Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 RENCANA PEMBELAJARAN 41

Tetap Setia semasa “Kesengsaraan Besar”

Tetap Setia semasa “Kesengsaraan Besar”

“Kasihilah Yehuwa, hai umat-Nya yang setia! Yehuwa melindungi orang yang setia.”​—MZM. 31:23.

LAGU 129 Terus Bertahan Sampai Akhir

PENGENALAN *

1-2. (a) Apakah yang akan diumumkan oleh para pemimpin dunia tidak lama lagi? (b) Soalan-soalan apakah yang perlu dijawab?

BAYANGKAN para pemimpin dunia baru sahaja mengumumkan bahawa “semuanya damai dan selamat.” Mereka mungkin berkata bahawa dunia sudah sangat aman, dan mereka ingin kita percaya bahawa mereka mampu menyelesaikan semua masalah dunia. Tetapi apa yang bakal berlaku seterusnya langsung di luar kawalan mereka. Mengapa? Bible menubuatkan bahawa “kebinasaan akan tiba-tiba menimpa mereka . . . Mereka sama sekali tidak dapat melepaskan diri.”​—1 Tes. 5:3.

2 Apakah yang akan terjadi semasa “kesengsaraan besar”? Apakah yang Yehuwa ingin kita lakukan pada masa itu? Apakah yang perlu kita lakukan sekarang agar dapat tetap setia semasa kesengsaraan besar? Soalan-soalan yang penting ini perlu dijawab.—Mat. 24:21.

APAKAH YANG AKAN TERJADI SEMASA “KESENGSARAAN BESAR”?

3. Menurut Wahyu 17:5, 15-18, bagaimanakah Tuhan akan memusnahkan “Babilon Besar”?

3 Baca Wahyu 17:5, 15-18. “Babilon Besar” akan dimusnahkan! Seperti yang disebut tadi, para pemimpin dunia tidak dapat mengawal apa yang terjadi ketika itu. Mengapa? Kerana “Tuhan sendiri [akan] menanam rancangan untuk melaksanakan tujuan-Nya dalam hati mereka.” Apakah tujuan Tuhan? Untuk memusnahkan semua agama palsu di dunia, termasuk agama Kristian palsu. * Tuhan akan menanamkan tujuan-Nya  itu dalam hati “10 tanduk” pada “binatang buas yang berwarna merah marak.” Sepuluh tanduk itu melambangkan semua kerajaan yang menyokong “binatang buas,” iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. (Why. 17:3, 11-13; 18:8) Apabila kerajaan-kerajaan itu menyerang agama palsu, itulah tanda bahawa kesengsaraan besar sudah bermula. Peristiwa itu akan menggemparkan seluruh dunia.

4. (a) Apakah sebab yang mungkin diberikan oleh para pemimpin dunia untuk menyerang Babilon Besar? (b) Apakah yang mungkin dilakukan oleh para penganut agama-agama itu?

4 Kita tidak tahu sebab yang akan diberikan oleh para pemimpin dunia untuk menyerang Babilon Besar. Mereka mungkin mengatakan bahawa agama-agama dunia menghalang kedamaian dan sentiasa mencampuri urusan politik, atau bahawa organisasi agama memiliki terlalu banyak harta dan kekayaan. (Why. 18:3, 7) Semasa kerajaan-kerajaan menyerang agama palsu, semua organisasi agama palsu akan dimusnahkan, tetapi nampaknya bukan semua penganutnya akan dibinasakan. Setelah semua organisasi itu dilenyapkan, para penganut akan sedar bahawa mereka telah ditipu oleh pemimpin-pemimpin agama, dan mereka mungkin menjauhkan diri daripada agama-agama itu.

5. Apakah yang sudah dijanjikan Yehuwa, dan mengapa?

5 Bible tidak menyatakan tempoh masa yang akan diambil untuk membinasakan Babilon Besar. Namun, kita tahu bahawa hal itu akan berlaku dalam masa yang agak singkat. (Why. 18:10, 21) Yehuwa sudah berjanji untuk “memendekkan tempoh masa itu” agar “umat-Nya yang terpilih” dan agama yang sejati tidak dilenyapkan. (Mrk. 13:19, 20) Namun, apakah yang Yehuwa ingin kita lakukan dalam jangka masa antara permulaan kesengsaraan besar dengan perang Armagedon?

TERUS MENJUNJUNG IBADAT SEJATI YEHUWA

6. Mengapakah sekadar memutuskan hubungan dengan agama palsu tidak cukup?

6 Seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelum ini, Yehuwa menghendaki para  penyembah-Nya mengasingkan diri daripada Babilon Besar. Untuk berbuat demikian, sekadar memutuskan hubungan dengan agama palsu tidak cukup. Kita mesti bertekad untuk menjunjung agama yang benar, iaitu ibadat Yehuwa. Terdapat dua cara untuk melakukannya.

Janganlah mengabaikan perjumpaan, bahkan pada waktu yang susah (Lihat perenggan 7) *

7. (a) Bagaimanakah kita berpegang teguh pada piawaian moral Yehuwa? (b) Menurut Ibrani 10:24, 25, mengapakah kita harus berkumpul bersama rakan seiman, dan mengapakah hal itu begitu penting sekarang?

7 Pertama, kita mesti berpegang teguh pada piawaian moral Yehuwa. Kita tidak boleh menerima pandangan dan piawaian dunia. Misalnya, kita tidak menerima apa-apa perbuatan seks yang tidak bermoral, termasuk perkahwinan sejenis dan gaya hidup homoseksual. (Mat. 19:4, 5; Rm. 1:26, 27) Kedua, kita mesti terus beribadat bersama rakan seiman. Kita akan melakukannya di mana-mana sahaja, sama ada di Dewan Perjumpaan, di rumah saudara saudari, atau bahkan di tempat yang rahsia. Tidak kira apa yang terjadi, kita akan terus berkumpul untuk beribadat. Sebenarnya kita harus berbuat demikian “lebih-lebih lagi seraya [kita] nampak hari itu semakin mendekat.”​—Baca Ibrani 10:24, 25.

8. Pada masa akan datang, bagaimanakah berita yang kita umumkan mungkin berubah?

8 Semasa kesengsaraan besar, berita yang kita umumkan mungkin berubah. Kini kita menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan dan membantu orang menjadi murid Yesus. Tetapi semasa kesengsaraan besar, kita mungkin perlu mengisytiharkan mesej yang sangat berat, yang seperti hujan batu yang dahsyat. (Why. 16:21) Kita mungkin akan memberitahu orang bahawa seluruh dunia Syaitan bakal dilenyapkan. Apabila masanya tiba, kita akan tahu secara terperinci kandungan mesej kita dan cara untuk menyampaikannya. Adakah kita akan menggunakan kaedah menginjil yang telah digunakan untuk lebih daripada seratus tahun, atau adakah kita akan menggunakan cara yang lain? Kita perlu tunggu dan lihat. Tidak kira apa cara yang akan digunakan, nampaknya kita akan diberi penghormatan untuk mengisytiharkan berita penghakiman Yehuwa dengan berani!​—Yeh. 2:3-5.

9. Kemungkinan besar, apakah reaksi bangsa-bangsa terhadap berita yang kita khabarkan? Namun, kita yakin akan hal apa?

9 Kemungkinan besar, berita yang kita khabarkan akan membuat bangsa-bangsa naik marah dan ingin menghentikan kerja kita buat selama-lamanya. Sebagaimana kita bergantung pada Yehuwa sekarang semasa menginjil, kita juga memerlukan sokongan-Nya ketika itu. Yakinlah bahawa Tuhan kita pasti memberi kita kekuatan yang sepenuhnya untuk melaksanakan kehendak-Nya.​—Mi. 3:8.

BERSEDIALAH UNTUK MENGHADAPI SERANGAN ATAS UMAT TUHAN

10. Seperti yang dinubuatkan di Lukas 21:25-28, apakah reaksi kebanyakan orang terhadap hal yang terjadi semasa kesengsaraan besar?

10 Baca Lukas 21:25-28. Semasa kesengsaraan besar, orang akan terkejut apabila melihat segala sesuatu di dunia yang disangka berkekalan mula hancur. Ketika detik yang paling gelap dalam sejarah manusia tiba, mereka akan ‘gelisah’ dan takut kehilangan nyawa. (Zef. 1:14, 15) Pada masa itu, cabaran hidup akan bertambah, bahkan untuk umat Yehuwa. Oleh sebab kita bukan sebahagian daripada dunia, kita mungkin menghadapi kesusahan tertentu dan kekurangan sesetengah barang keperluan.

11. (a) Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa akan menjadi sasaran bangsa-bangsa? (b) Mengapakah kita tidak perlu takut akan kesengsaraan besar?

11 Pada detik tertentu, orang yang agama  mereka telah dimusnahkan mungkin berasa marah kerana Saksi-Saksi Yehuwa masih dapat beribadat. Mereka pasti meluahkan rasa tidak puas mereka melalui pelbagai cara, contohnya menerusi media sosial. Bangsa-bangsa dan pemerintah mereka, iaitu Syaitan, akan membenci kita kerana agama kita sahaja yang masih wujud. Hasrat bangsa-bangsa untuk melenyapkan semua agama masih belum tercapai. Maka, kita akan menjadi sasaran mereka. Pada waktu itu, bangsa-bangsa akan menjadi Gog dari Magog. * Mereka akan bersekutu untuk menyerang umat Yehuwa secara besar-besaran. (Yeh. 38:2, 14-16) Kita mungkin berasa risau kerana tidak tahu semua butiran tentang apa yang akan terjadi, tetapi terdapat satu perkara yang pasti: Kita tidak perlu takut akan kesengsaraan besar. Yehuwa akan memberi kita arahan untuk menyelamatkan kita. (Mzm. 34:19) Pada masa itu, kita dapat ‘berdiri dengan tegak dan mengangkat kepala’ kerana kita tahu bahawa ‘pembebasan kita sudah dekat.’ *

12. Bagaimanakah “hamba yang setia dan bijaksana” mempersiapkan kita untuk apa yang bakal berlaku?

12 Selama ini, “hamba yang setia dan bijaksana” telah menggunakan pelbagai cara untuk mempersiapkan kita agar tetap setia semasa kesengsaraan besar. (Mat. 24:45) Fikirkan salah satu contoh: Program konvensyen dari tahun 2016-2018. Program-program itu telah menggalakkan kita untuk memantapkan sifat-sifat yang diperlukan untuk menghadapi hari Yehuwa. Mari kita tinjau kembali sifat-sifat itu.

TERUSLAH MEMANTAPKAN KESETIAAN, KETABAHAN, DAN KEBERANIAN ANDA

Bersedialah sekarang agar terselamat semasa “kesengsaraan besar” (Lihat perenggan 13-16) *

13. Bagaimanakah kita dapat memantapkan kesetiaan kita? Mengapakah kita mesti melakukannya sekarang?

13 Kesetiaan: Tema konvensyen tahun 2016 ialah “Tetap Setia kepada Yehuwa!” Konvensyen itu mengajar kita bahawa jika kita ada hubungan yang kukuh dengan Yehuwa, kita akan setia kepada-Nya. Kita juga belajar bahawa kita dapat menghampiri Yehuwa jika kita berdoa dengan ikhlas dan mengkaji Firman-Nya dengan tekun. Usaha ini akan menguatkan kita untuk mengatasi bahkan cabaran yang paling besar. Apabila akhir dunia Syaitan semakin dekat, kesetiaan kita kepada Tuhan dan Kerajaan-Nya akan semakin diuji. Kita mungkin akan terus diperolok-olokkan, terutamanya kerana kita berpendirian neutral. (2 Ptr. 3:3, 4) Maka, kita mesti memantapkan kesetiaan kita sekarang, supaya kita tetap setia semasa kesengsaraan besar.

14. (a) Bagaimanakah cara umat Tuhan dipimpin akan berubah? (b) Mengapakah kita perlu tetap setia pada waktu itu?

14 Semasa kesengsaraan besar, cara umat Tuhan dipimpin akan berubah. Semua kaum terurap yang masih di bumi akan dibawa ke syurga untuk menyertai perang Armagedon. (Mat. 24:31; Why. 2:26, 27) Maksudnya, Badan Pimpinan tidak akan bersama kita di bumi lagi. Namun, saudara-saudara yang layak daripada biri-biri lain akan mengambil pimpinan. Kita perlu menunjukkan kesetiaan kita dengan menyokong saudara-saudara itu dan mematuhi arahan mereka yang diberikan daripada Tuhan. Hal itu sangat penting kerana melibatkan hidup mati kita!

15. Bagaimanakah kita dapat memantapkan ketabahan kita? Mengapakah kita harus melakukannya sekarang?

 15 Ketabahan: Tema konvensyen tahun 2017 ialah “Jangan Putus Asa!” Konvensyen itu telah mengajar kita cara untuk memantapkan ketabahan kita. Kita belajar bahawa kebolehan kita untuk bertabah tidak bergantung pada baik buruknya situasi kita. Untuk memantapkan ketabahan kita, kita perlu bergantung pada Yehuwa. (Rm. 12:12) Semoga kita sentiasa ingat akan janji Yesus, “Sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.” (Mat. 24:13) Hal itu bermaksud kita mesti tetap setia tidak kira cubaan apa pun yang melanda. Apabila kita menghadapi setiap cubaan dengan tabah sekarang, iman kita akan bertambah kuat sebelum kesengsaraan besar bermula.

16. Apakah yang diperlukan untuk memiliki keberanian sejati? Bagaimanakah kita dapat memantapkan keberanian kita sekarang?

16 Keberanian: Tema konvensyen tahun 2018 ialah “Jadilah Berani!” Kita diingatkan bahawa keberanian kita tidak bergantung pada kebolehan sendiri. Sebagaimana kita perlu bergantung pada Yehuwa untuk bertabah, kita juga perlu bergantung pada-Nya untuk memiliki keberanian sejati. Bagaimanakah kita dapat lebih bergantung pada Yehuwa? Dengan membaca Bible setiap hari dan merenungkan bagaimana Yehuwa menyelamatkan umat-Nya pada masa lampau. (Mzm. 68:20; 2 Ptr. 2:9) Apabila bangsa-bangsa menyerang kita semasa kesengsaraan besar, kita memerlukan keberanian yang besar dan keyakinan yang sepenuhnya kepada Yehuwa. (Mzm. 112:7, 8; Ibr. 13:6) Jika kita bergantung pada Yehuwa sekarang, kita akan memiliki keberanian yang diperlukan untuk menghadapi serangan Gog. *

NANTIKANLAH PENYELAMATAN ANDA

Tidak lama lagi, Yesus dan angkatan tenteranya di syurga akan mengalahkan musuh-musuh Tuhan dalam perang Armagedon! (Lihat perenggan 17)

17. Mengapakah kita tidak perlu takut akan Armagedon? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

17 Seperti yang disebut dalam rencana sebelumnya, kebanyakan antara kita telah hidup pada hari-hari terakhir sepanjang umur kita. Tetapi kita juga berpeluang untuk mengharungi kesengsaraan besar. Perang Armagedon akan mengakhiri sistem dunia ini dengan  sepenuhnya. Namun, kita tidak perlu takut. Mengapa? Kerana ini merupakan perang Tuhan. (Ams. 1:33; Yeh. 38:18-20; Za. 14:3) Apabila Yehuwa menurunkan perintah, Yesus Kristus akan mengetuai kaum terurap yang telah dibangkitkan dan berjuta-juta malaikat untuk berperang melawan Syaitan, roh-roh jahatnya, dan konco-konconya di bumi.​—Dan. 12:1; Why. 6:2; 17:14.

18. (a) Apakah jaminan yang diberi Yehuwa? (b) Bagaimanakah Wahyu 7:9, 13-17 menguatkan keyakinan anda?

18 Yehuwa sudah menjamin, “Semua senjata yang dihasilkan untuk melawanmu akan menjadi tidak berguna.” (Yes. 54:17) “Kumpulan besar manusia” yang menyembah Yehuwa dengan setia akan “selamat mengharungi kesengsaraan besar” dan terus menjalankan khidmat suci kepada-Nya. (Baca Wahyu 7:9, 13-17.) Tidakkah janji-janji dalam Bible menguatkan keyakinan kita? Yehuwa pasti “melindungi orang yang setia.” (Mzm. 31:23) Apabila Yehuwa menegakkan nama suci-Nya, semua orang yang mengasihi dan memuji-Nya akan bersukacita.​—Yeh. 38:23.

19. Apakah masa depan yang menantikan kita?

19 Fikirkan bagaimana kata-kata di 2 Timotius 3:2-5 akan diubah sekiranya ayat itu menggambarkan orang dalam dunia baharu yang bebas daripada pengaruh Syaitan. (Lihat kotak “ Sikap Orang pada Masa Depan.”) Saudara George Gangas, * seorang ahli Badan Pimpinan, berkata, “Alangkah baiknya semasa semua orang di bumi ialah saudara saudari kita! Tidak lama lagi, anda akan berpeluang hidup di sistem dunia baharu. Selagi Yehuwa ada, anda akan terus hidup. Kita akan hidup buat selama-lamanya.” Masa depan yang amat cerah, bukan?

LAGU 122 Berteguhlah, Jangan Goyah!

^ per. 5 Kita tahu bahawa “kesengsaraan besar” akan menimpa semua manusia tidak lama lagi. Apakah yang akan terjadi kepada kita? Apakah yang Yehuwa ingin kita lakukan pada masa itu? Apakah sifat-sifat yang perlu kita mantapkan sekarang agar dapat tetap setia? Rencana ini akan menjawab soalan-soalan tersebut.

^ per. 3 MAKSUD UNGKAPAN: Agama Kristian palsu terdiri daripada agama-agama yang mengaku diri Kristian tetapi tidak mengajar orang untuk menyembah Yehuwa menurut piawaian-Nya.

^ per. 11 MAKSUD UNGKAPAN: Gog dari Magog (dan nama singkatnya, iaitu Gog) merujuk kepada bangsa-bangsa yang akan bersekutu untuk melawan ibadat sejati pada penghujung kesengsaraan besar.

^ per. 11 NOTA KAKI: Untuk maklumat lanjut tentang semua peristiwa yang akan terjadi sebelum perang Armagedon, lihat bab 21 dalam buku Kerajaan Tuhan Kini Memerintah! Untuk mengetahui butiran tentang serangan Gog dari Magog dan cara Yehuwa akan mempertahankan umat-Nya semasa Armagedon, lihat Menara Pengawal terbitan 15 Julai 2015, muka surat 14-19, dan bab 17 dan 18 dalam buku “Ibadat Suci” bahasa Indonesia.

^ per. 16 Konvensyen tahun 2019 yang bertema “Kasih Itu Abadi!” meyakinkan kita bahawa kita pasti selamat di bawah naungan kasih Yehuwa.​—1 Kor. 13:8.

^ per. 19 Lihat rencana Perbuatannya Akan Mengikutinyadalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 1 Disember 1994.

^ per. 65 KETERANGAN GAMBAR: Semasa kesengsaraan besar, sekumpulan kecil Saksi yang berani telah mengadakan perjumpaan di hutan.

^ per. 67 KETERANGAN GAMBAR: Sekumpulan besar penyembah Yehuwa akan bersukacita setelah selamat mengharungi kesengsaraan besar!