Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Teguhkan Iman Anda terhadap Apa yang Diharapkan

Teguhkan Iman Anda terhadap Apa yang Diharapkan

“Iman ialah keyakinan yang teguh bahawa apa yang diharapkan akan menjadi kenyataan.”​—IBR. 11:1.

LAGU: 81, 134

1, 2. (a) Bagaimanakah harapan yang dimiliki oleh orang Kristian sejati berbeza daripada harapan orang di dunia? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

BETAPA indahnya harapan yang dimiliki oleh orang Kristian sejati! Tidak kira kaum terurap atau “biri-biri lain,” kita berharap untuk melihat pelaksanaan tujuan asal Tuhan dan penyucian nama Yehuwa. (Yoh. 10:16; Mat. 6:9, 10) Apa yang kita nantikan itu memang merupakan hal yang terpenting. Kita juga berharap untuk melihat penunaian janji Tuhan mengenai kehidupan kekal di “langit baru” atau “bumi baru.” (2 Ptr. 3:13) Buat masa ini, kita mengharapkan umat Tuhan terus menikmati kemakmuran rohani yang berterusan.

2 Kebanyakan orang di dunia ini juga mengharapkan sesuatu, namun mereka meragui sama ada harapan tersebut terlaksana. Contohnya, jutaan kaki judi berharap untuk memenangi banyak wang, namun mereka tidak pasti sama ada hal ini akan menjadi kenyataan. Sebaliknya, iman yang sebenar merupakan “keyakinan yang teguh” terhadap apa yang kita harapkan. (Ibr. 11:1) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan cara untuk meneguhkan iman kita terhadap janji-janji Tuhan. Kita juga akan melihat bagaimana iman yang teguh boleh membantu kita sekarang.

3. Mengapakah kita beriman bahawa janji Tuhan akan menjadi kenyataan?

 3 Manusia yang tidak sempurna tidak dilahirkan dengan memiliki iman. Untuk memiliki iman, kita perlu mengizinkan daya aktif Tuhan membimbing hati kita. (Gal. 5:22) Yehuwa Maha Agung dan paling bijaksana. Tiada yang dapat menghalang-Nya daripada melaksanakan tujuan-Nya. Yehuwa sangat pasti bahawa apa yang dijanjikan-Nya akan menjadi kenyataan. Maka Dia berkata, “Hal-hal itu sudah terlaksana!” (Baca Wahyu 21:3-6.) Kita mengetahui bahawa Yehuwa sentiasa melaksanakan janji-Nya kerana “Dia setia.” Itulah sebabnya kita mempercayai janji-Nya mengenai masa depan.​—Ul. 7:9.

MENIRU TELADAN IMAN MEREKA

4. Apakah harapan yang dinantikan oleh lelaki dan wanita setia yang hidup sebelum zaman Kristian?

4 Buku Ibrani bab 11 menyenaraikan nama 16 orang lelaki dan wanita yang beriman. Mengenai mereka dan yang lain, penulis itu mengatakan bahawa ‘mereka mendapat perkenan Tuhan kerana mereka beriman.’ (Ibr. 11:39) Mereka mempunyai “keyakinan yang teguh” bahawa Tuhan akan meremukkan Syaitan dan melaksanakan tujuan asal-Nya melalui ‘keturunan’ yang dijanjikan. (Kej. 3:15) Namun, orang yang setia ini meninggal sebelum ‘keturunan’ yang dijanjikan, iaitu Yesus, membuka jalan untuk menerima kehidupan di syurga. (Gal. 3:16) Walaupun demikian, mereka menantikan harapan untuk hidup kembali sebagai manusia yang sempurna di bumi firdaus.​—Mzm. 37:11; Yes. 26:19; 1 Kor. 15:55.

5, 6. Apakah harapan yang dinantikan oleh Abraham dan keluarganya? Bagaimanakah mereka meneguhkan iman mereka? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

5 Mengenai mereka yang tinggal sebelum zaman Kristian, Ibrani 11:13 berkata, “Semua orang ini beriman sampai mati. Walaupun janji-janji Tuhan tidak terlaksana pada zaman mereka, dari jauh mereka melihat dan menyambutnya.” Salah seorang daripada mereka ialah Abraham. Adakah harapan untuk hidup di bawah pemerintahan ‘keturunan’ yang dijanjikan nyata baginya? Yesus memberikan jawapan yang jelas apabila dia berkata kepada penentangnya: “Bapa kamu Abraham sangat bersukacita kerana dia mempunyai harapan untuk melihat zamanku. Dia sudah melihatnya dan dia bersukacita.” (Yoh. 8:56) Begitu juga dengan Sara, Ishak, Yakub, dan orang lain yang menaruh harapan terhadap Kerajaan “yang direka dan dibina oleh Tuhan.”​—Ibr. 11:8-11.

6 Bagaimanakah Abraham dan keluarganya meneguhkan iman mereka? Mereka mungkin belajar tentang Tuhan daripada orang setia yang lebih tua atau tulisan kuno. Ada kalanya, Tuhan bercakap dengan mereka melalui malaikat, penglihatan, atau mimpi. Yang terpenting, mereka tidak melupakan apa yang dipelajari. Mereka menghargai dan merenungkan janji-janji serta kehendak Tuhan. Oleh sebab harapan itu begitu nyata bagi mereka, lelaki dan wanita ini dapat menghadapi apa jua kesusahan dan tetap setia kepada Tuhan.

7. Apakah pemberian yang diberikan Yehuwa untuk meneguhkan iman kita? Apakah seharusnya kita lakukan terhadap pemberian tersebut?

7 Untuk meneguhkan iman kita, Yehuwa memberi kita Firman-Nya yang lengkap, iaitu Bible. Maka, kita perlu membaca Firman Tuhan secara tetap setiap hari supaya kita ‘berbahagia’ dan “berjaya.” (Mzm. 1:1-3; baca Kisah 17:11.) Seperti penyembah Yehuwa sebelum zaman Kristian, kita harus merenungkan janji-janji Tuhan dan menuruti kehendak-Nya. Melalui “hamba yang setia dan bijaksana,” Yehuwa juga memberkati kita dengan makanan rohani yang berlimpah. (Mat. 24:45) Maka, dengan menghargai segala pemberian rohani ini, kita boleh menjadi  seperti hamba Tuhan kuno yang mempunyai “keyakinan yang teguh” terhadap harapan yang akan dibawa oleh Kerajaan Tuhan.

8. Bagaimanakah doa meneguhkan iman kita?

8 Berdoa juga penting untuk meneguhkan iman hamba Tuhan kuno. Iman mereka dikuatkan apabila Tuhan mengabulkan doa mereka. (Neh. 1:4, 11; Mzm. 34:5, 1618; Dan. 9:19-21) Kita juga boleh meluahkan kebimbangan kepada Yehuwa kerana kita yakin bahawa Dia mendengar dan membantu kita untuk bertabah dan bersukacita. Apabila doa kita dikabulkan, iman kita akan diteguhkan. (Baca 1 Yohanes 5:14, 15.) Iman merupakan salah satu aspek buah daya aktif Tuhan. Maka, Yesus menggalakkan kita untuk ‘terus meminta’ daya aktif Tuhan.​—Luk. 11:9, 13.

9. Selain daripada berdoa untuk diri sendiri, siapakah yang boleh kita doakan?

9 Kita tidak hanya berdoa meminta bantuan Tuhan. Kita boleh memuji dan bersyukur kepada Yehuwa setiap hari atas perkara-perkara menakjubkan yang dilakukan-Nya! (Mzm. 40:6) Umat Yehuwa berdoa bagi rakan seiman mereka di serata dunia. Contohnya, kita berdoa tentang “orang yang dipenjarakan.” Kita juga berdoa bagi “mereka yang mengambil pimpinan dalam kalangan” kita. Hati kita tersentuh apabila kita melihat cara Yehuwa menjawab doa yang diucapkan oleh umat-Nya!​—Ibr. 13:3, 7.

MEREKA TETAP SETIA

10. Siapakah beberapa hamba Tuhan yang enggan menyangkal iman mereka? Mengapakah mereka berupaya berbuat demikian?

10 Dalam Ibrani bab 11, Paulus menyebut tentang cubaan yang dialami oleh ramai umat Tuhan. Contohnya, Paulus menyebut tentang anak beberapa orang wanita yang telah mati tetapi kemudiannya dibangkitkan. Kemudian, Paulus juga menjelaskan tentang orang yang “enggan menyangkal iman semata-mata untuk dibebaskan. Mereka sanggup diseksa kerana ingin meraih pembangkitan yang lebih baik.” (Ibr. 11:35) Walaupun kita tidak tahu dengan pasti siapa hamba-hamba Tuhan ini, sesetengah daripada mereka seperti Nabot dan Zakharia telah direjam sehingga mati kerana mentaati Tuhan. (1 Raj. 21:3, 15; 2 Taw. 24:20, 21) Daniel dan sahabatnya pula diberi peluang untuk “dibebaskan” jika mereka menyangkal iman mereka. Namun, mereka mempunyai iman yang kukuh terhadap kuasa Tuhan. Hasilnya, mereka diselamatkan daripada “mulut singa” dan “api yang berkobar-kobar.”​—Ibr. 11:33, 34; Dan. 3:16-18, 20, 28; 6:14, 17, 22-24.

11. Apakah cabaran yang dihadapi oleh beberapa nabi kerana iman mereka?

11 Oleh sebab iman mereka, nabi Mikha dan Yeremia “menghadapi ujian kerana diperolok-olokkan . . . dan dipenjarakan.” Nabi yang lain seperti Elia telah “mengembara di padang gurun, gunung-gunung, gua-gua, dan lubang-lubang di bawah tanah.” Mereka semua bertabah kerana mereka mempunyai “keyakinan yang teguh bahawa apa yang diharapkan akan menjadi kenyataan.”​—Ibr. 11:1, 36-38; 1 Raj. 18:13; 22:24-27; Yer. 20:1, 2; 28:10, 11; 32:2.

12. Siapakah yang merupakan teladan terbaik dalam menanggung penderitaan? Apakah yang membantunya untuk bertabah?

12 Selepas menyebut tentang para lelaki dan wanita yang beriman, Paulus menyebut tentang teladan yang terbaik, iaitu Yesus Kristus. Ibrani 12:2 berkata, “Disebabkan sukacita yang ada di hadapannya, dia tabah menanggung penderitaan pada tiang seksaan dan tidak peduli bahawa hal itu sesuatu yang memalukan. Sekarang, dia duduk di sebelah kanan takhta Tuhan.” Maka kita harus ‘perhatikan dia dengan cermat’ kerana dia menetapkan teladan yang baik semasa dicuba. (Baca Ibrani 12:3.) Seperti Yesus, ramai orang Kristian pada abad pertama telah mati kerana mengekalkan kesetiaan kepada Yehuwa. Antaranya ialah Antipas. (Why. 2:13) Orang Kristian sebegini sudah pun menerima ganjaran mereka di syurga, manakala penyembah Tuhan yang  hidup sebelum zaman Kristian menantikan pembangkitan di bumi. (Ibr. 11:35) Selepas Kerajaan Tuhan ditubuhkan pada tahun 1914, orang Kristian terurap yang mati telah dibangkitkan ke syurga. Di sana, mereka mempunyai nyawa yang tidak dapat mati dan memerintah sebagai raja bersama Yesus.​—Why. 20:4.

TELADAN IMAN MASA KINI

13, 14. Apakah cubaan yang dihadapi oleh Rudolf Graichen? Apakah yang membantunya untuk bertabah?

13 Jutaan penyembah Tuhan masa kini mengikut teladan Yesus dengan berfokus kepada harapan mereka dan tidak membiarkan cubaan melemahkan iman mereka. Perhatikan contoh Rudolf Graichen yang dilahirkan pada tahun 1925 di Jerman. Dia teringat lukisan yang menggambarkan ayat Bible yang tergantung pada dinding rumahnya. Dia menulis, “Terdapat sebuah lukisan serigala dan domba, anak kambing dan harimau bintang, dan anak lembu serta anak singa yang hidup aman dan dipimpin oleh seorang budak kecil. . . . Gambaran tersebut memberikan kesan yang mendalam kepada saya.” (Yes. 11:6-9) Walaupun dianiaya dengan kejam selama bertahun-tahun oleh Gestapo Nazi dan kemudiannya oleh Stasi Komunis di Jerman  Timur, Rudolf tetap mengekalkan imannya yang kuat mengenai firdaus.

14 Cubaan lain yang dihadapi oleh Rudolf adalah semasa ibu tersayangnya meninggal akibat penyakit tifus di kem konsentrasi Ravensbrück. Selain itu, iman bapanya menjadi lemah sehingga dia menandatangani sebuah dokumen untuk menolak kepercayaannya sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Selepas Rudolf dibebaskan dari penjara, dia menikmati peluang istimewa untuk berkhidmat sebagai penyelia litar dan juga dijemput ke sekolah Gilead. Dia telah ditugaskan sebagai mubaligh ke Chile dan sekali lagi berkhidmat sebagai penyelia litar. Namun, cubaan Rudolf belum berakhir. Setahun selepas mengahwini seorang mubaligh yang bernama Patsy, bayi perempuan mereka meninggal. Kemudian, isteri kesayangannya yang hanya berumur 43 tahun juga meninggal. Rudolf bertabah dalam semua cubaan ini. Walaupun dia sudah berumur dan sering sakit, dia masih berkhidmat sebagai perintis biasa dan penatua semasa kisah hidupnya diterbitkan dalam majalah Menara Pengawal, terbitan 1 Ogos 1997, muka surat 20-25 yang boleh didapati dalam bahasa Indonesia. [1]

15. Apakah contoh yang menunjukkan Saksi-Saksi Yehuwa tetap bersukacita semasa mengalami penganiayaan?

15 Saksi-Saksi Yehuwa tetap bersukacita meskipun mengalami penganiayaan yang kejam dan berterusan. Contohnya, banyak saudara saudari di Eritrea, Singapura, dan Korea Selatan dipenjarakan kerana hidup selaras dengan kata-kata Yesus untuk tidak “menggunakan pedang.” (Mat. 26:52) Antara ratusan saudara saudari ialah Isaac, Negede, dan Paulos yang telah dipenjarakan di Eritrea selama lebih daripada 20 tahun! Mereka tidak dapat menyara ibu bapa mereka yang lanjut usia ataupun berkahwin. Namun, saudara-saudara itu tetap setia walaupun dilayan dengan buruk. Sikap positif mereka dapat dilihat daripada wajah mereka seperti yang terdapat dalam laman web jw.org. Hal ini menunjukkan bahawa mereka mempunyai iman yang kukuh. Bahkan pengawal penjara pun menghormati mereka.

Adakah anda meraih manfaat daripada teladan saudara saudari dalam sidang anda? (Lihat perenggan 15, 16)

16. Bagaimanakah iman yang kukuh dapat membantu anda?

16 Kebanyakan umat Yehuwa tidak perlu mengalami penganiayaan yang teruk. Namun, cubaan mereka mungkin berbeza. Banyak yang menderita akibat kemiskinan, peperangan sivil, atau bencana alam. Yang lain pula mengikut teladan Abraham, Ishak, Yakub, dan Musa untuk tidak mengejar kesenangan dunia atau kemasyhuran. Mereka berjuang untuk tidak mencintai kebendaan atau gaya hidup yang mementingkan diri. Apakah yang telah membantu mereka? Kasih kepada Yehuwa dan iman yang kukuh terhadap janji-Nya. Mereka yakin bahawa Yehuwa akan menghapuskan segala ketidakadilan dan memberikan ganjaran kepada mereka yang setia untuk hidup selama-lamanya di dunia baharu.​—Baca Mazmur 37:5, 7, 9, 29.

17. Bagaimanakah anda dapat terus meneguhkan iman? Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Dalam rencana ini, kita telah melihat bagaimana iman ialah “keyakinan yang teguh bahawa apa yang diharapkan akan menjadi kenyataan.” Kita perlu berdoa secara tetap dan merenungkan janji-janji Tuhan untuk meneguhkan iman kita. Dengan demikian, kita dapat bertabah apabila iman kita diuji. Rencana seterusnya akan membincangkan maksud memiliki iman.

^ [1] (perenggan 14) Lihat juga rencana “Meskipun Menghadapi Ujian, Harapan Saya Tetap Cerah” dalam majalah Sedarlah! bahasa Indonesia, terbitan 22 April 2002, yang menceritakan kisah hidup Andrej Hanák dari Slovakia.