Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

DUNIA YANG PENUH MASALAH

4 | Lindungi Harapan Anda

4 | Lindungi Harapan Anda

MENGAPA PENTING

Kekhuatiran yang disebabkan masalah dunia dapat menjejaskan kesihatan fizikal dan emosi kita. Banyak orang berasa bahawa masalah dunia tidak akan berakhir. Bagaimanakah pandangan ini mempengaruhi mereka?

  • Ada yang enggan berfikir tentang masa depan.

  • Ada yang menyalahgunakan alkohol atau mengambil dadah agar tidak perlu fikir tentang masalah mereka.

  • Segelintir orang bahkan mahu mati. Mereka mungkin berfikir, “Apa gunanya terus hidup?”

Apa yang Perlu Anda Tahu

  • Sesetengah masalah yang anda hadapi hanyalah sementara dan boleh menjadi lebih baik.

  • Biarpun situasi anda tidak berubah, anda boleh mengambil langkah-langkah tertentu untuk menanganinya.

  • Bible memberi kita harapan sejati, iaitu penyelesaian kekal bagi masalah manusia.

Apa yang Dapat Anda Lakukan Sekarang

Bible kata: “Janganlah khuatir tentang hari esok, kerana hari esok mempunyai kekhuatirannya sendiri. Cukuplah masalah untuk hari ini.”​—Matius 6:34.

Jangan begitu risau tentang masa depan sehingga anda tidak dapat menjalankan tanggungjawab seharian anda. Hadapilah cabaran hidup sehari demi sehari.

Rasa khuatir tentang hal buruk yang mungkin berlaku hanya akan menggandakan stres anda dan menyebabkan harapan anda menjadi semakin malap.

Bible Menawarkan Harapan Sejati

Seorang penulis mazmur pada zaman kuno berdoa kepada Tuhan dengan berkata, “Firman-Mu bagaikan pelita yang membimbing langkahku, dan bagaikan cahaya yang menerangi jalanku.” (Mazmur 119:105) Mari kita lihat bagaimana Bible adalah seperti pelita atau cahaya:

Pada malam yang gelap, pelita dapat membimbing langkah kita. Begitu juga, Bible mempunyai nasihat yang dapat membimbing kita membuat keputusan yang bijak.

Cahaya dapat menerangi jalan kita agar kita dapat lihat lebih jauh ke depan. Begitu juga, Bible dapat membantu kita melihat bahawa kita ada harapan untuk masa depan yang lebih cerah.