Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Diaturkan Menurut Firman Tuhan

Diaturkan Menurut Firman Tuhan

‘Yehuwa menciptakan bumi dengan hikmat-Nya; Dia membentangkan langit dengan pengetahuan-Nya.’​—AMS. 3:19.

LAGU: 105, 107

1, 2. (a) Apakah reaksi sesetengah orang terhadap kewujudan organisasi Tuhan? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

SESETENGAH orang mungkin berkata, “Anda tidak perlu sebuah organisasi untuk memimpin anda. Anda hanya perlu mempunyai hubungan dengan Tuhan.” Namun, adakah pandangan sedemikian betul? Apakah hakikatnya?

2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bukti yang menunjukkan bahawa Tuhan Yehuwa merupakan Pengatur yang teragung. Kita juga akan membincangkan reaksi kita terhadap arahan yang diterima daripada organisasi Yehuwa. (1 Kor. 14:33, 40) Pada abad pertama dan pada hari ini, Ayat-Ayat Suci membantu organisasi Yehuwa di bumi untuk melakukan kerja menginjil di banyak tempat. Oleh sebab kita menuruti Bible dan arahan organisasi Tuhan, kita memupuk kebersihan, kedamaian, dan perpaduan sidang.

PENGATUR YANG TERAGUNG

3. Apakah yang meyakinkan anda bahawa Yehuwa ialah Pengatur yang teragung?

3 Ciptaan membuktikan Tuhan ialah Pengatur yang teragung. Bible menyatakan, ‘Yehuwa menciptakan bumi dengan hikmat-Nya; Dia membentangkan langit dengan pengetahuan-Nya.’ (Ams. 3:19) Kita hanya mengetahui “sekelumit daripada  perbuatan-Nya yang menakjubkan, dan hanyalah bisikan yang sampai di telinga kita.” (Ayb. 26:14, NW) Walaupun pengetahuan kita terhad mengenai planet, bintang, dan galaksi, kita terdorong untuk mengakui bahawa cakerawala sangat teratur. (Mzm. 8:4, 5) Galaksi mengandungi jutaan bintang yang bergerak dalam cara yang tertib. Bahkan, planet-planet dalam sistem suria bergerak mengelilingi matahari mengikut orbit ibarat kenderaan yang menuruti undang-undang jalan raya! Hal itu memang menakjubkan dan membantu kita melihat bahawa Yehuwa ‘dengan kebijaksanaan-Nya menjadikan langit’ dan bumi. Dia layak menerima pujian, kesetiaan, dan penyembahan kita.​—Mzm. 136:1, 5-9.

4. Mengapakah saintis gagal untuk menjawab banyak soalan?

4 Saintis telah menggunakan pengetahuan yang dipelajari daripada alam semesta dan bumi untuk meningkatkan mutu kehidupan kita. Namun, saintis tidak dapat menjawab banyak soalan. Contohnya, ahli astronomi tidak dapat memberitahu dengan tepatnya bagaimana alam semesta wujud atau mengapa kita berada di bumi ini yang penuh dengan kehidupan. Secara amnya, manusia tidak dapat menjelaskan mengapa kita mempunyai keinginan kuat untuk hidup selama-lamanya. (Pkh. 3:11) Jadi, mengapakah banyak soalan yang penting tidak terjawab? Hal ini demikian kerana kebanyakan saintis dan pihak lain menyokong teori evolusi dan menggalakkan pemikiran bahawa Tuhan tidak wujud. Namun dalam Firman Tuhan, Yehuwa menjawab soalan-soalan yang membelenggu minda manusia.

5. Bagaimanakah manusia bergantung pada hukum alam?

5 Hukum alam yang diasaskan Yehuwa sangat konsisten. Para juruelektrik, tukang paip, jurutera, juruterbang, dan pakar bedah bergantung pada hukum-hukum ini untuk menjalankan tugas mereka. Misalnya, jantung setiap orang terletak di tempat yang sama dalam badan. Maka, seorang pakar bedah tahu di mana terletaknya jantung pesakit. Semua orang juga mengetahui bahawa jika seseorang melompat dari tempat yang tinggi, dia akan jatuh dan mungkin kehilangan nyawa. Maka untuk tetap hidup, kita perlu mematuhi hukum alam seperti daya graviti.

DIATURKAN OLEH TUHAN

6. Mengapakah umat Yehuwa juga harus teratur?

6 Alam semesta diciptakan dengan teratur. Sudah pasti, Yehuwa juga menginginkan penyembah-Nya teratur. Oleh itu, Tuhan mengurniakan Bible untuk membimbing kita. Tanpa bimbingan organisasi Tuhan dan standard-Nya, kehidupan kita menjadi sengsara dan tidak bahagia.

7. Bagaimanakah kita tahu bahawa Bible dihasilkan dengan teratur?

7 Bible bukan hanya sebuah koleksi sastera orang Yahudi dan orang Kristian. Sebaliknya, Bible dihasilkan dengan teratur dan diilhami Tuhan. Setiap buku kecil Bible berkait rapat dengan satu sama lain. Dari buku Kejadian hingga buku Wahyu terdapat satu tema utama, iaitu penegakan kedaulatan Yehuwa dan pelaksanaan kehendak-Nya di bumi menerusi Kerajaan Tuhan yang dipimpin oleh ‘keturunan’ yang dijanjikan, Yesus Kristus.​—Baca Kejadian 3:15; Matius 6:10; Wahyu 11:15.

8. Bagaimanakah kita tahu bahawa orang Israel sangat teratur?

8 Umat Israel pada masa kuno sangat teratur. Di bawah Hukum Musa, kaum wanita diaturkan untuk ‘bertugas di pintu masuk Khemah Yehuwa.’ (Kel. 38:8) Orang Israel diberi arahan tentang cara memindahkan khemah mereka dan khemah suci dengan  teratur. Kemudian, Raja Daud membahagikan orang Lewi dan para imam kepada beberapa kumpulan. (1 Taw. 23:1-6; 24:1-3) Apabila orang Israel mentaati arahan Yehuwa, mereka menikmati ketertiban, kedamaian, dan perpaduan.​—Ul. 11:26, 27; 28:1-14.

9. Bagaimanakah kita tahu bahawa sidang Kristian pada abad pertama sangat teratur?

9 Sidang Kristian pada abad pertama juga teratur. Mereka meraih manfaat daripada bimbingan badan pimpinan yang pada mulanya terdiri daripada para rasul. (Kis. 6:1-6) Kemudian beberapa penatua juga dilantik untuk menjadi sebahagian daripada badan pimpinan. (Kis. 15:6) Menerusi surat yang ditulis oleh badan pimpinan atau orang yang bekerja rapat dengan mereka, nasihat dan arahan disampaikan kepada sidang Kristian. (1 Tim. 3:1-13; Tit. 1:5-9) Apakah manfaat yang diraih oleh sidang yang mengikut bimbingan badan pimpinan?

10. Apakah hasilnya apabila sidang pada abad pertama mentaati perintah daripada badan pimpinan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

10 Baca Kisah 16:4, 5. Saudara-saudara yang mewakili badan pimpinan membuat perjalanan untuk “menyampaikan perintah para rasul dan para penatua di Yerusalem.” Apabila sidang mentaati perintah tersebut, “iman orang di sidang-sidang itu semakin teguh, dan setiap hari, bilangan mereka semakin bertambah.” Apakah yang boleh kita pelajari daripada teladan mereka?

ADAKAH ANDA MENGIKUT ARAHAN?

11. Apakah seharusnya reaksi saudara yang terlantik apabila mendapat arahan daripada organisasi Tuhan?

11 Apakah yang harus dilakukan oleh ahli Jawatankuasa Cawangan atau Jawatankuasa Tempatan, penyelia litar, dan penatua apabila mereka mendapat arahan daripada organisasi Tuhan hari ini? Firman Yehuwa memberitahu kita semua untuk menunjukkan ketaatan dan ketundukan. (Ul. 30:16; Ibr. 13:7, 17) Semangat suka mengkritik atau memberontak tidak sepatutnya wujud dalam organisasi Tuhan. Sikap sedemikian boleh menjejaskan kasih, kedamaian, dan perpaduan sidang. Sememangnya, orang Kristian yang setia tidak akan menunjukkan sikap tidak hormat dan tidak setia seperti Diotrefes. (Baca 3 Yohanes 9, 10.) Maka tanyalah diri, “Adakah saya membantu membina kerohanian orang di sekeliling saya? Adakah saya segera menerima dan mentaati arahan saudara yang mengambil pimpinan?”

12. Apakah perubahan dalam cara pelantikan penatua dan pembantu sidang?

12 Fikirkan keputusan yang dibuat oleh Badan Pimpinan baru-baru ini. Rencana “Pertanyaan Pembaca” dalam majalah Menara Pengawal terbitan 15 November 2014 menyatakan perubahan dalam cara pelantikan penatua dan pembantu sidang. Rencana itu menyatakan bahawa badan pimpinan pada abad pertama mengizinkan penyelia lawatan untuk membuat pelantikan sedemikian. Dengan mengikut contoh pada abad pertama, penyelia litar mula melantik penatua dan pembantu sidang sejak 1 September 2014. Semasa mengunjungi sidang, dia akan cuba mengenali dan menginjil bersama saudara yang dicalonkan itu. Dia juga akan memerhatikan keluarga saudara yang dicalonkan itu. (1 Tim. 3:4, 5) Badan penatua dan penyelia litar akan meneliti syarat-syarat Bible dalam pelantikan penatua dan pembantu sidang.—1 Tim. 3:1-10, 12, 13; 1 Ptr. 5:1-3.

13. Bagaimanakah kita boleh menyokong arahan yang diberikan oleh para penatua?

13 Kita perlu mengikut nasihat Bible yang diberikan oleh para penatua. Para gembala ini dibimbing oleh “ajaran sihat,” atau arahan “berfaedah” yang terdapat dalam  Firman Tuhan. (1 Tim. 6:3; nota kaki) Fikirkan nasihat Paulus tentang orang yang tidak bertatatertib dalam sidang. Sesetengah orang “langsung tidak bekerja dan suka mencampuri urusan orang lain.” Mereka telah dinasihati oleh para penatua tetapi masih tidak mengendahkan nasihat yang diberikan. Bagaimanakah sidang harus memperlakukan orang sedemikian? Paulus menasihati, “Tandailah orang itu dan jangan lagi bergaul dengannya.” Namun, sidang tidak harus menganggapnya sebagai musuh. (2 Tes. 3:11-15, nota kaki) Hari ini, para penatua mungkin memberikan amaran melalui ceramah mengenai seorang rakan seiman yang tetap mengikut haluan yang boleh membawa nama buruk terhadap sidang. Contohnya, dia mungkin berdating dengan seorang yang bukan penyembah Yehuwa. (1 Kor. 7:39) Apakah reaksi anda apabila penatua memberikan ceramah sedemikian? Jika anda sedar akan situasi yang dijelaskan dalam ceramah itu, adakah anda akan berwaspada agar tidak bergaul dengan orang sedemikian? Kasih dan pendirian anda dapat mendorong orang itu untuk meninggalkan haluan yang tidak bertatatertib. [1]

KEKALKAN KEBERSIHAN, KEDAMAIAN, DAN PERPADUAN

14. Bagaimanakah kita boleh menyumbang kepada kebersihan rohani dalam sidang?

14 Kita boleh menyumbang kepada kebersihan rohani dalam sidang dengan mengikut arahan dalam Firman Tuhan. Perhatikan situasi yang berlaku di Korintus pada zaman kuno. Paulus telah mencurahkan banyak usaha untuk menginjil di kota itu dan dia sangat mengasihi para ‘umat suci’ di sana. (1 Kor. 1:1, 2) Bayangkan perasaannya apabila dia mengetahui bahawa seorang daripada mereka melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral dan orang itu dibiarkan berada dalam sidang. Paulus mengarahkan para penatua untuk menyerahkan orang sebegitu kepada Syaitan, atau dalam erti kata lain menyingkirkan orang itu. Untuk mengekalkan kesucian sidang, para penatua perlu menyingkirkan “ragi.” (1 Kor. 5:1, 5-7, 12) Apabila kita menyokong keputusan penatua untuk menyingkirkan seorang pendosa yang tidak bertaubat, kita sebenarnya membantu untuk mengekalkan kebersihan sidang. Hal ini juga mungkin dapat mendorong pendosa tersebut untuk bertaubat dan memohon pengampunan Yehuwa.

15. Bagaimanakah kita dapat mengekalkan kedamaian dalam sidang?

15 Terdapat satu lagi masalah yang perlu ditangani di Korintus. Beberapa saudara mendakwa rakan seiman mereka di mahkamah. Paulus menanya mereka, “Mengapakah kamu tidak membiarkan diri kamu diperlakukan dengan tidak adil?” (1 Kor. 6:1-8) Situasi serupa juga berlaku hari ini. Kadangkala, kedamaian dalam sidang terjejas akibat masalah perjanjian urus niaga antara rakan seiman. Ada orang Kristian mendakwa rakan niaga mereka di mahkamah kerana mengalami kerugian atau menganggap bahawa rakan niaga itu membuat penipuan. Tetapi, Firman Tuhan membantu kita untuk melihat bahawa adalah lebih baik untuk menanggung kerugian daripada mencela nama Tuhan atau mengganggu kedamaian sidang. [2] Untuk mengatasi masalah serius dan perbalahan, kita harus menerapkan nasihat Yesus. (Baca Matius 5:23, 24; 18:15-17.) Dengan demikian, kita dapat memupuk perpaduan dalam kalangan penyembah Yehuwa.

16. Mengapakah umat Tuhan bersatu padu?

16 Firman Tuhan membantu kita melihat bahawa umat Tuhan bersatu padu. Pemazmur menyanyikan, ‘Alangkah baiknya dan indahnya apabila umat Tuhan hidup dengan  rukun!’ (Mzm. 133:1) Apabila orang Israel mentaati Yehuwa, mereka menjadi umat yang teratur dan bersatu padu. Mengenai keadaan umat Tuhan pada masa depan, Tuhan bernubuat, “Aku akan menyatukan mereka, dan mereka akan menjadi seperti biri-biri yang dikumpulkan di dalam sebuah kandang.” (Mi. 2:12, NW) Yehuwa juga bernubuat melalui Nabi Zefanya, “Pada masa itu, Aku akan mengajar bangsa-bangsa untuk menuturkan bahasa yang murni [kebenaran Bible], agar mereka semua menyeru nama Aku, Yehuwa, dan berganding bahu untuk berkhidmat kepada-Ku [atau, “bersatu padu untuk menyembah Aku,” nota kaki].” (Zef. 3:9, NW) Kita bersyukur kerana mempunyai peluang istimewa untuk menyembah Yehuwa dengan bersatu padu!

Para penatua menghulurkan bantuan rohani kepada mereka yang mengambil langkah yang salah (Lihat perenggan 17)

17. Untuk mengekalkan perpaduan dan kebersihan sidang, bagaimanakah para penatua harus menangani kes pengadilan?

17 Untuk mengekalkan perpaduan dan kebersihan sidang, para penatua harus menangani kes pengadilan dengan segera dan dengan penuh kasih. Paulus tahu bahawa Tuhan tidak sekadar mengikut perasaan dan tidak meremehkan perbuatan salah. (Ams. 15:3) Jadi, Paulus menulis surat Korintus pertama yang tegas tetapi mencerminkan kasih. Surat Korintus kedua ditulis beberapa bulan kemudian. Surat ini memuji kemajuan dalam sidang kerana para penatua menerapkan arahan Paulus. Jika seorang Kristian mengambil langkah yang salah sebelum menyedarinya, penatua haruslah mencuba untuk membetulkannya dengan lemah lembut.​—Gal. 6:1.

18. (a) Bagaimanakah nasihat dalam Firman Tuhan membantu sidang abad pertama? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

18 Jelaslah, nasihat dalam Firman Tuhan telah membantu orang Kristian abad pertama di Korintus dan tempat lain untuk mengekalkan kebersihan, kedamaian, dan perpaduan sidang. (1 Kor. 1:10; Ef. 4:11-13; 1 Ptr. 3:8) Hasilnya, saudara saudari pada masa itu dapat melaksanakan kerja penyebaran. Dengan itu, Paulus mengatakan bahawa berita baik “sudah disebarkan kepada semua ciptaan di bawah langit.” (Kol. 1:23) Hari ini, umat Yehuwa juga bersatu padu dan teratur. Mereka sedang menyebarkan berita baik di seluas dunia. Rencana seterusnya akan memberikan lebih banyak bukti tentang bagaimana umat Tuhan menjunjung tinggi Bible dan bertekad untuk menghormati Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.​—Mzm. 71:15, 16.

^ [1] (perenggan 13) Lihat buku Diorganisasi untuk Melakukan Kehendak Yehuwa, muka surat 150-151, dalam bahasa Indonesia.

^ [2] (perenggan 15) Untuk maklumat mengenai situasi yang mungkin memerlukan seorang Kristian memutuskan sama ada untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap rakan seiman, lihat nota kaki pada muka surat 255 dalam buku Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan.