Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 KHAZANAH ROHANI KITA

“Penyiar Kerajaan di Britain—Bangunlah!!”

“Penyiar Kerajaan di Britain—Bangunlah!!”

PADA tahun 1937, rencana dalam lembaran Informant * di London mempunyai tajuk: “Penyiar Kerajaan di Britain​—Bangunlah!!” Tajuk kecil dalam rencana itu ialah: “Tiada Kemajuan yang Pesat selama Sepuluh Tahun.” Selain itu, laporan aktiviti penyebaran sejak tahun 1928 hingga 1937 pada muka depan lembaran itu membuktikan hal tersebut.

TERLALU RAMAI PERINTIS?

Apakah yang menyebabkan kerja penyebaran di Britain menjadi perlahan? Sidang-sidang telah hilang semangat. Mereka dalam keadaan yang sama selama bertahun-tahun. Selain itu, pejabat cawangan memutuskan bahawa kawasan penyebaran di sana hanya memerlukan 200 perintis. Para perintis ini menginjil di kawasan terpencil dan bukannya bersama sidang. Maka, apabila ada permohonan untuk menjadi perintis, pejabat cawangan memberitahu bahawa kawasan penyebaran di Britain tidak lagi memerlukan perintis dan menyuruh mereka berkhidmat di negara Eropah lain. Oleh itu, ramai perintis dari Britain berpindah ke negara lain seperti Perancis walaupun tidak mahir bertutur bahasa di sana.

“SERUAN UNTUK BERTINDAK”

Rencana Informant pada tahun 1937 menetapkan matlamat yang mencabar bagi tahun 1938, iaitu sejuta jam! Matlamat ini dapat dicapai jika penyiar meluangkan 15 jam dan para perintis 110 jam sebulan dalam aktiviti penyebaran. Cadangan diberikan untuk mengadakan aktiviti penyebaran selama lima jam sehari dan berfokus kepada kunjungan kembali, terutamanya semasa waktu petang pada pertengahan minggu.

Para perintis menjalankan aktiviti penyebaran dengan bersemangat

Penekanan baharu ini terhadap aktiviti penyebaran membuat banyak orang berasa teruja. Hilda Padgett * berkata, “Ibu pejabat memberikan seruan untuk bertindak. Kebanyakan daripada kami sedang menantikan seruan sebegini. Hal ini membawa hasil yang baik.” Saudari E. F. Wallis berkata, “Cadangan lima jam itu sungguh bagus. Betapa gembiranya kami kerana dapat meluangkan banyak jam dalam sehari untuk menginjil. . . . Walaupun penat, kami bersukacita.” Stephen Miller yang muda juga ingin mengambil peluang yang ada untuk bertindak atas seruan itu! Dia ingat beberapa kumpulan saudara saudari yang menginjil seluruh hari dengan menunggang basikal serta memainkan rakaman ceramah pada waktu petang semasa musim panas. Mereka juga mengadakan perarakan dan mengedarkan majalah untuk memberikan kesaksian di tempat awam.

Lembaran Informant juga memberikan seruan menarik ini: “Kita memerlukan tentera yang terdiri daripada 1,000 perintis.” Di bawah aturan baharu, perintis tidak lagi bekerja berasingan daripada sidang.  Sebaliknya, mereka menyokong dan menggalakkan sidang. Joyce Ellis berkata, “Banyak saudara saudari sedar bahawa mereka perlu merintis. Walaupun saya hanya berumur 13 tahun, itulah apa yang saya ingin lakukan. Saya ingin merintis.” Dia mencapai matlamatnya pada Julai 1940, semasa berumur 15 tahun. Peter yang kemudiannya menjadi suami Joyce juga sedar akan seruan itu. Dia ingin merintis. Pada Jun 1940, semasa berusia 17 tahun, dia menunggang basikal sejauh 105 km ke Scarborough untuk memulakan tugas merintis.

Cyril dan Kitty Johnson juga menunjukkan semangat rela berkorban. Mereka menjual rumah dan harta benda untuk menyokong diri semasa berkhidmat sepenuh masa. Cyril berhenti bekerja dan dalam masa sebulan mereka bersedia untuk merintis. Dia berkata, “Kami yakin akan hal ini. Kami melakukannya dengan rela dan gembira.”

ATURAN RUMAH PERINTIS DIMULAKAN

Seraya bilangan perintis meningkat secara mendadak, saudara yang mengambil pimpinan mencari jalan untuk menyokong perintis ini. Jim Carr yang berkhidmat sebagai pembantu zon (kini dikenali sebagai penyelia litar) telah mengikut cadangan untuk memulakan rumah perintis pada tahun 1938. Perintis digalakkan untuk hidup dan bekerja bersama supaya mengurangkan kos. Di Sheffield, mereka menyewa sebuah rumah besar dan seorang saudara menjadi penyelia di sana. Sidang tempatan menyumbangkan wang dan perabot. Jim berkata, “Semua orang bekerja keras untuk menjayakannya.” Sepuluh orang perintis yang tinggal di sana mempunyai rutin rohani yang baik. Jim berkata lagi, “Ayat [harian] dibincangkan setiap pagi semasa sarapan. Kemudian perintis akan pergi ke kawasan penyebaran masing-masing di kota itu.”

Ramai perintis baharu mula berkhidmat di Britain

Penyiar serta perintis telah menyahut seruan untuk mencapai matlamat sejuta jam pada tahun 1938. Laporan menunjukkan bahawa ada peningkatan dalam semua aspek aktiviti penyebaran. Jumlah penyiar di Britain meningkat hampir tiga kali ganda dalam masa lima tahun. Azam umat Tuhan untuk mengutamakan khidmat Yehuwa menguatkan mereka untuk menghadapi cabaran sewaktu peperangan.

Hari ini, jumlah perintis di Britain sekali lagi meningkat seraya peperangan Armagedon mendekat. Angka perintis yang tertinggi adalah pada Oktober 2015 dengan sebanyak 13,224 perintis. Mereka semua sedar bahawa khidmat sepenuh masa ialah cara hidup yang terbaik.

^ per. 3 Informant kemudiannya dipanggil sebagai Our Kingdom Ministry (Kerja Teokratik Kita).

^ per. 8 Kisah hidup Saudari Padgett boleh didapati dalam majalah Menara Pengawal terbitan 1 Oktober 1995, muka surat 19-24, dalam bahasa Indonesia.