Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Orang Kristian Sejati Menghormati Firman Tuhan

Orang Kristian Sejati Menghormati Firman Tuhan

“Firman-Mu selalu benar.”​—YOH. 17:17.

1. Menurut pengalaman anda, nyatakan satu perbezaan besar antara Saksi-Saksi Yehuwa dengan agama lain.

FIKIRKAN kali pertama anda berbual dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Apakah yang anda ingat tentang perbualan itu? Ramai berkata, “Saya berasa kagum kerana Saksi itu menggunakan Bible untuk menjawab semua soalan saya.” Setelah mengetahui tujuan Tuhan untuk bumi, keadaan orang mati, dan harapan pembangkitan, tidakkah anda berasa sungguh gembira?

2. Mengapakah anda menghargai Bible?

2 Namun, apabila kita terus mempelajari Bible, kita mendapati Bible bukan sahaja memberitahu kita tentang kehidupan, kematian, dan masa depan. Kita sedar bahawa Bible ialah buku yang paling praktikal di dunia. Nasihat Bible tidak luput ditelan zaman. Orang yang mengikutnya akan hidup bahagia dan berjaya. (Baca Mazmur 1:1-3.) Sejak dahulu lagi, orang Kristian sejati menerima Bible ‘bukan sebagai perkhabaran daripada manusia, tetapi sebagai perkhabaran daripada Tuhan.’ (1 Tes. 2:13) Mari kita kaji apa yang berlaku pada masa lalu. Hal ini akan menunjukkan perbezaan antara orang yang benar-benar menghormati Firman Tuhan dengan mereka yang tidak.

ISU RUMIT DISELESAIKAN

3. Apakah isu yang menggugat perpaduan sidang Kristian abad pertama? Mengapakah masalah ini sukar diselesaikan?

3 Kornelius telah menjadi orang bukan Yahudi pertama yang diurapi. Sepanjang 13 tahun yang berikut, ramai orang bukan Yahudi memeluk agama Kristian. Ketika itu, timbulnya suatu isu yang menggugat perpaduan sidang Kristian: Perlukah kaum lelaki disunat  mengikut adat Yahudi sebelum layak dibaptis? Soalan ini susah dijawab. Orang Yahudi yang berpegang pada Hukum Musa bahkan tidak akan memasuki rumah orang bukan Yahudi, apatah lagi bergaul mesra dengan mereka. Orang Kristian berbangsa Yahudi sudah teruk dianiaya kerana meninggalkan agama asal mereka. Jikalau mereka menyambut orang bukan Yahudi yang tidak bersunat, penganiayaan pasti bertambah. Jurang perbezaan antara orang Yahudi dan orang Kristian juga akan menjadi lebih ketara.​—Gal. 2:11-14.

4. Siapakah yang berkumpul untuk menyelesaikan isu tersebut? Apakah soalan-soalan yang mungkin timbul tentang perbincangan mereka?

4 Pada tahun 49 M di Yerusalem, para rasul dan pemimpin jemaah, yang merupakan orang Yahudi bersunat, “berkumpul untuk membincangkan masalah itu.” (Kis. 15:6) Mereka bukannya hendak membincangkan butiran agama yang remeh dan membosankan. Sebaliknya, suatu perbincangan yang bersemangat tentang ajaran Bible telah diadakan. Semua yang hadir menyuarakan pandangan masing-masing. Adakah keputusan mereka akan dipengaruhi gerak hati atau prasangka? Adakah pemimpin jemaah akan membuat keputusan hanya selepas masalah keagamaan di Israel reda? Atau adakah mereka akan berkompromi, atau mencari jalan tengah, untuk membuat keputusan?

5. Apakah perbezaan besar antara mesyuarat di Yerusalem pada tahun 49 M dengan gereja-gereja pada kemudian hari?

5 Di gereja-gereja, biasanya para pemimpin akan berkompromi atau memancing undi untuk mendapat sokongan. Namun, para penatua di Yerusalem telah membuat keputusan dengan sebulat suara tanpa berkompromi atau memancing undi. Bagaimana? Biarpun setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza, semua yang hadir menghormati Firman Tuhan. Tulisan-tulisan kudus ini telah meleraikan isu tersebut.​—Baca Mazmur 119:97-101.

6, 7. Apakah ayat Bible digunakan untuk menyelesaikan isu tentang sunat? Jelaskan.

6 Kata-kata di Amos 9:11, 12 telah membantu menyelesaikan masalah itu. Kisah 15:16, 17 (ABB) memetik kata-kata itu. Yehuwa berfirman, ‘Aku akan kembali, Aku akan membina semula rumah Daud yang sudah roboh, dan memperbaiki runtuhannya. Aku akan menegakkannya semula, supaya semua orang yang lain akan mencari Aku, semua bangsa lain yang bukan Yahudi sudah Aku panggil untuk menjadi umat-Ku.’

7 Ada yang mungkin berfikir, ‘Tapi ayat ini tidak berkata bahawa orang bukan Yahudi tidak perlu bersunat.’ Memang betul, tetapi orang Kristian berbangsa Yahudi pasti memahami maksudnya. Bagi mereka, orang bukan Yahudi yang telah bersunat ialah saudara mereka, bukan lagi bangsa asing. (Kel. 12:48, 49) Misalnya, Ester 8:17 dalam terjemahan Bagster berkata: “Banyak orang asing disunat lalu menjadi orang Yahudi.” Maka, apa yang disampaikan dalam buku Amos sangat jelas. “Semua orang yang lain” (orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi yang bersunat) bersama dengan “bangsa lain yang bukan Yahudi” (orang yang tidak bersunat) akan menjadi umat Tuhan. Jelaslah, orang bukan Yahudi yang ingin memeluk agama Kristian tidak perlu bersunat.

8. Mengapakah orang Kristian berbangsa Yahudi perlu berani agar dapat membuat keputusan itu?

8 Firman Tuhan dan daya aktif-Nya telah membantu para penatua di Yerusalem untuk membuat keputusan dengan sebulat suara. (Kis. 15:25) Meskipun orang Kristian berbangsa Yahudi akan dihujani penganiayaan kerana keputusan ini, mereka menyokong  keputusan yang berdasarkan Bible dengan sepenuh hati.​—Kis. 16:4, 5.

PERBEZAAN YANG KETARA

9. Apakah satu sebab utama ibadat sejati dicemari? Apakah ajaran palsu yang diperkenalkan?

9 Rasul Paulus menubuatkan bahawa selepas rasul-rasul meninggal, agama Kristian akan dicemari ajaran palsu. (Baca 2 Tesalonika 2:3, 7.) Sesetengah orang yang memikul tanggungjawab dalam sidang juga akan menolak “ajaran yang benar.” (2 Tim. 4:3) Paulus mengingatkan para penatua pada zamannya, “Beberapa orang di kalangan kamu sendiri akan memberitakan berita yang tidak betul untuk menyesatkan pengikut Yesus sehingga mengikut mereka.” (Kis. 20:30) Bagaimanakah agama Kristian dicemari? The New Encyclopædia Britannica menyatakan satu sebab utama: “Orang Kristian yang pernah mempelajari falsafah Yunani mula menggunakannya untuk menjelaskan kepercayaan sendiri. Mereka berasa bangga dengan ilmu yang dimiliki dan ingin orang kafir yang terpelajar memeluk agama Kristian.” Satu ajaran penting yang telah dicemari agama kafir berkaitan dengan identiti Yesus Kristus. Dalam Bible, dia ialah Anak Tuhan; pendukung falsafah Yunani pula mendakwa bahawa dia ialah Tuhan.

10. Bagaimanakah persoalan tentang identiti Kristus dapat diselesaikan?

10 Persoalan ini telah diperdebatkan di beberapa majlis gereja. Seandainya para pemimpin agama mementingkan pandangan Bible, mereka pasti dapat menemui jawapannya dengan mudah. Malangnya, mereka tidak berbuat demikian. Malah, kebanyakan orang kuat berpegang pada pendirian sendiri sebelum mula bermesyuarat. Akhirnya mereka hanya berdegil mengikut pendapat sendiri. Keputusan yang dibuat semasa mesyuarat jarang sekali berdasarkan Bible.

11. Semasa membuat keputusan, apakah dasar para pemimpin gereja? Mengapa?

11 Mengapakah mereka jarang merujuk Bible? Menurut Charles Freeman, seorang cendekiawan, pemimpin gereja yang percaya bahawa Yesus ialah Tuhan “tidak dapat menyangkal kata-kata Yesus dalam Bible yang berulang kali menunjukkan bahawa kedudukannya lebih rendah daripada Tuhan Bapa.” Oleh itu, catatan Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes telah digantikan dengan tradisi gereja dan pendapat tokoh-tokoh lain. Sampai hari ini, ramai pemimpin gereja sanggup mengetepikan Firman Tuhan dan menyanjung kata-kata Bapa Gereja! * Anda mungkin memperhatikan hal ini jika anda pernah membincangkan ajaran Tritunggal dengan seorang pelajar agama.

12. Apakah pengaruh maharaja ke atas gereja?

12 Maharaja Roma mempunyai pengaruh yang besar dalam majlis-majlis gereja. Sehubungan Majlis Nicaea, Profesor Richard E. Rubenstein menulis bahawa Maharaja Konstantin telah mencurahkan kekayaan yang berlimpah kepada uskup. Dalam masa kurang daripada setahun, maharaja baru ini telah mengembalikan segala yang diambil daripada mereka, seperti gereja, jawatan, dan gelaran. Para pemimpin gereja diberi layanan istimewa yang sebelumnya diberikan kepada pendeta yang lain. Hasilnya, pengaruh Konstantin ke atas keputusan majlis di Nicaea amat kuat, sehingga dia boleh mengubah keputusan majlis. Menurut Charles Freeman, selepas Majlis Nicaea, pengaruh maharaja dalam gereja telah bertambah kuat. Dia bukan sahaja memberikan kuasa kepada gereja malah dapat mengubah ajaran-ajarannya.​—Baca Yakobus 4:4.

13. Pada pendapat anda, mengapakah para pemimpin gereja tidak mempedulikan kebenaran yang jelas tertulis dalam Bible?

 13 Para pemimpin gereja sukar menerima Yesus sebagai Anak Tuhan, tetapi rakyat jelata tidak ada masalah sebegini. Mereka tidak menginginkan kekayaan ataupun kedudukan terkemuka di gereja. Maka, pandangan mereka diterangi Firman Tuhan. Seorang ahli teologi pada masa itu, Gregory dari Nyssa telah membuat pernyataan sinis berikut tentang pandangan rakyat jelata terhadap agama: “Penjual pakaian, pengurup wang, dan pekedai arif dalam soal agama. Tanyalah tentang nilai mata wang, anda akan diberitahu bahawa Anak berbeza daripada Bapa. Tanyalah tentang harga roti, anda akan diberitahu bahawa Bapa lebih besar daripada Anak. Tanyalah sama ada tempat mandi sudah siap, anda akan diberitahu bahawa Anak diciptakan.” Tidak seperti golongan terkemuka dalam gereja, ramai dalam kalangan rakyat jelata membuat kesimpulan berdasarkan Firman Tuhan. Gregory dan pemimpin gereja yang lain sepatutnya mendengar cakap mereka!

“GANDUM” DAN “LALANG” TUMBUH BERSAMA

14. Mengapakah kita boleh menyimpulkan bahawa orang Kristian sejati yang terurap sentiasa berada di bumi sejak abad pertama?

14 Dalam cerita ibaratnya, Yesus menunjukkan bahawa bermula abad pertama, orang Kristian sejati yang terurap akan sentiasa berada di bumi. Mereka bagaikan “gandum” yang tumbuh bersama “lalang.” (Mat. 13:30) Kita tidak pasti individu atau kelompok mana yang tergolong sebagai “gandum” itu. Namun, kita boleh yakin bahawa sejak abad pertama lagi, ada sesetengah pihak yang telah mempertahankan Firman Tuhan dengan berani dan mendedahkan ajaran palsu gereja. Mari kita lihat beberapa contoh.

15, 16. Namakan beberapa orang yang menghormati Firman Tuhan.

15 Ketua Uskup Agobard dari Lyons, Perancis (779-840 M), mengutuk penyembahan berhala, gereja yang ditahbiskan untuk santo, serta amalan dan adat lain dalam gereja yang bercanggah dengan Bible. Uskup Claudius yang hidup sezaman dengannya juga menolak tradisi gereja, amalan berdoa kepada santo, dan pemujaan barang peninggalan. Pada abad ke-11, Berengarius, iaitu Pembantu Uskup dari Tours, Perancis, dibuang gereja kerana menolak ajaran Katolik bahawa roti dan wain akan berubah menjadi daging dan darah Yesus. Dia juga berpandangan bahawa Bible lebih penting daripada adat gereja.

16 Pada abad ke-12, munculnya dua orang yang mencintai kebenaran Bible: Peter dari Bruys dan Henry dari Lausanne. Peter telah meletak jawatan sebagai paderi kerana dia  mendapati ajaran Katolik seperti pembaptisan bayi, penukaran roti dan wain kepada daging dan darah Yesus, doa untuk orang mati, dan pemujaan salib tidak sehaluan dengan Bible. Peter dibunuh pada tahun 1140 kerana kepercayaannya. Henry ialah seorang rahib yang mengutuk amalan rasuah dan perbuatan lain dalam gereja yang bercanggah dengan Bible. Dia ditahan pada tahun 1148 dan dipenjarakan seumur hidup.

17. Apakah langkah-langkah penting yang diambil oleh Waldo dan pengikutnya?

17 Tidak lama selepas Peter dari Bruys dibakar hidup-hidup kerana mengkritik pihak gereja, lahirlah seorang lelaki yang bernama Valdès, atau Waldo. Dia telah banyak menyumbang ke arah penyebaran kebenaran Bible. Dia tidak dididik dalam soal agama, tetapi dia begitu menghargai Firman Tuhan sehingga dia sanggup meninggalkan hartanya dan mengaturkan supaya sesetengah buku Bible diterjemahkan ke dalam bahasa yang dituturkan oleh kebanyakan orang di tenggara Perancis. Setelah mendengar berita Bible dalam bahasa sendiri, ada yang begitu teruja. Mereka juga mengorbankan harta sendiri dan menghabiskan seumur hidup mereka untuk memberitakan kebenaran Bible. Pihak gereja sangat marah dengan perbuatan mereka. Pada tahun 1184, lelaki dan wanita yang bersemangat ini (kemudian digelar Waldenses) dibuang dari gereja oleh paus dan tidak dibenarkan kembali ke rumah oleh uskup. Namun, tindakan ini membolehkan berita Bible disebarkan ke tempat lain. Dengan berlalunya masa, pengikut Waldo, Peter dari Bruys, Henry dari Lausanne, dan orang lain yang meninggalkan gereja telah tersebar ke serata Eropah. Pendukung-pendukung kebenaran Bible yang telah bangkit selepas itu termasuk: John Wycliffe (kira-kira 1330-1384), William Tyndale (kira-kira 1494-1536), Henry Grew (1781-1862), dan George Storrs (1796-1879).

‘FIRMAN TUHAN TIDAK DAPAT DIRANTAI’

18. Bagaimanakah pelajar Bible pada abad ke-19 mengkaji Bible? Mengapakah kaedah ini berkesan?

18 Biarpun musuh bertungkus-lumus menentangnya, kebenaran Bible tetap tersebar luas. ‘Firman Tuhan tidak dapat dirantai,’ kata 2 Timotius 2:9. Pada tahun 1870, sekumpulan pelajar Bible mulai mencari kebenaran dengan ikhlas. Apakah kaedah mereka? Seorang akan mengemukakan satu soalan. Kemudian mereka akan berbincang. Selepas itu, mereka akan mengkaji semua ayat Bible yang berkaitan. Setelah berpuas hati dengan penjelasan ayat-ayat, mereka akan mencatatkan kesimpulan yang dibuat. Ya, “leluhur rohani” kita dalam sejarah awal Saksi-Saksi Yehuwa meneladani para rasul dan pemimpin jemaah abad pertama. Tidakkah kita berasa lega kerana mereka bertekad untuk memastikan bahawa kepercayaan mereka sentiasa berlandaskan Firman Tuhan?

19. Apakah ayat tahunan 2012? Mengapakah ayat ini sesuai?

19 Bible masih merupakan asas kepercayaan kita. Maka, Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa telah memilih kata-kata Yesus sebagai ayat tahunan 2012: “Firman-Mu selalu benar.” (Yoh. 17:17) Semua orang yang ingin diperkenankan Tuhan mesti hidup berpandukan kebenaran. Oleh itu, marilah kita sentiasa berusaha untuk mengikut bimbingan Firman Tuhan.

[Nota kaki]

^ per. 11 Bapa Gereja merupakan gelaran bagi tokoh gereja yang terkemuka sejak hujung abad ke-4.

[Soalan Pembelajaran]

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 8]

Ayat tahunan 2012: “Firman-Mu selalu benar.”​—Yohanes 17:17

[Gambar pada muka surat 7]

Waldo

[Gambar pada muka surat 7]

Wycliffe

[Gambar pada muka surat 7]

Tyndale

[Gambar pada muka surat 7]

Grew

[Gambar pada muka surat 7]

Storrs