Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bersukacitalah Bersama-sama!

Bersukacitalah Bersama-sama!

 Bersukacitalah Bersama-sama!

KEBAHAGIAAN dan sukacita makin susah dikecap. Kebanyakan orang tidak dapat berkongsi perkara positif dengan orang lain. Kehidupan di dunia moden ini, terutamanya di bandar besar, menyebabkan ramai menyisihkan diri daripada orang lain.

“Kesunyian adalah lumrah hidup,” kata Profesor Psikobiologi yang bernama Alberto Oliverio, dan “tidak boleh dinafikan bahawa kehidupan di bandar besar menggalakkan kesunyian. Sering kali, keadaan ini menyebabkan kita tidak mengendahkan kehidupan peribadi rakan sejawat, jiran, atau juruwang di pasar raya berdekatan.” Masalah kesunyian sebegini kerap kali mengakibatkan kemurungan.

Tetapi keadaan dan sikap orang Kristian adalah berbeza. Rasul Paulus menulis, “Hendaklah kamu sentiasa bersukacita.” (1 Tes. 5:16, ABB) Terdapat banyak sebab kita boleh bersukacita bersama rakan seiman: Kita menyembah Tuhan Yehuwa Yang Maha Esa; kita memahami kebenaran Bible; kita memiliki harapan untuk hidup selama-lamanya; dan kita juga boleh membantu orang lain untuk meraih berkat ini.​—Mzm. 106:4, 5; Yer. 15:16; Rm. 12:12.

Paulus menulis kepada orang Kristian di  Filipi, “Aku bersyukur dan bersukacita dengan kamu semua. Begitu juga kamu harus bersukacita kerana apa yang akan berlaku dan turut bergembira denganku.” (Flp. 2:17, 18, ABB) Perhatikan bahawa dalam kedua-dua ayat di atas, Paulus menekankan sukacita dan kegembiraan yang dinikmati bersama-sama. Sememangnya, orang Kristian sejati sering bersukacita dan rela berkongsi kegembiraan dengan orang lain.

Sudah tentu, orang Kristian harus melawan kecenderungan untuk menyisihkan diri. Sesiapa yang sengaja menyisihkan diri tidak dapat bersukacita bersama rakan seiman. Maka, bagaimanakah kita boleh mengikut nasihat Paulus dan bergembira bersama-sama rakan seiman seraya kita menyembah Yehuwa?​—Flp. 3:1.

Bersukacita Bersama Rakan Seiman

Semasa Paulus menulis suratnya kepada orang Kristian di Filipi, dia mungkin dipenjarakan di Roma kerana menjalankan aktiviti penyebaran. (Flp. 1:7; 4:22) Namun begitu, hal ini tidak memadamkan semangatnya untuk terus mengkhabarkan berita baik. Sebaliknya, dia bersukacita kerana dapat berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuhnya dan “menjadi seperti persembahan yang dicurahkan.” (Flp. 2:17) Sikap Paulus menunjukkan bahawa sukacita tidak bergantung kepada keadaan hidup. Walaupun ditahan dia berkata, “Aku akan terus bersukacita.”​—Flp. 1:18.

Paulus telah menubuhkan sidang di Filipi dan dia sangat mengasihi saudara saudari di sidang itu. Dia tahu bahawa mereka akan digalakkan jika mereka mendengar tentang sukacita yang dinikmatinya kerana menyembah Yehuwa. Jadi dia menulis, “Saudara-saudaraku, aku mahu kamu tahu bahawa semua perkara yang berlaku kepadaku sesungguhnya menyebabkan lebih banyak orang mendengar Berita Baik itu. Akibatnya, semua pengawal istana dan orang di sini tahu bahawa aku dipenjarakan kerana aku hamba Kristus.” (Flp. 1:12, 13, ABB) Dengan berkongsi pengalaman yang menggalakkan ini, Paulus sendiri dapat mengecap sukacita. Rakan-rakannya juga tentu telah bersukacita bersama-sama Paulus. Hal ini bermaksud mereka perlu meniru teladan baik Paulus dan tidak patut menjadi tawar hati kerana dia dipenjarakan. (Flp. 1:14; 3:17) Selain itu, mereka dapat terus berdoa baginya dan menawarkan bantuan dan sokongan yang diperlukan.​—Flp. 1:19; 4:14-16.

Adakah kita bersukacita seperti Paulus? Adakah kita berusaha untuk menumpukan perhatian pada aspek-aspek positif kehidupan serta aktiviti penyebaran? Semasa bergaul dengan  saudara saudari, kita boleh berkongsi pengalaman kerja penyebaran yang positif. Kita tidak perlu tunggu sehingga kita mendapat pengalaman yang luar biasa. Mungkin kita telah memberikan penyampaian atau penjelasan Bible yang berkesan. Atau kita menikmati perbincangan yang baik tentang suatu ayat Bible. Mungkin juga seseorang telah mengenali kita sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Dengan berkongsi pengalaman sebegini, kita dapat bersukacita bersama-sama.

Sampai hari ini, ramai dalam kalangan umat Yehuwa sedang membuat pengorbanan agar dapat menjalankan kerja penyebaran. Perintis, penyelia lawatan, anggota Bethel, mubaligh, dan pekhidmat antarabangsa menceburi khidmat sepenuh masa dan meraih sukacita kerana berbuat demikian. Adakah kita tumpang gembira? Semoga kita memperlihatkan penghargaan untuk saudara saudari ini. (Kol. 4:11) Apabila kita berkumpul semasa perjumpaan atau perhimpunan, kita dapat menggalakkan mereka. Kita juga boleh meneladani mereka dan mencari peluang untuk mendengar pengalaman mereka, mungkin dengan menjemput mereka ke rumah untuk makan bersama.​—Flp. 4:10.

Bersukacitalah Bersama Mereka yang Menghadapi Cubaan

Oleh sebab Paulus tabah menanggung penganiayaan dan cubaan, ketekadannya untuk mengekalkan kesetiaan kepada Tuhan telah diperkukuh. (Kol. 1:24; Yak. 1:2, 3) Paulus tahu bahawa orang Kristian di Filipi mungkin menempuh cubaan yang sama. Memandangkan teladannya dapat menggalakkan mereka, dia dapat bergembira dan bersukacita bersama mereka. Maka dia menulis, ‘Kamu sudah diberikan oleh Tuhan anugerah untuk mengabdikan diri kepada Kristus, bukan sahaja dengan percaya kepadanya, tetapi juga dengan menderita baginya. Sekarang kamu boleh menyertai aku dalam perjuanganku, perjuangan yang pernah kamu lihat aku lakukan dahulu. Sekarang kamu juga mendengar bahawa aku masih tetap berjuang.’​—Flp. 1:29, 30, ABB.

Dalam cara yang sama, orang Kristian hari ini ditentang kerana menjalankan kerja penyebaran. Adakalanya mereka mengalami kecederaan fizikal, tetapi sering kali cubaan yang dialami tidak ketara. Mungkin golongan murtad membuat tuduhan palsu, ahli keluarga menentang mereka, atau rakan sekolah mahupun rakan sekerja mencela mereka. Yesus telah berkata bahawa cubaan sedemikian tidak patut menyebabkan kita berasa tawar hati atau terperanjat. Sebaliknya, kita patut bersukacita! Yesus berkata, ‘Berbahagialah kamu apabila orang menghina, menganiaya, dan memfitnah kamu kerana kamu pengikutku. Bersukacitalah dan bergembiralah, kerana Tuhan sudah menyediakan pahala yang besar di syurga untuk kamu.’​—Mat. 5:11, 12, ABB.

Kita tidak patut terketar-ketar ketakutan apabila mendengar bahawa saudara saudari kita dianiaya dengan teruk di sesetengah negara. Sebaliknya, kita harus bersukacita kerana mereka gigih dan tabah menghadapi cubaan. Kita boleh memohon Yehuwa untuk membantu mereka agar terus tabah dan beriman. (Flp. 1:3, 4) Walaupun kita tidak boleh banyak membantu mereka, kita boleh membantu rakan seiman yang sedang menghadapi cubaan di sidang kita. Kita boleh bersikap prihatin dan menggalakkan mereka. Kita juga boleh mewujudkan peluang untuk bersukacita bersama-sama dengan mengundang mereka untuk menyertai malam Penyembahan Keluarga, serta menjalankan kerja penyebaran atau aktiviti riadah bersama-sama.

Sememangnya, kita mempunyai banyak sebab untuk bersukacita bersama-sama! Semoga kita melawan kecenderungan dunia ini untuk menyisihkan diri daripada orang lain. Kita patut terus berkongsi kegembiraan dengan saudara saudari kita. Jika kita berbuat demikian, kita akan menyumbang kepada kasih dan kesatuan sidang dan menikmati persaudaraan Kristian. (Flp. 2:1, 2) Ya, Paulus menggalakkan kita, ‘Semoga kamu sentiasa bersukacita kerana hidup bersatu dengan Tuan. Sekali lagi aku berkata: bersukacitalah!’​—Flp. 4:4, ABB.

[Sumber pada muka surat 6]

Globe: Courtesy of Replogle Globes