Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 24

Robohkan Pelbagai Fikiran yang Bercanggahan dengan Pengetahuan tentang Tuhan!

Robohkan Pelbagai Fikiran yang Bercanggahan dengan Pengetahuan tentang Tuhan!

“Kami merobohkan pelbagai fikiran yang salah dan merobohkan setiap benteng yang bercanggahan dengan pengetahuan tentang Tuhan.”​—2 KOR. 10:5.

LAGU 124 Selalu Setia

PENGENALAN *

1. Apakah amaran yang diberikan oleh Paulus kepada orang Kristian terurap?

RASUL PAULUS memberitahu orang Kristian abad pertama, “Jangan lagi dibentuk mengikut sistem dunia ini.” (Rm. 12:2) Memandangkan mereka sudah membaktikan diri kepada Tuhan dan diurapi dengan kuasa suci, mengapakah mereka masih perlu diberi amaran itu?​—Rm. 1:7.

2-3. Bagaimanakah Syaitan mencuba membuat kita meninggalkan Yehuwa? Bagaimanakah kita dapat mencabut perkara-perkara yang “sudah berurat berakar” dalam minda?

2 Paulus berasa risau kerana sesetengah orang Kristian telah dipengaruhi oleh fikiran dan falsafah buruk daripada dunia Syaitan. (Ef. 4:17-19) Hal yang sama mungkin terjadi kepada kita juga. Sebagai tuhan sistem dunia ini, Syaitan dapat menggunakan pelbagai muslihat untuk membuat kita meninggalkan Yehuwa. Sebagai contoh, jika kita mementingkan diri atau meninggikan diri, dia akan memperalatkan kelemahan itu. Syaitan bahkan mungkin memperalatkan latar belakang, budaya, atau pendidikan kita untuk mempengaruhi fikiran kita.

3 Dapatkah kita mencabut “perkara-perkara yang sudah berurat berakar” dalam minda? (2 Kor. 10:4) Paulus berkata, “Kami merobohkan pelbagai fikiran yang salah dan merobohkan setiap benteng yang bercanggahan dengan pengetahuan tentang Tuhan. Kami menawan setiap fikiran supaya setiap fikiran patuh kepada Kristus.” (2 Kor. 10:5) Ya, dengan adanya bantuan Yehuwa, kita dapat mengubah fikiran dan sikap yang salah. Sebagaimana ubat ialah penawar kepada racun, Firman Tuhan ialah penawar kepada pengaruh buruk dunia Syaitan yang bagaikan racun.

“UBAHLAH FIKIRAN KAMU”

4. Semasa kita baru mempelajari kebenaran Bible, apakah perubahan yang perlu kita lakukan?

4 Fikirkan masa anda baru mempelajari kebenaran Bible. Apakah perubahan yang perlu anda lakukan supaya dapat menyembah Yehuwa? Ramai antara kita perlu menghentikan perbuatan yang salah. (1 Kor. 6:9-11) Tidakkah kita bersyukur kerana Yehuwa telah membantu kita mengatasi tabiat yang berdosa?

5. Apakah dua langkah yang disebut di Roma 12:2?

5 Namun, janganlah berfikir bahawa kita tidak lagi perlu membuat apa-apa perubahan. Walaupun kita sudah menghentikan dosa-dosa yang serius sebelum dibaptis, kita masih perlu berwaspada dan menjauhi apa sahaja yang mungkin menggoda kita untuk melakukan dosa-dosa itu semula. Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Paulus menjawab, “Jangan lagi dibentuk mengikut sistem dunia ini, tetapi ubahlah fikiran kamu.” (Rm. 12:2) Perhatikan dua langkah yang disebut dalam ayat itu. Pertama, kita harus berhenti dibentuk oleh dunia ini. Kedua, kita harus mengubah fikiran sendiri.

6. Apakah yang kita pelajari daripada kata-kata Yesus di Matius 12:43-45?

6 Perubahan yang disebut oleh Paulus bukan hanya merangkumi rupa luaran kita, tetapi juga melibatkan fikiran dan batin kita. (Lihat kotak “ Berubah atau Menyamar?”) Maksudnya, kita perlu mengubah sikap, perasaan, dan keinginan sendiri. Kita masing-masing harus menanya diri, “Untuk menjadi orang Kristian, adakah saya hanya mengubah apa yang dapat dilihat orang, atau adakah hati dan minda saya juga diubah?” Di Matius 12:43-45, Yesus mengajar kita suatu kebenaran yang penting. (Baca.) Kata-katanya menunjukkan bahawa kita bukan sahaja perlu membuang fikiran yang salah, tetapi juga perlu mengisi minda kita dengan fikiran Tuhan.

“MEMBAHARUI CARA KAMU BERFIKIR”

7. Bagaimanakah kita dapat mengubah hati dan minda sendiri?

7 Dapatkah kita mengubah hati dan minda sendiri? Firman Tuhan menyatakan, “Hendaklah kamu terus membaharui cara kamu berfikir, dan hendaklah kamu mengenakan keperibadian baharu yang diciptakan menurut kehendak Tuhan, dan yang selaras dengan apa yang benar dan setia.” (Ef. 4:23, 24) Ya, kita memang dapat mengubah hati dan minda sendiri, tetapi hal itu tidak mudah. Sekadar menahan nafsu berdosa dan menjauhi perbuatan yang salah tidak memadai. Kita juga perlu mengubah ‘cara kita berfikir,’ yang merangkumi keinginan, kecenderungan, dan niat hati kita. Untuk berbuat demikian, usaha yang berterusan diperlukan.

8-9. Bagaimanakah pengalaman seorang saudara menunjukkan bahawa hati dan minda kita perlu diubah?

8 Mari kita lihat contoh seorang saudara yang dahulunya bersifat ganas. Selepas dia berhenti menjadi kaki botol dan tidak lagi bergaduh dengan orang, dia memenuhi syarat untuk dibaptis. Hal itu menjadi kesaksian yang baik kepada jiran-jirannya. Tetapi tidak lama selepas dibaptis, dia menghadapi cubaan yang tidak terduga. Suatu petang, seorang lelaki yang mabuk datang ke rumahnya dan mencabarnya untuk berlawan. Mula-mulanya, saudara kita menahan keinginannya untuk berlawan. Tetapi apabila lelaki itu mengutuk nama Yehuwa, saudara kita tidak dapat menahan kemarahannya lagi. Dia keluar dari rumah lalu membelasah lelaki tersebut. Apakah masalahnya? Selepas mempelajari Bible, dia memang dapat mengawal keinginan untuk berlawan, tetapi dia belum mengubah ‘cara dia berfikir.’ Sifat yang ganas masih tersembunyi dalam hati dan mindanya.

9 Namun, saudara kita tidak berputus asa. (Ams. 24:16) Dengan adanya bantuan para penatua, dia terus membuat kemajuan dan bahkan dilantik sebagai penatua pada kemudian hari. Tetapi pada suatu petang, di luar Dewan Perjumpaan, dia menghadapi cubaan yang sama, yang dihadapinya bertahun-tahun lalu: Seorang lelaki yang mabuk hendak memukul seorang penatua. Apakah yang dilakukan saudara kita? Dengan tenang dan lembut, dia memujuk lelaki itu, meredakan situasi tersebut, dan membawa lelaki itu pulang. Mengapakah reaksi saudara kita berbeza kali ini? Hati dan mindanya sudah diubah. Dia benar-benar menjadi seorang yang rendah hati dan suka akan kedamaian, dan perubahannya telah membawa pujian kepada nama Yehuwa!

10. Apakah yang diperlukan untuk mengubah hati dan minda kita?

10 Perubahan sebegini tidak berlaku dalam sehari ataupun secara automatik. Seseorang tidak akan berubah hanya kerana dia sudah “lama dalam kebenaran.” Kita perlu “berusaha sedaya upaya” selama bertahun-tahun untuk mengubah hati dan minda kita. (2 Ptr. 1:5) Mari kita lihat beberapa langkah asas yang dapat membantu kita membuat perubahan.

CARA UNTUK MENGUBAH HATI DAN MINDA KITA

11. Bagaimanakah doa dapat membantu kita mengubah hati dan minda kita?

11 Doa ialah langkah yang pertama. Seperti pemazmur, kita harus memohon, “Ya Tuhan, ciptakanlah hati yang murni dalam diriku, dan berilah aku sikap yang baharu agar aku tetap teguh.” (Mzm. 51:10) Kita mesti mengakui bahawa kita perlu mengubah hati dan minda sendiri, dan kita mesti meminta bantuan Yehuwa. Apakah yang meyakinkan kita bahawa Yehuwa pasti membantu kita berubah? Mengenai orang Israel pada zaman Yehezkiel, Yehuwa berjanji, “Aku akan membuat mereka bersatu hati, dan membaharui cara pemikiran mereka. Aku akan menggantikan hati mereka yang keras seperti batu dengan hati yang lembut, [iaitu, hati yang peka terhadap bimbingan Tuhan].” (Yeh. 11:19, nota kaki) Yehuwa rela membantu orang Israel berubah, dan Dia rela membantu kita juga.

12-13. (a) Menurut Mazmur 119:59, apakah yang harus kita renungkan? (b) Apakah soalan-soalan yang patut kita tanya diri?

12 Langkah yang kedua ialah perenungan. Semasa meneliti Firman Tuhan setiap hari, luangkanlah masa untuk membuat perenungan. Cuba kenal pasti fikiran dan perasaan kita yang perlu diubah. (Baca Mazmur 119:59; Ibr. 4:12; Yak. 1:25) Jika kita mendapati bahawa kita tertarik kepada pemikiran dunia, kita mesti mengakui kelemahan sendiri dan bekerja keras untuk mengatasinya.

13 Sebagai contoh, tanyalah diri anda, “Adakah rasa cemburu masih tersembunyi di sudut hati saya?” (1 Ptr. 2:1) “Adakah saya membanggakan diri kerana latar belakang, pendidikan, atau keadaan kewangan saya?” (Ams. 16:5) “Adakah saya memandang rendah kepada bangsa lain atau orang yang berbeza kedudukan?” (Yak. 2:2-4) “Adakah saya suka akan hal-hal yang ditawarkan dunia Syaitan?” (1 Yoh. 2:15-17) “Adakah saya tertarik dengan hiburan yang ganas dan tidak bermoral?” (Mzm. 97:10; 101:3; Amo. 5:15) Jawapan kepada soalan-soalan itu mungkin menunjukkan perkara yang perlu kita usahakan. Apabila kita berjaya mencabut fikiran dan perasaan buruk yang sudah “berurat berakar,” kita pasti menggembirakan hati Bapa kita yang di syurga.​—Mzm. 19:14.

14. Mengapakah kita harus memilih pergaulan yang baik?

14 Memilih pergaulan yang baik ialah langkah yang ketiga. Sama ada kita menyedarinya atau tidak, pergaulan memberikan pengaruh yang besar kepada diri kita. (Ams. 13:20) Orang di tempat kerja atau di sekolah biasanya tidak akan membantu kita memupuk fikiran Tuhan. Namun, kita boleh mendapat pergaulan yang terbaik di perjumpaan. Di situlah kita akan didorong untuk “memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik.”​—Ibr. 10:24, 25.

“MEMANTAPKAN IMAN KAMU”

15-16. Bagaimanakah Syaitan mencuba mencemari minda kita?

15 Meskipun kita sudah berusaha mengubah fikiran kita agar selaras dengan kebenaran Bible, Syaitan masih bertekad untuk mencemari minda kita dengan pelbagai fikiran yang salah.

16 Semasa di Taman Eden, Syaitan menanya Hawa, “Benarkah Tuhan . . . ?” (Kej. 3:1) Dia masih menggunakan muslihat yang sama pada hari ini. Dalam dunia Syaitan, kita sering mendengar soalan seperti: “Benarkah Tuhan tidak menerima hubungan sejenis? Benarkah Tuhan tidak mahu anda menyambut Krismas dan hari jadi? Benarkah Tuhan ingin anda menolak transfusi darah? Benarkah Tuhan yang pengasih mahu anda menjauhi orang tersayang yang telah disingkirkan?”

17. Jika timbulnya pertanyaan tentang kepercayaan kita, apakah yang harus kita lakukan? Menurut Kolose 2:6, 7, apakah hasilnya jika kita berbuat demikian?

17 Kita perlu mencari jawapan kepada soalan tentang kepercayaan kita. Jika tidak, pertanyaan sebegitu dapat bertumbuh menjadi keraguan, dan keraguan itu mampu merosakkan fikiran kita dan menghancurkan iman kita. Jadi apakah yang harus kita lakukan? Firman Tuhan menasihati kita untuk membuktikan kepada diri sendiri “kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.” (Rm. 12:2) Apabila kita membuat pembelajaran dengan tetap, kita dapat meyakinkan diri bahawa apa yang kita pelajari daripada Bible memang benar. Kita juga akan yakin sepenuhnya bahawa piawaian Yehuwa memang benar. Dengan demikian, iman kita akan menjadi mantap, seperti sebatang pokok yang berakar umbi.​—Baca Kolose 2:6, 7.

18. Apakah yang dapat kita lakukan supaya tidak diracuni pengaruh buruk dunia Syaitan?

18 Anda harus memantapkan iman sendiri; orang lain tidak dapat melakukannya untuk anda. Maka, teruslah membaharui cara anda berfikir. Berdoalah sentiasa untuk memohon bantuan kuasa suci Yehuwa. Buatlah perenungan yang mendalam untuk memeriksa fikiran dan niat hati anda. Carilah pergaulan yang baik, dan pilihlah sahabat-sahabat yang akan menyokong usaha anda untuk mengubah fikiran sendiri. Dengan berbuat demikian, anda tidak akan diracuni pengaruh buruk dunia Syaitan, dan anda akan berjaya “merobohkan pelbagai fikiran yang salah dan merobohkan setiap benteng yang bercanggahan dengan pengetahuan tentang Tuhan.”​—2 Kor. 10:5.

LAGU 50 Doa Pembaktian Aku

^ per. 5 Sikap dan fikiran kita dipengaruhi oleh pengalaman, budaya, dan pendidikan kita. Rencana ini akan menunjukkan cara untuk menyingkirkan sikap atau fikiran buruk yang mungkin sudah berurat berakar dalam diri kita.