Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda Dibimbing oleh Daya Aktif Tuhan?

Adakah Anda Dibimbing oleh Daya Aktif Tuhan?

 Adakah Anda Dibimbing oleh Daya Aktif Tuhan?

“Engkaulah Tuhanku. Daya aktif-Mu itu baik; semoga daya aktif-Mu memimpin aku.”​—MZM. 143:10, NW.

1. Jelaskan bagaimana daya yang tidak kelihatan boleh membimbing seseorang.

PERNAHKAH anda menggunakan kompas untuk sampai ke destinasi anda? Kompas merupakan sebuah alat ringkas yang mempunyai jarum magnetik yang menunjuk ke arah utara. Jarum ini berfungsi mengikut daya magnet bumi yang tidak kelihatan. Selama berabad-abad, para peneroka dan penjelajah menggunakan kompas supaya tidak sesat di darat mahupun di laut.

2, 3. (a) Apakah daya yang digunakan oleh Yehuwa semasa penciptaan? (b) Mengapakah kita tahu bahawa daya aktif Tuhan dapat membimbing kita hari ini?

2 Terdapat satu lagi daya yang tidak kelihatan yang dapat membimbing kita. Apakah daya ini? Daya yang sangat penting ini disebut dalam kata-kata pembukaan Bible. Buku Kejadian menceritakan apa yang dilakukan oleh Yehuwa, ‘Pada mulanya, Tuhan menciptakan alam semesta.’ Bagaimana? Bible menjawab, ‘Roh Tuhan bergerak di atas permukaan air.’ (Kej. 1:1, 2, nota kaki, ABB) ‘Roh Tuhan’ merujuk kepada daya aktif Tuhan. Kita bersyukur kerana Yehuwa menggunakan daya yang kuat ini untuk menciptakan segala sesuatu termasuk kita.​—Mzm. 104:30.

3 Kita tahu bahawa Yehuwa menggunakan daya aktif untuk menciptakan kita, tetapi bolehkah daya ini mempengaruhi kita dalam cara lain? Memang boleh. Yesus berkata, “Roh [daya aktif] akan membimbing kamu supaya mengetahui segala kebenaran.” (Yoh. 16:13) Jadi apakah daya aktif Tuhan, dan bagaimanakah daya ini membimbing kita?

Apakah Daya Aktif?

4, 5. (a) Apakah kepercayaan ramai orang tentang Roh Kudus? (b) Apakah sebenarnya daya aktif Tuhan?

4 Sesetengah orang yang ditemui dalam aktiviti penyebaran percaya pada Roh Kudus. Orang yang percaya dalam ajaran Tritunggal percaya bahawa Roh Kudus adalah makhluk roh yang setara dengan Tuhan. Tetapi ajaran ini jelas bercanggah dengan ajaran Bible.​—1 Kor. 8:6.

5 Menurut nota kaki di Kejadian 1:2 dalam Alkitab Berita Baik, ungkapan ‘Roh Tuhan,’ juga boleh bermaksud ‘angin daripada Tuhan,’ atau “angin kencang.” (Bandingkan Kejadian 8:1.) Angin ialah sejenis daya dan bukan seorang individu. Angin tidak dapat dilihat tetapi kesannya boleh dirasai. Begitu juga dengan ‘angin daripada Tuhan,’ iaitu daya aktif-Nya. Meskipun daya ini tidak kelihatan, Tuhan boleh menggunakannya untuk menggerakkan hati manusia atau melakukan apa sahaja untuk melaksanakan kehendak-Nya. Adakah mustahil bagi Tuhan Yang Maha Kuasa untuk berbuat demikian? Sama sekali tidak!​—Baca Roma 1:20.

6. Daud memohon apa daripada Yehuwa?

6 Bolehkah Yehuwa menggunakan daya aktif-Nya untuk membimbing hidup kita? Dia berjanji kepada Daud, “Aku akan menunjukkan jalan yang harus kauikuti.”  (Mzm. 32:8) Sudikah Daud menerima pimpinan Tuhan? Ya, dia telah memohon kepada Yehuwa, “Ajarlah aku melakukan kehendak-Mu, kerana Engkaulah Tuhanku. Daya aktif-Mu itu baik; semoga daya aktif-Mu memimpin aku mengikut haluan yang benar.” (Mzm. 143:10, NW) Kita pun perlu memupuk keinginan yang sama dan rela dibimbing oleh daya aktif Tuhan. Mengapa? Mari kita lihat empat sebab.

Kita Tidak Layak Mengendalikan Jalan Hidup Sendiri

7, 8. (a) Mengapakah kita tidak berupaya membimbing diri sendiri? (b) Mengapakah kita memerlukan bimbingan Tuhan dalam dunia yang fasiq ini? Berikan contoh.

7 Pertama, kita patut dibimbing daya aktif Tuhan kerana kita tidak berupaya membimbing diri sendiri. Menurut sebuah kamus, “membimbing” bererti “mengarahkan untuk mengikut suatu haluan atau menunjukkan jalan yang harus diikuti.” Tetapi Yehuwa tidak menciptakan kita dengan kebolehan untuk melakukan hal ini tanpa bantuan-Nya. Lebih-lebih lagi kita tidak sempurna. Nabi Yeremia berkata, “Ya Tuhan, aku insaf bahawa tiada seorang pun berkuasa atas hidupnya; tiada seorang pun dapat mengendalikan jalan hidupnya.” (Yer. 10:23, ABB) Mengapa? Tuhan memberikan sebabnya, “Hati manusia tidak dapat difahami oleh sesiapa; hati manusia lebih licik daripada segala-galanya, dan penyakitnya terlalu parah.”​—Yer. 17:9, ABB; Mat. 15:19.

8 Fikirkan contoh yang berikut. Seseorang yang tidak berpengalaman mahu berkhemah seorang diri dalam sebuah hutan tebal yang tidak pernah diterokai. Jika dia tidak mendapatkan bantuan seorang renjer atau menggunakan kompas, dia sedang mengundang nahas. Dalam cara yang sama, seseorang yang mahu hidup dalam dunia fasiq ini tanpa bimbingan Tuhan juga sedang mencari nahas. Seperti Daud, kita perlu memohon bantuan Tuhan supaya kita ‘selalu hidup menurut petunjuk-Nya dan tidak menyeleweng.’ (Mzm. 17:5; 23:3) Bagaimanakah kita dapat dibimbing oleh Tuhan?

9. Bagaimanakah daya aktif Tuhan dapat membimbing kita? Lihat gambar di muka surat 17.

9 Jika kita rela bergantung pada Yehuwa dengan rendah hati, Dia tentu akan membimbing kita dengan daya aktif-Nya. Bagaimanakah daya aktif dapat membantu kita? Yesus menerangkan kepada muridnya, ‘Roh [daya aktif] Tuhan, Penolong yang akan diutus oleh Bapa demi namaku, akan mengajar kamu segala-galanya dan akan mengingatkan kamu segala yang telah aku katakan kepada kamu.’ (Yoh. 14:26, ABB) Ya, jika kita mempunyai tabiat untuk berdoa dan mempelajari Firman Tuhan yang mengandungi ajaran-ajaran Yesus, daya aktif dapat membantu kita memahami kebijaksanaan Yehuwa  dengan lebih mendalam dan mematuhi perintah-Nya. (1 Kor. 2:10) Tambahan lagi, daya aktif boleh membimbing kita ke jalan yang betul semasa menempuh liku-liku hidup. Daya aktif akan membantu kita mengingati prinsip-prinsip Bible yang sudah dipelajari dan cara untuk menerapkannya. Dengan ini, kita dapat membuat keputusan yang betul.

Yesus Dibimbing oleh Daya Aktif Tuhan

10, 11. Apakah yang telah membimbing Yesus semasa di bumi? Bagaimanakah daya aktif membantunya?

10 Apakah sebab kedua kita menginginkan bimbingan daya aktif? Kerana Yesus sendiri dibimbing oleh daya aktif. Sebelum Yesus turun ke bumi dia tentu tahu akan nubuat tentang dirinya: ‘Roh [daya aktif] Yehuwa akan mengurniakan kebijaksanaan kepada dia juga pengetahuan dan kecekapan untuk memerintah umatnya. Dia mengenal kehendak Yehuwa dan menghormati Dia.’ (Yes. 11:2, nota kaki, ABB) Tentu Yesus ingin sekali menerima bantuan daya aktif Tuhan semasa menghadapi pelbagai cabaran di bumi!

11 Kata-kata Yehuwa telah menjadi kenyataan. Buku Lukas menceritakan apa yang berlaku selepas Yesus dibaptiskan. ‘Yesus yang dikuasai oleh Roh [daya aktif] Tuhan, kembali dari kawasan Sungai Yordan. Yesus dipimpin oleh Roh [daya aktif] Tuhan ke padang gurun.’ (Luk. 4:1, ABB) Semasa Yesus berpuasa, berdoa, dan membuat perenungan di situ, Yehuwa mungkin telah memberinya arahan dan menyiapkan hatinya untuk menghadapi apa yang bakal berlaku. Daya aktif Tuhan mempengaruhi hati dan minda Yesus serta membimbing fikiran dan keputusannya. Oleh itu, Yesus tahu apa yang harus dilakukan dalam apa jua situasi. Dia selalu melakukan kehendak Bapanya.

12. Mengapakah penting untuk memohon bimbingan daya aktif Tuhan?

12 Yesus tahu betapa pentingnya peranan daya aktif dalam hidupnya. Jadi dia menggalakkan para pengikutnya untuk meminta dan hidup berpandukan daya aktif Tuhan. (Baca Lukas 11:9-13.) Mengapakah kita perlu berbuat demikian? Kerana daya ini dapat mengubah fikiran kita agar kita “mempunyai fikiran Kristus.” (1 Kor. 2:16; Rm. 12:2) Ya, jika kita membenarkan daya aktif membimbing hidup kita, fikiran kita akan selaras dengan fikiran Kristus dan kita akan meneladaninya.​—1 Ptr. 2:21.

Kecenderungan Mental Dunia Menyesatkan Kita

13. Apakah itu kecenderungan mental dunia? Kecenderungan ini mempengaruhi orang untuk melakukan apa?

13 Sebab ketiga kita menginginkan bimbingan daya aktif Tuhan adalah kerana kecenderungan mental dunia boleh menyesatkan kita. Kecenderungan dunia sangat berkuasa dan mempengaruhi kebanyakan  orang di dunia. Kecenderungan ini juga menggalakkan kita melakukan perkara yang bertentangan dengan bimbingan daya aktif Tuhan. Jika kita dipengaruhi kecenderungan dunia, kita tidak dapat memupuk fikiran Kristus, tetapi akan mencerminkan fikiran Syaitan, penguasa sistem dunia ini! (Baca 1 Yohanes 2:16; Titus 3:3.) Jika seseorang mula dipengaruhi oleh kecenderungan mental dunia dan mengamalkan perbuatan berdosa, dia tidak akan menikmati Kerajaan Tuhan.​—Gal. 5:19-21.

14, 15. Bagaimanakah kita boleh berjaya melawan kecenderungan mental dunia ini?

14 Yehuwa telah melengkapi kita untuk melawan kecenderungan mental dunia. Rasul Paulus berkata bahawa setiap orang harus “menerima kekuatan” daripada daya aktif Tuhan ‘supaya pada hari yang jahat kita dapat mempertahankan diri.’ (Ef. 6:10, 13) Yehuwa menggunakan daya aktif-Nya untuk memberi kita kekuatan supaya tidak disesatkan oleh Syaitan. (Why. 12:9) Meskipun kecenderungan mental dunia kuat, kita boleh melawannya. Mengapa? Kerana daya aktif Tuhan yang jauh lebih kuat pasti membantu kita!

15 Mengenai mereka yang telah meninggalkan ibadat sejati pada abad pertama, rasul Petrus berkata, “Mereka telah meninggalkan jalan yang lurus, lalu sesat.” (2 Ptr. 2:15) Kita sangat bersyukur kerana kita tidak menerima kecenderungan mental dunia ini, tetapi kita menerima daya aktif Tuhan. (1 Kor. 2:12) Dengan menerima bimbingan daya aktif Yehuwa dan memanfaatkan segala bantuan daripada-Nya, kita akan berpegang pada haluan yang benar dan berjaya melawan kecenderungan mental dunia yang fasiq ini.​—Gal. 5:16.

Daya Aktif Membuahkan Hasil Baik

16. Apakah hasil baik yang boleh dibuahkan daya aktif Tuhan?

16 Sebab keempat kita menginginkan bimbingan daya aktif Tuhan dalam hidup kita adalah kerana daya aktif boleh membuahkan sifat-sifat yang baik. (Baca Galatia 5:22, 23.) Tidakkah kita ingin memperlihatkan kasih, sukacita, dan kedamaian? Dan tentu kita akan memperoleh manfaat jika dapat memupuk kepanjangsabaran, kebaikan hati, dan kebaikan. Selain itu, iman yang kuat, kelemahlembutan, dan kawalan diri dapat membawa banyak faedah. Sifat-sifat ini membawa manfaat kepada kita serta keluarga dan rakan seiman. Tiada had yang boleh dikenakan ke atas buah daya aktif yang harus dipupuk dan diperlihatkan. Ya, kita sentiasa ada ruang untuk membuat kemajuan!

17. Bagaimanakah kita boleh bekerja lebih keras untuk menunjukkan buah daya aktif Tuhan?

17 Adalah baik jika kita tanya diri, “Adakah tutur kata dan perbuatan saya menunjukkan bahawa saya sedang dibimbing daya aktif Tuhan? Adakah saya sedang memperlihatkan buah daya aktif dalam hidup saya?” (2 Kor. 13:5; Gal. 5:25) Jika kita sedar bahawa sesetengah aspek buah daya aktif perlu dimantapkan, kita perlu bekerja lebih keras untuk mengikut bimbingan daya aktif Tuhan. Bagaimanakah kita boleh melakukan hal ini? Dengan menggunakan Bible dan bahan bacaan Kristian, pelajarilah setiap aspek buah daya aktif Tuhan dengan lebih mendalam. Maka kita dapat mengetahui cara untuk memupuk buah daya aktif dan berusaha untuk memperlihatkannya dalam kehidupan seharian. Apabila kita melihat daya aktif Tuhan membuahkan hasil yang baik dalam hidup kita serta hidup rakan seiman, kita tentu setuju bahawa kita memerlukan bimbingan daya aktif Tuhan.

Adakah Anda Membenarkan Daya Aktif Membimbing Anda?

18. Apakah sikap Yesus terhadap bimbingan daya aktif Tuhan?

18 Bible memberitahu kita bahawa daya  aktif Tuhan ialah pembimbing utama dalam kehidupan Yesus. Ya, Yesus sangat menginginkan bantuan daya aktif Tuhan. Dan apabila daya aktif menggerakkannya untuk melakukan sesuatu, Yesus melakukannya dengan rela hati. (Mrk. 1:12, 13; Luk. 4:14) Adakah anda juga membenarkan daya aktif membimbing hidup anda?

19. Apakah yang perlu kita lakukan supaya daya aktif Tuhan membimbing hidup kita?

19 Hari ini, daya aktif Tuhan masih menggerakkan hati dan minda orang yang rela mengikut bimbingan-Nya. Bagaimanakah anda boleh membenarkan daya aktif untuk membimbing anda? Sentiasa minta Yehuwa untuk memberi anda daya aktif-Nya serta membantu anda mengikut bimbingan daya aktif-Nya. (Baca Efesus 3:14-16.) Kemudian curahkan usaha selaras dengan apa yang didoakan. Carilah nasihat Bible yang diilhami daya aktif Tuhan. (2 Tim. 3:16, 17) Patuhi panduan Bible dan benarkanlah daya aktif untuk membimbing anda. Dengan ini, anda menunjukkan bahawa anda memang percaya pada kebolehan Yehuwa untuk membimbing anda dalam dunia yang fasiq ini!

Isi-isi Penting

• Bagaimanakah daya aktif Tuhan boleh mempengaruhi hidup kita?

• Nyatakan empat sebab kita menginginkan bimbingan daya aktif Tuhan.

• Apakah yang boleh kita lakukan supaya daya aktif membimbing hidup kita?

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 15]

Daya aktif Tuhan memainkan peranan yang penting dalam kehidupan Yesus

[Gambar pada muka surat 17]

Daya aktif Tuhan menggerakkan hati dan minda orang serta membimbing mereka