Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 RENCANA PEMBELAJARAN 38

“Marilah kepadaku, . . . dan Aku Akan Menyegarkan Kamu”

“Marilah kepadaku, . . . dan Aku Akan Menyegarkan Kamu”

“Marilah kepadaku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat, dan aku akan menyegarkan kamu.”​—MAT. 11:28.

LAGU 17 “Aku Rela”

PENGENALAN *

1. Apakah janji Yesus di Matius 11:28-30?

YESUS telah menjanjikan sesuatu yang menakjubkan kepada para pendengarnya. “Marilah kepadaku,” katanya, “dan aku akan menyegarkan kamu.” (Baca Matius 11:28-30.) Kata-kata itu bukan janji kosong. Sebagai contoh, fikirkan bagaimana Yesus telah menyegarkan seorang wanita yang menderita akibat penyakit yang serius.

2. Bagaimanakah Yesus membantu seorang wanita yang sakit?

2 Wanita itu sudah terdesak. Selama 12 tahun, dia dirawat oleh banyak doktor, tetapi penyakitnya tidak sembuh, dan dia dianggap najis di sisi Hukum Musa. (Im. 15:25) Apabila dia mendengar bahawa Yesus dapat menyembuhkan penyakit, dia pergi mencari Yesus. Setelah menemui Yesus, dia menyentuh hujung jubah luar Yesus, lalu penyakitnya segera hilang! Namun, Yesus bukan sahaja menyembuhkan wanita itu. Dia juga membuat wanita itu berasa dikasihi dan dihormati. Misalnya, dia memanggil wanita itu “anakku.” Sudah pasti wanita itu berasa disegarkan dan dikuatkan!​—Luk. 8:43-48.

3. Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab?

3 Perhatikan bahawa wanita itu mengambil inisiatif untuk pergi kepada Yesus. Hari ini, kita juga mesti mencurahkan usaha untuk ‘pergi kepada’ Yesus. Pada zaman ini, Yesus tidak akan melakukan mukjizat untuk menyembuhkan penyakit orang yang ‘pergi kepadanya.’ Namun, dia masih menjemput kita, “Marilah kepadaku, . . . dan aku akan menyegarkan kamu.” Dalam rencana ini, kita akan menjawab lima soalan berikut: Bagaimanakah kita dapat ‘pergi kepada’ Yesus? Apakah yang dimaksudkan Yesus semasa dia berkata, “Pikullah kuk  aku”? Apakah yang dapat kita belajar daripada Yesus? Mengapakah kerja yang diberinya dapat menyegarkan kita? Bagaimanakah kita dapat terus disegarkan semasa memikul kuk Yesus?

“MARILAH KEPADAKU”

4-5. Apakah beberapa cara untuk ‘pergi kepada’ Yesus?

4 Salah satu cara untuk ‘pergi kepada’ Yesus adalah dengan mempelajari seberapa banyak yang mungkin tentang kata-kata dan perbuatannya daripada kisah Bible. (Luk. 1:1-4) Itulah tanggungjawab kita. Tiada sesiapa pun yang dapat melakukannya bagi kita. Kita juga ‘pergi kepada’ Yesus semasa kita memilih untuk dibaptis dan menjadi pengikut Kristus.

5 Satu lagi cara untuk ‘pergi kepada’ Yesus adalah dengan mencari para penatua semasa kita memerlukan bantuan. Merekalah “kurnia berupa manusia” yang digunakan Yesus untuk menjaga kawanannya. (Ef. 4:7, 8, 11; Yoh. 21:16; 1 Ptr. 5:1-3) Kita harus mengambil inisiatif untuk meminta bantuan mereka, kerana mereka tidak dapat membaca fikiran kita dan mengetahui keperluan kita. Seorang saudara yang bernama Julian berkata, “Saya perlu meninggalkan Bethel kerana masalah kesihatan, dan seorang kawan mencadangkan agar saya meminta kunjungan penggembalaan. Mula-mulanya saya tidak fikir bahawa saya perlu dikunjungi. Tetapi apabila saya meminta bantuan dan dikunjungi, saya mendapati bahawa itulah salah satu kurniaan terbaik yang pernah saya terima.” Seperti dua orang penatua yang mengunjungi Julian, para penatua yang setia dapat membantu kita mengenali “fikiran Kristus.” Mereka akan menolong kita supaya kita memahami dan meniru fikiran dan sikap Yesus. (1 Kor. 2:16; 1 Ptr. 2:21) Bantuan sebegini ialah salah satu pemberian yang terbaik daripada para penatua.

“PIKULLAH KUK AKU”

6. Apakah maksud Yesus semasa dia berkata, “Pikullah kuk aku”?

6 Semasa Yesus berkata, “Pikullah kuk aku,” dia mungkin bermaksud, “Patuhilah aku,” atau “Marilah kita memikul kuk bersama-sama dan bekerja untuk Yehuwa.” Kedua-dua ungkapan ini menunjukkan bahawa kita perlu mencurahkan usaha.

7. Menurut Matius 28:18-20, apakah kerja yang diberikan kepada kita? Kita yakin akan hal apa?

7 Kita menerima jemputan Yesus semasa kita membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis. Jemputan itu terbuka kepada semua, dan Yesus tidak akan menolak sesiapa yang benar-benar ingin menyembah Tuhan. (Yoh. 6:37, 38) Semua pengikut Kristus diberi penghormatan untuk melakukan kerja yang diberikan Yehuwa kepada Yesus. Kita yakin bahawa Yesus akan sentiasa menyertai kita dan membantu kita melaksanakan kerja itu.​—Baca Matius 28:18-20.

“BELAJARLAH DARIPADAKU”

Segarkan orang lain seperti yang dilakukan Yesus (Lihat perenggan 8-11) *

8-9. Mengapakah orang yang rendah hati tertarik kepada Yesus? Apakah soalan-soalan yang dapat kita fikirkan?

8 Orang yang rendah hati tertarik kepada Yesus. (Mat. 19:13, 14; Luk. 7:37, 38) Mengapa? Perhatikan perbezaan antara Yesus dengan orang Farisi. Orang Farisi sombong dan tidak pengasih. (Mat. 12:9-14) Tetapi Yesus pula ramah dan rendah hati. Orang Farisi suka meninggikan diri dan membanggakan kedudukan sendiri, tetapi Yesus mengajar murid-muridnya untuk menjauhi sikap ini dan menganggap diri sebagai hamba. (Mat. 23:2, 6-11) Orang Farisi mengawal orang lain dengan menakutkan mereka. (Yoh. 9:13, 22) Tetapi Yesus menyegarkan orang lain melalui perbuatan yang pengasih dan kata-kata yang lembut.

9 Adakah anda meniru teladan Yesus? Tanyalah diri, “Adakah orang lain menganggap saya  sebagai orang yang lemah lembut dan rendah hati? Adakah saya rela melakukan kerja yang remeh untuk membantu orang lain? Adakah saya baik hati terhadap orang lain?”

10. Apakah suasana yang diwujudkan oleh Yesus untuk orang yang bekerja bersamanya?

10 Yesus mewujudkan suasana yang damai dan selesa untuk orang yang bekerja bersamanya, dan dia suka melatih mereka. (Luk. 10:1, 19-21) Sikapnya membuat murid-muridnya berasa selesa untuk menanya soalan, dan Yesus juga ingin mendengar pendapat mereka. (Mat. 16:13-16) Seperti tanaman di nurseri yang dijaga dengan rapi lalu bertumbuh dengan subur, murid-murid Yesus memperhatikan ajarannya, bertumbuh secara rohani, dan menghasilkan banyak perbuatan yang baik.

Bersikap ramah dan mudah dihampiri

Berkhidmat dengan bersemangat

Bersikap rendah hati dan rajin *

11. Apakah soalan-soalan yang dapat kita fikirkan?

11 Jika anda diberi kuasa, tanyalah diri, “Suasana apakah yang saya wujudkan di tempat kerja atau di rumah? Adakah saya mewujudkan suasana yang damai? Adakah sikap saya membuat orang lain berasa selesa untuk menanya soalan? Adakah saya sudi mendengar pendapat mereka?” Janganlah menjadi seperti orang Farisi. Mereka marah ketika pandangan mereka dipersoalkan, dan mereka menganiaya orang yang tidak sependapat dengan mereka.​—Mrk. 3:1-6; Yoh. 9:29-34.

“JIWAMU AKAN PULIH SEGAR”

12-14. Mengapakah kerja yang diberikan Yesus dapat menyegarkan kita?

12 Mengapakah kerja yang diberikan Yesus dapat menyegarkan kita? Terdapat banyak sebab, tetapi kita akan membincangkan beberapa sahaja.

13 Kita mempunyai penyelia yang terbaik. Yehuwa, Penyelia Tertinggi kita, bukanlah tuan yang kejam atau tidak tahu berterima kasih. Sebaliknya, Dia menghargai usaha kita. (Ibr. 6:10) Dia juga memberi kita kuasa yang diperlukan supaya kita dapat melaksanakan tanggungjawab kita. (2 Kor. 4:7; Gal. 6:5, nota kaki) Yesus, Raja kita, memimpin kita melalui teladannya. (Yoh. 13:15) Para penatua yang menggembala kita pula berusaha meniru Yesus, “gembala agung kita.” (Ibr. 13:20; 1 Ptr. 5:2) Semasa menjaga kita, mereka berusaha untuk menunjukkan sikap baik hati, menggalakkan kita, dan melindungi kita dengan berani.

14 Kita mempunyai rakan yang terbaik. Tiada orang lain yang mempunyai sahabat atau kerja yang begitu istimewa seperti kita. Fikirkan: Saudara saudari kita berpegang pada prinsip moral yang paling luhur, tetapi mereka tidak menganggap diri alim. Mereka sangat berbakat, tetapi mereka rendah hati dan menganggap orang lain lebih baik daripada diri mereka. Mereka memandang kita, bukan sahaja sebagai rakan sekerja, tetapi juga sebagai sahabat. Mereka begitu mengasihi kita sehingga rela mati demi kita!

15. Apakah sepatutnya perasaan kita terhadap kerja yang kita lakukan?

15 Kita mempunyai kerja yang terbaik. Kita mengajar orang kebenaran tentang Yehuwa dan mendedahkan dusta Si Iblis. (Yoh. 8:44) Syaitan membebani orang dengan bermacam-macam dusta. Contohnya, dia mahu kita percaya bahawa Yehuwa tidak akan mengampunkan dosa kita dan bahawa Yehuwa tidak mungkin mengasihi kita. Dusta sebegini memang menghancurkan semangat orang! Namun, kebenarannya ialah Yehuwa amat mengasihi kita semua, dan apabila kita ‘pergi kepada’ Kristus, dosa kita akan diampunkan. (Rm. 8:32, 38, 39) Tidakkah kita bersukacita kerana dapat mengajar orang untuk bergantung pada Yehuwa dan meningkatkan mutu kehidupan mereka?

 TERUSLAH DISEGARKAN SEMASA MEMIKUL KUK YESUS

16. Bagaimanakah tanggungjawab yang diberikan Yesus kepada kita berbeza daripada tanggungjawab kita yang lain?

16 Tanggungjawab yang diberikan Yesus kepada kita berbeza daripada tanggungjawab kita yang lain. Misalnya, setelah bekerja sehari suntuk, ramai orang berasa penat dan tidak puas. Tetapi setelah berkhidmat untuk Yehuwa dan Kristus, kita berasa sangat puas kerana berkat yang kita terima jauh lebih besar daripada usaha yang kita curahkan. Fikirkan contoh ini: Ada kalanya, kita mungkin letih sekali setelah pulang dari kerja dan harus memaksa diri untuk menghadiri perjumpaan. Tetapi selepas perjumpaan, kita sering disegarkan dan berasa lebih bertenaga. Kita juga merasai kesegaran yang sama setelah berusaha untuk menginjil dan membuat pembelajaran peribadi.

17. Apakah yang harus kita sedari? Apakah yang harus kita elakkan?

17 Kita mesti sedar bahawa kita masing-masing mempunyai tenaga yang terhad. Oleh itu, kita harus menggunakannya dengan bijak. Sebagai contoh, kita tidak ingin membazirkan tenaga kita untuk mengumpulkan harta benda. Perhatikan jawapan Yesus kepada seorang pemuda yang kaya, yang bertanya, “Apakah yang mesti aku lakukan agar aku dapat meraih kehidupan yang kekal?” Lelaki itu sudah pun mematuhi Hukum, dan dia tentu seorang yang baik, kerana catatan Markus menyatakan bahawa Yesus “memandang lelaki itu dengan penuh kasih.” Maka Yesus memberikan jemputan ini: “Pergilah dan juallah harta milik kamu . . . Kemudian, marilah dan jadilah pengikutku.” Pemuda itu mahu mengikut Yesus, tetapi dia “memiliki banyak harta” dan tidak sanggup meninggalkan harta itu. (Mrk. 10:17-22) Akhirnya, dia menolak kuk Yesus dan terus menjadi “hamba Kekayaan.” (Mat. 6:24) Jika anda ialah pemuda itu, apakah pilihan anda?

18. Dari masa ke masa, apakah yang harus kita lakukan, dan mengapa?

18 Dari masa ke masa, periksalah keutamaan hidup kita untuk memastikan agar kita sedang menggunakan tenaga sendiri dengan bijak. Seorang lelaki muda yang bernama Mark berkata, “Selama bertahun-tahun, saya sangka saya hidup sederhana. Saya seorang perintis, tetapi saya asyik berfikir tentang wang dan cara untuk mencari kehidupan yang lebih selesa. Saya tertanya-tanya mengapa saya tidak berasa puas. Kemudian, barulah saya sedar bahawa kebanyakan masa dan tenaga saya digunakan untuk mengejar kepentingan diri, tetapi yang diberikan kepada Yehuwa baki sahaja.” Mark mengubah fikiran dan gaya hidupnya supaya dia dapat melakukan lebih banyak kerja untuk Yehuwa. “Kadangkala, saya risau tentang wang,” kata Mark, “tetapi dengan adanya bantuan Yehuwa dan sokongan Yesus, saya dapat mengatasi cabaran itu.”

19. Mengapakah kita mesti memiliki pandangan yang sewajarnya?

19 Jika kita ingin terus disegarkan semasa memikul kuk Yesus, terdapat tiga perkara yang mesti kita lakukan. Pertama, teruslah memiliki pandangan yang sewajarnya. Kita sedang melakukan kerja Yehuwa, maka kita mesti melakukannya menurut cara Yehuwa. Kita ialah pekerja, dan Yehuwa ialah Tuan kita. (Luk. 17:10) Jika kita cuba melakukan kerja Yehuwa mengikut cara kita, kita hanya akan menyusahkan diri. Seekor lembu jantan yang kuat pun mungkin cedera dan penat sekiranya lembu itu asyik cuba mengikut jalan sendiri dan melawan arahan daripada tuannya. Namun, jika kita mengikut bimbingan Yehuwa, kita dapat mengatasi apa sahaja halangan dan meraih hasil yang luar biasa. Ingatlah, tiada sesiapa pun yang dapat  menghalang kehendak Yehuwa daripada dilaksanakan!​—Rm. 8:31; 1 Yoh. 4:4.

20. Apakah sepatutnya niat kita semasa memikul kuk Yesus?

20 Kedua, kita mesti memiliki niat yang betul. Ingatlah bahawa matlamat kita adalah untuk memuliakan Yehuwa, Bapa kita yang pengasih. Pada abad pertama, sesetengah orang mengikut Yesus kerana mereka tamak atau mementingkan diri, tetapi tidak lama kemudian, mereka hilang rasa sukacita dan tidak lagi mahu memikul kuk Yesus. (Yoh. 6:25-27, 51, 60, 66; Flp. 3:18, 19) Namun, pengikut Yesus yang mengasihi Tuhan dan orang lain telah memikul kuk itu dengan gembira seumur hidup mereka di bumi, dan mereka mempunyai harapan untuk berkhidmat bersama Kristus di syurga. Seperti mereka, untuk terus bersukacita semasa memikul kuk Yesus, kita mesti memiliki niat yang betul.

21. Menurut Matius 6:31-33, kita dapat percaya bahawa Yehuwa akan melakukan apa?

21 Ketiga, percayalah bahawa Yehuwa akan menyertai kita. Kita sudah memilih haluan hidup sebagai hamba Yehuwa, dan hal ini bermaksud kita perlu bekerja keras dan membuat banyak pengorbanan. Yesus telah mengingatkan kita bahawa kita akan dianiaya, tetapi kita dapat percaya bahawa Yehuwa akan memberi kita kekuatan untuk menghadapi apa-apa cabaran. Semakin banyak cabaran yang kita atasi dengan bantuan Yehuwa, semakin teguh hubungan kita dengan-Nya. (Yak. 1:2-4) Kita juga dapat percaya bahawa Yehuwa akan menjaga keperluan kita, bahawa Yesus akan menggembala kita, dan bahawa saudara saudari akan menggalakkan kita. (Baca Matius 6:31-33; Yoh. 10:14; 1 Tes. 5:11) Ya, kita memiliki segala yang diperlukan untuk tetap tabah!

22. Kita dapat bersyukur akan hal apa?

22 Wanita yang disembuhkan oleh Yesus itu telah disegarkan dengan segera. Namun, untuk disegarkan buat selama-lamanya, dia harus menjadi murid Kristus yang setia. Fikirkan, jika wanita itu memilih untuk memikul kuk Yesus, apa sahaja pengorbanan yang dilakukannya pasti membawa berkat yang amat besar! Dia bahkan mungkin berpeluang berkhidmat bersama Yesus di syurga! Maka, tidak kira kita berpeluang untuk hidup kekal di syurga atau di bumi, kita pasti sangat bersyukur kerana Yesus telah memberikan jemputan ini: “Marilah kepadaku!”

LAGU 13 Kristus, Suri Teladan Kita

^ per. 5 Yesus menjemput kita untuk pergi kepadanya. Bagaimanakah kita dapat menerima jemputannya? Rencana ini akan menjawab soalan itu dan mengingatkan kita tentang caranya kita disegarkan apabila kita bekerja bersama Kristus.

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: Yesus menggunakan pelbagai cara untuk menyegarkan orang lain.

^ per. 66 KETERANGAN GAMBAR: Seperti Yesus, seorang saudara menyegarkan orang lain menerusi pelbagai cara.