Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 KISAH HIDUP

Dilegakan Setiap Kali Saya Dilanda Kekhuatiran

Dilegakan Setiap Kali Saya Dilanda Kekhuatiran

Di sebelah barat Sungai Indus, di kawasan yang kini dipanggil Pakistan, terletaknya kota Sukkur. Itulah tempat saya dilahirkan pada 9 November 1929. Sekitar masa itu, ibu bapa saya mendapat satu set buku yang berwarna-warni daripada seorang mubaligh Inggeris. Buku-buku itu telah membentuk kehidupan saya sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.

BUKU-BUKU itu dipanggil set pelangi dan mengandungi banyak gambar cantik yang merangsang imaginasi saya. Hasilnya, sejak kecil lagi, saya mendahagakan pengetahuan Bible yang disajikan dalam buku-buku itu.

Apabila India kian merasai bahang Perang Dunia II, dunia saya mula hancur. Ibu bapa saya berpisah dan kemudian bercerai. Saya tidak faham mengapa dua orang tersayang saya akan berpisah. Saya rasa ditinggalkan dan seperti kebas secara emosi. Saya anak tunggal, dan keinginan saya untuk dilegakan dan disokong tidak dapat dipuaskan.

Mak dan saya tinggal di Karachi. Suatu hari, Fred Hardaker, seorang doktor tua yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa, melawat ke rumah kami. Dia menganuti agama yang sama dengan mubaligh yang memberikan set buku pelangi itu. Dia menawarkan pembelajaran Bible kepada Mak. Mak menolak tawarannya tetapi mengatakan bahawa saya mungkin berminat. Minggu berikutnya, saya mula belajar Bible dengan Saudara Hardaker.

 Beberapa minggu kemudian, saya mula menghadiri perjumpaan di klinik Saudara Hardaker. Kira-kira 12 orang Saksi yang berusia beribadat di situ. Mereka melegakan saya dan menjaga saya seperti anak sendiri. Saya masih ingat bagaimana mereka duduk bersama saya, berlutut supaya sama tinggi dengan saya, dan bercakap kepada saya. Mereka menjadi sahabat karib yang amat saya perlukan pada waktu itu.

Tidak lama kemudian, Saudara Hardaker menjemput saya untuk menginjil bersamanya. Dia ajar saya guna peti nyanyi supaya kami dapat memainkan rakaman ceramah Bible yang singkat. Ada ceramah Bible yang sangat terus terang sehingga penghuni rumah tersinggung. Namun saya sangat bersemangat dan suka mengongsi kebenaran.

Apabila tentera Jepun bersedia menyerang India, pihak British semakin menekan Saksi-Saksi Yehuwa. Akhirnya, pada Julai 1943, saya merasai tekanan itu semasa saya dibuang sekolah. Pengetua saya, seorang paderi Anglikan, memberitahu Mak bahawa saya bukan contoh yang baik di sekolah kerana saya bergaul dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Mak sangat terkejut dan melarang saya bergaul dengan Saksi. Kemudian, dia menghantar saya kepada Ayah di Peshawar, sebuah pekan yang terletak kira-kira 1,370 km ke utara. Saya menjadi tidak aktif kerana kekurangan makanan rohani dan pergaulan Kristian.

DIPULIHKAN SECARA ROHANI

Pada tahun 1947, saya pulang ke Karachi untuk mencari kerja. Semasa di situ, saya melawat Dr. Hardaker di kliniknya. Dia menyambut saya dengan mesra sekali.

“Kamu sakit apa?” tanya Dr. Hardaker. Dia sangka saya kurang sihat.

“Doktor, saya sakit secara rohani,” saya jawab. “Saya perlu belajar Bible.”

“Bila kamu mahu mula?” tanya dia.

“Jika boleh, sekarang juga,” saya jawab.

Petang itu, kami telah mengkaji Bible. Saya rasa lega kerana dapat bersama umat Tuhan lagi. Mak cuba menghalang saya bergaul dengan Saksi, tetapi kali ini saya bertekad untuk menjadikan kebenaran pegangan hidup saya. Saya membaktikan diri kepada Yehuwa, lalu dibaptis pada 31 Ogos 1947. Tidak lama selepas itu, saya menjadi perintis biasa pada umur 17 tahun.

SUKACITA DALAM KHIDMAT PERINTIS

Tugasan pertama saya terletak di Quetta, bekas pusat tentera Britain. Pada tahun 1947, negara kami dibahagikan kepada India dan Pakistan. * Peristiwa itu mencetuskan keganasan agama yang dahsyat sehingga sekitar 14 juta orang terpaksa melarikan diri. Penganut Islam di India berpindah ke Pakistan, manakala penganut Hindu dan Sikh di Pakistan berpindah ke India. Dalam keadaan yang huru-hara itu, saya menaiki kereta api yang sesak di Karachi dan berpaut pada selusur tangan di luar gerabak sepanjang perjalanan ke Quetta.

Menghadiri perhimpunan litar di India, 1948

Di Quetta, saya mengenali George Singh, seorang perintis khas yang berumur pertengahan 20-an. George memberi saya sebuah basikal yang dapat saya tunggang (atau tolak) di kawasan perbukitan. Saya biasanya menginjil seorang diri. Dalam masa enam bulan, saya mendapat 17 pelajar Bible, dan ada antara mereka yang menerima kebenaran. Sadiq Masih, salah seorang pelajar saya, ialah pegawai tentera yang membantu George dan saya menterjemahkan bahan bacaan Bible ke dalam bahasa Urdu, iaitu bahasa kebangsaan Pakistan. Sadiq kemudiannya menjadi seorang penginjil yang bersemangat.

Menaiki kapal Queen Elizabeth untuk menghadiri Sekolah Gilead

Kemudian, saya merintis di Karachi bersama Henry Finch dan Harry Forrest, dua mubaligh yang baru datang dari Sekolah Gilead. Mereka telah memberi saya latihan teokratik yang amat berharga! Pernah sekali, saya mengikut Saudara Finch ke utara Pakistan untuk menginjil. Di kaki banjaran gunung, kami menemui ramai penduduk kampung berbahasa Urdu yang mendahagakan kebenaran. Dua tahun kemudian, saya menghadiri Sekolah Gilead lalu kembali ke Pakistan. Ada kalanya saya akan melakukan kerja  lawatan, dan saya tinggal bersama tiga orang saudara mubaligh di Lahore.

PULIH SETELAH DILANDA KRISIS

Sedihnya, perselisihan timbul antara mubaligh di Lahore pada tahun 1954, sehingga pejabat cawangan perlu menukar tugasan sesetengah mubaligh. Oleh sebab saya pilih kasih dalam perselisihan itu, saya ditegur dengan keras. Saya hancur hati dan rasa diri tidak berguna. Saya pulang ke Karachi dan kemudian berpindah ke London, England, dan berharap saya dapat memulakan lembaran hidup baharu.

Sidang saya di London mempunyai ramai ahli Bethel. Pryce Hughes, pembantu cawangan ketika itu, telah melatih saya dengan pengasih. Dia memberitahu saya bagaimana dia pernah ditegur dengan keras oleh Joseph F. Rutherford, saudara yang menyelia kerja penyebaran sedunia. Semasa Saudara Hughes cuba membela diri, dia ditegur dengan tegas oleh Saudara Rutherford. Saya berasa hairan kerana Saudara Hughes dapat menyebut peristiwa itu sambil tersenyum. Dia berkata bahawa dia kecil hati pada mulanya, tetapi kemudian dia sedar teguran itu memang diperlukannya dan merupakan bukti akan kasih Yehuwa. (Ibr. 12:6) Kata-katanya menyentuh hati saya dan membantu saya berkhidmat dengan sukacita lagi.

Sekitar masa itu, Mak berpindah ke London dan mula belajar Bible dengan John E. Barr, yang kemudiannya menjadi ahli Badan Pimpinan. Mak maju secara rohani dan dibaptis pada tahun 1957. Kemudian saya mendapat tahu bahawa Ayah juga belajar bersama Saksi sebelum dia meninggal.

Pada tahun 1958, saya mengahwini Lene, seorang saudari Denmark yang menetap di London. Tahun berikutnya, Jane, anak perempuan kami, telah lahir. Dialah anak sulung antara lima orang anak kami. Saya dilantik untuk tugas tertentu di sidang Fulham, tetapi akibat masalah kesihatan Lene, kami perlu tinggal di tempat yang lebih panas. Jadi kami berpindah ke Adelaide, Australia, pada tahun 1967.

TRAGEDI MENIMPA

Sidang kami di Adelaide mempunyai 12 orang Kristian terurap yang rajin mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran. Dalam masa yang singkat, kami dapat menikmati rutin rohani yang sihat.

Pada tahun 1979, Daniel, anak bongsu kami, telah lahir. Dia menghidap sindrom Down * yang teruk  dan tidak akan hidup lama. Sampai sekarang, saya masih rasa susah untuk menggambarkan perasaan kami ketika itu. Kami melakukan apa yang terdaya untuk menjaganya tanpa mengabaikan empat orang anak yang lain. Jantung Daniel ada dua lubang, dan ada kalanya kulitnya akan berwarna kebiruan kerana tidak cukup oksigen. Ketika itu, kami perlu segera membawanya ke hospital. Meskipun sakit, Daniel anak yang bijak, penyayang, dan mementingkan hal rohani. Setiap kali kami berdoa sebelum makan, dia akan menggenggam tangannya, mengangguk, dan berkata, “Amin!” dengan ikhlas, barulah dia akan makan.

Pada usia empat tahun, Daniel menghidap leukemia akut. Saya dan Lene kelesuan secara fizikal dan emosi, dan saya sangat tertekan. Namun, ketika kami hampir patah semangat, Neville Bromwich, penyelia litar kami, datang ke rumah. Pada malam itu, dia memeluk kami dan menangis bersama kami. Kata-katanya yang pengasih dan berbelas kasihan sungguh melegakan kami. Dia beredar kira-kira jam satu keesokan paginya. Tidak lama kemudian, Daniel telah meninggal. Itulah tragedi yang terbesar dalam hidup kami. Namun, kami meredah waktu kesusahan itu dengan keyakinan bahawa tiada apa-apa pun, bahkan kematian, yang dapat memisahkan Daniel daripada kasih Yehuwa. (Rm. 8:38, 39) Kami menanti-nantikan masanya untuk berjumpa lagi dengannya di dunia baharu!​—Yoh. 5:28, 29.

BERSUKACITA KERANA MEMBANTU ORANG LAIN

Hari ini, setelah mengalami dua strok yang besar, saya masih berkhidmat sebagai penatua. Pengalaman hidup saya telah mengajar saya pentingnya menunjukkan empati dan belas kasihan, terutamanya kepada mereka yang menghadapi masalah. Saya berusaha agar tidak menghakimi mereka. Sebaliknya saya akan fikir, “Bagaimanakah latar belakang mereka mempengaruhi perasaan dan fikiran mereka? Bagaimanakah saya dapat menunjukkan keprihatinan? Bagaimanakah saya dapat menggalakkan mereka untuk mengikut kehendak Yehuwa?” Saya suka kerja penggembalaan! Semasa saya menyegarkan dan melegakan orang lain, saya sendiri pun disegarkan dan dilegakan.

Membuat kunjungan penggembalaan memuaskan hati saya

Saya berasa seperti pemazmur yang berkata, “Apabila aku dilanda kekhuatiran, [Yehuwa] menenangkan dan melegakan jiwaku.” (Mzm. 94:19) Dia telah menyokong saya semasa saya menghadapi masalah keluarga, tentangan, kekecewaan, dan kemurungan. Sememangnya, Yehuwa ialah Bapa saya!

^ per. 19 Pada mulanya, Pakistan terdiri daripada Pakistan Barat (kini Pakistan) dan Pakistan Timur (kini Bangladesh).

^ per. 29 Lihat rencana “Membesarkan Anak Penyandang Sindrom Down​—Tantangan dan Imbalannya” dalam majalah Sedarlah! Jun 2011, bahasa Indonesia.