Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mereka Bebas daripada Agama Palsu

Mereka Bebas daripada Agama Palsu

“Keluarlah daripadanya, hai umat-Ku.”​—WHY. 18:4.

LAGU: 101, 93

1. Bagaimanakah kita tahu bahawa umat Tuhan akan dibebaskan daripada Babilon Besar? Apakah yang akan dibincangkan?

DALAM rencana yang sebelumnya, kita telah mempelajari bahawa orang Kristian yang setia ditawan oleh Babilon Besar. Tetapi, mereka tidak ditawan buat selama-lamanya. Tuhan memberitahu umat-Nya, “Keluarlah daripadanya, hai umat-Ku.” Perintah itu akan menjadi sia-sia sahaja jika tiada orang yang dapat melepaskan diri daripada pengaruh empayar agama palsu sedunia. (Baca Wahyu 18:4.) Kita ingin tahu bila umat Tuhan dibebaskan dengan sepenuhnya daripada Babilon Besar! Tetapi sebelum itu, mari kita membincangkan soalan-soalan berikut: Sebelum tahun 1914, apakah pandangan Pelajar Bible terhadap Babilon Besar? Seberapa aktifkah saudara saudari kita dalam kerja penyebaran semasa Perang Dunia Pertama? Adakah umat Tuhan ditawan oleh Babilon Besar pada masa itu kerana mereka perlu dibetulkan dan didisiplinkan?

“KEJATUHAN BABILON”

2. Apakah pandangan Pelajar Bible terhadap agama palsu?

2 Bertahun-tahun sebelum Perang Dunia Pertama, Charles Taze Russell dan rakan-rakannya sedar bahawa gereja-gereja Kristian  tidak mengajarkan kebenaran Bible. Oleh itu, mereka bertekad untuk tidak melibatkan diri dalam agama palsu. Seawal November 1879, Zion’s Watch Tower dengan jelas menyatakan bahawa setiap gereja yang mendakwa diri sebagai pengantin Kristus, tetapi menyokong kerajaan, adalah sebahagian daripada Babilon Besar yang juga dikenali sebagai “pelacur” dalam Bible.​—Baca Wahyu 17:1, 2.

3. Apakah yang dilakukan oleh Pelajar Bible untuk menunjukkan bahawa mereka tidak lagi terlibat dalam agama palsu? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Umat Tuhan tahu apa yang perlu dilakukan. Mereka tahu bahawa mereka tidak akan mendapat berkat Tuhan jika mereka terus menyokong agama palsu. Oleh itu, ramai Pelajar Bible menulis surat penarikan diri kepada gereja. Sesetengah daripada mereka membaca surat itu secara umum di gereja. Jika hal itu dilarang, mereka menghantar salinan surat kepada semua ahli gereja. Mereka benar-benar tidak ingin mempunyai apa-apa kaitan dengan agama palsu! Jika hal ini berlaku pada tahun-tahun sebelum itu, perbuatan mereka pasti menyebabkan nyawa mereka terkorban. Tetapi pada lewat 1800-an, kerajaan di banyak negara tidak lagi menyokong pihak gereja. Oleh itu, orang dapat berbincang tentang topik Bible bahkan menentang ajaran gereja secara terbuka.

4. Semasa Perang Dunia Pertama, apakah pandangan Pelajar Bible terhadap Babilon Besar? Jelaskan.

4 Pelajar Bible faham bahawa mereka tidak harus sekadar memberitahu saudara-mara, sahabat, dan ahli gereja tentang pendirian mereka terhadap agama palsu. Seluruh dunia harus tahu bahawa Babilon Besar adalah seperti pelacur! Oleh itu, antara bulan Disember 1917 hingga awal tahun 1918, Pelajar Bible telah mengedarkan sebanyak 10,000,000 naskhah risalah “The Fall of Babylon” (“Kejatuhan Babilon”) yang mengandungi mesej kuat terhadap gereja. Anda boleh bayangkan betapa marahnya pihak gereja. Namun, Pelajar Bible meneruskan kerja yang penting ini. Mereka bertekad untuk “patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.” (Kis. 5:29) Apakah yang dapat kita simpulkan? Nampaknya Pelajar Bible bukannya sedang ditawan Babilon Besar semasa Perang Dunia Pertama. Saudara saudari yang setia ini sedang membebaskan diri daripada belenggu agama palsu serta membantu orang lain berbuat demikian.

MENJALANKAN AKTIVITI DENGAN BERSEMANGAT SEMASA PERANG DUNIA PERTAMA

5. Bagaimanakah kita tahu bahawa saudara saudari memang bersemangat semasa Perang Dunia Pertama?

5 Pada masa lalu, kami percaya bahawa Yehuwa tidak memperkenankan umat-Nya kerana mereka tidak menjalankan kerja penyebaran dengan bersemangat semasa Perang Dunia Pertama. Dengan itu, kami menyimpulkan bahawa Yehuwa mengizinkan Babilon Besar untuk menawan umat-Nya buat suatu jangka masa yang pendek. Namun, saudara saudari setia yang berkhidmat kepada Yehuwa pada tahun 1914-1918 membuktikan dengan jelas bahawa mereka telah berusaha dengan sedaya upaya untuk meneruskan kerja penyebaran. Terdapat bukti yang kukuh untuk menyokong hal ini. Pemahaman yang tepat mengenai sejarah teokratik pada masa itu dapat membantu kita lebih memahami peristiwa yang tercatat dalam Bible.

6, 7. (a) Apakah cabaran-cabaran yang perlu diatasi oleh Pelajar Bible semasa Perang Dunia Pertama? (b) Berikan contoh yang membuktikan bahawa Pelajar Bible memang bersemangat.

6 Sebenarnya, Pelajar Bible yang hidup  semasa Perang Dunia Pertama (1914-1918) telah memberikan kesaksian yang hebat pada masa itu. Hal itu bukan senang untuk dilakukan. Mengapa? Kita akan mempertimbangkan dua sebab. Pertama, cara utama kerja penyebaran dijalankan pada masa itu adalah dengan mengedarkan bahan bacaan Bible. Apabila buku The Finished Mystery diharamkan oleh pihak kerajaan pada awal tahun 1918, kerja penyebaran menjadi sukar. Hal ini kerana Pelajar Bible belum lagi mengetahui cara menginjil dengan hanya menggunakan Alkitab. Mereka sebenarnya berharap bahawa buku The Finished Mystery dapat membantu mereka untuk memberikan kesaksian. Sebab kedua adalah disebabkan tercetusnya selesema Sepanyol pada tahun 1918. Hal ini menyukarkan para penyiar untuk membuat perjalanan dan kerja penyebaran. Walaupun menghadapi cabaran ini dan cabaran yang lain, Pelajar Bible terus mencurahkan usaha untuk menginjil.

Pelajar Bible sememangnya bersemangat! (Lihat perenggan 6, 7)

7 Pada tahun 1914, sekumpulan kecil Pelajar Bible menayangkan Drama-Foto Penciptaan kepada lebih daripada 9,000,000 orang. Drama itu yang mengandungi filem, slaid kaca berwarna, dan rakaman bunyi menceritakan sejarah manusia sejak penciptaan hingga akhir Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Hal itu sememangnya pencapaian yang besar! Fikirkan hal ini: Jumlah mereka yang menonton tayangan tersebut pada tahun 1914 melebihi jumlah penyiar yang aktif di dunia pada hari ini! Laporan juga menunjukkan bahawa pada tahun 1916 sejumlah 809,393 orang menghadiri perjumpaan umum di Amerika Syarikat. Jumlah tersebut meningkat kepada 949,444 pada tahun 1918. Pelajar Bible memang bersemangat!

8. Bagaimanakah keperluan rohani saudara saudari dipenuhi semasa Perang Dunia Pertama?

8 Semasa Perang Dunia Pertama, saudara yang mengambil pimpinan bekerja keras untuk menyediakan makanan rohani dan memberikan galakan kepada Pelajar Bible yang tercerai-berai. Hal ini telah memberi mereka kekuatan untuk meneruskan kerja penyebaran. Seorang penyiar aktif yang bernama Richard H. Barber berkata, “Kami telah menyokong beberapa penyelia litar untuk terus berkhidmat. Kami memastikan majalah The Watch Tower diedarkan dan dihantar ke Kanada walaupun majalah itu diharamkan di sana. Saya juga berpeluang  menghantar buku The Finished Mystery yang bersaiz kecil kepada beberapa orang kawan melalui pos kerana buku mereka telah dirampas. Saudara Rutherford juga menyuruh kami mengaturkan konvensyen di beberapa tempat di bahagian barat Amerika Syarikat serta menghantar penceramah untuk menggalakkan saudara saudari.”

BEBERAPA PERUBAHAN DIPERLUKAN

9. (a) Mengapakah umat Tuhan perlu dibetulkan dan didisiplinkan antara tahun 1914 dan 1919? (b) Walaupun umat Tuhan perlu dibetulkan dan didisiplinkan, apakah yang tidak patut kita simpulkan?

9 Apa yang dilakukan oleh Pelajar Bible antara tahun 1914 dan 1919 bukan semuanya berdasarkan prinsip Bible. Walaupun niat mereka ikhlas, mereka tidak mempunyai pandangan yang sesuai terhadap ketundukan kepada kerajaan tempatan. (Rm. 13:1) Maka, sebagai satu kumpulan, mereka tidak selalu berpendirian neutral dalam hal ehwal peperangan. Contohnya, apabila presiden Amerika Syarikat mengekhaskan tarikh 30 Mei 1918 sebagai hari untuk berdoa meminta kedamaian, majalah The Watch Tower menggalakkan Pelajar Bible untuk menyertainya. Sesetengah saudara membeli bon untuk menyokong peperangan secara kewangan. Ada pula menjadi askar dan turun ke medan perang. Walaupun umat Tuhan perlu dibetulkan dan didisiplinkan, kita tidak patut menyimpulkan bahawa itulah sebabnya Pelajar Bible menjadi tawanan Babilon Besar. Sebaliknya, mereka faham bahawa mereka bertanggungjawab untuk memisahkan diri daripada agama palsu. Semasa Perang Dunia Pertama, mereka sudah hampir memisahkan diri dengan sepenuhnya daripada empayar agama palsu sedunia.​—Baca Lukas 12:47, 48.

10. Apakah pendirian teguh Pelajar Bible mengenai kesucian nyawa?

10 Walaupun Pelajar Bible tidak memahami setiap aspek keneutralan Kristian seperti apa yang kita fahami hari ini, mereka tahu satu perkara: Bible melarang kita mencabut nyawa manusia. Walaupun terdapat saudara yang mengangkat senjata dan pergi berperang semasa Perang Dunia Pertama, mereka enggan menggunakan senjata untuk membunuh. Sesetengah daripada mereka yang enggan membunuh orang dihantar ke barisan depan agar mereka terkorban.

11. Apakah reaksi kerajaan apabila Pelajar Bible enggan mengangkat senjata dan berperang?

11 Si Iblis sangat marah terhadap pendirian para saudara mengenai peperangan walaupun pendirian itu belum sepenuhnya selaras dengan Bible. Akibatnya, dia “menimbulkan masalah dengan menggunakan undang-undang.” (Mzm. 94:20, NW) Jeneral dalam tentera Amerika Syarikat, James Franklin Bell, memberitahu Saudara Rutherford dan Saudara Van Amburgh bahawa pihak kerajaan cuba membuat undang-undang baharu untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap sesiapa yang enggan mengangkat senjata dan berperang. Dia sedang merujuk kepada Pelajar Bible. Jeneral itu begitu marah dan memberitahu Saudara Rutherford bahawa undang-undang itu tidak diluluskan kerana presiden Amerika Syarikat melarangnya. Kemudian, jeneral itu berkata, “Tetapi kami tahu cara mengenakan kamu, dan kami akan lakukannya!”

12, 13. (a) Mengapakah kelapan-lapan saudara itu dijatuhkan hukuman penjara yang lama? (b) Adakah hukuman ini menyebabkan para saudara tersebut patah semangat? Jelaskan.

12 Pihak kerajaan akhirnya dapat mencari cara untuk menghukum Pelajar Bible.  Saudara Rutherford, Van Amburgh, dan enam saudara lain yang mewakili Pertubuhan Watch Tower telah ditahan. Hakim yang menangani kes ini berkata bahawa para saudara ini adalah lebih berbahaya daripada askar Jerman. Dia berkata bahawa mereka telah melawan kerajaan, tentera, dan semua gereja. Oleh itu, mereka harus dijatuhkan hukuman berat. [1] Maka, kelapan-lapan Pelajar Bible itu dijatuhkan hukuman penjara yang lama. Mereka dipenjarakan di Atlanta, Georgia. Namun, apabila peperangan berakhir, mereka dibebaskan dan semua dakwaan terhadap mereka ditarik balik.

13 Semasa dipenjarakan, mereka bertekad untuk mentaati Hukum Tuhan. Bagaimana? Mereka menulis surat kepada presiden Amerika Syarikat dan meminta untuk dibebaskan daripada penjara. Dalam surat itu, mereka menyatakan bahawa Bible mengajar kita untuk tidak membunuh. Maka, sesiapa yang telah membaktikan diri kepada Tuhan tetapi mengingkari-Nya akan hilang perkenan-Nya dan dimusnahkan. Mereka menjelaskan bahawa itulah sebabnya mereka enggan membunuh orang lain. Apa yang dikatakan mereka kepada presiden memang menunjukkan keberanian! Jelaslah, para saudara ini tiada niat untuk berkompromi!

AKHIRNYA DIBEBASKAN!

14. Jelaskan apa yang berlaku antara tahun 1914 hingga 1919 dengan menggunakan ayat Bible.

14 Maleakhi 3:1-3 menjelaskan masanya apabila “para imam” dimurnikan antara tahun 1914 hingga 1919. (Baca.) Pada masa itu, Yehuwa, Tuhan yang benar, yang disertai ‘utusan-Nya,’ iaitu Yesus Kristus, datang ke Rumah Rohani Tuhan untuk memeriksa mereka yang berkhidmat di sana. Selepas Yehuwa membetulkan dan mendisiplinkan mereka, umat Tuhan telah bersedia untuk menerima tugas baharu. Pada tahun 1919, “hamba yang setia dan bijaksana” telah dilantik untuk menyediakan makanan rohani bagi semua hamba Tuhan. (Mat. 24:45) Umat Tuhan telah dibebaskan daripada pengaruh Babilon Besar. Sejak itu, pengetahuan umat Tuhan mengenai kehendak-Nya terus bertambah dan kasih mereka terhadap-Nya juga semakin mendalam. Betapa bersyukurnya mereka atas semua berkat itu! [2]

15. Bagaimanakah kita boleh menunjukkan bahawa kita bersyukur kerana dibebaskan daripada Babilon Besar?

15 Betapa gembiranya umat Tuhan kerana dibebaskan daripada belenggu Babilon Besar! Muslihat Syaitan untuk membasmi agama Kristian yang sejati telah gagal sama sekali. Namun, kita harus ingat akan tujuan Yehuwa untuk membebaskan umat-Nya. (2 Kor. 6:1) Ribuan orang masih berada dalam cengkaman agama palsu dan mereka harus melepaskan diri. Kita boleh membantu mereka. Marilah kita meneladani saudara saudari pada masa lampau dengan membantu orang lain membebaskan diri daripada agama palsu!

^ [1] (perenggan 12) Lihat buku Faith on the March, oleh A. H. Macmillan, muka surat 99.

^ [2] (perenggan 14) Terdapat banyak persamaan antara penawanan orang Yahudi selama 70 tahun di Babilon dengan apa yang berlaku kepada orang Kristian selepas kemurtadan mula menular. Namun, penawanan orang Yahudi nampaknya tidak melambangkan apa yang berlaku kepada orang Kristian. Salah satu faktor ialah jangka masa penawanan itu berbeza. Maka, kita tidak patut menganggap bahawa semua aspek yang terjadi kepada orang Yahudi yang ditawan di Babilon melambangkan apa yang berlaku kepada orang Kristian terurap sebelum tahun 1919.