Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 23

“Berwaspadalah agar Tidak Ada Sesiapa pun yang Memperhamba Kamu”!

“Berwaspadalah agar Tidak Ada Sesiapa pun yang Memperhamba Kamu”!

“Berwaspadalah agar tidak ada sesiapa pun yang memperhamba kamu dengan falsafah dan tipu daya kosong yang berdasarkan adat istiadat manusia.”​—KOL. 2:8.

LAGU 96 Kitab Tuhan yang Tak Ternilai

PENGENALAN *

1. Menurut Kolose 2:4, 8, bagaimanakah Syaitan mencuba mempengaruhi minda kita?

SYAITAN ingin kita meninggalkan Yehuwa. Maka dia mencuba mempengaruhi minda kita supaya kita berfikir menurut kehendaknya. Dia menggunakan hal-hal yang menarik hati kita supaya dia dapat memperdaya kita untuk mengikut jalannya.​—Baca Kolose 2:4, 8.

2-3. (a) Mengapakah kita harus mendengarkan amaran di Kolose 2:8? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Mungkinkah Syaitan berjaya menyesatkan kita? Ya! Ingatlah bahawa amaran Paulus di Kolose 2:8 tidak ditujukan kepada orang dunia, tetapi kepada orang Kristian terurap. (Kol. 1:2, 5) Mereka diancam oleh Syaitan pada masa itu, dan pada zaman ini, ancaman Syaitan menjadi lebih berbahaya. (1 Kor. 10:12) Mengapa? Syaitan telah dibuang ke bumi, dan dia sedang berusaha keras untuk menyesatkan umat Tuhan yang setia. (Why. 12:9, 12, 17) Tambahan lagi, orang jahat dan penyamar pada zaman ini sedang “menjadi semakin jahat.”​—2 Tim. 3:1, 13.

3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana Syaitan menggunakan “tipu daya kosong” untuk mempengaruhi fikiran kita. Kita akan mengenal pasti tiga jenis “muslihat Iblis yang licik.” (Ef. 6:11) Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan apa yang dapat kita lakukan sekiranya fikiran kita sudah dipengaruhi tipu muslihat Syaitan. Mula-mulanya, mari kita mengkaji cara Syaitan menyesatkan orang Israel setelah mereka memasuki Tanah yang Dijanjikan. Kemudian, kita akan melihat pengajarannya bagi kita.

DIGODA UNTUK MENYEMBAH BERHALA

4-6. Menurut Ulangan 11:10-15, apakah hal baharu yang perlu dipelajari oleh orang Israel semasa bercucuk tanam di Tanah yang Dijanjikan?

4 Bagaimanakah Syaitan berjaya menggoda orang Israel untuk menyembah berhala? Dia tahu bahawa mereka perlu mencari makanan, maka dia menggunakan kesempatan itu untuk menyesatkan mereka. Semasa orang Israel berada di Mesir, mereka mengairi tanaman dengan menggunakan air daripada Sungai Nil. Tetapi di Tanah yang Dijanjikan, tanaman perlu bergantung pada air hujan dan embun. (Baca Ulangan 11:10-15; Yes. 18:4, 5) Maksudnya, orang Israel perlu mempelajari kaedah bercucuk tanam yang baharu. Hal itu tidak mudah, kerana kebanyakan orang Israel yang mempunyai pengalaman bercucuk tanam sudah mati di padang belantara.

Bagaimanakah Syaitan berjaya mengubah fikiran para petani Israel? (Lihat perenggan 4-6) *

5 Setelah menjelaskan kepada umat-Nya bahawa keadaan hidup mereka sudah berubah, Yehuwa memberikan satu amaran yang nampaknya tidak berkaitan dengan kaedah bertani: “Berwaspadalah agar hati kamu tidak tergoda untuk berpaling daripada Tuhan lalu bersujud dan menyembah tuhan-tuhan lain.” (Ul. 11:16, 17) Mengapakah Yehuwa tiba-tiba menyebut tentang penyembahan berhala?

6 Yehuwa tahu bahawa orang Israel akan tergoda untuk meminta tunjuk ajar daripada penduduk tempatan yang beragama kafir. Sudah pasti, mereka jauh lebih berpengalaman dalam soal bercucuk tanam, dan dapat mengajar umat Tuhan kemahiran yang berguna. Namun, fikiran orang Kanaan dipengaruhi oleh kepercayaan mereka terhadap Dewa Baal. Bagi mereka, Baal ialah penguasa langit dan pemberi hujan. Maka, Yehuwa memberikan amaran itu supaya umat-Nya tidak diperdaya oleh kepercayaan palsu itu. Sedihnya, orang Israel berkali-kali memilih untuk menyembah Baal. (Bil. 25:3, 5; Hak. 2:13; 1 Raj. 18:18) Mari kita perhatikan beberapa muslihat yang digunakan oleh Syaitan untuk memperhamba orang Israel.

TIGA JENIS MUSLIHAT YANG DIGUNAKAN OLEH SYAITAN UNTUK MEMPERHAMBA ORANG ISRAEL

7. Bagaimanakah iman orang Israel diuji semasa mereka di Tanah yang Dijanjikan?

7 Pertama, Syaitan memperalatkan keinginan semula jadi orang Israel untuk mendapat air hujan. Di Tanah yang Dijanjikan, hujan jarang turun antara hujung bulan April hingga bulan September setiap tahun. Untuk mendapat makanan dan hasil tuaian yang lumayan, orang Israel perlu bergantung pada musim hujan yang biasanya bermula sekitar bulan Oktober. Namun, Syaitan memperdaya orang Israel dan membuat mereka berfikir bahawa untuk hidup makmur, mereka harus mengikut adat orang Kanaan di sekeliling mereka yang beragama kafir. Para penganut agama kafir itu percaya bahawa upacara tertentu perlu dilakukan supaya dewa dewi menurunkan hujan. Orang Israel yang kurang beriman kepada Yehuwa percaya bahawa itulah satu-satunya cara untuk mengelakkan kemarau yang berpanjangan, maka mereka pun melakukan upacara kafir untuk memuja Dewa Baal.

8. Apakah muslihat kedua yang digunakan oleh Syaitan? Jelaskan.

8 Muslihat kedua yang digunakan oleh Syaitan ialah keinginan seks yang tidak bermoral. Upacara penyembahan orang kafir merangkumi perbuatan seks yang menjijikkan. Mereka mempunyai pelacur lelaki dan perempuan di kuil. Mereka bukan sahaja menerima hubungan sejenis dan pelbagai jenis perbuatan cabul, malah menganggapnya sebagai hal biasa! (Ul. 23:17, 18; 1 Raj. 14:24) Orang kafir percaya bahawa dengan melakukan hal-hal sebegini, dewa dewi mereka akan membuat tanah mereka subur. Ramai orang Israel tertarik dengan upacara yang tidak bermoral itu dan tergoda untuk menyembah tuhan palsu. Akhirnya mereka diperhamba oleh Syaitan.

9. Daripada Hosea 2:16, 17, bagaimanakah kita tahu bahawa Syaitan mengelirukan pandangan orang Israel tentang Yehuwa?

9 Muslihat Syaitan yang ketiga adalah dengan mengelirukan pandangan orang Israel tentang Yehuwa. Pada zaman Nabi Yeremia, Yehuwa menyatakan bahawa nabi-nabi palsu membuat umat-Nya ‘melupakan nama-Nya kerana Baal.’ (Yer. 23:27) Nampaknya umat Tuhan pada masa itu tidak lagi menggunakan nama Yehuwa dan menggantikan nama itu dengan nama Baal, yang bermaksud “Pemilik” atau “Tuan.” Akibatnya, orang Israel susah membezakan Yehuwa daripada Baal, dan mula mencampuradukkan upacara agama Baal dengan penyembahan Yehuwa.​—Baca Hosea 2:16, 17 dan nota kaki.

MUSLIHAT SYAITAN HARI INI

10. Apakah muslihat-muslihat yang digunakan Syaitan hari ini?

10 Hari ini, Syaitan juga menggunakan muslihat yang sama. Dia memperhamba orang dengan menggunakan keinginan yang semula jadi, keinginan seks yang tidak bermoral, dan dengan mengelirukan pandangan orang tentang Yehuwa. Mari kita kaji muslihat yang ketiga terlebih dahulu.

11. Bagaimanakah Syaitan mengelirukan pandangan orang tentang Yehuwa?

11 Syaitan mengelirukan pandangan orang tentang Yehuwa. Selepas kematian para rasul, golongan murtad muncul dan mula menyebarkan ajaran palsu. (Kis. 20:29, 30; 2 Tes. 2:3) Mereka membuat orang keliru tentang siapa sebenarnya Tuhan yang benar. Contohnya, semasa menyalin Bible, mereka mengeluarkan nama Tuhan dan menggantikannya dengan gelaran seperti “Tuan.” Oleh itu, orang yang membaca Bible tidak dapat membezakan Yehuwa daripada tuan-tuan lain yang disebut dalam Bible. (1 Kor. 8:5) Mereka menggunakan gelaran “Tuan” bagi Yesus dan Yehuwa, sehingga orang berasa susah untuk faham bahawa Yehuwa dan Anak-Nya ialah dua individu yang berbeza dan mempunyai kedudukan yang berbeza. (Yoh. 17:3) Akibatnya, terbentuklah ajaran Tritunggal yang langsung tidak berasaskan Bible. Itulah sebabnya ramai orang percaya bahawa Tuhan itu misteri dan tidak dapat dikenali. Dusta yang besar ini memang mengelirukan orang!​—Kis. 17:27.

Bagaimanakah Syaitan menggunakan agama palsu untuk menggalakkan perbuatan yang tidak bermoral? (Lihat perenggan 12) *

12. Apakah yang digalakkan oleh agama palsu? Seperti yang dijelaskan di Roma 1:28-31, apakah akibatnya?

12 Syaitan menggunakan keinginan seks yang tidak bermoral. Pada zaman Israel kuno, Syaitan menggunakan agama palsu untuk menggalakkan perbuatan yang tidak bermoral. Hal yang sama berlaku hari ini. Agama palsu menerima perbuatan yang tidak bermoral dan bahkan menggalakkan orang untuk menganggapnya sebagai hal yang biasa. Oleh itu, ramai orang mengaku diri menyembah Tuhan, tetapi tidak mengikut piawaian moral Tuhan. Apakah akibatnya? Dalam suratnya kepada orang Kristian di Roma, Rasul Paulus menjelaskan bahawa orang sebegini akan terjebak dalam “hal-hal yang tidak patut dilakukan,” seperti pelbagai perbuatan seks yang tidak bermoral, termasuk hubungan sejenis. (Baca Roma 1:28-31; 1:24-27, 32; Why. 2:20) Maka, amatlah penting bagi kita untuk berpegang teguh pada ajaran Bible!

13. Apakah satu lagi muslihat Syaitan?

13 Syaitan memperalatkan keinginan semula jadi manusia. Secara semula jadi, kita ingin mempelajari kemahiran yang dapat membantu kita menyara kehidupan sendiri dan keluarga. (1 Tim. 5:8) Untuk mempelajari kemahiran sebegini, kita perlu bersekolah dan rajin belajar. Namun, kita harus berhati-hati. Sistem pendidikan di banyak negara bukan sahaja menawarkan kemahiran yang praktikal, tetapi juga mengajarkan falsafah manusia. Para pelajar digalakkan untuk mempersoalkan kewujudan Tuhan dan mengetepikan ajaran Bible. Mereka juga diberitahu bahawa semua orang yang bijak percaya bahawa kehidupan wujud melalui evolusi. (Rm. 1:21-23) Hal-hal sebegini bertentangan dengan ‘kebijaksanaan Tuhan.’​—1 Kor. 1:19-21; 3:18-20.

14. Falsafah manusia menggalakkan orang untuk melakukan apa?

14 Falsafah manusia tidak selaras, malah bertentangan dengan piawaian Tuhan. Falsafah sebegini menggalakkan orang untuk menurut “keinginan yang berdosa,” dan bukannya menghasilkan buah kuasa suci Tuhan. (Gal. 5:19-23) Falsafah manusia membuat orang menjadi sombong dan angkuh, serta “mencintai diri sendiri.” (2 Tim. 3:2-4) Sifat-sifat ini berlawanan dengan sifat lemah lembut dan rendah hati yang harus dimiliki hamba-hamba Tuhan. (2 Sam. 22:28) Sesetengah orang Kristian yang mengejar pendidikan universiti mula terpengaruh dengan fikiran dunia dan tidak lagi dibentuk oleh fikiran Tuhan. Mari kita lihat satu contoh tentang bahaya ini.

Bagaimanakah falsafah manusia dapat mempengaruhi fikiran kita? (Lihat perenggan 14-16) *

15-16. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman seorang saudari?

15 Seorang saudari yang sudah menyertai khidmat sepenuh masa untuk lebih daripada 15 tahun berkata, “Sebagai seorang Saksi, saya pernah membaca dan mendengar tentang bahaya pendidikan universiti. Tetapi saya tidak mengendahkan amaran itu kerana berfikir bahawa nasihat sebegini bukan untuk saya.” Apakah akibatnya? Dia mengaku, “Saya menghabiskan begitu banyak masa dan tenaga untuk kursus saya. Akhirnya saya terlalu sibuk sehingga tidak lagi dapat meluangkan masa yang secukupnya untuk berdoa. Saya juga sangat penat sehingga tidak dapat menikmati pembelajaran Bible dengan orang lain, dan saya tidak ada tenaga untuk membuat persiapan yang baik bagi perjumpaan. Syukurlah, saya sedar bahawa pendidikan tinggi sedang merosakkan hubungan saya dengan Yehuwa. Saya tahu bahawa saya harus berhenti, dan itulah yang saya lakukan.”

16 Bagaimanakah pendidikan tinggi mempengaruhi fikiran saudari kita? Dia berkata, “Saya berasa malu untuk mengakui bahawa pendidikan tinggi membuat saya berfokus kepada kelemahan orang lain, khususnya saudara saudari saya. Pendidikan tinggi juga membuat saya mengharapkan sesuatu yang di luar kemampuan mereka dan cenderung menjauhi mereka. Saya perlu waktu yang panjang untuk mengubah fikiran sedemikian. Pengalaman ini mengajar saya betapa bahayanya jika kita tidak mendengarkan amaran yang diberikan oleh Yehuwa menerusi organisasi-Nya. Bapa saya di syurga jauh lebih mengenali saya daripada saya mengenali diri sendiri. Saya menyesal kerana tidak mendengar amaran-Nya awal-awal lagi!”

17. (a) Apakah seharusnya tekad kita? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Bertekadlah agar tidak sekali-kali diperhamba oleh “falsafah dan tipu daya kosong” dunia Syaitan. Selain itu, teruslah berwaspada terhadap muslihat Syaitan. (1 Kor. 3:18; 2 Kor. 2:11) Janganlah membiarkan Syaitan memperdaya anda sehingga anda melupakan Yehuwa atau tidak mempedulikan nasihat-Nya. Sebaliknya, teruslah berpegang pada piawaian moral Yehuwa. Namun, bagaimana pula jika anda mendapati bahawa fikiran dunia sudah menjangkiti anda? Rencana seterusnya akan menunjukkan bagaimana Firman Tuhan dapat membantu kita mencabut fikiran dan tabiat buruk “yang sudah berurat berakar.”​—2 Kor. 10:4, 5.

LAGU 49 Menggembirakan Hati Yehuwa

^ per. 5 Syaitan sangat mahir memperdaya orang. Dia telah membuat ramai orang percaya bahawa mereka hidup bebas, padahal mereka sebenarnya diperhamba olehnya. Rencana ini akan membincangkan beberapa cara yang digunakan oleh Syaitan untuk menipu orang.

^ per. 48 KETERANGAN GAMBAR: Orang Israel yang bergaul dengan orang Kanaan digoda untuk menyembah Baal dan melakukan perbuatan yang tidak bermoral.

^ per. 51 KETERANGAN GAMBAR: Warna-warna pada iklan gereja yang menunjukkan bahawa pihak gereja menerima hubungan sejenis.

^ per. 53 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari muda di universiti. Dia dan rakan-rakan sekelasnya mula percaya kata-kata profesor bahawa sains dan teknologi dapat menyelesaikan semua masalah manusia. Semasa menghadiri perjumpaan, saudari tersebut hilang minat dan mencari kesalahan saudara saudari.