Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yang Baik Dijadikan Teladan, Yang Buruk Dijadikan Sempadan

Yang Baik Dijadikan Teladan, Yang Buruk Dijadikan Sempadan

 Yang Baik Dijadikan Teladan, Yang Buruk Dijadikan Sempadan

‘Tuhan Israel akan mengajar kita tentang kehendak-Nya; dan kita akan mengikut jalan yang dipilih-Nya.’​—YES. 2:3.

1, 2. Bagaimanakah kita boleh memperoleh manfaat daripada contoh-contoh Bible?

TIDAKKAH anda setuju bahawa Bible memang bermanfaat bagi kita? Bible mengandungi contoh lelaki dan wanita yang setia. Haluan hidup dan sifat-sifat mereka wajar kita teladani. (Ibr. 11:32-34) Namun, terdapat juga contoh-contoh buruk yang boleh dijadikan amaran. Perbuatan buruk individu-individu ini harus kita hindari.

2 Sebenarnya riwayat hidup sesetengah individu memberi teladan baik yang harus ditiru dan amaran tentang perkara yang harus dihindari. Fikirlah tentang Daud, seorang gembala yang kemudiannya menjadi seorang raja yang berkuasa. Daud menyediakan teladan baik kerana dia mencintai apa yang benar dan bergantung pada Yehuwa. Tetapi, Daud juga telah melakukan beberapa kesalahan serius. Dia berzina dengan Batsyeba, menyebabkan kematian Uria, serta membuat banci yang tidak sepatutnya dilakukan. Namun, rencana ini akan berfokus pada anaknya Salomo, yang merupakan seorang raja serta penulis Bible. Marilah kita lihat dua aspek Salomo yang boleh kita teladani.

“Raja Salomo yang Bijak”

3. Mengapakah Salomo merupakan contoh baik yang patut diteladani?

3 Salomo yang Lebih Agung, iaitu Yesus Kristus berkata bahawa Raja Salomo merupakan contoh baik untuk kita. Dia berkata kepada orang Yahudi, “Ratu dari Syeba akan bangkit bersama-sama orang zaman ini, lalu menuduh kamu kerana ratu itu datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran Raja Salomo yang bijak itu. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Raja Salomo!” (Mat. 12:42) Ya, Salomo sangat terkenal kerana kebijaksanaannya, dan dia juga menggalakkan orang untuk menimba kebijaksanaan.

4, 5. Bagaimanakah Salomo menjadi bijaksana? Tetapi apakah yang perlu kita lakukan untuk memperoleh kebijaksanaan?

4 Semasa Salomo mula-mula menjadi raja, Tuhan menampakkan diri kepada Salomo dalam mimpi lalu berkata, “Apakah yang engkau ingin Aku berikan kepadamu?” Salomo sedar bahawa dirinya kurang pengalaman, maka dia memohon kebijaksanaan. (Baca 1 Raja-Raja 3:5-9.) Tuhan berkenan pada permintaan Salomo lalu memberinya “kebijaksanaan dan pengertian” serta kekayaan dan kemuliaan. (1 Raj. 3:10-14) Yesus berkata bahawa kebijaksanaan Raja Salomo begitu hebat sehingga Ratu negeri Syeba datang dari jauh untuk mendengar kebijaksanaan Salomo.​—1 Raj. 10:1, 4-9.

5 Hari ini kita tidak menerima kebijaksanaan secara mukjizat. Salomo telah menulis bahawa “Tuhanlah yang memberikan hikmat,” atau kebijaksanaan. Tetapi dia juga memberitahu kita bahawa kita perlu berusaha untuk menuntut kebijaksanaan. Dia berkata, “Dengarlah apa yang bijaksana dan cubalah memahaminya.” Selain itu, dia menggunakan kata-kata seperti “mohonlah,” “mintalah,” dan “carilah” kebijaksanaan. (Ams. 2:1-6) Maka jelaslah, kita boleh menimba kebijaksanaan.

6. Bagaimakah kita boleh meneladani contoh baik Salomo?

 6 Adalah baik jika kita tanya diri: “Adakah saya mencintai kebijaksanaan seperti Salomo?” Ekoran ketidakstabilan ekonomi, ramai telah mengutamakan kerja, wang, dan mengejar pendidikan tinggi. Bagaimana pula dengan keluarga anda? Adakah pilihan anda mencerminkan bahawa anda mengutamakan kebijaksanaan? Mungkinkah anda perlu mengubah matlamat atau fokus kehidupan anda? Sebenarnya, jika anda menimba kebijaksanaan dan menggunakannya dalam hidup, anda akan meraih manfaat yang berkekalan. Salomo berkata, “Jika kamu mendengar nasihatku, kamu akan tahu apa yang benar, adil, dan tidak berat sebelah. Kamu akan tahu apa yang harus kamu buat.”​—Ams. 2:9, ABB.

Ibadat Sejati Membawa Kedamaian

7. Bagaimanakah khemah suci digantikan dengan Rumah Tuhan?

7 Tidak lama selepas Salomo menjadi raja, dia menggantikan khemah suci yang digunakan pada zaman Musa dengan Rumah Tuhan yang menakjubkan. (1 Raj. 6:1) Walaupun Rumah Tuhan dibina oleh Salomo, idea untuk membinanya bukan idea Salomo. Dia tidak membinanya untuk menjadi terkenal. Sebenarnya, Daud yang mula-mula mengusulkan pembinaan Rumah Tuhan, dan Tuhan telah memberinya pelan-pelan untuk membina serta mempersiapkan peralatan dalam Rumah Tuhan. Daud juga telah banyak menyumbang dari segi kewangan. (2 Sam. 7:2, 12, 13; 1 Taw. 22:14-16) Namun, projek pembinaan yang memakan masa tujuh tahun setengah ditugaskan kepada Salomo.​—1 Raj. 6:37, 38; 7:51.

8, 9. (a) Bagaimanakah Salomo melakukan perkara yang baik tanpa putus asa? (b) Apakah hasilnya apabila Salomo mengutamakan ibadat sejati?

8 Salomo mengutamakan ibadat sejati dan melakukan perkara yang baik tanpa putus asa. Apabila Rumah Tuhan siap dibina dan tabut perjanjian ditempatkan di dalamnya, Salomo telah mengucap doa di hadapan rakyat. Dia berkata, “Lindungilah Rumah ini siang dan malam, tempat yang telah Engkau pilih sebagai tempat beribadat kepada-Mu. Dengarkanlah aku apabila aku menghadap tempat ini dan berdoa kepada-Mu.” (1 Raj. 8:6, 29, ABB) Orang Israel dan orang asing boleh berdoa menghadap Rumah Tuhan, tempat yang dibina untuk mengagungkan nama Yehuwa.​—1 Raj. 8:30, 41-43, 60.

 9 Apakah yang berlaku apabila Salomo mengutamakan ibadat sejati? Selepas pentahbisan Rumah Tuhan, rakyat Salomo “pulang dengan sukacita, sambil memuji raja bagi segala berkat yang telah diberikan Tuhan kepada Raja Daud, hamba-Nya, dan segenap umat-Nya Israel.” (1 Raj. 8:65, 66) Tambahan lagi, pemerintahan Salomo selama 40 tahun damai dan makmur sekali. (Baca 1 Raja-Raja 4:20, 21, 25.) Hal ini diceritakan di Mazmur 72, yang juga menggambarkan berkat-berkat yang akan dinikmati semasa pemerintahan Salomo yang Lebih Agung, iaitu Yesus Kristus.​—Mzm. 72:6-8, 16.

Yang Buruk Patut Dijadikan Sempadan

10. Apakah kesalahan serius yang dilakukan Salomo?

10 Mengapa pula kita mengatakan bahawa Salomo juga merupakan contoh yang buruk? Mungkin anda teringat bahawa Salomo telah menjadikan wanita bangsa asing isterinya dan gundik-gundiknya. Bible berkata, ‘Mereka menyebabkan Raja Salomo meninggalkan Tuhan, sehingga mereka berjaya membujuknya menyembah tuhan-tuhan lain ketika Raja Salomo sudah tua.’ (1 Raj. 11:1-6) Sudah tentu anda bertekad untuk tidak meniru contoh buruknya. Tetapi Salomo telah melakukan kesilapan lain yang mungkin tidak pernah kita fikirkan. Mari kita bincangkan hal-hal ini.

11. Apakah yang dapat kita simpulkan tentang perkahwinan pertama Salomo?

11 Salomo telah memerintah selama 40 tahun. (2 Taw. 9:30) Jadi, apakah yang dapat kita simpulkan daripada 1 Raja-Raja 14:21? (Baca.) Menurut ayat itu, selepas Salomo meninggal, anaknya Rehabeam menjadi raja pada umur 41 tahun. Ibu Rehabeam ialah “Naama, seorang wanita Amon.” Maksudnya, sebelum Salomo menjadi raja dia telah mengahwini wanita daripada bangsa musuh yang menyembah berhala. (Hak. 10:6; 2 Sam. 10:6) Adakah isteri Salomo menyembah berhala? Mungkin dia pernah menyembah berhala, tetapi kemudiannya menjadi penyembah sejati seperti Rahab dan Rut. (Rut 1:16; 4:13-17; Mat. 1:2-6a) Namun dengan mengahwini seorang wanita Amon, Salomo mungkin mempunyai sanak saudara yang tidak menyembah Yehuwa.

12, 13. Apakah kesalahan serius yang dilakukan Salomo selepas dia menjadi raja? Apakah alasan yang mungkin digunakannya?

12 Keadaannya menjadi semakin buruk selepas Salomo menjadi raja. Dia telah “menjadikan raja Mesir sekutunya dengan mengahwini puteri raja Mesir. Raja Salomo membawa puteri itu tinggal di Kota Daud.” (1 Raj. 3:1) Adakah wanita Mesir ini menjadi penyembah Yehuwa seperti Rut? Tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa dia berbuat demikian. Sebaliknya, Salomo terpaksa membina sebuah rumah di luar Kota Daud untuknya dan mungkin untuk pelayan wanitanya yang berbangsa Mesir. Mengapa? Menurut Bible, dia melakukannya kerana seorang penyembah agama palsu tidak wajar tinggal berdekatan tabut perjanjian.​—2 Taw. 8:11.

13 Salomo mungkin berfikir bahawa mengahwini puteri Mesir boleh mendatangkan kebaikan dari segi politik. Tetapi adakah ini alasan yang baik? Lama dahulu Tuhan sudah pun melarang umat-Nya untuk mengahwini orang kafir dari Kanaan. Dia bahkan menyenaraikan bangsa-bangsa Kanaan yang patut dihindari. (Kel. 34:11-16) Mungkinkah Salomo berfikir bahawa tindakkannya tidak salah memandangkan bangsa Mesir tidak disenaraikan? Adakah pemikiran sebegini wajar? Sebenarnya, tindakan Salomo menunjukkan bahawa dia tidak menghiraukan amaran Yehuwa untuk tidak mengahwini orang kafir. Seorang hamba Yehuwa yang mengahwini orang kafir mungkin boleh meninggalkan ibadat sejati.​—Baca Ulangan 7:1-4.

14. Bagaimanakah kita boleh mengambil iktibar daripada contoh buruk Salomo?

14 Bagaimanakah kita boleh mengambil iktibar daripada contoh buruk Salomo? Misalnya, Tuhan menyuruh kita berkahwin hanya  dengan rakan seiman. Namun, seorang saudari mungkin mencari alasan untuk menjalin hubungan romantik dengan orang yang tidak seiman. (1 Kor. 7:39) Yang lain pula mungkin mencari alasan untuk menyertai sukan atau aktiviti kokurikulum di sekolah, mengelakkan cukai tertentu, dan berdalih semasa disoal kerana ingin menjaga air muka. Ingatlah, Salomo telah mencari alasan supaya dapat mengingkari perintah Tuhan. Kita mungkin mengikut jejaknya jika kita tidak berwaspada.

15. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan belas kasihan kepada Salomo? Tetapi apakah yang harus kita ingat?

15 Walaupun Salomo telah mengahwini puteri Mesir, Tuhan masih mengabulkan permintaannya untuk kebijaksanaan, bahkan mengurniakannya kekayaan. (1 Raj. 3:10-13) Salomo tidak mentaati perintah Yehuwa, tetapi Yehuwa tidak menolaknya sebagai raja atau menghukumnya dengan serta-merta. Hal ini adalah kerana Dia tahu bahawa kita merupakan manusia berdosa yang bagaikan debu. (Mzm. 103:10, 13, 14) Tetapi ingatlah hal ini: Perbuatan kita boleh membawa kesan sekarang atau pada masa hadapan.

Banyaknya Isteri Salomo!

16. Apakah perintah yang diingkari Salomo?

16 Dalam buku Kidung Agung, Raja Salomo memuji seorang perawan bahawa dia lebih jelita daripada 60 permaisuri dan 80 gundik. (Kid. 6:1, 8-10) Hal ini mungkin bermaksud dia mempunyai 60 permaisuri dan 80 gundik pada masa itu! Tidak kira jika kebanyakan atau semua isterinya merupakan penyembah sejati, Salomo masih mengingkari perintah Yehuwa yang menyatakan bahawa raja Israel “tidak boleh mempunyai banyak isteri, kerana hal itu akan menyebabkan baginda berpaling daripada Tuhan.” (Ul. 17:17) Sekali lagi, Yehuwa tidak meninggalkan Salomo. Tuhan masih memberkatinya dan menggunakannya untuk menulis buku Kidung Agung.

17. Apakah hakikat penting yang perlu kita ingat?

17 Adakah hal ini bermaksud bahawa kita atau Salomo boleh terlepas daripada hukuman meskipun melanggar hukum Tuhan? Tidak. Sebaliknya, hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa sangat sabar. Seorang penyembah Yehuwa mungkin mengingkari-Nya dan tidak dihukum dengan serta-merta. Namun, dia tidak patut berfikir bahawa dia akan terlepas daripada hukuman buat selama-lamanya. Salomo menulis, “Orang sangat suka melakukan kejahatan kerana orang yang melakukannya tidak segera dihukum.” Dia juga berkata bahawa orang yang takut akan Tuhan akhirnya akan hidup senang.​—Pkh. 8:11, 12, ABB.

18. Bagaimanakah kisah hidup Salomo membuktikan kebenaran dalam Galatia 6:7?

18 Malangnya Salomo tidak mempedulikan hakikat bahawa tindakkannya boleh membawa kesan buruk. Memang dia telah melakukan banyak perkara baik dan menikmati berkat yang melimpah. Namun dia melakukan kesalahan demi kesalahan sehingga mengingkari Tuhan menjadi kebiasaan baginya. Rasul Paulus diilhamkan untuk menulis, ‘Janganlah tipu diri sendiri. Tidak seorang pun dapat memperbodohkan Tuhan. Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.’ (Gal. 6:7, ABB) Pada kemudian hari, Salomo telah menerima padah kerana tidak mematuhi Tuhan. Bible berkata, “Raja Salomo mencintai banyak wanita bangsa asing. Selain puteri raja Mesir, baginda juga berkahwin dengan wanita Het, Moab, Amon, Edom, dan Sidon.” (1 Raj. 11:1, ABB) Ramai isteri Salomo mungkin masih mengamalkan agama palsu lalu menggodanya untuk berbuat demikian juga. Jadi Salomo telah disesatkan dan tidak lagi diperkenankan Yehuwa, Tuhan yang sabar.​—Baca 1 Raja-Raja 11:4-8.

Ambil Pelajaran daripada Baik Buruk Salomo

19. Apakah contoh-contoh baik yang terkandung dalam Bible?

19 Yehuwa mengilhami Paulus untuk menulis, “Segala yang tertulis di dalam Alkitab adalah untuk mengajar kita, supaya kita  mempunyai harapan kerana ajaran daripada Alkitab menyebabkan kita bersabar dan berteguh hati.” (Rm. 15:4, ABB) Alkitab mengandungi banyak contoh lelaki dan wanita yang mempunyai iman yang kukuh. “Perlukah aku meneruskannya?” kata Paulus. ‘Masa tidak cukup bagiku untuk bertutur tentang Gideon, Barak, Simson, Yefta, Daud, Samuel, dan nabi-nabi. Kerana beriman, mereka mengalahkan negeri-negeri. Mereka melakukan apa yang benar. Oleh itu mereka menerima apa yang dijanjikan oleh Tuhan. Mereka lemah, tetapi menjadi kuat.’ (Ibr. 11:32-34, ABB) Ya, kita boleh meraih banyak manfaat jika kita mempelajari dan meniru contoh-contoh baik dalam Bible.

20, 21. Mengapakah anda harus memandang serius contoh-contoh yang terkandung dalam Bible?

20 Namun, terdapat beberapa kisah Bible yang mengandungi contoh-contoh yang buruk. Mereka merupakan lelaki dan wanita yang pada suatu masa diterima oleh Yehuwa sebagai penyembah-Nya. Semasa membaca Bible, kita boleh belajar mengapa dan bagaimana mereka disesatkan, lalu hal ini boleh menjadi amaran kepada kita. Kita dapat memerhatikan bagaimana sikap atau kecenderungan buruk beransur-ansur bertapak dalam diri mereka dan membawa kesudahan yang menyedihkan. Bagaimanakah kita boleh mengambil pelajaran daripada kisah-kisah ini? Tanyalah diri: “Bagaimanakah tabiat buruk mereka mulai bertapak? Mungkinkah saya berbuat demikian juga? Bagaimanakah saya boleh mengelakkan kesilapan itu?”

21 Kita seharusnya memandang serius semua contoh ini kerana Paulus menulis, “Semua perkara itu berlaku kepada mereka untuk menjadi contoh bagi orang lain. Semua itu ditulis untuk menjadi amaran bagi kita, kerana kita sekarang hidup pada akhir zaman.”​—1 Kor. 10:11, ABB.

Apakah yang Telah Anda Pelajari?

• Mengapakah Bible mengandungi contoh buruk dan contoh baik?

• Bagaimanakah mengingkari Tuhan menjadi kebiasaan bagi Salomo?

• Apakah yang dapat anda pelajari daripada kesalahan Salomo?

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 9]

Salomo menggunakan kebijaksanaan yang diberikan Tuhan

[Gambar pada muka surat 12]

Adakah anda mengambil pelajaran daripada contoh buruk Salomo?