Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 RENCANA PEMBELAJARAN 22

Tingkatkan Mutu Pembelajaran Anda!

Tingkatkan Mutu Pembelajaran Anda!

“Mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.”​—FLP. 1:10.

LAGU 35 “Mengenal Pasti Perkara-Perkara yang Lebih Penting”

PENGENALAN *

1. Mengapakah sesetengah orang tidak suka membuat pembelajaran?

BUKAN senang untuk mencari nafkah pada hari ini. Ramai daripada saudara saudari kita perlu bekerja untuk waktu yang panjang, semata-mata demi mencari sesuap nasi bagi keluarga sendiri. Ada yang menghabiskan masa berjam-jam untuk berulang-alik dari tempat kerja, manakala yang lain melakukan kerja yang memerlukan banyak tenaga fizikal. Selepas bekerja sehari suntuk, saudara saudari kita tentu sangat penat dan berasa tidak larat untuk membuat pembelajaran.

2. Bilakah masanya anda membuat pembelajaran?

2 Namun, kita mesti meluangkan masa untuk mengkaji Firman Tuhan dan bahan bacaan Kristian. Hal itu sangat penting kerana dapat mempengaruhi hubungan kita dengan Yehuwa dan masa depan kita! (1 Tim. 4:15, 16) Sesetengah orang bangun awal setiap hari untuk membuat pembelajaran, kerana pada masa itu, rumah mereka sunyi dan minda mereka segar. Yang lain meluangkan beberapa minit sebelum tidur untuk bersendirian, supaya mereka dapat mengkaji dan merenungkan Bible dan bahan bacaan Bible.

3-4. Apakah perubahan yang telah dibuat untuk bahan terbitan kita, dan apakah tujuannya?

3 Anda pasti setuju bahawa kita perlu meluangkan masa untuk membuat pembelajaran. Namun, apakah yang patut kita kaji? Anda mungkin berkata, “Susah untuk baca semuanya, sebab ada terlalu banyak bahan.” Sesetengah orang dapat membaca atau menonton semua bahan yang disediakan, tetapi ramai yang berasa bahawa mereka tidak ada cukup masa untuk berbuat demikian. Badan Pimpinan sedar akan cabaran ini. Maka, baru-baru ini, arahan telah diberikan untuk mengurangkan jumlah bahan bercetak dan bahan elektronik yang disediakan.

4 Contohnya, kita tidak lagi menerbitkan Buku Tahunan Saksi-Saksi  Yehuwa, kerana banyak pengalaman yang menggalakkan kini terdapat di jw.org® dan program bulanan Siaran JW. Selain itu, edisi umum Menara Pengawal dan majalah Sedarlah! kini diterbitkan tiga kali setahun sahaja. Tujuan perubahan-perubahan ini bukanlah untuk memberi kita lebih banyak masa bagi aktiviti-aktiviti lain, tetapi supaya kita dapat memberikan lebih banyak perhatian kepada “perkara-perkara yang lebih penting.” (Flp. 1:10) Mari kita bincang cara untuk mengenal pasti perkara yang harus diutamakan dan cara untuk meraih manfaat yang sepenuhnya semasa membuat pembelajaran peribadi.

TENTUKAN KEUTAMAAN ANDA

5-6. Apakah bahan bacaan yang harus kita kaji dengan teliti?

5 Apakah bahan-bahan yang harus diberi keutamaan? Kita patut meluangkan masa setiap hari untuk mengkaji Firman Tuhan. Kini, jumlah ayat Bible yang dijadualkan untuk pembacaan Bible mingguan telah dikurangkan, supaya kita mempunyai lebih banyak masa untuk membuat perenungan dan penyelidikan selanjutnya. Kita bukan sahaja ingin membaca semua ayat Bible yang dijadualkan, tetapi juga membiarkan mesej Bible menyentuh hati kita dan membantu kita lebih menghampiri Yehuwa.​—Mzm. 19:14.

6 Apakah bahan-bahan lain yang harus kita kaji dengan teliti? Kita patut membuat persiapan untuk Pembelajaran Menara Pengawal dan Pembelajaran Bible Sidang. Kita juga perlu membuat persiapan bagi perjumpaan pertengahan minggu. Selain itu, kita harus membaca setiap majalah Menara Pengawal dan Sedarlah!

7. Patutkah kita berasa tawar hati jika kita tidak dapat membaca atau menonton semua maklumat di jw.org dan Siaran JW?

7 Anda mungkin berkata, “Memang betul, tetapi ada banyak lagi bahan di jw.org dan Siaran JW! Bagaimanakah saya dapat membaca dan menonton semuanya?” Fikirkan contoh ini: Banyak jenis makanan yang enak dihidangkan semasa bufet di restoran. Para pelanggan tidak mungkin dapat merasai semuanya, jadi mereka akan memilih beberapa hidangan sahaja. Begitu juga, jika anda tidak dapat membaca atau menonton semua maklumat yang disediakan di laman web kita, janganlah tawar hati. Bacalah atau tontonlah apa yang anda mampu sahaja. Sekarang, mari kita bincangkan apa yang terlibat dalam membuat pembelajaran dan cara untuk meraih manfaat yang sepenuhnya.

PEMBELAJARAN MEMERLUKAN USAHA!

8. Apakah langkah-langkah yang dapat kita ambil semasa mengkaji Menara Pengawal? Apakah manfaat berbuat demikian?

8 Membuat pembelajaran bermaksud berfokus semasa membaca dan berusaha mempelajari sesuatu yang penting. Pembelajaran bukan sekadar membaca dengan sepintas lalu dan menggariskan jawapan. Semasa membuat persiapan untuk pembelajaran Menara Pengawal, cubalah langkah-langkah berikut: Mula-mulanya, baca bahagian pengenalan di awal rencana. Kemudian, perhatikan tajuk rencana, tajuk-tajuk kecil, dan soalan ulang kaji. Selepas itu, bacalah seluruh rencana secara perlahan-lahan dan teliti. Berikan perhatian kepada ayat pertama setiap perenggan, kerana ayat itulah yang biasanya menyatakan isi penting yang hendak ditegaskan dalam perenggan. Semasa membaca, fikirkan kaitan setiap perenggan dengan tajuk kecil dan tema utama rencana. Catatkan mana-mana perkataan atau isi yang ingin anda selidiki dengan selanjutnya.

9. (a) Semasa mengkaji Menara Pengawal, mengapakah kita harus memberikan perhatian khusus kepada ayat-ayat Bible yang tertera? Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? (b) Seperti yang dinyatakan di Yosua 1:8, apakah yang harus kita lakukan selain membaca ayat-ayat Bible?

9 Pembelajaran Menara Pengawal bertujuan  membantu kita memahami Bible. Maka, perhatikanlah ayat-ayat Bible yang tertera, terutamanya ayat Bible yang akan dibaca semasa perbincangan di sidang. Fikirkan bagaimana ungkapan atau kata kunci dalam ayat Bible menyokong isi utama perenggan. Selain itu, luangkanlah masa untuk merenungkan ayat Bible yang dibaca, dan fikirkan bagaimana anda dapat menerapkan nasihatnya dalam kehidupan sendiri.​—Baca Yosua 1:8.

Ibu bapa, ajarlah anak-anak anda cara membuat pembelajaran (Lihat perenggan 10) *

10. Menurut Ibrani 5:14, mengapakah ibu bapa harus meluangkan masa semasa penyembahan keluarga untuk mengajar anak-anak mereka cara membuat pembelajaran dan penyelidikan?

10 Ibu bapa tentu ingin membuat perancangan supaya anak-anak dapat menikmati program Penyembahan Keluarga mereka. Namun, hal itu tidak bermaksud mereka mesti mengaturkan kegiatan atau projek yang istimewa setiap minggu. Waktu Penyembahan Keluarga memang boleh digunakan untuk menonton program bulanan Siaran JW, dan dari masa ke masa, projek istimewa seperti membina model bahtera Nuh boleh dilakukan. Tetapi ingatlah bahawa anak-anak juga perlu diajar cara untuk membuat pembelajaran. Contohnya, mereka perlu belajar cara membuat persiapan bagi perjumpaan atau cara membuat penyelidikan tentang masalah yang timbul di sekolah. (Baca Ibrani 5:14.) Jika anak-anak meluangkan masa untuk projek pembelajaran semasa di rumah, hal itu akan membantu mereka untuk menumpukan perhatian semasa bahagian-bahagian perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen yang mungkin tidak mengandungi video. Sudah tentu, waktu yang dikhaskan untuk membuat pembelajaran akan ditentukan mengikut usia dan keperibadian anak-anak.

11. Mengapakah penting untuk mengajar pelajar Bible kita cara membuat pembelajaran peribadi?

11 Pelajar Bible kita juga perlu tahu cara membuat pembelajaran. Semasa mereka baru mula belajar, kita rasa gembira jika mereka menggariskan jawapan untuk pembelajaran Bible atau perjumpaan. Namun, kita perlu mengajar mereka cara membuat penyelidikan dan pembelajaran peribadi yang mendalam. Dengan itu, mereka tidak perlu segera meminta bantuan daripada orang lain di sidang sewaktu menghadapi masalah. Sebaliknya, mereka dapat membuat penyelidikan sendiri dan mencari nasihat yang sesuai dalam bahan bacaan kita.

TETAPKAN MATLAMAT SEMASA MEMBUAT PEMBELAJARAN

12. Apakah matlamat yang dapat kita tetapkan semasa membuat pembelajaran?

12 Jika anda tidak gemar membuat pembelajaran, bagaimanakah anda dapat menikmati kegiatan  ini? Cubalah sesi pembelajaran yang singkat terlebih dahulu, dan tambahkan masanya secara beransur-ansur. Selain itu, tetapkanlah matlamat semasa membuat pembelajaran. Sudah tentu, matlamat kita yang terbesar adalah untuk menghampiri Yehuwa. Kita juga boleh menetapkan matlamat jangka pendek, seperti menjawab pertanyaan orang lain atau mencari maklumat tentang masalah yang sedang kita hadapi.

13. (a) Bagaimanakah orang muda dapat menjelaskan kepercayaan sendiri kepada rakan sekolah? (b) Bagaimanakah anda dapat menerapkan nasihat di Kolose 4:6?

13 Katakan anda ialah orang muda yang masih bersekolah, dan semua kawan anda menyambut hari jadi. Anda ingin menggunakan Bible untuk menjelaskan sebabnya anda tidak menyambut hari jadi, tetapi anda berasa kurang yakin. Jika begitu, adakanlah projek pembelajaran! Anda boleh menetapkan dua matlamat: (1) meneguhkan keyakinan anda bahawa sambutan hari jadi tidak disenangi Tuhan, dan (2) menjadi lebih mahir dalam menjelaskan kebenaran. (Mat. 14:6-11; 1 Ptr. 3:15) Mula-mulanya, anda boleh menanya diri, “Mengapakah kawan-kawan di sekolah suka menyambut hari jadi?” Kemudian, gunakanlah bahan bacaan kita untuk membuat penyelidikan dengan teliti. Menjelaskan kepercayaan anda mungkin tidak begitu susah seperti yang dijangkakan. Jika anda menemui satu atau dua isi untuk dikongsi, anda mungkin dapat membantu seseorang yang benar-benar ingin mengetahui kebenaran.​—Baca Kolose 4:6.

PUPUKLAH MINAT ANDA

14-16. (a) Bagaimanakah anda dapat menyelidiki sebuah buku Bible yang kurang anda kenali? (b) Dengan menggunakan ayat-ayat rujukan Bible, jelaskan bagaimana anda boleh mendapat gambaran yang lebih menyeluruh tentang buku Amos. (Lihat juga kotak “ Biarlah Kisah Bible Menjadi Lebih Nyata!”)

14 Katakan pada perjumpaan yang akan datang, kita akan mengkaji salah satu buku Bible yang dipanggil “Kitab Nabi-Nabi Kecil,” * dan anda tidak berapa mengenali kandungannya. Bagaimanakah anda dapat memupuk minat terhadap buku itu?

15 Mula-mula, tanyalah diri, “Apakah yang saya tahu tentang penulis buku tersebut? Siapakah dia? Dia tinggal di mana? Apakah pekerjaannya?” Latar belakang penulis itu mungkin membantu kita memahami sebabnya dia menggunakan kata-kata atau perumpamaan tertentu. Semasa membaca buku Bible itu, carilah ungkapan yang mencerminkan keperibadian penulis.

16 Seterusnya, anda boleh menyelidiki masa buku itu ditulis. Maklumat sebegini terdapat di “Senarai Buku-Buku dalam Bible” di bahagian belakang Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu. Selain itu, anda boleh melihat carta para nabi dan raja di Lampiran A6. Jika buku Bible yang anda kaji mengandungi nubuat, cubalah mengkaji keadaan hidup orang semasa buku tersebut ditulis. Tanyalah soalan seperti, “Apakah sikap atau amalan buruk yang ingin dibetulkan oleh nabi itu? Siapakah yang hidup sezaman dengannya?” Untuk mendapat gambaran yang lebih menyeluruh, anda mungkin perlu mencari maklumat daripada beberapa sumber. Contohnya, jika anda ingin mengetahui hal-hal yang terjadi pada zaman Nabi Amos, anda boleh menyelidiki 2 Raja-Raja dan 2 Tawarikh, iaitu ayat-ayat Bible yang disebut dalam rujukan silang * bagi Amos 1:1. Selain itu, anda boleh mengkaji buku Hosea, nabi yang mungkin hidup sezaman dengan Amos. Maklumat daripada semua sumber itu akan membantu anda lebih memahami keadaan hidup pada zaman Amos.​—2 Raj. 14:25-28; 2 Taw. 26:1-15; Hos. 1:1-11; Amo. 1:1.

 PERHATIKAN BUTIRAN

17-18. Dengan menggunakan contoh dalam perenggan atau contoh sendiri, jelaskan bagaimana kita akan lebih menikmati pembelajaran Bible jika kita memberikan perhatian kepada butiran kecil.

17 Semasa membaca Bible, adalah baik untuk memiliki sifat ingin tahu. Misalnya, semasa membaca Zakharia bab 12 yang menubuatkan kematian Mesias, anda mendapati ayat 12 menyatakan bahawa “keluarga keturunan Natan” akan meratapi kematiannya dengan pilu. (Za. 12:10) Daripada membaca ayat itu dengan sepintas lalu, berhentilah sejenak dan tanyalah diri, “Apakah hubungan antara keluarga Natan dengan Mesias? Dari manakah saya dapat menemui maklumat lanjut?” Untuk mencari jawapannya, anda perlu menjadi “detektif” dan menyiasat. Terdapat dua rujukan silang di ayat 12. Rujukan pertama di 2 Samuel 5:13, 14 menyatakan bahawa Natan ialah salah seorang anak lelaki Raja Daud. Rujukan kedua di Lukas 3:23, 31 pula menyatakan bahawa Maria, iaitu ibu Yesus, ialah keturunan Natan. * Butiran yang menarik! Anda memang sudah tahu tentang nubuat Bible bahawa Yesus ialah keturunan Daud. (Mat. 22:42) Tetapi Daud mempunyai lebih daripada 20 orang anak. Jadi Zakharia menyatakan dengan khusus bahawa keluarga Natan akan meratapi kematian Yesus. Sangat menakjubkan, bukan?

18 Fikirkan satu lagi contoh: Di Lukas bab 1, kita membaca bahawa malaikat Gabriel melawat Maria dan memberitahunya bahawa dia akan melahirkan seorang anak, dan anak itu “akan menjadi agung dan digelar Anak Tuhan Yang Maha Tinggi. Tuhan Yehuwa akan memberinya takhta Daud, nenek moyangnya. Dia akan memerintah sebagai Raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya.” (Luk. 1:32, 33) Biasanya kita akan bertumpu kepada bahagian yang pertama,  iaitu Yesus ialah “Anak Tuhan Yang Maha Tinggi.” Tetapi Gabriel juga menubuatkan bahawa Yesus akan “memerintah sebagai Raja.” Kita mungkin tertanya-tanya: Apakah yang difikirkan oleh Maria semasa mendengar kata-kata Gabriel? Adakah Maria menyangka bahawa Yesus akan menggantikan Raja Herodes atau salah seorang raja selepasnya dan memerintah negeri Israel? Jika Yesus menjadi raja, Maria akan menjadi bonda ratu, dan keluarganya akan tinggal di istana. Namun, tiada catatan Bible yang menunjukkan bahawa Maria menanya Gabriel tentang hal itu, dan Maria juga tidak pernah meminta agar diberi kedudukan istimewa dalam Kerajaan Tuhan, seperti yang dilakukan oleh dua orang murid Yesus. (Mat. 20:20-23) Tidakkah butiran ini menambahkan keyakinan kita bahawa Maria ialah seorang wanita yang sangat rendah hati?

19-20. Menurut Yakobus 1:22-25 dan 4:8, apakah matlamat kita semasa membuat pembelajaran?

19 Ingatlah, matlamat utama kita semasa mengkaji Firman Tuhan dan bahan bacaan Kristian adalah untuk menghampiri Yehuwa. Kita juga ingin lebih mengenali diri kita yang sebenarnya dan membuat perubahan yang diperlukan agar dapat menyenangkan hati Tuhan. (Baca Yakobus 1:22-25; 4:8.) Maka, setiap kali sebelum kita mula membuat pembelajaran, berdoalah untuk meminta kuasa suci Yehuwa. Mohonlah agar Dia membantu kita meraih manfaat yang sepenuhnya dan melihat diri kita dari sudut pandangan-Nya.

20 Semoga kita semua menjadi seperti orang yang digambarkan oleh pemazmur: “Berbahagialah orang yang suka akan hukum Yehuwa, dan yang membaca serta merenungkan hukum itu siang dan malam! . . . Dia akan berjaya dalam segala usahanya.”​—Mzm. 1:2, 3.

LAGU 88 Ajarlah Aku Jalan-Mu

^ per. 5 Yehuwa telah memberi kita banyak maklumat untuk ditonton, dibaca, dan dikaji. Rencana ini akan membantu anda memilih bahan untuk dipelajari dan memberikan cadangan yang praktikal supaya anda mendapat manfaat yang sepenuhnya semasa sesi pembelajaran.

^ per. 14 MAKSUD UNGKAPAN: Kitab Nabi-Nabi Kecil biasanya merujuk kepada buku-buku Bible dari Hosea hingga Maleakhi.

^ per. 16 Rujukan silang terdapat di bahagian tengah muka surat dalam Bible Terjemahan Dunia Baharu. Ruangan itu menyenaraikan ayat-ayat Bible yang berkaitan.

^ per. 64 KETERANGAN GAMBAR: Ibu bapa mengajar anak-anak mereka membuat persiapan untuk Pembelajaran Menara Pengawal.

^ per. 66 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara membuat penyelidikan tentang Amos. Gambar-gambar di belakangnya menunjukkan apa yang dibayangkannya semasa dia membaca dan merenungkan buku Amos.