Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 RENCANA PEMBELAJARAN 21

Janganlah Ditipu oleh “Kebijaksanaan Dunia Ini”

Janganlah Ditipu oleh “Kebijaksanaan Dunia Ini”

“Tuhan menganggap kebijaksanaan dunia ini sebagai suatu kebodohan.”​—1 KOR. 3:19.

LAGU 98 Bible​—Diilhami oleh Tuhan

PENGENALAN *

1. Bagaimanakah Firman Tuhan membantu kita?

KITA dapat mengatasi apa-apa cabaran kerana Yehuwa ialah Pendidik Agung kita. (Yes. 30:20, 21) Firman-Nya membantu kita “menjadi cekap dan dilengkapi dengan sepenuhnya untuk melakukan setiap perbuatan yang baik.” (2 Tim. 3:17) Apabila kita hidup menurut ajaran Bible, kita menjadi lebih bijak daripada orang yang menjunjung “kebijaksanaan dunia ini.”​—1 Kor. 3:19; Mzm. 119:97-100.

2. Apakah yang akan kita kaji dalam rencana ini?

2 Kebijaksanaan dunia ini biasanya mengutamakan keinginan diri. Oleh itu, kita mungkin berasa susah untuk melawan fikiran dan kelakuan orang duniawi. Maka, Bible menasihati kita, “Berwaspadalah agar tidak ada sesiapa pun yang memperhamba kamu dengan falsafah dan tipu daya kosong yang berdasarkan adat istiadat manusia.” (Kol. 2:8) Dalam rencana ini, kita akan mengkaji bagaimana dua jenis “tipu daya kosong” Syaitan mula diterima ramai orang. Kita juga akan melihat sebabnya kebijaksanaan dunia sebenarnya suatu kebodohan dan sebabnya kebijaksanaan Bible jauh lebih unggul.

PANDANGAN ORANG TERHADAP SEKS TELAH BERUBAH

3-4. Pada awal abad ke-20, bagaimanakah pandangan orang di Amerika Syarikat tentang seks mula berubah?

3 Pada awal abad ke-20, pandangan orang di Amerika Syarikat tentang seks telah mengalami perubahan yang besar. Sebelum itu, ramai orang menganggap bahawa seks hanyalah untuk orang yang sudah berkahwin dan tidak boleh dibincangkan di depan orang ramai. Namun, piawaian itu kemudiannya jatuh menjunam.

4 Antara tahun 1922 dengan 1929, gaya tarian telah menjadi  semakin berahi, dan pakaian telah menjadi semakin menjolok mata. Seorang penyelidik berkata, “Unsur seks dalam wayang, drama, lagu, novel, dan iklan, mulai bertambah.” Jelaslah, kelakuan dan pandangan orang terhadap seks telah berubah. Hal ini telah memenuhi nubuat Bible bahawa orang pada hari-hari terakhir akan “mencintai kesenangan.”​—2 Tim. 3:4.

Umat Yehuwa tidak terikut-ikut dengan tahap moral dunia yang makin menurun (Lihat perenggan 5) *

5. Apakah yang terjadi kepada piawaian moral dunia sejak tahun 1960-an?

5 Pada tahun 1960-an, masalah seperti tinggal bersama tanpa berkahwin, hubungan sejenis, dan bercerai dengan sesuka hati, telah menjadi semakin ketara. Perbuatan seks juga semakin kerap dipaparkan dalam pelbagai jenis hiburan. Apakah kesannya? Seorang pengarang menulis bahawa “tahap moral ahli masyarakat yang makin menurun” telah mengakibatkan keruntuhan keluarga, keluarga tunggal, perasaan yang terluka, dan ketagihan bahan lucah. Selain itu, penyakit kelamin seperti AIDS juga kian menular. Semua itu membuktikan bahawa kebijaksanaan dunia ini memang suatu kebodohan.​—2 Ptr. 2:19.

6. Bagaimanakah pandangan dunia tentang seks selaras dengan tujuan Syaitan?

6 Pandangan dunia tentang seks memang selaras dengan tujuan Syaitan. Dia suka melihat orang menyalahgunakan hubungan seks dan meremehkan aturan perkahwinan, yang merupakan kurniaan Tuhan. (Ef. 2:2) Orang yang berbuat demikian bukan sahaja tidak menghargai kebolehan yang dikurniai Tuhan untuk beranak cucu, malah mungkin kehilangan peluang untuk hidup kekal.​—1 Kor. 6:9, 10.

AJARAN BIBLE TENTANG SEKS

7-8. Bagaimanakah pandangan Bible tentang seks jauh lebih baik daripada pandangan dunia?

7 Orang yang mengikut kebijaksanaan dunia biasanya mentertawakan piawaian moral Bible dan berkata bahawa piawaian itu tidak munasabah. Mereka mungkin berfikir, “Jika Tuhan memberi kita keinginan seksual, mengapakah Dia menyuruh kita mengawal keinginan itu?” Fikiran sebegini salah kerana mencerminkan pandangan bahawa manusia mesti menuruti setiap nafsu yang timbul di hati mereka. Namun, Bible mengajar kita bahawa manusia mampu melawan keinginan yang berdosa. (Kol. 3:5) Selain itu, Yehuwa telah menyediakan aturan perkahwinan, supaya nafsu seks dapat dipuaskan dengan cara yang betul. (1 Kor. 7:8, 9) Orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak  bermoral biasanya dibebani rasa kesal dan bimbang, tetapi aturan Yehuwa membolehkan suami isteri menikmati hubungan seks tanpa diganggu perasaan sedemikian.

8 Tidak seperti pandangan dunia, pandangan Bible tentang seks membawa manfaat yang besar. Bible menyatakan bahawa hubungan seks dapat membawa kepuasan. (Ams. 5:18, 19) Namun, Bible juga menyatakan, “Kamu masing-masing harus tahu bagaimana mengawal tubuh sendiri supaya kamu tetap suci dan diperkenankan Tuhan. Kamu tidak patut mengikut bangsa-bangsa yang tidak mengenal Tuhan, yang menuruti nafsu seks yang tidak terkawal tanpa rasa puas.”​—1 Tes. 4:4, 5.

9. (a) Pada awal abad ke-20, bagaimanakah umat Yehuwa digalakkan untuk hidup menurut kebijaksanaan Firman Tuhan? (b) Apakah nasihat bijak yang dinyatakan di 1 Yohanes 2:15, 16? (c) Menurut Roma 1:24-27, apakah amalan yang tidak bermoral yang harus kita tolak?

9 Ramai orang pada awal abad ke-20 “tidak lagi peduli tentang piawaian moral,” tetapi umat Yehuwa tidak ditipu atau terikut-ikut dengan pandangan sedemikian. (Ef. 4:19) Sebaliknya, mereka berusaha untuk berpaut pada piawaian Yehuwa. Majalah Watch Tower 15 Mei 1926 menyatakan bahawa “lelaki dan wanita harus suci dan murni dari segi fikiran dan kelakuan, khasnya terhadap orang yang berlawanan jantina.” Meskipun tahap moral dunia semakin merosot, umat Yehuwa tetap hidup mengikut kebijaksanaan Firman Tuhan. (Baca 1 Yohanes 2:15, 16.) Tidakkah kita bersyukur kerana memiliki Bible? Kita juga menghargai makanan rohani daripada Yehuwa yang disediakan tepat pada waktunya, yang membantu kita agar tidak ditipu oleh kebijaksanaan dunia ini. *​—Baca Roma 1:24-27.

PANDANGAN ORANG TERHADAP DIRI SENDIRI TELAH BERUBAH

10-11. Menurut Bible, apakah yang akan berlaku pada hari-hari terakhir?

10 Bible menyatakan bahawa pada hari-hari terakhir, manusia akan “mencintai diri sendiri.” (2 Tim. 3:1, 2) Maka, tidak hairanlah dunia ini menggalakkan orang untuk mementingkan diri. Sebuah buku rujukan menyatakan bahawa pada tahun 1970-an, “terdapat banyak buku yang mengajarkan cara untuk berjaya dalam hidup.” Sesetengah buku itu “menggesa pembaca untuk mengenali, menerima, dan berbangga dengan diri mereka yang seadanya.” Salah sebuah buku tersebut menyatakan, “Cintailah insan yang paling cantik dan menarik di bumi, iaitu kamu sendiri.” Buku itu turut menyatakan bahawa “seseorang harus menentukan kelakuan yang sesuai bagi dirinya, dan melakukan apa sahaja yang dianggapnya benar dan mudah.”

11 Tidakkah pandangan itu mengingatkan anda tentang kata-kata Syaitan kepada Hawa? Syaitan memberitahu Hawa bahawa dia dapat “menjadi seperti Tuhan dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.” (Kej. 3:5) Hari ini, ramai orang menganggap diri mereka begitu istimewa sehingga berfikir bahawa tiada orang lain, bahkan Tuhan, yang berhak memberitahu mereka apa yang benar dan salah. Sikap sebegini telah mempengaruhi pandangan ramai orang, khususnya pandangan mereka terhadap perkahwinan.

Orang Kristian akan mendahulukan keperluan orang lain, terutamanya keperluan pasangan hidup sendiri (Lihat perenggan 12) *

12. Apakah pandangan dunia tentang perkahwinan?

12 Bible mengajar suami isteri untuk saling menghormati dan berusaha menunaikan ikrar perkahwinan. Bible menggalakkan suami isteri untuk terus hidup bersama dengan menyatakan, “Seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama isterinya, lalu mereka berdua akan menjadi satu.” (Kej. 2:24)  Namun, orang yang dipengaruhi kebijaksanaan dunia mempunyai pandangan yang berbeza. Mereka berkata bahawa suami dan isteri harus mengutamakan keperluan sendiri. Sebuah buku tentang perceraian menyatakan, “Dalam sesetengah upacara, ikrar untuk tetap bersama ‘selama kami berdua hidup’ telah diubah menjadi ikrar untuk tetap bersama ‘selama kami berdua saling mencintai.’” Oleh sebab perkahwinan tidak lagi dianggap sebagai ikatan yang kekal, banyak keluarga telah hancur dan ramai orang dilukai secara emosi. Pandangan dunia tentang perkahwinan sememangnya pandangan yang bodoh.

13. Apakah salah satu sebab Yehuwa membenci orang yang sombong?

13 Bible menyatakan, “Orang yang sombong sangat dibenci oleh Yehuwa.” (Ams. 16:5) Mengapa? Salah satu sebabnya ialah orang yang meninggikan diri dan mencintai diri, sebenarnya mencerminkan sikap Syaitan. Fikirkan: Tuhan telah menggunakan Yesus untuk menciptakan segala sesuatu, tetapi Syaitan tergamak untuk berfikir bahawa Yesus patut sujud dan menyembahnya! (Mat. 4:8, 9; Kol. 1:15, 16) Orang yang sombong berfikir bahawa mereka bijak, tetapi sebenarnya mereka bodoh dalam mata Tuhan.

AJARAN BIBLE TENTANG CARA MEMANDANG DIRI SENDIRI

14. Bagaimanakah kata-kata di Roma 12:3 membantu kita memiliki pandangan yang seimbang terhadap diri sendiri?

14 Bible mengajar kita untuk memiliki pandangan yang seimbang terhadap diri sendiri. Yesus berkata, “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Mat. 19:19) Maksudnya, kita harus mengasihi diri dan menjaga keperluan sendiri. Namun, kita tidak patut meninggikan diri. Bible mengajar kita, “Janganlah suka bertengkar atau bersikap sombong. Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri kamu sendiri.”​—Flp. 2:3; baca Roma 12:3.

15. Apakah yang meyakinkan anda bahawa ajaran Bible tentang cara memandang diri sendiri ialah pilihan yang paling bermanfaat?

15 Hari ini, ramai orang yang dianggap bijak  mentertawakan nasihat Bible. Mereka berkata bahawa jika kita menganggap orang lain lebih baik daripada diri kita, kita mudah ditipu dan orang lain akan mengambil kesempatan terhadap kita. Namun, adakah sikap mementingkan diri yang disyorkan oleh dunia Syaitan membawa hasil yang baik? Menurut pemerhatian anda, adakah orang yang mementingkan diri bahagia? Adakah keluarga mereka bahagia? Adakah mereka memiliki sahabat sejati? Adakah mereka rapat dengan Tuhan? Daripada apa yang anda lihat, pilihan manakah yang paling bermanfaat: Mengikut kebijaksanaan dunia ini ataupun mengikut kebijaksanaan Firman Tuhan?

16-17. Kita bersyukur akan hal apa? Mengapa?

16 Mereka yang mengikut nasihat orang yang dianggap bijak dalam dunia ini, adalah seperti seorang pelancong yang bertanya jalan kepada seorang pelancong yang lain, padahal kedua-duanya sudah sesat. Mengenai “orang bijak” pada zamannya, Yesus berkata, “Mereka ialah pemimpin-pemimpin buta. Jika orang buta memimpin orang buta, kedua-duanya akan jatuh ke dalam lubang.” (Mat. 15:14) Sesungguhnya, kebijaksanaan dunia ini ialah kebodohan di sisi Tuhan.

Hamba-hamba Tuhan berasa puas kerana menggunakan kehidupan mereka untuk berkhidmat kepada Yehuwa (Lihat perenggan 17) *

17 Nasihat Bible sentiasa terbukti bijak dan “berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan segala sesuatu, dan mendidik orang untuk melakukan apa yang benar.” (2 Tim. 3:16) Tidakkah kita bersyukur kerana Yehuwa telah menggunakan organisasi-Nya untuk melindungi kita daripada kebijaksanaan dunia ini? (Ef. 4:14) Makanan rohani yang diberi-Nya menguatkan kita agar kita dapat berpegang teguh pada piawaian Bible. Kita amat berterima kasih kerana Yehuwa telah memberi kita bimbingan yang paling bijak menerusi Firman-Nya!

LAGU 54 “Inilah Jalannya”

^ per. 5 Rencana ini akan menguatkan keyakinan kita bahawa Yehuwalah satu-satunya Sumber bimbingan yang dapat dipercayai. Kita juga akan melihat bahawa mengikut kebijaksanaan dunia membawa padah, manakala mengikut kebijaksanaan Bible membawa manfaat.

^ per. 9 Sebagai contoh, lihat buku “Pertanyaan Kaum Muda” dalam bahasa Indonesia, Jilid 1, bab 24-26, dan Jilid 2, bab 4-5. Lihat juga brosur Jawapan kepada 10 Pertanyaan Kaum Muda, soalan 7, muka surat 21-23.

^ per. 50 KETERANGAN GAMBAR: Kita melihat detik-detik kehidupan sepasang suami isteri Saksi. Mereka menginjil pada lewat tahun 1960-an.

^ per. 52 KETERANGAN GAMBAR: Pada tahun 1980-an, suami itu menjaga isterinya yang sakit sambil ditemani anak perempuan mereka.

^ per. 54 KETERANGAN GAMBAR: Hari ini, pasangan tersebut mengenang kembali kenangan manis mereka dalam khidmat kepada Yehuwa. Anak perempuan mereka dan keluarganya juga menumpang gembira.