orang Kristian hari ini patut meniru teladan Hana. Kita harus menghadiri perjumpaan secara tetap. Kita semua pernah merasai galakan yang diberikan di perjumpaan. (Ibr. 10:24, 25) Kasih Kristian yang ramah dapat mengubati hati yang terluka. Mungkin ceramah atau komen di sidang akan menyentuh hati kita. Sebelum atau selepas perjumpaan, rakan seiman mungkin menggalakkan kita atau menjadi tempat mengadu. (Ams. 15:23; 17:17) Apabila kita bernyanyi kepada Yehuwa dengan sebulat suara, semangat kita bertambah kuat. Khususnya semasa kita berasa “bimbang dan khuatir,” kita perlu menghadiri perjumpaan agar digalakkan. Di situlah Yehuwa akan “menghiburkan dan menggembirakan” hati kita dan menyokong usaha kita agar tetap setia kepada-Nya.​—Mzm. 94:18, 19.

18 Kasih sayang Tuhan membuat kita berasa selamat. Perasaan kita seperti Asaf, yang bernyanyi, “Engkau memegang tangan kananku. Engkau membimbing aku dengan nasihat.” (Mzm. 73:23, 24) Tidakkah kita bersyukur kerana Yehuwa memelihara kita agar diselamatkan?

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 28]

Yehuwa telah memimpin anda kepada-Nya

[Gambar pada muka surat 30]

Kita dilindungi kerana mentaati nasihat Tuhan

[Gambar pada muka surat 31]

Galakan yang diterima membantu kita agar bertabah