Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 RENCANA PEMBELAJARAN 2

Pujilah Yehuwa dalam Sidang

Pujilah Yehuwa dalam Sidang

“Aku akan memuji-Mu di tengah-tengah sidang.”​—MZM. 22:22.

LAGU 59 Pujilah Yah Bersamaku

PENGENALAN *

1. Apakah perasaan Daud terhadap Yehuwa? Perasaan itu mendorongnya untuk melakukan apa?

RAJA DAUD menulis, “Ya Yehuwa, Engkau agung dan harus dipuji setinggi-tingginya.” (Mzm. 145:3) Dia mengasihi Yehuwa, dan kasih itu mendorongnya untuk memuji Yehuwa “di tengah-tengah sidang.” (Mzm. 22:22; 40:5) Anda tentu mengasihi Yehuwa dan bersetuju dengan kata-kata Daud, “Ya Yehuwa, Tuhan yang disembah Israel, nenek moyang kami, semoga Engkau dipuji buat selama-lamanya.”​—1 Taw. 29:10-13.

2. (a) Bagaimanakah kita dapat memuji Yehuwa? (b) Apakah cabaran yang dihadapi sebilangan saudara saudari? Apakah yang akan kita bincangkan?

2 Hari ini, salah satu cara kita memuji Yehuwa adalah dengan memberikan komen. Namun, sebilangan saudara saudari menghadapi masalah ini: Mereka mahu memberikan komen, tetapi berasa takut. Bagaimanakah mereka dapat mengatasinya? Apakah tip-tip yang dapat membantu kita untuk memberikan komen yang menggalakkan? Sebelum membincangkan jawapannya, mari kita fikirkan empat sebab penting untuk memberikan komen.

SEBABNYA KITA MEMBERIKAN KOMEN DI PERJUMPAAN

3-5. (a) Menurut Ibrani 13:15, mengapakah kita memberikan komen di perjumpaan? (b) Adakah semua orang mesti memberikan jenis komen yang sama? Jelaskan.

3 Yehuwa memberi kita penghormatan untuk memuji-Nya. (Mzm. 119:108) Komen kita merupakan sebahagian daripada ‘korban puji-pujian’ kita, dan tiada sesiapa pun yang dapat mempersembahkannya bagi pihak kita. (Baca Ibrani  13:15.) Adakah Yehuwa menghendaki semua orang memberikan jenis korban, atau komen, yang sama? Tidak!

4 Yehuwa tahu bahawa kebolehan dan situasi setiap orang berbeza, dan Dia amat menghargai korban yang dapat kita berikan. Fikirkan korban yang diterima-Nya daripada orang Israel. Sesetengah orang mungkin mampu memberikan seekor anak bebiri atau kambing, tetapi orang miskin mungkin hanya dapat memberikan “dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati muda.” Jika mereka tidak mampu mempersembahkan dua ekor burung, Yehuwa juga menerima korban berupa “satu persepuluh efa tepung yang terbaik.” (Im. 5:7, 11) Harga tepung lebih murah, tetapi selagi mereka memberikan “tepung yang terbaik,” Yehuwa akan menghargainya.

5 Hari ini, Tuhan kita yang baik hati tidak menghendaki kita fasih bertutur seperti Apolos atau pandai meyakinkan orang seperti Paulus. (Kis. 18:24; 26:28) Yehuwa hanya menginginkan komen terbaik yang mampu kita berikan. Fikirkan balu miskin yang memberikan dua keping mata wang yang kecil nilainya. Yehuwa menghargai balu itu kerana itulah pemberian terbaik yang mampu dipersembahkannya.​—Luk. 21:1-4.

Memberikan komen mendatangkan manfaat kepada kita dan kepada orang yang mendengar (Lihat perenggan 6-7) *

6. (a) Menurut Ibrani 10:24, 25, bagaimanakah komen orang lain dapat mempengaruhi kita? (b) Bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda menghargai komen yang menggalakkan?

6 Komen kita dapat menggalakkan satu sama lain. (Baca Ibrani 10:24, 25.) Kita suka mendengar komen-komen di perjumpaan. Kita menghargai komen yang singkat dan ikhlas daripada adik-adik. Kita digalakkan semasa seseorang yang teruja mengongsi kebenaran yang baru dipelajarinya. Hati kita tersentuh apabila orang yang pemalu atau yang baru belajar bahasa kita memberanikan diri untuk memberikan komen. (1 Tes. 2:2) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan penghargaan atas usaha mereka? Kita boleh mengucapkan terima kasih kepada mereka selepas perjumpaan, dan kita sendiri juga boleh memberikan komen. Dengan itu, kita bukan sahaja menerima galakan, tetapi juga memberikan galakan.​—Rm. 1:11, 12.

7. Apakah manfaat memberikan komen?

7 Memberikan komen bermanfaat untuk kita. (Yes. 48:17) Bagaimana? Pertama, jika  kita bermatlamat untuk memberikan komen, kita lebih bersemangat untuk membuat persiapan yang rapi. Apabila kita membuat persiapan yang rapi, kita lebih memahami Firman Tuhan. Apabila pemahaman kita bertambah, kita lebih mahir menerapkan apa yang dipelajari. Kedua, kita akan lebih menikmati perjumpaan kerana kita menyertai perbincangan itu. Ketiga, memandangkan usaha diperlukan untuk memberikan komen, kita biasanya dapat mengingati isi-isi yang kita sebutkan lama selepas perjumpaan berakhir.

8-9. (a) Seperti yang dinyatakan di Maleakhi 3:16, apakah perasaan Yehuwa tentang komen kita? (b) Apakah cabaran yang masih dihadapi sesetengah orang?

8 Kita menggembirakan Yehuwa semasa kita bercakap tentang iman kita. Yehuwa mendengar kita dan amat menghargai usaha kita untuk memberikan komen. (Baca Maleakhi 3:16.) Apabila kita berusaha keras untuk menggembirakan hati-Nya, Dia akan memberkati kita.​—Mal. 3:10.

9 Jelaslah, kita ada sebab yang baik untuk memberikan komen. Namun, ada yang masih berasa takut untuk mengangkat tangan. Jika itulah perasaan anda, janganlah tawar hati. Mari kita perhatikan beberapa prinsip Bible, beberapa contoh, dan beberapa tip yang dapat membantu kita memberikan lebih banyak komen.

MENANGANI RASA TAKUT

10. (a) Mengapakah kebanyakan antara kita berasa takut untuk memberikan komen? (b) Mengapakah rasa takut itu merupakan tanda yang positif?

10 Adakah jantung anda berdegup kencang setiap kali anda ingin mengangkat tangan untuk memberikan komen? Jika ya, anda tidak bersendirian. Sebenarnya kebanyakan antara kita berasa gementar semasa memberikan komen. Untuk mengatasi rasa takut ini, anda perlu mengenal pasti puncanya. Adakah anda takut akan terlupa apa yang hendak dikatakan atau risau akan tersalah cakap? Adakah anda takut kerana komen anda tidak sebaik komen orang lain? Sebenarnya rasa takut sebegini  merupakan tanda yang positif. Perasaan itu menunjukkan bahawa anda rendah hati dan menganggap orang lain lebih baik daripada diri anda. Yehuwa suka akan orang yang rendah hati. (Mzm. 138:6; Flp. 2:3) Tetapi Dia juga ingin anda memuji-Nya dan menggalakkan rakan seiman di perjumpaan. (1 Tes. 5:11) Yehuwa mengasihi anda dan akan memberi anda keberanian yang diperlukan.

11. Apakah beberapa peringatan daripada Bible yang dapat membantu kita?

11 Perhatikan beberapa peringatan daripada Bible. Firman Tuhan menyatakan bahawa kita semua akan berbuat silap, sama ada dalam hal yang kita katakan atau cara kita mengatakannya. (Yak. 3:2) Yehuwa tidak mengharapkan kesempurnaan daripada kita, begitu juga dengan saudara saudari lain. (Mzm. 103:12-14) Mereka ahli keluarga rohani kita, dan mereka mengasihi kita. (Mrk. 10:29, 30; Yoh. 13:35) Maka, mereka faham bahawa ada kalanya, kata-kata kita tidak mengungkapkan maksud kita dengan sepenuhnya.

12-13. Apakah yang kita pelajari daripada Nehemia dan Yunus?

12 Contoh-contoh Bible juga dapat membantu anda mengatasi rasa takut. Fikirkan Nehemia, yang berkhidmat di istana seorang raja yang berkuasa. Nehemia sedih semasa mendengar bahawa tembok dan pintu gerbang Yerusalem masih dalam keadaan terbiar. (Neh. 1:1-4) Bayangkan betapa kencangnya degupan jantung Nehemia apabila raja bertanya sebabnya dia begitu murung! Dia segera berdoa lalu menjawab pertanyaan raja. Hasilnya, raja itu telah memberikan bantuan yang besar kepada umat Tuhan. (Neh. 2:1-8) Fikirkan contoh Yunus juga. Semasa Yehuwa menyuruhnya pergi ke Niniwe, dia begitu takut sehingga melarikan diri ke arah yang bertentangan. (Yun. 1:1-3) Namun, dengan bantuan Yehuwa, Yunus melaksanakan tugasnya, dan perkhabarannya telah membantu penduduk Niniwe. (Yun. 3:5-10) Contoh Nehemia mengajar kita pentingnya berdoa sebelum menjawab, dan kisah Yunus menunjukkan bahawa Yehuwa dapat membantu kita berkhidmat kepada-Nya biarpun kita berasa sangat takut. Tanyalah diri: Adakah mana-mana sidang yang begitu menakutkan seperti orang Niniwe?

13 Apakah tip yang dapat membantu anda memberikan komen yang menggalakkan? Mari kita lihat beberapa cadangan.

14. Mengapakah kita patut membuat persiapan yang baik? Bilakah masa yang sesuai untuk berbuat demikian?

14 Membuat persiapan untuk setiap perjumpaan. Perancangan awal dan persediaan yang baik akan memberi anda keyakinan untuk memberikan komen. (Ams. 21:5) Memang benar, jadual kita berbeza-beza. Eloise, seorang balu yang berusia 80-an, membuat persediaan untuk Menara Pengawal pada permulaan minggu. Dia berkata, “Saya lebih menikmati perjumpaan jika saya mengkaji  bahannya terlebih dahulu.” Joy, yang bekerja sepenuh masa, menetapkan hari Sabtu untuk mengkaji Menara Pengawal. “Saya mahu bahan ini segar di ingatan,” katanya. Ike, seorang penatua dan perintis yang sibuk, berkata, “Meluangkan waktu yang singkat sepanjang minggu untuk membuat pembelajaran lebih sesuai bagi saya berbanding membuat semua persiapan sekali gus.”

15. Bagaimanakah anda dapat membuat persiapan yang baik untuk perjumpaan?

15 Bagaimanakah anda dapat membuat persiapan yang baik? Mula-mulanya, mohonlah kuasa suci Yehuwa. (Luk. 11:13; 1 Yoh. 5:14) Kemudian, luangkan beberapa minit untuk mengimbas tajuk, tajuk kecil, gambar, dan kotak bantu mengajar. Semasa mengkaji setiap perenggan, bacalah sebanyak mungkin ayat rujukan Bible. Renungkan maklumat itu, khasnya isi yang ingin anda sebutkan dalam komen. Semakin teliti persiapan anda, semakin besar manfaat yang akan anda raih, dan semakin mudah bagi anda untuk memberikan komen.​—2 Kor. 9:6.

16. Apakah alat-alat bantuan yang dapat anda gunakan? Bagaimanakah anda menggunakannya?

16 Jika dapat, gunakan alat bantuan elektronik dalam bahasa yang anda kenali. Melalui organisasi-Nya, Yehuwa memberi kita alat-alat bantuan untuk membuat persiapan. Aplikasi JW Library® membolehkan kita memuat turun bahan pembelajaran ke dalam alat mudah alih, supaya kita dapat membaca, mengkaji, atau mendengar rakaman bahan itu di mana-mana sahaja pada bila-bila masa. Sesetengah orang menggunakan aplikasi ini untuk membuat pembelajaran semasa waktu rehat di tempat kerja atau sekolah, atau semasa dalam perjalanan. Watchtower Library dan PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower pula memudahkan kita untuk membuat penyelidikan selanjutnya bagi isi-isi dalam pembelajaran.

Bilakah masa yang anda khaskan untuk membuat persiapan? (Lihat perenggan 14-16) *

17. (a) Mengapakah kita digalakkan untuk menyediakan beberapa komen? (b) Apakah yang anda pelajari daripada video Jadilah Sahabat Yehuwa​—Sediakan Komen?

17 Seboleh-bolehnya, sediakan beberapa komen untuk satu rencana. Mengapa? Kerana orang lain mungkin mengangkat tangan pada masa yang sama dan dipanggil untuk memberikan komen. Saudara yang mengendalikan perbincangan juga perlu menepati masa, maka dia mungkin mengehadkan jumlah komen untuk setiap isi. Jadi, janganlah tersinggung atau tawar hati jika anda tidak dipanggil pada mulanya. Anda masih ada banyak peluang lagi sekiranya anda menyediakan beberapa komen. Anda juga boleh bersedia untuk membacakan ayat Bible. Namun, cubalah sediakan komen dalam kata-kata sendiri juga. *

18. Apakah kebaikan komen yang singkat?

 18 Berikan komen yang singkat. Komen yang paling menggalakkan biasanya singkat dan mudah. Maka, cubalah memberikan komen dalam masa 30 saat. (Ams. 10:19; 15:23) Jika anda sudah memberikan komen selama bertahun-tahun, ingatlah peranan penting anda: Menjadi teladan baik dengan memberikan komen yang singkat. Jika anda memberikan komen yang rumit, yang panjangnya beberapa minit, orang lain mungkin takut untuk memberikan komen kerana berasa bahawa mereka tidak sehandal anda. Selain itu, komen yang singkat membolehkan lebih ramai orang untuk mengambil bahagian. Jika anda ialah orang pertama yang dipanggil, berilah jawapan yang ringkas kepada soalan yang dikemukakan. Janganlah menghuraikan semua isi dalam perenggan. Selepas isi utama perenggan sudah dibincangkan, anda boleh memberikan komen tentang isi sampingan.​—Lihat kotak “ Apakah Isi yang Dapat Saya Komen?

19. Bagaimanakah saudara yang mengendalikan perbincangan dapat membantu anda? Namun, apakah yang perlu anda lakukan?

19 Beritahulah saudara yang mengendalikan perbincangan bahawa anda ingin memberikan komen untuk perenggan tertentu. Jika anda ingin berbuat demikian, beritahulah dia sebelum perjumpaan bermula. Apabila tibanya perenggan yang anda pilih, angkatlah tangan anda tinggi-tinggi dengan segera supaya saudara itu dapat melihatnya.

20. Bagaimanakah perjumpaan sidang ibarat jamuan bersama sahabat?

20 Anggaplah perjumpaan sidang seperti jamuan bersama sahabat handai. Jika kawan-kawan dalam sidang mengadakan jamuan dan meminta anda membawa sedikit lauk, apakah yang akan anda lakukan? Anda mungkin berasa sedikit risau, tetapi anda pasti melakukan yang terbaik untuk menghidangkan sesuatu yang digemari semua. Di perjumpaan, Yehuwa, Tuan Rumah kita, telah menyediakan meja yang penuh dengan makanan rohani. (Mzm. 23:5; Mat. 24:45) Dia gembira apabila kita berusaha untuk memberikan yang terbaik, biarpun pemberian kita kecil sahaja. Maka, buatlah persiapan baik dan berikanlah seberapa banyak komen yang mampu. Dengan itu, anda bukan sahaja dapat menikmati jamuan di meja Yehuwa, tetapi juga membawa hadiah untuk dikongsi dengan sidang.

LAGU 2 Yehuwalah Nama-Mu

^ per. 5 Seperti Daud, kita mencintai Yehuwa dan suka memuji-Nya. Semasa beribadat bersama sidang, kita mempunyai peluang yang istimewa untuk mengungkapkan kasih kita kepada Tuhan melalui komen kita. Namun, sesetengah orang berasa susah untuk memberikan komen. Jika itulah perasaan anda, rencana ini akan membantu anda memahami sebabnya anda berasa takut dan cara untuk mengatasinya.

^ per. 17 Di jw.org, tontonlah video Jadilah Sahabat Yehuwa​—Sediakan Komen. Lihat bahagian AJARAN BIBLE > KANAK-KANAK.

^ per. 63 KETERANGAN GAMBAR: Ahli-ahli sidang menikmati perbincangan Menara Pengawal.

^ per. 65 KETERANGAN GAMBAR: Sesetengah ahli sidang daripada perbincangan Menara Pengawal di gambar pertama. Walaupun jadual hidup mereka berbeza-beza, mereka semua meluangkan masa untuk mengkaji bahan bagi perjumpaan.