Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 RENCANA PEMBELAJARAN 20

Melegakan Mangsa Penderaan Seksual

Melegakan Mangsa Penderaan Seksual

“Tuhan yang melegakan hati kita dalam apa jua situasi. Dia melegakan hati kita semasa kita mengalami segala macam cubaan.”​—2 KOR. 1:3, 4.

LAGU 134 Anak-Anak Anugerah Tuhan

PENGENALAN *

1-2. (a) Apakah yang menunjukkan bahawa manusia perlu dilegakan dan mampu melegakan orang lain? Berikan contoh. (b) Bagaimanakah sesetengah kanak-kanak dilukai?

SECARA semula jadi, manusia perlu dilegakan dan mampu melegakan orang lain. Contohnya, apabila seorang budak yang sedang bermain terjatuh lalu kakinya terluka, dia mungkin menangis sambil berlari kepada ibu atau bapanya. Mereka tidak dapat menyembuhkan lukanya, tetapi mereka dapat melegakannya. Mereka mungkin bertanya tentang apa yang berlaku, mengelap air matanya, memujuknya, dan menyapu ubat atau membalut lukanya. Tidak lama kemudian, anak itu berhenti menangis dan bahkan bermain semula. Beberapa lama selepas itu, lukanya akan sembuh.

2 Namun, sesetengah kanak-kanak dilukai dengan cara yang lebih teruk. Ada yang didera secara seksual, mungkin untuk sekali atau selama bertahun-tahun. Penderaan sebegini dapat mempengaruhi emosi mereka untuk masa yang sangat lama. Sesetengah pesalah ditangkap dan dihukum, manakala yang lain nampaknya terlepas. Biarpun pesalah itu segera dihukum, anak yang didera secara seksual mungkin masih menderita sehingga alam dewasa.

3. Menurut 2 Korintus 1:3, 4, apakah yang diingini Yehuwa? Apakah soalan-soalan yang akan kita bincang?

3 Jika seorang Kristian yang pernah didera secara seksual semasa kecil masih menderita akibat luka emosinya, apakah yang dapat membantunya? (Baca 2 Korintus 1:3, 4.) Yehuwa ingin bebiri-Nya mendapat kasih dan kelegaan. Maka, marilah kita membincangkan tiga soalan ini: (1) Mengapakah mangsa penderaan seksual perlu dilegakan? (2) Siapakah yang dapat melegakan  mereka? (3) Apakah cara yang berkesan untuk memberikan kelegaan?

MENGAPAKAH MEREKA PERLU DILEGAKAN?

4-5. (a) Mengapakah kita harus ingat bahawa fikiran dan perasaan kanak-kanak berbeza daripada orang dewasa? (b) Apakah kesan penderaan seksual terhadap kanak-kanak?

4 Kita harus ingat bahawa fikiran dan perasaan kanak-kanak sangat berbeza daripada orang dewasa. Maka, peristiwa yang buruk juga meninggalkan kesan yang berbeza kepada orang dewasa dan kanak-kanak. Apabila kita ingat akan hal itu, kita dapat memahami sebabnya sesetengah orang dewasa yang pernah didera secara seksual semasa kecil masih perlu dilegakan bertahun-tahun kemudian. Contoh-contoh berikut akan menunjukkan bagaimana penderaan seksual membawa kesan yang sangat buruk terhadap kanak-kanak.

5 Kanak-kanak perlu berasa bahawa mereka dapat mempercayai orang yang membesarkan dan menjaga mereka. Hubungan erat sebegini akan membantu anak berasa selamat, dan mereka akan belajar untuk mempercayai orang yang mengasihi mereka. (Mzm. 22:9) Sedihnya, penderaan seksual biasanya terjadi di rumah dan dilakukan oleh ahli keluarga atau sahabat yang rapat. Apabila seorang kanak-kanak dikhianati dalam cara sedemikian, dia akan berasa susah untuk mempercayai orang, bahkan bertahun-tahun selepas peristiwa tersebut.

6. Mengapakah penderaan seks ialah perbuatan kejam yang membawa kesan buruk?

6 Kanak-kanak tidak dapat melindungi diri, dan penderaan seks ialah perbuatan kejam yang membawa kesan buruk. Kanak-kanak belum cukup matang untuk memahami sepenuhnya seks dan perkahwinan. Jika mereka dipaksa melakukan perbuatan seks, hal itu akan membawa kesan buruk. Penderaan seksual dapat merosakkan pandangan mereka terhadap hubungan seks, terhadap diri sendiri, dan terhadap sesiapa sahaja yang ingin mendekati mereka.

7. (a) Mengapakah kanak-kanak senang menjadi mangsa penderaan seks? Bagaimanakah orang yang mendera mereka secara seksual mungkin menipu mereka? (b) Apakah kesan dusta-dusta sebegini?

7 Kanak-kanak belum mampu berfikir atau membuat keputusan dengan baik, dan mereka tidak dapat mengenal pasti atau mengelakkan bahaya. (1 Kor. 13:11) Oleh itu, mereka senang diperdaya dan didera. Orang yang mendera mereka secara seksual mungkin menipu mereka, contohnya dengan berkata bahawa apa yang terjadi ialah salah mereka dan hal itu harus dirahsiakan. Sesetengah mangsa juga diberitahu bahawa tiada orang akan dengar atau peduli jika mereka melaporkan kejadian itu, atau bahawa ramai orang dewasa dan kanak-kanak melakukan perbuatan seks kerana saling menyayangi. Ajaran seperti ini dapat merosakkan akal fikiran seorang kanak-kanak, dan dia akan mempercayai semua dusta itu untuk masa yang lama. Akibatnya, sejak kecil lagi, anak itu akan menganggap dirinya kotor dan jijik, dan berasa bahawa dia tidak layak dikasihi atau dilegakan.

8. Mengapakah kita yakin bahawa Yehuwa dapat melegakan orang yang menderita?

8 Jelaslah, penderaan seksual membawa kesan buruk yang berpanjangan! Jenayah keji yang kian menular ini membuktikan bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Dunia ini penuh dengan orang yang “tidak memiliki kasih sayang,” dan “orang jahat dan penyamar akan menjadi semakin jahat.” (2 Tim. 3:1-5, 13) Rancangan Syaitan benar-benar keji, dan kita berasa sedih apabila ramai orang bertindak mengikut keinginannya. Namun, Yehuwa jauh lebih berkuasa daripada Syaitan dan para pengikutnya. Tuhan mengetahui helah Syaitan, dan Dia faham sepenuhnya penderitaan kita. Bukan itu sahaja, Yehuwa dapat “melegakan hati kita semasa kita mengalami  segala macam cubaan, supaya dengan kelegaan hati yang kita terima daripada Tuhan, kita juga dapat melegakan hati orang lain yang mengalami segala macam cubaan.” (2 Kor. 1:3, 4) Kita amat bersyukur kerana menyembah Tuhan sebegini! Namun, siapakah yang digunakan oleh Yehuwa untuk memberikan kelegaan?

SIAPAKAH YANG DAPAT MEMBERIKAN KELEGAAN?

9. Menurut kata-kata Daud di Mazmur 27:10, bagaimanakah Yehuwa memelihara mereka yang diabaikan oleh keluarga sendiri?

9 Sesetengah mangsa tidak dilindungi oleh ibu bapa, meskipun ibu bapa mereka tahu bahawa mereka didera secara seksual. Yang lain pula didera secara seksual oleh orang yang rapat dengan mereka. Individu sebegini sangat memerlukan kelegaan. Daud tahu bahawa Yehuwa ialah Sumber kelegaan yang terbaik. (Baca Mazmur 27:10.) Dia yakin bahawa Yehuwa pasti memelihara mereka yang dilayan dengan buruk oleh keluarga sendiri. Bagaimana? Melalui hamba-hamba-Nya di bumi. Ya, rakan seiman kita ialah ahli keluarga rohani kita. Yesus pernah berkata bahawa orang yang menyembah Yehuwa bersama-samanya ialah adik-beradik dan ibunya.​—Mat. 12:48-50.

10. Bagaimanakah Rasul Paulus menggambarkan tugasnya sebagai penatua?

10 Saudara saudari dalam sidang memang seperti ahli keluarga. Fikirkan contoh Rasul Paulus, seorang penatua yang rajin dan setia. Dia teladan yang baik, dan Tuhan bahkan mengilhaminya untuk menggalakkan orang lain agar mengikut teladannya, sebagaimana dia meneladani Kristus. (1 Kor. 11:1) Perhatikan bagaimana Paulus menggambarkan tugasnya sebagai penatua: “Kami bersikap lemah lembut dalam kalangan kamu, sebagaimana seorang ibu menyusui dan menjaga anak-anaknya dengan penuh kasih sayang.” (1 Tes. 2:7) Hari ini, para penatua juga dapat mengucapkan kata-kata yang lembut dan penyayang semasa menggunakan Bible untuk melegakan orang yang memerlukan bantuan.

Saudari-saudari yang matang biasanya mahir melegakan hati orang (Lihat perenggan 11) *

11. Adakah penatua sahaja yang dapat melegakan mangsa dera? Jelaskan.

11 Adakah penatua sahaja yang dapat melegakan  mangsa dera? Tidak. Kita semua patut ‘terus melegakan hati satu sama lain.’ (1 Tes. 4:18) Wanita-wanita Kristian yang matang khususnya dapat memberikan kelegaan yang besar kepada saudari yang susah hati. Tuhan Yehuwa pernah menggambarkan diri-Nya seperti seorang ibu yang melegakan anaknya. (Yes. 66:13) Bible juga mengandungi contoh tentang kaum wanita yang melegakan hati orang lain. (Ayb. 42:11) Yehuwa pasti sangat gembira semasa melihat wanita-wanita Kristian yang berusaha melegakan saudari mereka yang menderita secara emosi! Ada kalanya, seorang atau dua orang penatua akan berjumpa dengan seorang saudari yang matang dan memintanya membantu seorang saudari yang berdukacita. *

CARA MEMBERIKAN KELEGAAN

12. Semasa membantu rakan Kristian, apakah yang tidak patut kita lakukan?

12 Semasa membantu rakan Kristian kita, kita tidak patut asyik bertanya tentang hal yang tidak ingin diceritakan oleh mereka. (1 Tes. 4:11) Jadi, bagaimanakah kita dapat menolong orang yang memerlukan dan menginginkan bantuan serta kelegaan? Perhatikan lima cara yang dinyatakan dalam Bible.

13. Menurut kisah di 1 Raja-Raja 19:5-8, bagaimanakah malaikat Yehuwa membantu Elia? Bagaimanakah kita dapat meniru teladan malaikat itu?

13 Tawarkan bantuan yang praktikal. Semasa Nabi Elia diburu dan terpaksa melarikan diri, dia berasa sangat tawar hati dan ingin mati. Oleh itu, Yehuwa mengutus satu malaikat untuk melawatnya. Malaikat itu telah memberikan bantuan yang sangat praktikal. Dia menyediakan makanan yang panas dan memujuk Elia supaya makan. (Baca 1 Raja-Raja 19:5-8.) Kisah itu mengajar kita bahawa ada kalanya, pertolongan yang kecil dapat membawa kesan yang sangat baik. Apabila kita menyediakan makanan, memberikan hadiah kecil, atau menulis sekeping kad untuk saudara atau saudari yang tawar hati, mereka dapat merasai kasih dan keprihatinan kita. Jika kita berasa susah untuk bercakap dengan mereka tentang hal peribadi atau pengalaman pahit mereka, kita masih dapat membantu mereka dalam cara sebegini.

14. Apakah yang dapat kita belajar daripada kisah Elia?

14 Bantulah orang yang susah hati untuk berasa selamat dan selesa. Terdapat satu lagi pengajaran daripada kisah Elia. Yehuwa telah memberinya kekuatan supaya dia dapat membuat perjalanan yang jauh ke Gunung Horeb, tempat Yehuwa membuat perjanjian dengan umat-Nya ratusan tahun yang lalu. Barangkali, di situlah Elia berasa selamat dan tidak diancam oleh orang yang ingin membunuhnya. Apakah pengajarannya? Untuk melegakan mangsa dera, kita mungkin perlu membantu mereka berasa selamat terlebih dahulu. Contohnya, para penatua harus sedar bahawa ada saudari yang berasa lebih selamat dan selesa jika dia dapat bercakap dengan mereka di rumah sambil menghirup kopi, manakala saudari lain mungkin berasa lebih selamat dan selesa jika pertemuan mereka diadakan di Dewan Perjumpaan.

Kita dapat menyembuhkan luka emosi orang lain dengan menjadi pendengar yang sabar, berdoa dengan bersungguh-sungguh, dan memilih kata-kata yang melegakan (Lihat perenggan 15-20) *

15-16. Bagaimanakah kita dapat menjadi pendengar yang baik?

15 Jadilah pendengar yang baik. Bible menasihati kita, “Setiap orang mesti cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata.” (Yak. 1:19) Adakah kita pendengar yang baik? Mungkin kita berfikir bahawa menjadi pendengar yang baik bermaksud kita hanya perlu duduk diam sambil memandang orang yang sedang bercakap. Namun, perhatikan bagaimana Yehuwa menjadi pendengar yang baik. Semasa Elia meluahkan segala keperitannya, Yehuwa telah mendengar dengan teliti. Yehuwa juga faham  bahawa Elia berasa takut, keseorangan, dan menganggap semua usahanya sia-sia sahaja. Kemudian, Yehuwa membantu Elia mengatasi semua perasaan itu satu demi satu. Ya, Yehuwa benar-benar mendengar keluhan Elia.​—1 Raj. 19:9-11, 15-18.

16 Bagaimanakah kita dapat menunjukkan belas kasihan semasa mendengar? Ada kalanya, kita dapat mengatakan sesuatu untuk mencerminkan simpati dan kasih kita, seperti, “Kasihannya kamu! Tak sangka ada orang yang sampai hati buat begitu!” Kita juga boleh menanyakan soalan yang sesuai untuk memastikan bahawa kita memahami kata-kata sahabat yang menderita itu. Apabila kita menunjukkan kasih dalam cara sebegini, sahabat itu akan berasa bahawa kita benar-benar mendengar isi hatinya dan berusaha memahaminya.​—1 Kor. 13:4, 7.

17. Mengapakah kita patut bersabar dan “lambat berkata-kata”?

17 Semasa orang lain meluahkan perasaan mereka, kita mungkin ingin menasihatinya atau membetulkan fikirannya. Namun, janganlah menyampuk! Ingatlah, kita harus bersabar dan “lambat berkata-kata.” Apabila Elia meluahkan segala kesusahannya kepada Yehuwa, Yehuwa telah meneguhkan imannya. Tetapi selepas itu, Elia mengulangi kata-kata yang sama lagi. (1 Raj. 19:9, 10, 13, 14) Apakah pengajarannya? Orang yang susah hati ada kalanya perlu meluahkan perasaan mereka lebih daripada sekali. Maka, tirulah Yehuwa dan dengarlah dengan sabar. Daripada menawarkan penyelesaian, lebih baik kita menunjukkan simpati dan belas kasihan.​—1 Ptr. 3:8.

18. Untuk melegakan hati orang yang menderita, apakah yang dapat kita sebutkan dalam doa? Mengapa?

18 Berdoalah dengan bersungguh-sungguh bersama orang yang menderita. Orang yang sangat tawar hati mungkin berasa susah untuk berdoa. Dia mungkin berasa dirinya tidak layak bercakap kepada Yehuwa. Untuk melegakan hati orang sebegini, kita boleh berdoa bersamanya dan menyebut namanya dalam doa. Kita boleh memberitahu Yehuwa bahawa kita dan ahli sidang sangat menyayanginya. Kita juga  boleh memohon agar Yehuwa menjaga dan melegakan hati hamba-Nya yang dikasihi itu. Doa sebegini amat melegakan.​—Yak. 5:16.

19. Bagaimanakah kita dapat membuat persiapan untuk melegakan orang?

19 Pilihlah kata-kata yang dapat menyembuhkan luka di hati. Fikirlah sebelum bercakap, kerana kata-kata yang melulu dapat menusuk hati, manakala kata-kata yang lembut dapat menyembuhkan orang. (Ams. 12:18) Mohonlah bantuan Yehuwa supaya anda dapat mengucapkan kata-kata yang lembut, menyenangkan, dan melegakan. Ingatlah juga bahawa firman Yehuwa dalam Bible merupakan kata-kata yang paling berkesan untuk melegakan orang.​—Ibr. 4:12.

20. Apakah yang dipercayai oleh sesetengah saudara saudari yang pernah didera secara seksual? Kita ingin meyakinkan mereka tentang hal apa?

20 Sesetengah saudara saudari yang pernah didera secara seksual percaya bahawa diri mereka kotor, jijik, tidak berguna, tidak dikasihi, dan bahkan tidak layak dikasihi. Hal itu tidak benar sama sekali! Maka gunakanlah Bible untuk mengingatkan mereka bahawa Yehuwa amat menyayangi mereka. (Lihat kotak “ Ayat-Ayat Bible yang Melegakan.”) Semasa Nabi Daniel berasa lemah dan tidak bersemangat, Yehuwa telah mengutus satu malaikat untuk menguatkannya dan meyakinkannya bahawa dia sangat berharga di mata Tuhan. (Dan. 10:2, 11, 19) Saudara saudari kita yang menderita juga sangat berharga bagi Yehuwa!

21. Apakah yang akan terjadi kepada penjahat yang enggan bertaubat? Apakah yang ingin kita lakukan sekarang?

21 Semasa kita melegakan hati orang, kita sedang mengingatkan mereka bahawa mereka dikasihi Yehuwa. Ingatlah juga bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang adil. Tiada perbuatan dera yang dapat disembunyikan daripada-Nya. Yehuwa melihat segala-galanya, dan Dia pasti menghukum penjahat yang enggan bertaubat. (Bil. 14:18) Sementara menunggu masanya Yehuwa bertindak, marilah kita berusaha menunjukkan kasih kepada mangsa dera. Apabila Yehuwa menghilangkan segala luka yang disebabkan oleh Syaitan dan dunianya, apa sahaja pengalaman pahit tidak akan timbul dalam hati ataupun dikenang lagi.​—Yes. 65:17.

LAGU 109 Mengasihi dengan Sepenuh Hati

^ per. 5 Orang yang menjadi mangsa penderaan seksual semasa kecil mungkin menghadapi banyak cabaran, bahkan selepas mereka dewasa. Rencana ini akan menjelaskan sebabnya. Kita juga akan membincangkan siapa yang dapat melegakan mangsa dera dan cara yang berkesan untuk berbuat demikian.

^ per. 11 Orang yang pernah didera boleh membuat keputusan sendiri sama ada dia ingin mendapatkan bantuan doktor atau tidak.

^ per. 76 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari yang matang melegakan seorang saudari yang menderita secara emosi.

^ per. 78 KETERANGAN GAMBAR: Dua orang penatua melawat saudari yang berdukacita itu. Saudari tersebut telah menjemput saudari yang matang itu untuk menemaninya.