Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Teruslah Menggalakkan Satu Sama Lain Setiap Hari”

“Teruslah Menggalakkan Satu Sama Lain Setiap Hari”

“Jika kamu ada kata-kata galakan, beritahulah semua orang di sini.”​KIS. 13:15.

LAGU: 121, 45

1, 2. Mengapakah memberikan galakan sangat penting?

“IBU BAPA jarang menggalakkan saya tetapi selalu mengkritik saya. Kata-kata mereka menyakitkan hati saya,” kata Cristina yang berumur 18 tahun. [1] “Mereka berkata bahawa saya tidak matang, tidak pandai, dan gemuk. Saya selalu menangis dan tidak mahu bercakap dengan mereka. Saya berasa saya tidak berguna.” Bayangkan betapa gelapnya kehidupan tanpa galakan!

2 Galakan sebenarnya membawa manfaat. Rubén berkata, “Selama bertahun-tahun, saya bergelut dengan perasaan bahawa saya tidak berguna. Pernah sekali, saya menginjil bersama seorang penatua yang sedar bahawa saya berasa tawar hati. Semasa saya meluahkan isi hati, dia mendengar dengan simpati. Kemudian, dia mengingatkan saya tentang segala perkara baik yang saya sedang lakukan. Dia juga mengingatkan saya tentang kata-kata Yesus bahawa kita jauh lebih berharga daripada banyak burung pipit. Saya sering ingat ayat Bible itu yang menyentuh hati saya. Kata-kata penatua itu sangat bermakna.”​—Mat. 10:31.

3. (a) Apakah yang dikatakan oleh Rasul Paulus mengenai galakan? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Bible berkata bahawa kita perlu selalu digalakkan. Paulus menulis,  “Saudara-saudara, berhati-hatilah supaya tidak ada seorang pun dalam kalangan kamu yang meninggalkan Tuhan yang hidup sehingga mempunyai hati yang jahat dan tidak beriman. Teruslah menggalakkan satu sama lain setiap hari. . . . Dengan demikian, tidak ada seorang pun dalam kalangan kamu yang menjadi keras hati disebabkan tipu daya dosa.” (Ibr. 3:12, 13) Jika anda teringat masanya galakan meriangkan hati anda, anda akan sedar bahawa saling menggalakkan adalah penting. Marilah kita mengkaji soalan-soalan ini: Mengapakah galakan sangat diperlukan? Apakah yang boleh kita pelajari daripada cara Yehuwa, Yesus, dan Paulus memberikan galakan? Bagaimanakah kita boleh memberikan galakan yang berkesan?

KITA MEMERLUKAN GALAKAN

4. Siapakah yang memerlukan galakan? Mengapakah kita kekurangan galakan hari ini?

4 Kita memerlukan galakan terutamanya semasa kita membesar. Seorang pendidik yang bernama Timothy Evans berkata, “Kanak-kanak memerlukan galakan sepertimana tumbuhan memerlukan air. Seorang anak akan mempunyai harga diri dan berasa dihargai apabila dia digalakkan.” Namun, kita hidup pada masa genting dan orang mementingkan diri, kurang kasih sayang, dan kurang menggalakkan satu sama lain. (2 Tim. 3:1-5) Sesetengah orang tidak pernah dipuji oleh ibu bapa mereka, maka mereka pun tidak biasa memuji anak-anak sendiri. Banyak pekerja juga tidak dipuji, jadi mereka mengadu bahawa mereka kekurangan galakan di tempat kerja.

5. Apakah yang terangkum semasa memberikan galakan?

5 Memberikan galakan merangkumi memuji seseorang atas perkara baik yang dilakukannya. Kita juga boleh meyakinkan orang bahawa mereka memiliki sifat-sifat baik atau “mengucapkan kata-kata yang melegakan hati kepada orang yang tawar hati.” (1 Tes. 5:14, nota kaki) Kata Yunani bagi perkataan “galakan” secara harfiah bermaksud “memanggil seseorang ke sisi kita.” Seraya kita berganding bahu berkhidmat kepada Yehuwa, kita berpeluang menggalakkan satu sama lain. (Baca Pengkhutbah 4:9, 10.) Adakah kita mengambil kesempatan untuk memberitahu orang lain sebabnya kita mengasihi dan menghargai mereka? Fikirlah ayat ini dengan mendalam: “Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya mendatangkan kegembiraan.”​—Ams. 15:23.

6. Mengapakah Si Iblis ingin kita tawar hati? Berikan contoh.

6 Syaitan Si Iblis ingin kita berasa tawar hati kerana hal itu dapat melemahkan kita secara rohani atau dengan cara lain. Amsal 24:10 (NW) berkata, “Jika kamu tawar hati pada masa kesusahan, kekuatanmu akan berkurang.” Syaitan menggunakan malapetaka dan dakwaan untuk mengecewakan Ayub, tetapi rancangan yang kejam itu tidak berjaya. (Ayb. 2:3; 22:3; 27:5) Kita dapat melawan rancangan Syaitan dengan menggalakkan ahli keluarga dan ahli sidang kita. Hal ini dapat menjadikan rumah tangga dan Dewan Perjumpaan kita suatu tempat yang bahagia dan selamat.

TELADAN YANG BOLEH DICONTOHI

7, 8. (a) Apakah contoh-contoh Bible yang menunjukkan bahawa memberikan galakan penting bagi Yehuwa? (b) Bagaimanakah ibu bapa boleh meneladani Yehuwa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

7 Yehuwa. Pemazmur bernyanyi, ‘Yehuwa dekat kepada orang yang tawar hati; Dia menyelamatkan mereka yang putus asa.’ (Mzm. 34:19) Apabila Yeremia berasa takut dan tawar hati, Yehuwa meyakinkan nabi yang setia itu. (Yer. 1:6-10) Bayangkan perasaan  nabi Daniel yang lanjut usia sewaktu Tuhan mengutus malaikat untuk menggalakkannya dan berkata, ‘Tuhan mengasihi engkau.’ (Dan. 10:8, 11, 18, 19) Bolehkah anda juga menggalakkan para penyiar, perintis, dan saudara saudari lanjut usia yang lemah?

8 Memandangkan Tuhan pernah bekerja lama bersama Anak kesayangan-Nya, adakah Dia berasa bahawa Dia tidak perlu menggalakkan Yesus sewaktu Yesus di bumi? Tidak. Sebaliknya, Tuhan memuji dan meyakinkan Yesus atas usahanya. Sudah tentu Yesus digalakkan apabila mendengar Bapanya bercakap dari syurga sebanyak dua kali dengan berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.” (Mat. 3:17; 17:5) Hal ini berlaku pada permulaan kerja penyebarannya dan pada tahun terakhir kehidupannya di bumi. Yehuwa juga mengutus malaikat untuk menguatkan Yesus pada malam sebelum kematiannya. (Luk. 22:43) Ibu bapa, teladanilah contoh Yehuwa dengan selalu menggalakkan anak anda dan memuji mereka atas usaha mereka. Anda juga boleh memberikan sokongan kepada anak sewaktu mereka menghadapi ujian iman di sekolah hari demi hari.

9. Apakah yang boleh kita pelajari daripada cara Yesus memperlakukan para rasul?

9 Yesus. Pada malam Yesus mengasaskan Peringatan, dia menyedari sikap angkuh para rasul. Yesus dengan rendah hati membasuh kaki mereka, namun mereka masih bertengkar tentang siapa yang terbesar dalam kalangan mereka. Petrus pula terlalu yakin pada diri sendiri. (Luk. 22:24, 33, 34) Walaupun demikian, Yesus memuji para rasul kerana mereka setia bersamanya semasa mengharungi cabaran. Dia berkata kepada para rasul bahawa mereka akan melaksanakan tugas yang lebih hebat daripada apa yang dilakukannya. Yesus juga meyakinkan mereka bahawa Tuhan mengasihi mereka. (Luk. 22:28; Yoh. 14:12; 16:27) Tanyalah diri, “Tidakkah saya harus meneladani Yesus dengan memuji anak dan orang lain atas usaha mereka dan bukannya berfokus kepada kelemahan mereka?”

10, 11. Bagaimanakah Paulus menunjukkan bahawa menggalakkan orang lain penting baginya?

10 Rasul Paulus. Dalam suratnya, Paulus mengatakan hal-hal baik mengenai rakan seimannya. Ada antara mereka pernah menyertai Paulus dalam perjalanannya selama bertahun-tahun. Sudah tentu Paulus mengetahui kelemahan mereka, tetapi dia mengatakan hal-hal baik tentang mereka. Contohnya, Paulus menggambarkan Timotius sebagai ‘anak kesayangannya yang mengikut Tuan Yesus dengan setia’ dan yang dapat menjaga keperluan rakan seiman. (1 Kor. 4:17; Flp. 2:19, 20) Paulus memberitahu orang Kristian di Korintus bahawa Titus “ialah rakan sekerjaku yang berkhidmat demi kepentingan kamu.” (2 Kor. 8:23) Timotius dan Titus tentu digalakkan apabila mengetahui pandangan Paulus terhadap mereka.

11 Paulus dan Barnabas membahayakan nyawa apabila kembali ke tempat di mana mereka diserang dengan ganas. Contohnya, mereka kembali semula ke Listra meskipun ditentang agar dapat menggalakkan murid-murid baharu di sana untuk terus setia kepada Yehuwa. (Kis. 14:19-22) Di Efesus, Paulus berhadapan dengan kumpulan perusuh. Kisah 20:1, 2 menyatakan, “Setelah keadaan yang huru-hara . . . reda, Paulus memanggil murid-murid Yesus. Dia menggalakkan mereka dan mengucapkan selamat tinggal. Kemudian, dia memulakan perjalanannya ke Makedonia. Dia mengunjungi kawasan-kawasan di situ dan mengucapkan kata-kata galakan kepada murid-murid Yesus.” Jelaslah, menggalakkan orang lain sangat penting bagi Paulus.

 GALAKKAN SATU SAMA LAIN

12. Apakah yang akan kita nikmati semasa menghadiri perjumpaan?

12 Satu sebab Yehuwa mengaturkan perjumpaan setiap minggu adalah supaya kita boleh menggalakkan satu sama lain. (Baca Ibrani 10:24, 25.) Seperti pengikut Yesus pada abad pertama, kita berhimpun bersama untuk belajar dan digalakkan. (1 Kor. 14:31) Cristina yang disebut pada awal rencana berkata, “Saya sangat suka perjumpaan kerana di sana saya menerima kasih dan galakan. Ada kalanya saya tawar hati apabila tiba di Dewan Perjumpaan. Tetapi saudari-saudari memeluk saya dan berkata bahawa saya kelihatan cantik. Mereka berkata bahawa mereka mengasihi saya dan gembira melihat kemajuan rohani saya. Galakan mereka menggirangkan hati saya!” Betapa menyegarkannya jika kita semua berusaha menggalakkan satu sama lain.​—Rm. 1:11, 12.

13. Mengapakah hamba Tuhan yang berpengalaman memerlukan galakan?

13 Hamba Yehuwa yang berpengalaman pun memerlukan galakan. Fikirkan Yosua yang telah lama berkhidmat kepada Yehuwa. Yehuwa menyuruh Musa untuk menggalakkan Yosua melalui kata-kata ini, “Berikanlah petunjuk-petunjuk kepada Yosua. Kuatkanlah hatinya, kerana dialah yang akan memimpin umat ke seberang sungai untuk menduduki tanah yang engkau nampak itu.” (Ul. 3:27, 28) Yosua bakal memikul tanggungjawab yang besar untuk memimpin orang Israel menakluki Tanah yang Dijanjikan. Dia akan mengalami cabaran dan tewas dalam sekurang-kurangnya satu pertempuran. (Yos. 7:1-9) Itulah sebabnya Yosua perlu digalakkan dan dikuatkan! Marilah kita juga menggalakkan penatua, penyelia litar, serta mereka yang bekerja keras untuk menjaga kawanan Tuhan. (Baca 1 Tesalonika 5:12, 13.) Seorang penyelia litar berkata, “Ada kalanya, rakan seiman menulis surat untuk memberitahu bahawa mereka berterima kasih dan menikmati kunjungan kami. Kami menyimpan surat ini dan membacanya apabila berasa kurang bersemangat. Surat ini banyak menggalakkan kami.”

Anak-anak kita akan membuat kemajuan jika kita menggalakkan mereka (Lihat perenggan 14)

14. Apakah yang menunjukkan bahawa nasihat adalah lebih efektif jika disertai dengan pujian dan galakan?

14 Penatua dan ibu bapa berasa bahawa memberikan nasihat Bible menjadi lebih berkesan jika disertai dengan pujian dan galakan. Paulus memuji orang Kristian di Korintus kerana mengikut nasihatnya. Sudah tentu hal ini menggalakkan mereka untuk terus berbuat baik. (2 Kor. 7:8-11) Andreas yang mempunyai dua orang anak berkata, “Galakan membantu anak-anak untuk membuat kemajuan secara rohani dan emosi. Nasihat menjadi lebih efektif jika disertai dengan galakan. Anak-anak kami tahu apa  yang betul daripada yang salah. Tetapi, galakan yang kami berikan dapat membantu mereka untuk sentiasa ingin melakukan apa yang betul.”

CARA MEMBERIKAN GALAKAN YANG BERKESAN

15. Bagaimanakah kita boleh menggalakkan orang lain?

15 Menunjukkan penghargaan atas usaha baik dan sifat positif rakan seiman. (2 Taw. 16:9; Ayb. 1:8) Yehuwa dan Yesus menghargai usaha setiap individu yang menyokong Kerajaan Tuhan, walaupun usaha dan sumbangan mereka terhad disebabkan keadaan. (Baca Lukas 21:1-4; 2 Korintus 8:12.) Contohnya, sesetengah rakan seiman yang berusia berusaha sedaya upaya untuk menghadiri perjumpaan dan menyertai aktiviti penyebaran. Tidakkah kita patut memuji dan menggalakkan mereka?

16. Bilakah kita boleh menggalakkan orang lain?

16 Cari peluang untuk menggalakkan orang. Jika kita melihat seseorang mencurahkan usaha yang baik, pujilah dia. Fikirkan apa yang berlaku apabila Paulus dan Barnabas berada di Antiokhia yang terletak di Pisidia. Ketua-ketua rumah ibadat memberitahu mereka, “Saudara-saudara, jika kamu ada kata-kata galakan, beritahulah semua orang di sini.” Paulus mengambil peluang untuk memberikan ceramah yang menggalakkan. (Kis. 13:13-16, 42-44) Jika kita diberi peluang untuk memberikan kata-kata galakan, ambillah kesempatan itu. Jika kita mempunyai kebiasaan untuk memberikan galakan, kita akan sedar bahawa orang juga akan menggalakkan kita.​—Luk. 6:38.

17. Apakah cara terbaik untuk memberikan pujian dan galakan?

17 Ikhlas dan spesifik. Pujian dan galakan memang bermanfaat, tetapi mesej Yesus kepada orang Kristian di Tiatira menunjukkan bahawa galakan yang spesifik adalah lebih berkesan. (Baca Wahyu 2:18, 19.) Contohnya, ibu bapa boleh memberitahu anak bahawa mereka menghargai aspek tertentu dalam kemajuan rohani anak. Kita boleh memberitahu seorang ibu tunggal bahawa kita berasa teruja tentang cara dia membesarkan anaknya walaupun menghadapi cabaran. Pujian dan galakan sedemikian memang berkesan!

18, 19. Bagaimanakah kita memberikan galakan kepada orang yang memerlukannya?

18 Yehuwa menyuruh Musa menggalakkan dan menguatkan Yosua. Tetapi pada hari ini, Yehuwa tidak menyuruh kita untuk menggalakkan orang tertentu. Namun, Tuhan berasa gembira apabila kita menggalakkan rakan seiman dan orang lain. (Ams. 19:17; Ibr. 12:12) Misalnya, kita boleh memberitahu seorang penceramah bahawa ceramahnya mengandungi nasihat yang diperlukan atau membantu kita memahami ayat Bible. Seorang saudari menulis kepada penceramah undangan, “Walaupun kita hanya mengadakan perbualan yang singkat, anda memahami isi hati saya. Anda juga membina dan melegakan hati saya. Saya ingin anda tahu bahawa apabila anda bercakap dalam cara yang lemah lembut, sama ada dari pentas atau secara peribadi, saya berasa itu ialah kurniaan daripada Yehuwa.”

19 Kita pasti dapat mencari banyak peluang untuk membina kerohanian orang lain jika kita bertekad menerapkan nasihat Paulus: “Teruslah menggalakkan dan menguatkan satu sama lain, sebagaimana yang sedang kamu lakukan.” (1 Tes. 5:11) Kita semua pasti akan menggembirakan Yehuwa jika kita ‘terus menggalakkan satu sama lain setiap hari.’

^ [1] (perenggan 1) Sesetengah nama telah diubah.