Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

‘Firman Tuhan Kita Kekal Selama-lamanya’

‘Firman Tuhan Kita Kekal Selama-lamanya’

‘Rumput menjadi kering dan bunga pun layu, tetapi firman Tuhan kita kekal selama-lamanya.’​YES. 40:8.

LAGU: 95, 97

1, 2. (a) Bagaimanakah kehidupan kita tanpa Bible? (b) Apakah yang diperlukan untuk meraih manfaat daripada Bible?

DAPATKAH anda bayangkan kehidupan sendiri tanpa Bible? Anda tidak akan mendapat nasihat yang berguna untuk kehidupan seharian atau jawapan yang memuaskan kepada soalan tentang Tuhan, kehidupan, dan masa depan. Anda juga tidak akan tahu bagaimana Yehuwa memperlakukan umat manusia pada masa lalu.

2 Kita bersyukur kerana tidak menghadapi situasi sebegitu. Yehuwa menyediakan Firman-Nya Bible, dan Dia meyakinkan kita bahawa mesejnya kekal selama-lamanya. Rasul Petrus telah memetik kata-kata di Yesaya 40:8. Walaupun ayat itu bukannya merujuk kepada Bible secara spesifik, ayat itu merujuk kepada mesej Bible. (Baca 1 Petrus 1:24, 25.) Jika kita mempunyai Bible dalam bahasa yang kita fahami, kita akan meraih manfaat yang amat besar. Mereka yang mengasihi Firman Tuhan sedar akan hal ini. Selama berabad-abad, orang yang tulus hati telah menempuh pelbagai rintangan untuk menterjemahkan dan mengedarkan Bible. Keinginan mereka itu selaras dengan kehendak Tuhan yang “menghendaki agar  segala macam orang diselamatkan dan memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.”​—1 Tim. 2:3, 4.

3. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Dalam rencana ini kita akan membincangkan bagaimana Firman Tuhan terpelihara meskipun menghadapi (1) perubahan dalam bahasa, (2) perkembangan politik yang mempengaruhi bahasa seharian, dan (3) tentangan terhadap kerja terjemahan. Selepas perbincangan ini, kita akan lebih menghargai Firman Tuhan dan lebih mengasihi Pengarang Bible.​—Mi. 4:2; Rm. 15:4.

PERUBAHAN DALAM BAHASA

4. (a) Bagaimanakah bahasa berubah mengikut peredaran masa? (b) Apakah bukti yang menunjukkan bahawa Tuhan tidak berat sebelah, dan apakah perasaan anda tentang hal ini?

4 Bahasa berubah mengikut peredaran masa. Maksud sesetengah perkataan atau ungkapan mungkin berubah sama sekali. Barangkali anda boleh memikirkan beberapa perubahan dalam bahasa yang anda tuturkan. Hal yang sama terjadi kepada bahasa Ibrani dan Yunani, iaitu bahasa yang digunakan untuk menulis Bible. Bahasa Ibrani dan Yunani moden sangat berbeza daripada yang digunakan pada zaman Bible. Maka, semua orang yang ingin memahami Firman Tuhan, bahkan mereka yang tahu bahasa Ibrani atau Yunani moden, memerlukan satu terjemahan Bible. Ada orang berasa bahawa mereka perlu belajar bahasa Ibrani dan Yunani kuno supaya dapat membaca Bible dalam bahasa asal. Namun, cara ini tidak begitu berkesan. * Kita bersyukur kerana seluruh atau sebahagian Bible kini telah diterjemahkan ke dalam lebih daripada 3,200 bahasa. Jelaslah, Yehuwa ingin orang daripada “setiap bangsa, suku, bahasa, dan kaum” mendapat manfaat daripada Firman-Nya. (Baca Wahyu 14:6.) Tidakkah hal ini mendorong anda untuk menghampiri Tuhan kita yang adil dan pengasih?​—Kis. 10:34.

5. Mengapakah Bible King James Version dianggap penting?

5 Memandangkan bahasa akan berubah mengikut aliran masa, suatu terjemahan Bible yang mudah difahami ketika baru dikeluarkan, mungkin kehilangan kelebihan itu beberapa lama kemudian. Fikirkan sebuah contoh terjemahan Bible bahasa Inggeris, iaitu King James Version, yang dihasilkan buat kali pertama pada tahun 1611. Itulah salah satu Bible bahasa Inggeris yang paling popular, dan terjemahan itu meninggalkan kesan yang mendalam kepada bahasa Inggeris. * Terjemahan ini tidak menonjolkan nama “Yehuwa” dan hanya menggunakannya di beberapa ayat. Meskipun demikian, apabila nama Tuhan muncul dalam Kitab Ibrani yang asal, terjemahan itu menggantikannya dengan “TUHAN” dalam huruf besar. Cetakan-cetakan terjemahan itu yang seterusnya juga menggunakan “TUHAN” dalam beberapa ayat di Kitab Yunani Kristian. Maka boleh dikatakan bahawa King James Version mengakui bahawa nama Tuhan memang muncul dalam Perjanjian Baharu.

6. Mengapakah kita menghargai Bible Terjemahan Dunia Baharu?

6 Namun, kebanyakan perkataan dalam King James Version sudah jarang digunakan  pada masa kini. Begitu juga dengan terjemahan Bible awal dalam bahasa lain. Oleh itu, kita bersyukur kerana dapat memiliki Bible Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa moden. Kini, sebahagian atau keseluruhan terjemahan ini tersedia dalam lebih daripada 150 bahasa. Maka, mesej dalam Firman Tuhan dapat menyentuh hati banyak pembaca dari serata dunia. (Mzm. 119:97) Selain itu, Terjemahan Dunia Baharu meletakkan semula nama Tuhan seperti yang terdapat dalam naskhah asal.

BAHASA SEHARIAN

7, 8. (a) Mengapakah banyak orang Yahudi pada abad ketiga SM tidak memahami Kitab Ibrani? (b) Apakah itu Septuagint Yunani?

7 Kadangkala perkembangan politik telah mempengaruhi bahasa yang menjadi lingua franca atau bahasa seharian. Bagaimanakah Tuhan memastikan perubahan seperti ini tidak menghalang manusia daripada memahami firman-Nya? Mari kita lihat apa yang dilakukan-Nya pada masa dahulu. Tiga puluh sembilan buku pertama dalam Bible ditulis oleh orang Israel, atau Yahudi. Tuhan telah mengamanahkan firman-Nya kepada mereka. (Rm. 3:1, 2) Pada asalnya, firman Tuhan ditulis dalam bahasa Ibrani atau Aram. Namun, pada abad ketiga SM, banyak orang Yahudi tidak lagi memahami bahasa Ibrani. Mengapa? Kerana Iskandar Agung telah meluaskan Empayar Yunani semasa penaklukannya. (Dan. 8:5-7, 20, 21) Oleh itu, bahasa Yunani menjadi bahasa yang biasa digunakan oleh rakyatnya, termasuk orang Yahudi yang tercerai-berai ke merata tempat. Memandangkan banyak orang Yahudi tidak lagi memahami Kitab Ibrani, apakah yang dapat dilakukan?

8 Kira-kira pada pertengahan abad ketiga SM, lima buku pertama Bible diterjemahkan daripada bahasa Ibrani ke dalam bahasa Yunani. Buku-buku yang selebihnya selesai diterjemahkan pada abad kedua SM. Terjemahan ini kemudiannya dikenali sebagai Septuagint Yunani. Itulah kali pertama seluruh Kitab Ibrani diterjemahkan.

9. (a) Bagaimanakah Septuagint dan terjemahan Bible masa awal membantu orang yang membaca Firman Tuhan? (b) Apakah ayat kegemaran anda dalam Kitab Ibrani?

9 Dengan adanya Septuagint, orang Yahudi dan orang lain yang menuturkan bahasa Yunani dapat memahami Kitab Ibrani. Bayangkanlah betapa gembiranya mereka apabila dapat membaca dan mendengar Firman Tuhan dalam bahasa ibunda mereka! Kemudian, beberapa bahagian Bible telah diterjemahkan ke dalam bahasa yang lazim digunakan, seperti bahasa Suryani, Gotik, dan Latin. Dengan adanya Ayat-Ayat Suci dalam bahasa yang dapat difahami, sudah tentu ramai yang mempunyai ayat kegemaran sendiri, seperti kita hari ini. (Baca Mazmur 119:162-165.) Ya, Firman Tuhan akan kekal meskipun bahasa seharian berubah.

TENTANGAN TERHADAP TERJEMAHAN BIBLE

10. Mengapakah kebanyakan orang tidak dapat membaca Bible pada zaman John Wycliffe?

10 Ada kalanya, banyak pemimpin yang berkuasa cuba menghalang orang daripada membaca Bible. Namun, sesetengah orang tidak tunduk kepada tentangan sebegini. Contohnya, pada abad ke-14, seorang ahli teologi yang bernama John Wycliffe percaya bahawa setiap orang harus berpeluang membaca Bible. Namun pada masa itu, kebanyakan orang di England tidak dapat membaca Bible.  Mengapa? Mereka tidak mampu membelinya kerana Bible yang disalin dengan tangan sangat mahal. Lagipun, kebanyakan orang buta huruf. Walaupun mereka pernah mendengar pembacaan Bible di gereja, mereka mungkin tidak memahaminya kerana Bible Gereja (Vulgate) ditulis dalam bahasa Latin, bahasa yang jarang digunakan pada masa itu. Jadi, bagaimanakah kebenaran Bible yang berharga dapat disingkapkan?​—Ams. 2:1-5.

John Wycliffe dan orang lain ingin menyebarkan Firman Tuhan kepada setiap orang. Adakah anda juga mempunyai keinginan sedemikian? (Lihat perenggan 11)

11. Apakah kesan Bible Wycliffe terhadap orang ramai?

11 Pada tahun 1382, terjemahan Bible bahasa Inggeris yang kemudiannya dikenali sebagai Bible Wycliffe telah dihasilkan. Bible ini amat digemari oleh pengikut Wycliffe. Para penginjil yang mengembara, yang dikenali sebagai Lollard, ingin mesej Tuhan tersebar ke dalam minda dan hati orang biasa. Maka, mereka berjalan dari kampung ke kampung di serata England untuk membacakan petikan Bible Wycliffe kepada orang yang ditemui dan memberikan salinan Bible yang ditulis dengan tangan. Usaha mereka telah membangkitkan semula minat orang ramai terhadap Firman Tuhan.

12. Apakah reaksi pihak gereja terhadap Wycliffe dan kerjanya?

12 Apakah reaksi pihak gereja? Mereka membenci Wycliffe, Biblenya, dan pengikutnya. Para pemimpin agama menganiaya golongan Lollard. Mereka mencari dan memusnahkan seberapa banyak Bible Wycliffe yang mungkin. Selepas Wycliffe meninggal, mereka mengisytiharkannya sebagai penyebar ajaran sesat. Oleh itu, pihak gereja mengarahkan agar tulang-tulang Wycliffe digali, dibakar, dan dibuang ke dalam Sungai Swift. Tetapi pihak gereja tidak dapat menghalang Firman Tuhan daripada tersebar kepada orang yang ingin membaca dan memahaminya. Berabad-abad kemudian, banyak orang di Eropah dan di negara lain mula menterjemah dan mengedarkan Bible kepada orang biasa.

“AKU MENGAJAR KAMU APA YANG BAIK BAGI KAMU”

13. Kita boleh yakin akan hal apa? Bagaimanakah hal ini mengukuhkan iman kita?

13 Orang Kristian hari ini tidak menganggap bahawa Septuagint, Bible Wycliffe, Bible King James Version, dan terjemahan lain diilhami oleh Tuhan.  Namun, setelah mengkaji sejarah-sejarah tentang terjemahan Bible, kita dapat yakin akan hal ini: Firman Tuhan kekal selama-lamanya seperti yang dijanjikan oleh Yehuwa. Tidakkah hal ini mengukuhkan iman anda bahawa janji-janji Yehuwa yang lain pasti akan menjadi kenyataan?​—Yos. 23:14

14. Bagaimanakah Firman Tuhan dapat menguatkan kasih kita terhadap-Nya?

14 Apabila kita melihat bagaimana Yehuwa memelihara Firman-Nya sehingga hari ini, hal ini menguatkan iman dan kasih kita kepada-Nya. * Mengapakah Dia menyediakan dan memelihara Firman-Nya? Hal ini kerana Dia mengasihi kita dan ingin mengajar kita tentang apa yang baik bagi kita. (Baca Yesaya 48:17, 18.) Oleh itu, kita terdorong untuk mengasihi-Nya dan mentaati perintah-Nya.​—1 Yoh. 4:19; 5:3.

15. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya?

15 Oleh sebab kita sangat menghargai Firman Tuhan, kita ingin mendapat manfaat yang sepenuhnya daripada Bible. Bagaimanakah kita boleh meraih manfaat daripada pembacaan Bible? Bagaimanakah kita dapat menggunakan Firman Tuhan dalam aktiviti penyebaran? Bagaimanakah para saudara yang mengajar dari pentas dapat menjadikan Bible tunjang penyampaian mereka? Kita akan menjawab soalan-soalan ini dalam rencana seterusnya.

^ per. 4 Lihat rencana “Perlukah Kita Belajar Bahasa Ibrani dan Yunani?” dalam majalah Menara Pengawal 1 November 2009 dalam bahasa Indonesia.

^ per. 5 Sesetengah simpulan bahasa dalam bahasa Inggeris berasal daripada Bible King James Version.

^ per. 14 Lihat kotak “ Lihatlah Sendiri!