Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Menyembah Yehuwa Sumber Kebahagiaan Saya

Menyembah Yehuwa Sumber Kebahagiaan Saya

 Menyembah Yehuwa Sumber Kebahagiaan Saya

Diceritakan oleh Fred Rusk

Sejak muda lagi saya mengalami kebenaran kata-kata Daud di Mazmur 27:10, ‘Sekalipun ibu bapaku meninggalkan aku, Yehuwa akan memelihara aku.’ Biar saya ceritakan bagaimana hal ini berlaku.

SAYA dibesarkan di ladang kapas datuk saya di Georgia, A.S., pada Zaman Meleset sekitar 1930-an. Ayah saya remuk hati kerana ibu dan adik lelaki saya yang baru lahir telah mati. Dia meninggalkan saya dengan ayahnya, seorang duda, dan telah berpindah ke sebuah bandar yang jauh untuk bekerja. Kemudian, dia mencuba mengaturkan supaya saya tinggal dengannya. Tetapi rancangannya tidak pernah menjadi kenyataan.

Rumah tangga datuk diuruskan oleh anak-anak perempuannya. Datuk saya bukan seorang yang mempunyai pegangan agama, tetapi anak-anak perempuannya kuat beragama dan mereka memaksa saya untuk mengikut kepercayaan mereka. Saya terpaksa pergi ke gereja setiap hari Ahad, jika tidak saya akan dipukul. Jadi sejak muda lagi, saya tidak mempunyai pandangan yang positif terhadap agama. Tetapi, saya suka pergi ke sekolah dan bersukan.

Kunjungan yang Mengubah Hidup Saya

Suatu petang pada tahun 1941, seorang lelaki tua dan isterinya telah mengunjungi kami. Pada masa itu saya berusia 15 tahun. Saya diberitahu bahawa dia ialah pak cik saya yang bernama Talmadge Rusk. Saya tidak pernah mendengar tentangnya, tetapi mendapat tahu bahawa dia dan isterinya ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Dia menjelaskan bahawa tujuan Tuhan adalah supaya manusia hidup di bumi selama-lamanya. Hal ini sangat berbeza dengan ajaran gereja. Kebanyakan ahli keluarga saya menolak, bahkan membenci apa yang dikatakan mereka. Mereka tidak dibenarkan mengunjungi rumah kami lagi. Tetapi Mary, mak cik saya yang berusia 18 tahun, menerima sebuah Bible dan bahan bacaan Bible.

Mary cepat berasa yakin bahawa dia telah menemukan kebenaran dan dibaptiskan pada 1942. Dia juga mengalami apa yang dikatakan Yesus bahawa “musuh terbesar seseorang ialah anggota keluarganya sendiri.” (Mat. 10:34-36) Bahang penentangan keluarga kian terasa. Seorang kakak Mary yang terlibat dalam hal ehwal daerah berkomplot dengan datuk bandar. Akibatnya Pak Cik Talmadge ditahan atas tuduhan berjaja tanpa lesen dan dia disabit salah.

Surat khabar tempatan melaporkan bahawa datuk bandar yang juga merupakan hakim, telah memberitahu semua orang di mahkamah, “Bahan bacaan yang diedarkan oleh lelaki  ini . . . berbahaya seperti racun.” Pak cik membuat rayuan mahkamah dan memenangi kes itu, tetapi terpaksa menghabiskan sepuluh hari di penjara.

Bagaimana Mak Cik Mary Membantu Saya

Mak cik Mary telah berkongsi kebenaran dengan saya dan juga dengan jiran-jiran. Dia mengadakan pembelajaran Bible dengan seorang lelaki dan saya telah menyertainya. Lelaki ini telah menerima buku The New World * dan isterinya berkata bahawa suaminya berjaga semalaman untuk membaca buku tersebut. Walaupun saya tidak mahu disedut ke dalam apa jua perkara yang berkaitan dengan agama, saya suka apa yang saya pelajari. Tetapi apa yang benar-benar meyakinkan saya bahawa Saksi-Saksi merupakan umat Tuhan ialah cara mereka dilayan.

Contohnya, pada suatu hari semasa saya dan Mary pulang dari kebun tomato, kami menjumpai sisa bahan bacaan Bible termasuk sebuah peti nyanyi dan rekod-rekod yang telah dibakar oleh kakak-kakaknya. Saya berasa sangat marah. Tetapi salah seorang mak cik saya berkata, “Suatu hari nanti kamu akan menghargai apa yang telah kami lakukan.”

Mary dipaksa meninggalkan rumah pada tahun 1943 kerana dia berpegang teguh pada imannya dan enggan berhenti menyebarkan kepercayaannya. Pada masa itu, saya sudah mengetahui bahawa nama Tuhan ialah Yehuwa, dan Dia Tuhan yang pengasih, berbelas kasihan, dan tidak menyeksa orang di neraka. Saya juga belajar bahawa Tuhan mempunyai sebuah organisasi, walaupun saya belum pernah menghadiri perjumpaan.

Pada suatu hari, semasa saya sedang memotong rumput, dua orang lelaki dalam sebuah kereta menuju ke arah saya. Salah seorang lelaki dalam kereta tersebut bertanya jika nama saya Fred. Selepas mengetahui bahawa mereka merupakan Saksi-Saksi, saya bercadang agar kita memandu ke tempat yang selamat untuk bercakap. Rupa-rupanya Mary telah meminta mereka melawat saya. Salah seorang lelaki itu bernama Shield Toutjian, seorang penyelia lawatan yang menggalakkan dan memberi saya bimbingan rohani tepat pada waktunya. Sekarang saya menjadi sasaran keluarga; mereka menentang saya kerana saya mempertahankan kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa.

Mary telah berpindah ke Virginia. Di situ dia menyurati saya dan menjemput saya untuk tinggal dengannya jika saya bertekad untuk menyembah Yehuwa. Dengan serta-merta saya memutuskan untuk pergi. Pada suatu petang Jumaat, bulan Oktober 1943, saya meletakkan beberapa barang yang penting di dalam sebuah kotak dan menyembunyikannya di atas sebuah pokok yang terletak tidak jauh dari rumah saya.  Pada hari Sabtu, saya mendapatkan kotak itu, kemudian mengikut jalan belakang ke rumah jiran, dan pergi ke bandar. Selepas tiba di bandar Roanoke, saya menjumpai Mak Cik Mary di rumah Edna Fowlkes.

Kemajuan Rohani, Pembaptisan, Bethel

Edna ialah seorang Saksi terurap yang penuh belas kasihan. Dia seperti Lidia yang disebut dalam Bible. Edna telah menyewa sebuah rumah besar dan menyediakan tempat tinggal bagi isteri abangnya, dua orang anak saudaranya yang bernama Gladys dan Grace Gregory, serta Mak Cik Mary. Gladys dan Grace kemudian menjadi mubaligh. Gladys yang kini dalam lingkungan umur 90-an masih berkhidmat dengan setia di pejabat cawangan Jepun.

Semasa tinggal di rumah Edna, saya menghadiri perjumpaan dengan tetap dan dilatih dalam kerja penyebaran. Selera rohani saya dipuaskan kerana saya dapat belajar Bible dan pergi ke perjumpaan. Pada 14 Jun 1944, saya dibaptiskan. Mary dan adik-beradik Gregory mula merintis dan menerima tugas di utara Virginia. Mereka memainkan peranan yang besar dalam menubuhkan sebuah sidang di Leesburg. Pada awal 1946, saya mula merintis di daerah yang berdekatan. Pada musim panas tahun itu, kami semua pergi ke konvensyen antarabangsa yang sukar dilupakan yang diadakan dari 4-11 Ogos, di Cleveland, Ohio.

Semasa konvensyen itu, Nathan Knorr, yang memimpin organisasi Yehuwa pada masa itu, telah bercakap tentang rancangan yang akan dilaksanakan di Bethel di Brooklyn. Rancangan ini merangkumi pembinaan bangunan tempat tinggal yang baru dan kerja memperluas tempat percetakan. Ramai saudara muda diperlukan, maka saya memutuskan untuk berkhidmat di situ. Saya menghantar borang permohonan dan dalam beberapa bulan sahaja, iaitu pada 1 Disember 1946, saya pergi ke Bethel.

Lebih kurang setahun kemudian, penyelia tempat percetakan, iaitu Max Larson, telah datang ke tempat kerja saya di Bahagian Pengiriman. Dia berkata bahawa saya telah ditugaskan ke Bahagian Kerja Penyebaran. Di situ, saya banyak belajar tentang cara menerapkan prinsip Bible dan cara organisasi Tuhan berfungsi, terutamanya semasa bekerja dengan T. J. (Bud) Sullivan, penyelia bahagian tersebut.

Ayah saya telah melawat saya di Bethel beberapa kali. Semasa dia lebih tua, dia lebih berminat dalam hal agama. Kali terakhir dia melawat saya ialah pada 1965. Pada masa itu dia berkata, “Kamu boleh datang lawat saya, tetapi saya tidak akan datang sini lagi.” Saya telah melawat dia beberapa kali sebelum dia meninggal. Dia percaya bahawa dia akan ke syurga. Tetapi saya berharap dia berada dalam ingatan Yehuwa dan akan dibangkitkan di bumi Firdaus.

 Konvensyen Lain yang Bermakna dan Kerja Pembinaan

Konvensyen selalu menyumbang kepada kemajuan rohani, seperti apa yang berlaku di konvensyen-konvensyen antarabangsa yang diadakan di Stadium Yankee, New York pada 1950-an. Pernah sekali pada 1958, Stadium Yankee dan Polo Grounds penuh dengan 253,922 orang hadirin daripada 123 buah negara. Suatu kejadian yang berlaku di konvensyen itu sukar dilupakan. Semasa saya sedang membantu di pejabat konvensyen, Saudara Knorr bergegas ke arah saya. Dia berkata, “Fred, saya terlupa menugaskan seorang saudara untuk memberikan ceramah kepada semua perintis yang sudah berhimpun di dewan berdekatan. Boleh tak kamu segera ke situ dan berikan sebuah ceramah tentang apa saja yang boleh kamu fikirkan dalam perjalanan?” Sambil bergegas ke sana, saya berdoa dengan bersungguh-sungguh. Saya tercungap-cungap apabila sampai.

Pada 1950-an dan 1960-an, jumlah sidang di kota New York bertambah dengan mendadak dan bilangan Dewan Perjumpaan yang disewa tidak mencukupi. Jadi dari tahun 1970 hingga 1990, tiga bangunan di Manhattan dibeli dan diubah suai untuk dijadikan tempat perjumpaan. Saya menjadi pengerusi jawatankuasa pembinaan bagi projek-projek ini. Saya menikmati banyak kenangan manis tentang cara Yehuwa memberkati sidang-sidang tersebut yang bekerjasama untuk membiayai dan membina Dewan Perjumpaan yang menjadi pusat ibadat sejati sehingga ke hari ini.

Perubahan dalam Kehidupan

Pada tahun 1957, semasa saya sedang berjalan ke tempat kerja melalui sebuah taman di antara tempat kediaman Bethel dan tempat percetakan, hujan mula turun. Saya ternampak seorang anggota Bethel baru yang cantik dan muda. Dia tidak mempunyai payung, jadi saya berkongsi payung dengannya. Itulah caranya saya bertemu dengan isteri saya, Marjorie. Kami telah berkhidmat kepada Yehuwa bersama-sama sejak perkahwinan kami pada tahun 1960. Pada September 2010, kami telah merayakan ulang tahun perkahwinan kami yang ke-50.

Sejurus selepas kami pulang dari berbulan madu, Saudara Knorr memberitahu saya bahawa saya telah ditugaskan sebagai seorang pengajar Sekolah Gilead. Ini merupakan suatu penghormatan yang besar! Dari tahun 1961 hingga 1965, lima kelas diadakan untuk memberikan latihan khusus dalam pengurusan pejabat cawangan dan kebanyakan pelajar terdiri daripada saudara Bethel. Pada musim luruh 1965, sekolah ini kembali seperti biasa; kelas diadakan selama lima bulan untuk melatih mubaligh.

 Pada 1972, saya mendapat tugas baru untuk menyelia Bahagian Surat-Menyurat. Penyelidikan yang dibuat ekoran soalan dan masalah yang diterima telah membantu saya lebih memahami ajaran Firman Tuhan dan menerapkan prinsip-prinsip Tuhan yang luhur semasa membantu orang lain.

Kemudian pada 1987, saya ditugaskan ke bahagian baru yang dipanggil Khidmat Maklumat Hospital. Seminar-seminar diaturkan untuk membantu para penatua dalam Jawatankuasa Perhubungan Hospital. Mereka diajar cara menjelaskan pandangan Bible mengenai darah kepada doktor, hakim, dan pekerja sosial. Satu masalah besar yang dihadapi ialah doktor memberikan darah kepada anak Saksi-Saksi Yehuwa tanpa kebenaran ibu bapa, dan sering kali mereka mendapatkan perintah mahkamah untuk berbuat demikian.

Semasa kami mencadangkan alternatif transfusi darah kepada doktor, biasanya mereka akan menjawab bahawa alternatif tersebut tidak ada atau terlalu mahal. Selalunya saya akan berkata kepada pakar bedah, “Tolong hulurkan tangan anda.” Dan apabila doktor itu menghulurkan tangannya, saya memberitahunya bahawa tangannya merupakan alternatif darah yang baik. Pujian ini mengingatkannya bahawa penggunaan pisau bedah yang cermat dapat mengurangkan pendarahan.

Selama dua dekad yang lalu, Yehuwa telah banyak memberkati usaha kita untuk mendidik para doktor dan hakim. Sikap mereka berubah dengan ketara apabila mereka memahami pegangan kita. Mereka sedar bahawa penyelidikan perubatan membuktikan bahawa alternatif transfusi darah memang berkesan dan bahawa terdapat banyak doktor serta hospital yang bekerjasama dengan kita dan rela merawat Saksi-Saksi.

Sejak 1996, saya dan Marjorie berkhidmat di Pusat Pendidikan Watchtower di Paterson, New York, yang terletak kira-kira 110 km di utara Brooklyn. Saya bekerja di Bahagian Kerja Penyebaran buat masa yang singkat, kemudian berpeluang mengajar saudara Bethel dan penyelia lawatan. Sepanjang 12 tahun yang lalu, saya telah kembali bertugas sebagai penyelia Bahagian Surat-Menyurat yang telah berpindah ke Paterson.

Cabaran Usia Lanjut

Sekarang umur saya sudah lebih daripada 80 tahun, dan khidmat Bethel semakin mencabar bagi saya. Saya telah melawan penyakit barah selama lebih daripada sepuluh tahun. Seperti Hizkia saya berasa bahawa usia saya dilanjutkan oleh Yehuwa. (Yes. 38:5) Kesihatan isteri saya juga semakin merosot, dan kami berdua berusaha untuk menangani penyakit Alzheimer yang dihidapinya. Marjorie merupakan penyebar yang mahir, pembimbing kepada pemuda pemudi, dan teman setia yang selalu membantu saya. Dia merupakan pelajar dan pengajar Bible yang baik. Ramai anak rohani kami masih menghubungi kami.

Mak Cik Mary meninggal pada Mac 2010 semasa dia berumur 87 tahun. Dia merupakan guru Bible yang sangat mahir dan telah membantu orang lain untuk mengambil pendirian demi penyembahan sejati. Dia telah melibatkan diri dalam aktiviti penyebaran sepenuh masa selama bertahun-tahun. Saya sangat bersyukur kepadanya kerana membantu saya mempelajari kebenaran serta menjadi hamba Yehuwa. Mary telah dikebumikan di sebelah suaminya yang pernah menjadi mubaligh di Israel. Saya yakin bahawa mereka berada dalam ingatan Yehuwa dan akan dibangkitkan kelak.

Saya telah berkhidmat kepada Yehuwa selama 67 tahun dan bersyukur atas berkat-berkat yang telah diterima. Melakukan kehendak Tuhan memang menjadi sumber kebahagiaan saya! Saya telah menaruh keyakinan pada rahmat Tuhan yang tidak selayaknya diterima, dan berharap untuk menikmati berkat yang dijanjikan Yesus: ‘Setiap orang yang sudah meninggalkan rumah, atau saudara lelaki, atau saudara perempuan, atau ibu bapa, atau anak-anak, atau ladang kerana aku, akan menerima seratus kali ganda apa yang sudah ditinggalkan, serta menerima hidup sejati dan kekal.’​Mat. 19:29, ABB.

[Nota kaki]

^ per. 11 Diterbitkan pada 1942 tetapi tidak dicetak lagi.

[Gambar pada muka surat 19]

Di ladang kapas datuk saya di Georgia, A.S., 1928

[Gambar pada muka surat 19]

Mak Cik Mary dan Pak Cik Talmadge

[Gambar pada muka surat 20]

Mary, Gladys, dan Grace

[Gambar pada muka surat 20]

Pembaptisan saya pada 14 Jun 1944

[Gambar pada muka surat 20]

Di Bahagian Kerja Penyebaran di Bethel

[Gambar pada muka surat 21]

Saya dan Mary di konvensyen antarabangsa 1958 di Stadium Yankee

[Gambar pada muka surat 21]

Bersama Marjorie pada hari perkahwinan kami

[Gambar pada muka surat 21]

Bersama Marjorie pada tahun 2008