Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

PANDANGAN BIBLE

Menepati Masa

Menepati Masa

Orang yang selalu lewat pun mengakui pentingnya menepati masa. Bible memberikan nasihat yang bijaksana mengenai hal ini.

Mengapakah penting untuk menepati masa?

MENGAPA PENTING

Sesetengah orang mendapati bahawa tiba awal dapat mengurangkan stres. Orang yang menepati masa juga akan mendapat nama yang baik. Bagaimana?

Orang yang menepati masa ialah orang yang cekap. Jika anda menepati masa, hal itu menunjukkan bahawa andalah yang mengawal situasi, dan anda tidak membiarkan situasi menghalang anda daripada melakukan apa yang anda ingin lakukan.

Orang yang menepati masa ialah orang yang boleh diharapkan. Dalam masyarakat sekarang, orang sering memungkiri janji dan tidak memenuhi komitmen. Jadi, orang yang boleh dipercayai sangat dihargai dan dihormati oleh sahabat dan keluarga mereka. Majikan menghargai pekerja yang tiba tepat pada masanya dan menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditentukan. Majikan bahkan mungkin memberikan gaji yang lebih tinggi dan tanggungjawab yang lebih besar kepada pekerja yang boleh diharapkan.

NASIHAT BIBLE

Bible menasihati kita untuk menepati masa. Sebagai contoh, Bible menyatakan, “Segala sesuatu haruslah berlaku dengan baik dan teratur.” (1 Korintus 14:40) Apabila dua orang sudah berjanji untuk berjumpa pada masa dan di tempat tertentu, mereka patut menepati janji itu. Bible juga menyatakan, “Ada waktu yang tertentu untuk segala sesuatu. Ada waktu untuk setiap kejadian di bawah langit.” (Pengkhutbah 3:1) Ayat seterusnya menyatakan, “Ada waktu untuk menanam, dan ada waktu untuk mencabut.” (Pengkhutbah 3:2) Petani akan menanam pada waktu yang betul supaya mendapat hasil yang terbaik. Dalam kata lain, petani yang menepati masa ialah petani yang berjaya.

Bible menyatakan satu sebab yang lebih penting untuk menepati masa: Jika kita menepati masa, kita menunjukkan hormat kepada orang lain dan menghargai masa mereka. (Filipi 2:3, 4) Sebaliknya, jika kita asyik membuat orang lain menunggu kita, kita sebenarnya sedang mencuri masa mereka.

“Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.”​Filipi 2:4.

Apakah yang dapat anda lakukan supaya dapat menepati masa?

NASIHAT BIBLE

Bible menggalakkan kita untuk membuat rancangan awal. (Amsal 21:5) Jika anda sering terlewat, jadual anda mungkin terlalu penuh. Jadi, cubalah untuk mengurangkan aktiviti yang tidak penting dan yang membazirkan masa. Selain itu, jika anda mempunyai janji temu, peruntukkanlah lebih banyak masa untuk perjalanan anda dan berusahalah untuk tiba lebih awal. Dengan itu, anda masih dapat menepati masa walaupun berlakunya hal yang tidak terduga seperti kesesakan lalu lintas atau cuaca yang buruk.

Bible juga menggalakkan kita untuk bersikap rendah hati dan menyedari keterbatasan diri. (Amsal 11:2) Jangan membuat janji dan jadual yang tidak mampu anda penuhi. Jika anda membuat terlalu banyak janji, anda akan membuat diri anda dan orang lain kecewa dan stres.

Bible juga menggalakkan kita untuk mengenal pasti hal yang lebih penting dan menggunakan masa kita dengan sebaik-baiknya. (Efesus 5:15, 16; Filipi 1:10) Sebagai contoh, semasa menaiki kenderaan awam atau semasa menunggu orang lain, kita boleh membaca atau merancang kegiatan kita untuk hari itu.

“Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan.”​Amsal 21:5.