Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 KISAH HIDUP

Berkat daripada Yehuwa Jauh Melebihi Jangkaan Saya

Berkat daripada Yehuwa Jauh Melebihi Jangkaan Saya

“SAYA patut merintis. Tetapi kerja itu nampaknya membosankan.” Itulah yang saya fikirkan. Saya sangat suka kerja saya di Jerman untuk mengeksport makanan ke tempat-tempat di Afrika seperti Dar es Salaam, Elisabethville, dan Asmara. Saya tidak sangka bahawa suatu hari nanti saya akan berkhidmat sepenuh masa untuk Yehuwa di tempat-tempat itu dan di kawasan lain di serata Afrika!

Apabila saya akhirnya mula merintis, kehidupan saya telah berubah dalam cara yang tidak pernah disangka. (Ef. 3:20) Bagaimanakah semua itu berlaku? Biar saya ceritakan dari mula.

Saya lahir di Berlin, Jerman, pada tahun 1939, beberapa bulan selepas Perang Dunia Kedua tercetus. Apabila perang itu hampir tamat pada tahun 1945, Berlin sering dibedil dengan bom dari pesawat. Pernah sekali, kawasan perumahan kami dibom. Kami sekeluarga telah melarikan diri ke tempat perlindungan. Demi keselamatan, kami kemudiannya pergi ke Erfurt, tempat lahir ibu saya.

Bersama ibu bapa dan adik saya di Jerman, sekitar tahun 1950

Ibu saya mencari kebenaran dengan bersungguh-sungguh. Dia membaca karya ahli falsafah dan mengkaji pelbagai agama, tetapi dia tidak puas. Sekitar tahun 1948, dua orang Saksi-Saksi Yehuwa datang ke rumah kami. Ibu saya menjemput mereka masuk dan menanyakan banyak soalan. Kurang daripada sejam kemudian, dia berkata kepada saya dan adik perempuan saya, “Mak sudah jumpa kebenaran!” Tidak lama selepas itu, kami bertiga mula menghadiri perjumpaan di Erfurt.

Pada tahun 1950, kami kembali ke Berlin dan menyertai Sidang Berlin-Kreuzberg. Selepas itu, kami berpindah lagi dan mengikut Sidang Berlin-Tempelhof. Ibu saya kemudiannya dibaptis, tetapi saya masih belum bersedia. Mengapa?

MENGATASI RASA MALU

Saya tidak dapat maju secara rohani kerana saya sangat pemalu. Meskipun saya keluar menginjil, selama dua tahun saya tidak pernah membuka mulut untuk memberikan kesaksian. Namun, keadaannya berubah apabila saya bergaul dengan saudara saudari yang amat mengasihi Yehuwa dan menyembah-Nya dengan berani. Ada antara mereka yang pernah ditahan di kem konsentrasi Nazi atau di penjara Jerman Timur. Yang lain telah membahayakan diri untuk menyeludup bahan bacaan ke Jerman Timur. Saya sangat kagum dengan mereka. Saya fikir, jika mereka sanggup menggadaikan nyawa dan kebebasan demi Yehuwa dan saudara saudari,  saya sekurang-kurangnya harus mencuba mengatasi perasaan malu.

Saya mula mengatasi perasaan malu semasa menyertai sebuah kempen kesaksian yang istimewa pada tahun 1955. Melalui sepucuk surat dalam Informant, * Saudara Nathan Knorr mengumumkan bahawa itulah salah satu kempen terbesar yang pernah diadakan oleh organisasi kita. Dia berkata bahawa jika semua penyiar ikut serta, “pada bulan itu kita akan menikmati pengalaman menginjil yang terbaik.” Betul cakapnya! Tidak lama selepas itu, saya membaktikan diri kepada Yehuwa lalu dibaptis pada tahun 1956 bersama bapa dan adik saya. Namun, saya berdepan dengan satu lagi keputusan yang besar.

Selama bertahun-tahun, saya sudah tahu bahawa saya patut mula merintis, tetapi saya asyik menangguhkannya. Mula-mulanya saya belajar untuk mengurus perniagaan import-eksport di Berlin. Selepas itu, saya ingin menimba pengalaman, jadi pada tahun 1961, saya mula bekerja di Hamburg, kota pelabuhan terbesar di Jerman. Semakin saya menyukai kerja itu, semakin saya menangguhkan khidmat sepenuh masa. Apakah yang membantu saya bertumpu kepada matlamat rohani?

Yehuwa telah membantu saya melalui rakan seiman yang pengasih. Beberapa orang sahabat saya telah mula merintis dan menjadi teladan yang baik bagi saya. Selain itu, Saudara Erich Mundt yang pernah berada di kem konsentrasi telah menggalakkan saya untuk yakin kepada Yehuwa. Dia berkata bahawa dalam kem, mereka yang bergantung pada diri sendiri kemudiannya menjadi lemah, tetapi mereka yang yakin sepenuhnya kepada Yehuwa dapat tetap setia dan menjadi seperti tiang dalam sidang.

Semasa saya mula merintis, 1963

Saudara Martin Poetzinger, yang kemudiannya menjadi ahli Badan Pimpinan, juga terus menggalakkan saudara saudari dengan berkata, “Keberanian ialah milikmu yang paling berharga!” Selepas merenungkan kata-katanya, saya meletakkan jawatan dan mula merintis pada Jun 1963. Saya tidak pernah menyesali keputusan itu! Dua bulan kemudian, bahkan sebelum saya mula mencari kerja baharu, saya dijemput untuk menjadi perintis khas. Beberapa tahun kemudian, Yehuwa memberi saya berkat yang tidak disangka: Saya dijemput ke kelas Gilead yang ke-44.

PENGAJARAN YANG BERNILAI DI GILEAD

“Jangan cepat putus asa” merupakan salah satu pengajaran yang khasnya ditekankan oleh Saudara Nathan Knorr dan Lyman Swingle. Mereka menggalakkan kami agar tetap tabah dalam tugasan kami. Saudara Knorr berkata, “Adakah kamu akan berfokus kepada habuk, serangga, dan kemiskinan? Atau kepada pokok, bunga, dan wajah yang riang? Belajarlah untuk mengasihi orang yang kamu temui!” Suatu hari, semasa Saudara Swingle menjelaskan sebabnya sesetengah orang cepat putus asa, tiba-tiba dia menjadi sebak dan air matanya menggenang. Dia perlu berhenti sebentar untuk menenangkan diri sebelum menyambung ceramahnya. Saya sangat terharu dan bertekad agar tidak mengecewakan Kristus mahupun saudara-saudaranya.​—Mat. 25:40.

Saya, Claude, dan Heinrich sebagai mubaligh di Lubumbashi, Congo, 1967

Selepas kami menerima tugasan masing-masing, beberapa orang ahli Bethel bertanya ke mana kami akan pergi. Mereka memberikan komen yang positif tentang setiap destinasi, sehinggalah saya berkata, “Congo (Kinshasa).” Mereka terdiam seketika dan hanya berkata, “Oh, Congo! Semoga Yehuwa menyertai kamu!” Pada masa itu, Congo (Kinshasa) selalu muncul dalam berita kerana peperangan dan pembunuhan. Namun saya tetap memikirkan pengajaran yang diperoleh di Gilead. Tidak lama selepas tamat sekolah pada September 1967, saya, Heinrich Dehnbostel, dan Claude Lindsay bertolak ke Kinshasa, ibu kota Congo.

PENGAJARAN YANG BERNILAI DALAM KHIDMAT MUBALIGH

Setibanya di Kinshasa, kami belajar bahasa Perancis selama tiga bulan. Kemudian, kami menaiki kapal terbang ke Lubumbashi (dahulu dipanggil Elisabethville), yang terletak di selatan Congo, berhampiran sempadan Zambia. Kami tinggal di sebuah rumah mubaligh di pusat bandar.

 Kebanyakan kawasan di Lubumbashi tidak pernah dikunjungi Saksi, maka kami sangat teruja untuk menjadi orang pertama yang mengongsi kebenaran dengan penduduk di situ. Dalam masa yang pendek, kami ada terlalu banyak pelajar Bible. Kami juga memberikan kesaksian kepada pegawai kerajaan dan polis. Ramai antara mereka sangat menghormati Bible dan kerja kami. Saya dan Claude telah mempelajari bahasa Swahili, iaitu bahasa utama di situ. Tidak lama kemudian, kami ditugaskan ke sidang bahasa Swahili.

Tugasan kami juga ada cabarannya. Kami sering berdepan dengan askar bersenjata yang mabuk dan polis yang agresif, yang membuat tuduhan palsu terhadap kami. Pernah sekali, sekumpulan polis bersenjata menyerbu rumah mubaligh semasa kami mengadakan perjumpaan dan membawa kami ke balai polis. Kami disuruh duduk di lantai sehingga sekitar jam 10 malam, barulah kami dilepaskan.

Pada tahun 1969, saya ditugaskan sebagai penyelia litar. Di Afrika, terdapat banyak jalan berlumpur yang penuh dengan rumput tinggi, dan saya perlu merentasi jalan sebegini dari masa ke masa. Di sebuah kampung, seekor ayam betina dan anak-anaknya selalu tidur di bawah katil saya pada waktu malam. Saya tidak akan lupa bagaimana saya dikejutkan daripada tidur semasa ayam itu berkokok pada waktu subuh. Saya masih terkenang masanya saya dan saudara saudari duduk di sekeliling unggun api pada waktu malam sambil bercakap tentang kebenaran Bible.

 Salah satu cabaran terbesar pada masa itu ialah Saksi-Saksi palsu yang menyokong gerakan Kitawala. * Ada antara mereka yang menyelinap ke dalam sidang dan bahkan dilantik sebagai penatua. Meskipun mereka bagaikan “batu yang tersembunyi,” saudara saudari yang sejati tidak terpedaya. (Yud. 12) Selepas Yehuwa mengeluarkan mereka daripada sidang, kami telah menikmati pertumbuhan yang pesat.

Pada tahun 1971, saya ditugaskan ke pejabat cawangan di Kinshasa. Saya diberi pelbagai tugas seperti melakukan kerja surat-menyurat, memesan bahan bacaan, dan bekerja di bahagian kerja penyebaran. Saya telah belajar untuk mengaturkan kerja dalam sebuah negara besar yang mempunyai kemudahan yang terhad. Ada masanya, surat daripada pejabat cawangan mengambil masa berbulan-bulan untuk sampai di sidang walaupun kami menggunakan mel udara. Mengapa begitu? Surat kami akan diturunkan dari kapal terbang dan dibawa melalui bot, tetapi bot itu tersangkut selama beberapa minggu kerana permukaan air penuh dengan tumbuhan. Meskipun terdapat halangan sebegini, kerja kami tetap dilaksanakan.

Meskipun sumber kewangan kami terhad, saudara-saudara masih dapat mengaturkan konvensyen yang besar. Mereka mengubah suai bukit anai-anai menjadi pentas, menggunakan rumput gajah yang panjang sebagai dinding, dan menggulung rumput itu untuk dijadikan tempat duduk. Mereka membina rangka bangunan daripada buluh dan mengikatkan buluh halus untuk dijadikan atap dan meja. Mereka tidak mempunyai paku, jadi mereka menghiris kulit pokok untuk dijadikan pengikat. Saya sangat kagum dengan saudara saudari yang tabah dan kreatif itu, dan saya amat mengasihi mereka. Setelah saya ditugaskan ke tempat lain, saya amat merindui mereka.

BERKHIDMAT DI KENYA

Pada tahun 1974, saya ditugaskan ke pejabat cawangan di Nairobi, Kenya. Kerja di situ sangat banyak, kerana pejabat cawangan Kenya perlu menjaga kerja penyebaran di 10 buah negara yang berdekatan, termasuk beberapa negara yang mengharamkan kerja kita. Saya sering ditugaskan untuk melawat negara-negara itu, khususnya Etiopia. Saudara saudari di situ dianiaya dan menghadapi cubaan yang besar. Ramai antara mereka dilayan dengan kejam, dipenjarakan, dan ada yang bahkan dibunuh. Tetapi mereka tetap setia kerana mereka memiliki hubungan yang rapat dengan Yehuwa dan satu sama lain.

Pada tahun 1980, hidup saya bertambah seri apabila saya mengahwini Gail Matheson. Gail berasal dari Kanada dan merupakan rakan sekelas saya di Gilead. Semasa Gail berkhidmat sebagai mubaligh di Bolivia, kami saling menyurati. Selepas 12 tahun, kami bertemu lagi di New York dan kemudiannya berkahwin di Kenya. Saya sangat bersyukur kerana Gail berfikiran rohani dan berpuas hati dengan apa yang dimiliki. Sehingga hari ini, dia menyokong saya dan menjadi teman saya yang pengasih.

Pada tahun 1986, saya dan Gail ditugaskan untuk membuat kerja lawatan. Pada masa yang sama, saya berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan. Kami telah melawat banyak negara yang dijaga oleh pejabat cawangan Kenya.

Memberikan ceramah semasa konvensyen di Asmara, 1992

Saya masih ingat bagaimana kami membuat persiapan untuk konvensyen di Asmara (di Eritrea) pada tahun 1992, semasa kerja kita tidak diharamkan. Kami hanya dapat menjumpai sebuah bangsal sebagai dewan. Keadaan luarnya memang teruk, tetapi keadaan di dalam lagi teruk. Namun, pada hari konvensyen, saya sangat kagum kerana saudara saudari telah mengubah bahagian dalaman bangsal itu menjadi tempat ibadat yang sesuai. Ramai keluarga membawa kain perhiasan untuk menutupi bahagian-bahagian yang tidak elok. Seramai 1,279 orang telah hadir di konvensyen yang menggembirakan dan mendebarkan itu.

 Dalam kerja lawatan, kami telah menginap di bermacam-macam tempat. Pernah sekali, kami tinggal di bilik tetamu yang mewah berdekatan laut; pada masa lain, kami tinggal dalam pondok besi di kem pekerja, yang terletak kira-kira 100 m dari tandas. Namun, tidak kira di mana kami berkhidmat, kenangan yang termanis buat kami ialah waktu kami menginjil bersama para penyiar dan perintis yang bersemangat. Semasa kami diberi tugasan yang baharu, kami terpaksa meninggalkan ramai sahabat tersayang yang akan kami rindui.

MENUAI BERKAT DI ETIOPIA

Antara tahun 1987 hingga tahun 1992, kerja kita diiktiraf di sisi undang-undang di beberapa buah negara yang dijaga oleh pejabat cawangan Kenya. Hasilnya, beberapa buah pejabat cawangan dan pejabat jawatankuasa tempatan telah ditubuhkan di sesetengah negara. Pada tahun 1993, kami ditugaskan ke pejabat di Addis Ababa, Etiopia. Selama puluhan tahun, kerja Saksi di situ dijalankan secara tersembunyi, tetapi kini diakui di sisi undang-undang.

Membuat kerja lawatan di kawasan desa Etiopia, 1996

Yehuwa telah memberkati kerja di Etiopia. Ramai saudara saudari telah menjadi perintis. Sejak tahun 2012, lebih daripada 20 peratus penyiar merupakan perintis. Selain itu, sekolah-sekolah teokratik telah diadakan untuk melatih saudara saudari, dan lebih daripada 120 buah Dewan Perjumpaan telah dibina. Pada tahun 2004, keluarga Bethel telah berpindah ke bangunan yang baharu, dan Dewan Perhimpunan di sebelahnya juga terbukti berkat daripada Yehuwa.

Saya dan Gail telah menjalin persahabatan yang erat dengan saudara saudari di Etiopia yang ramah dan pengasih. Belakangan ini, disebabkan masalah kesihatan, kami ditugaskan ke pejabat cawangan Eropah Tengah. Kami dijaga dengan rapi di situ, tetapi kami amat merindui kawan-kawan di Etiopia.

YEHUWA MENYEBABKANNYA BERTUMBUH

Kami telah menyaksikan bagaimana Yehuwa menyebabkan kerja-Nya berkembang maju. (1 Kor. 3:6, 9) Sebagai contoh, semasa saya mula menginjil kepada pelombong tembaga berbangsa Rwanda di Congo, Rwanda tidak mempunyai penyiar. Tetapi sekarang terdapat lebih daripada 30,000 orang penyiar di situ. Pada tahun 1967, Congo (Kinshasa) mempunyai sekitar 6,000 orang penyiar, tetapi sekarang angkanya sudah hampir 230,000 orang, dan lebih daripada sejuta orang telah menghadiri Peringatan pada tahun 2018. Jumlah penyiar di negara-negara yang dahulunya dijaga oleh pejabat cawangan Kenya juga telah meningkat kepada lebih daripada 100,000 orang.

Lebih daripada 50 tahun lalu, Yehuwa telah menggunakan saudara-saudara yang berbeza untuk membantu saya memulakan khidmat sepenuh masa. Walaupun saya masih pemalu, saya sudah belajar untuk yakin sepenuhnya kepada Yehuwa. Pengalaman saya di Afrika telah mengajar saya untuk bersabar dan berpuas hati dengan apa yang dimiliki. Saya dan Gail berasa kagum dengan saudara saudari yang sungguh ramah, tabah, dan yakin kepada Yehuwa. Saya sangat bersyukur atas kebaikan hati Yehuwa yang unggul. Sesungguhnya, berkat yang dikurniakan Yehuwa jauh melebihi jangkaan saya.​—Mzm. 37:4.

^ per. 11 Informant kemudiannya dipanggil Kerja Teokratik Kita dan kini digantikan dengan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita​Lembaran Kerja.

^ per. 23 “Kitawala” berasal daripada perkataan Swahili yang bermaksud “menguasai, mengarahkan, atau memerintah.” Gerakan Kitawala sebenarnya mempunyai tujuan politik, iaitu untuk menuntut kemerdekaan daripada Belgium. Kumpulan-kumpulan Kitawala telah memperoleh, mengkaji, dan mengedarkan bahan bacaan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka memutarbelitkan ajaran Bible untuk menyokong pandangan politik mereka, kepercayaan karut mereka, dan gaya hidup mereka yang tidak bermoral.