Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tirulah Keadilan dan Belas Kasihan Yehuwa

Tirulah Keadilan dan Belas Kasihan Yehuwa

“Kamu mesti berlaku adil, baik hati, dan berbelas kasihan kepada sesama kamu.”​—ZA. 7:9.

LAGU: 125, 88

1, 2. (a) Apakah perasaan Yesus terhadap Hukum Tuhan? (b) Bagaimanakah para jurutulis hukum dan orang Farisi menjadikan Hukum Tuhan sebagai beban?

YESUS mencintai Hukum Musa. Hal itu tidak menghairankan, kerana Hukum Musa diberikan oleh Yehuwa, Individu yang terpenting dalam hidupnya. Mazmur 40:9 menubuatkan perasaan Yesus terhadap hukum Tuhan: ‘Aku suka melakukan kehendak-Mu, ya Tuhanku! Aku menyimpan segala ajaran-Mu dalam hatiku.’ Melalui kata-kata dan perbuatannya, Yesus membuktikan bahawa Hukum Tuhan itu sempurna, bermanfaat, dan pasti terjadi.​—Mat. 5:17-19.

2 Hati Yesus pasti tertusuk semasa melihat para jurutulis hukum dan orang Farisi membuat Hukum Bapanya kelihatan seperti beban. Mereka mentaati butiran-butiran kecil seperti “memberikan satu persepuluh daripada pudina, adas manis, dan jintan.” Jadi, apakah masalah mereka? Yesus berkata, “Tetapi kamu tidak mempedulikan hal-hal yang lebih penting dalam Hukum, iaitu keadilan, belas kasihan, dan kesetiaan.” (Mat. 23:23) Ya, mereka hanya ingin membuat peraturan dan membuat diri kelihatan sangat alim. Tidak seperti mereka, Yesus memahami sebab di sebalik Hukum  dan sifat-sifat Yehuwa yang tersulam dalam setiap perintah-Nya.

3. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Orang Kristian tidak terikat kepada perjanjian Hukum. (Rm. 7:6) Namun, Yehuwa memastikan Hukum itu dicatatkan dalam Bible supaya kita dapat mengenali “hal-hal yang lebih penting,” iaitu prinsip yang menunjangi setiap perintah dalam Hukum. Misalnya, apakah prinsip di sebalik aturan kota perlindungan? Rencana sebelum ini membincangkan pengajaran daripada langkah-langkah yang diambil oleh pembunuh. Namun, aturan itu juga mengajar kita tentang Yehuwa dan cara untuk meniru sifat-sifat-Nya. Rencana ini akan membincangkan bagaimana aturan kota perlindungan menyingkapkan belas kasihan Yehuwa, pandangan Yehuwa terhadap nyawa, dan keadilan-Nya yang sempurna. Semasa perbincangan ini, fikirkan cara anda dapat meniru Bapa anda yang di syurga.​—Baca Efesus 5:1.

“KOTA YANG MUDAH DICAPAI” MENYATAKAN BELAS KASIHAN TUHAN

4, 5. (a) Apakah yang dilakukan supaya kota perlindungan mudah dicapai, dan mengapa? (b) Apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa daripada hal ini?

4 Keenam-enam buah kota perlindungan harus mudah dicapai. Yehuwa menyuruh orang Israel untuk memilih tiga buah kota perlindungan di setiap sisi Sungai Yordan, supaya orang yang membunuh dengan tidak sengaja dapat pergi ke situ dengan cepat dan mudah. (Bil. 35:11-14) Jalan yang menuju ke kota perlindungan harus dalam keadaan baik. (Ul. 19:2, 3) Menurut karya rujukan Yahudi, tanda-tanda dipasang supaya orang tahu jalannya. Dengan adanya kota perlindungan, seseorang yang membunuh dengan tidak sengaja tidak perlu melarikan diri ke negeri asing lalu digoda untuk mengikut ibadat palsu.

5 Fikirkan: Yehuwalah yang memerintahkan agar pembunuh dihukum mati. Tetapi Dia juga membuka jalan supaya orang yang membunuh dengan tidak sengaja dapat menerima belas kasihan dan perlindungan. Seorang pengulas menulis, “Aturan itu dinyatakan dengan jelas dan mudah sekali. Demikianlah cara Tuhan yang berbelas kasihan.” Yehuwa tidak seperti hakim yang mencari peluang untuk menghukum hamba-Nya. Sebaliknya, Dia “berlimpah-limpah dengan belas kasihan.”​—Ef. 2:4.

6. Bagaimanakah sikap orang Farisi berbeza daripada Tuhan?

6 Orang Farisi pula tidak berbelas kasihan. Misalnya, mereka enggan mengampuni kesalahan yang diulangi lebih daripada tiga kali. Yesus menggambarkan sikap mereka terhadap  pendosa dalam perumpamaannya tentang seorang pemungut cukai dan seorang Farisi. Orang Farisi itu berdoa, “Ya Tuhan, aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini atau orang lain yang memeras ugut, berbuat salah, dan berzina.” Mengapakah orang Farisi bersikap sedemikian? Mereka “memandang hina pada orang lain” dan enggan menunjukkan belas kasihan.​—Luk. 18:9-14.

Adakah “jalan” untuk mendapat pengampunan anda terbuka dan senang dilalui? Jadilah orang yang mudah dihampiri (Lihat perenggan 4-8)

7, 8. (a) Apabila orang lain menyakiti anda, bagaimanakah anda dapat meniru Yehuwa? (b) Mengapakah kita mesti rendah hati untuk memaafkan orang?

7 Semoga kita meniru belas kasihan Yehuwa dan menjauhi sikap orang Farisi. (Baca Kolose 3:13.) Kita ingin orang lain berasa senang untuk meminta maaf daripada kita. (Luk. 17:3, 4) Tanyalah diri, “Adakah saya sudi mengampuni orang, bahkan mereka yang selalu menyakiti saya? Adakah saya mahu berdamai dengan orang yang menyinggung perasaan saya?”

8 Untuk mengampuni orang, kita mesti rendah hati. Orang Farisi gagal melakukannya kerana mereka memandang rendah pada orang lain. Sebagai orang Kristian, kita harus ‘menganggap orang lain lebih baik daripada kita’ dan rela memaafkan mereka. (Flp. 2:3) Adakah anda akan meniru Yehuwa dan bersikap rendah hati? Pastikan “jalan” untuk mendapat pengampunan anda terbuka dan senang dilalui. Berusahalah agar rela memaafkan orang dan tidak cepat tersinggung.​—Pkh. 7:8, 9.

HORMATILAH NYAWA SUPAYA KITA TIDAK BERHUTANG DARAH

9. Bagaimanakah Yehuwa mengingatkan orang Israel bahawa nyawa itu suci?

9 Salah satu tujuan kota perlindungan adalah untuk melindungi orang Israel daripada hutang darah. (Ul. 19:10) Yehuwa mencintai nyawa, dan Dia membenci “tangan yang membunuh orang yang tidak bersalah.” (Ams. 6:16-19) Tuhan itu adil dan suci, maka Dia tidak akan menutup sebelah mata terhadap pembunuhan, bahkan yang tidak disengajakan. Seseorang yang membunuh dengan tidak sengaja akan diampunkan. Namun, dia perlu diadili oleh para pemimpin dahulu. Jika mereka mendapati perbuatannya tidak disengajakan, dia perlu terus tinggal di kota perlindungan sehingga kematian imam agung. Barangkali, dia perlu tinggal di situ seumur hidupnya. Aturan sedemikian mengingatkan orang Israel bahawa nyawa manusia itu suci. Untuk menghormati Tuhan yang memberi hidup, mereka harus berusaha agar tidak membahayakan nyawa orang lain.

10. Menurut Yesus, bagaimanakah para jurutulis hukum dan orang Farisi meremehkan nyawa?

10 Tidak seperti Yehuwa, para jurutulis hukum dan orang Farisi meremehkan nyawa. Bagaimana? Yesus berkata, “Kamu mengambil kunci yang membuka pintu pengetahuan tentang Tuhan. Kamu sendiri tidak masuk ke dalam, dan kamu menghalang orang yang  ingin memasukinya!” (Luk. 11:52) Mereka sepatutnya membantu orang memahami Firman Tuhan dan mengikut jalan yang menuju hidup kekal. Tetapi mereka menjauhkan orang daripada Yesus, ‘Pemimpin Utama yang memberikan kehidupan,’ dan membawa mereka ke jalan yang menuju kebinasaan. (Kis. 3:15) Bagi orang Farisi dan jurutulis, nyawa dan kesejahteraan orang langsung tidak penting. Mereka memang sombong, mementingkan diri, tidak berbelas kasihan, dan tidak berhati perut!

11. (a) Bagaimanakah Rasul Paulus meniru pandangan Yehuwa terhadap nyawa? (b) Bagaimanakah kita dapat meniru pandangan Paulus terhadap kerja penyebaran?

11 Bagaimanakah kita dapat mengelakkan sikap para jurutulis hukum dan orang Farisi? Seperti Rasul Paulus, tirulah Yehuwa dan hargailah nyawa. Oleh sebab dia memberikan kesaksian yang menyeluruh, dia “bersih daripada darah semua orang.” (Baca Kisah 20:26, 27.) Namun Paulus menginjil bukan kerana ingin melaksanakan tugas atau takut menanggung dosa, tetapi kerana dia mengasihi orang dan menghargai nyawa mereka. (1 Kor. 9:19-23) Kita juga harus memiliki pandangan sedemikian. Memandangkan Yehuwa “ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat,” tirulah Dia dan pupuklah belas kasihan supaya anda terdorong untuk menginjil dengan bersemangat dan sukacita.​—2 Ptr. 3:9.

12. Mengapakah umat Tuhan mengutamakan keselamatan?

12 Untuk memiliki pandangan Yehuwa terhadap nyawa, kita harus mengutamakan keselamatan. Kita mesti memandu dan bekerja dengan selamat, bahkan semasa membina, menyelenggarakan, atau membuat perjalanan ke tempat ibadat. Jangan mengorbankan keselamatan dan kesihatan untuk menjimatkan masa atau wang. Tuhan kita selalu melakukan apa yang benar, dan kita ingin meniru-Nya. Para penatua harus mengutamakan keselamatan diri dan orang lain. (Ams. 22:3) Maka, jika penatua mengingatkan anda tentang peraturan dan piawaian keselamatan, dengarlah nasihatnya. (Gal. 6:1) Dengan itu, kita tidak akan berhutang darah.

MENGHAKIMI MENURUT PERATURAN YANG DITETAPKAN

13, 14. Bagaimanakah para pemimpin Israel dapat mencerminkan keadilan Yehuwa?

13 Yehuwa memerintahkan para pemimpin Israel untuk meniru keadilan-Nya. Mula-mula, mereka harus mengenal pasti semua fakta. Kemudian, mereka perlu mempertimbangkan motif, sikap, dan kelakuan pembunuh tersebut selama itu, sebelum memutuskan bahawa dia patut diampuni atau tidak. Mereka juga harus menentukan sama ada pembunuh itu membenci si mati dan “bermaksud untuk membunuh.” (Baca Bilangan 35:20-24.) Keterangan sekurang-kurangnya dua orang saksi diperlukan sebelum seorang pembunuh disabitkan bersalah.​—Bil. 35:30.

14 Setelah para pemimpin mengenal pasti fakta yang terlibat, mereka harus menilai individu tersebut dan bukan sahaja perbuatannya. Untuk memahami sebab di sebalik suatu kejadian, mereka memerlukan pengertian. Lebih penting lagi, mereka memerlukan kuasa suci Tuhan untuk meniru pengertian, belas kasihan, dan keadilan-Nya.​—Kel. 34:6, 7.

15. Bagaimanakah pandangan Yesus terhadap pendosa berbeza daripada pandangan orang Farisi?

15 Orang Farisi hanya bertumpu kepada perbuatan seseorang dan bukannya keperibadiannya. Semasa Yesus menghadiri jamuan di rumah Matius, mereka bertanya kepada murid Yesus, “Mengapakah guru kamu makan bersama pemungut cukai dan pendosa?” Yesus menjawab, “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi  orang yang sakit. Pergilah dan belajarlah maksud kata-kata ini: ‘Aku mahukan belas kasihan, bukannya korban.’ Aku datang untuk memanggil pendosa, bukannya orang yang alim.” (Mat. 9:9-13) Adakah Yesus meremehkan dosa? Tidak. Seruan untuk bertaubat merupakan bahagian penting dalam mesej yang dikhabarkannya. (Mat. 4:17) Namun, Yesus sedar bahawa ada antara “pemungut cukai dan pendosa” itu yang ingin berubah. Mereka datang ke rumah Matius, bukan untuk makan sahaja, tetapi kerana ingin “mengikut Yesus.” (Mrk. 2:15) Sedihnya, kebanyakan orang Farisi tidak memiliki pandangan Yesus, dan tidak meniru keadilan dan belas kasihan Tuhan. Dalam mata mereka, orang lain hanyalah pendosa yang tiada harapan untuk bertaubat.

16. Apakah yang ingin dikenal pasti oleh jawatankuasa pengadilan?

16 Para penatua juga harus meniru Yehuwa yang “mencintai keadilan.” (Yes. 61:8) Mula-mulanya, mereka harus ‘menyiasat hal itu baik-baik.’ Jika memang terdapat salah laku, kes itu akan dikendalikan mengikut aturan Bible. (Ul. 13:12-14) Jawatankuasa pengadilan perlu mengenal pasti sama ada seorang Kristian yang melakukan dosa serius sudah bertaubat atau tidak. Hal itu tidak selalu mudah, kerana melibatkan pandangan, sikap, dan keadaan hati seseorang. (Why. 3:3) Pendosa yang ingin mendapat belas kasihan mesti bertaubat. *

17, 18. Bagaimanakah para penatua dapat tahu sama ada seseorang yang bertaubat itu ikhlas atau tidak? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

17 Para penatua tidak dapat membaca hati orang. Maka, jika anda ialah penatua, bagaimanakah anda dapat mengetahui bahawa seseorang benar-benar bertaubat? Pertama, berdoalah meminta kebijaksanaan dan pengertian. (1 Raj. 3:9) Kedua, kajilah Firman Tuhan dan bahan bacaan hamba yang setia supaya anda dapat membezakan “kesedihan yang bersifat duniawi” daripada “kesedihan yang selaras dengan kehendak Tuhan,” iaitu pertaubatan yang ikhlas. (2 Kor. 7:10, 11) Perhatikan bagaimana Bible membandingkan perasaan, sikap, dan kelakuan orang yang bertaubat dengan orang yang tidak bertaubat.

18 Akhirnya, fikirkanlah pendosa itu. Apakah latar belakang, niat, dan keterbatasannya? Bible menubuatkan bahawa selaku ketua sidang, Yesus “tidak menghakimi orang secara sekilas pandang ataupun berdasarkan kata orang. Dia menghakimi perkara orang miskin dengan adil, dan membela hak orang yang lemah.” (Yes. 11:3, 4) Para penatua, anda ialah pembantu gembala kepada Yesus, dan dia akan membantu anda mengadili mengikut caranya. (Mat. 18:18-20) Tidakkah kita bersyukur kerana para penatua meniru Yesus dan mengambil berat terhadap kita? Tidakkah kita menghargai usaha mereka untuk membantu ahli sidang menunjukkan keadilan dan belas kasihan?

19. Apakah pengajaran daripada aturan kota perlindungan yang ingin anda terapkan?

19 Hukum Musa memberi kita “pengetahuan asas tentang Tuhan dan tentang kebenaran mengenai-Nya.” (Rm. 2:20) Contohnya, aturan kota perlindungan mengajar para penatua cara “berlaku adil,” dan mengajar kita agar ‘baik hati dan berbelas kasihan.’ (Za. 7:9) Kita tidak lagi tertakluk kepada Hukum itu. Namun, Yehuwa tidak berubah, dan Dia masih mementingkan keadilan dan belas kasihan. Tidakkah kita berbesar hati kerana dapat menyembah Tuhan sebegitu? Kita diciptakan mengikut gambaran-Nya, kita dapat meniru sifat-Nya, dan kita dapat berlindung kepada-Nya!

^ per. 16 Lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 September 2006, ms. 30.