Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sambutan Peringatan Menyatupadukan Kita

Sambutan Peringatan Menyatupadukan Kita

“Alangkah baiknya dan indahnya apabila semua saudara hidup bersatu padu!”​—MZM. 133:1.

LAGU: 18, 14

1, 2. Apakah acara teristimewa pada tahun 2018 yang menyatukan orang? Mengapa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

PADA 31 Mac 2018, umat Tuhan dan banyak orang yang berminat akan menyambut Perjamuan Malam Tuan. Ketika senja melabuhkan tirainya di setiap sudut bumi, jutaan orang akan berkumpul untuk mengingati pengorbanan Kristus. Sambutan tahunan ini sememangnya acara teristimewa di bumi yang menyatukan orang!

2 Bayangkan betapa gembiranya Yehuwa dan Yesus semasa mereka melihat jutaan penduduk bumi menghadiri sambutan Peringatan. Bible menubuatkan bahawa satu “kumpulan besar manusia yang jumlahnya tidak dapat dihitung oleh sesiapa pun,” yang datang daripada “semua bangsa, suku, kaum, dan bahasa,” akan berseru, “Penyelamatan datang daripada Tuhan kita yang duduk di atas takhta dan daripada Anak Bebiri.” (Why. 7:9, 10) Sesungguhnya, Peringatan yang diadakan setiap tahun membawa kemuliaan kepada Yehuwa dan Yesus!

3. Apakah soalan-soalan yang akan dijawab dalam rencana ini?

 3 Rencana ini akan menjawab soalan-soalan berikut: (1) Bagaimanakah kita masing-masing dapat membuat persediaan dan mendapat manfaat daripada menghadiri Peringatan? (2) Bagaimanakah sambutan Peringatan menguatkan perpaduan umat Tuhan? (3) Bagaimanakah kita dapat menyumbang kepada perpaduan itu? (4) Adakah kita akan berhenti menyambut Peringatan? Jika ya, bila?

CARA MEMBUAT PERSIAPAN DAN MEMANFAATKAN SAMBUTAN PERINGATAN

4. Mengapakah kita perlu berusaha sedaya upaya untuk menghadiri sambutan Peringatan?

4 Mengapakah menghadiri Peringatan begitu penting? Perjumpaan ialah sebahagian daripada ibadat kita dan Peringatan ialah perjumpaan yang terpenting. Sudah pasti Yehuwa dan Yesus memperhatikan setiap orang yang berusaha untuk menghadirinya. Maka kita ingin menunjukkan kepada mereka bahawa kita pasti hadir kecuali jika keadaannya mustahil. Apabila tindakan kita membuktikan bahawa perjumpaan penting bagi kita, kita sedang memberi Yehuwa satu lagi sebab untuk mencatatkan nama kita dalam “kitab peringatan,” atau ‘kitab kehidupan-Nya,’ yang mengandungi nama-nama orang yang akan dikurniai kehidupan kekal.​—Mal. 3:16; Why. 20:15.

5. Beberapa minggu sebelum Peringatan, bagaimanakah kita dapat ‘mengetahui sama ada iman kita teguh atau tidak’?

5 Beberapa minggu sebelum Peringatan, luangkanlah masa untuk berdoa dan memeriksa hubungan kita dengan Yehuwa. (Baca 2 Korintus 13:5.) Ujilah diri sendiri untuk ‘mengetahui sama ada iman kita teguh atau tidak.’ Tanyalah diri: “Adakah saya benar-benar percaya bahawa saya telah menyertai satu-satunya organisasi yang digunakan Yehuwa untuk melaksanakan kehendak-Nya? Adakah saya berusaha gigih untuk menginjil dan mengajar orang tentang Kerajaan Tuhan? Adakah perbuatan saya menunjukkan saya benar-benar yakin bahawa akhir pemerintahan Syaitan sudah dekat? Adakah keyakinan saya terhadap Yehuwa dan Yesus sekarang seteguh dahulu semasa saya membaktikan diri kepada Yehuwa?” (Mat. 24:14; 2 Tim. 3:1; Ibr. 3:14) Dengan memikirkan soalan sebegitu, kita dapat mengetahui keadaan kita yang sebenar.

6. (a) Apakah satu-satunya jalan untuk mendapat kehidupan kekal? (b) Bagaimanakah seorang penatua bersiap sedia untuk menghadiri Peringatan setiap tahun? Bagaimanakah anda dapat melakukan hal yang serupa?

6 Bacalah dan renungkan maklumat Bible tentang pentingnya Peringatan. (Baca Yohanes 3:16; 17:3.) Kita mesti “mengenal” Yehuwa dan “beriman” kepada Yesus, Anak tunggal-Nya. Itulah satu-satunya jalan untuk mendapat kehidupan kekal. Maka, sebelum Peringatan, lakukanlah projek pembelajaran yang akan membantu anda menghampiri Yehuwa dan Yesus. Seorang saudara, yang telah lama berkhidmat sebagai penatua, mengumpulkan rencana Menara Pengawal yang bertumpu khasnya kepada Peringatan dan kasih Yehuwa dan Yesus. Beberapa minggu sebelum Peringatan, dia akan membaca rencana-rencana itu dan merenungkan pentingnya sambutan itu. Ada kalanya, dia akan menambahkan satu atau dua rencana kepada koleksinya. Penatua itu mendapati bahawa apabila dia membaca rencana sedemikian serta membaca dan merenungkan ayat-ayat Bible untuk Peringatan, dia akan mempelajari sesuatu yang baharu setiap tahun. Penting sekali, dia berasa bahawa kasihnya untuk Yehuwa dan Yesus bertambah dalam setiap tahun. Usaha sebegini akan memperdalam kasih dan penghargaan anda untuk Yehuwa dan Yesus, dan membolehkan anda meraih  lebih banyak manfaat daripada sambutan Peringatan.

BAGAIMANA PERINGATAN MENGUATKAN PERPADUAN KITA

7. (a) Apakah permohonan Yesus semasa Perjamuan Malam Tuan yang pertama? (b) Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa telah mengabulkan permohonan Yesus?

7 Semasa Perjamuan Malam Tuan yang pertama, Yesus berdoa agar semua pengikutnya bersatu padu sebagaimana dia dan Bapanya bersatu. (Baca Yohanes 17:20, 21.) Yehuwa telah mengabulkan permohonan Anak kesayangan-Nya, dan kini jutaan orang percaya bahawa Yehuwalah yang mengutus Anak-Nya. Semasa Peringatan, orang daripada pelbagai bangsa dan kaum berkumpul bersama di serata dunia. Itulah bukti yang paling kukuh akan perpaduan Saksi-Saksi Yehuwa. Meskipun pertemuan agama yang dihadiri orang berbilang bangsa tidak diterima atau tidak pernah berlaku di sesetengah negara, perpaduan sedemikian sungguh indah di mata Yehuwa dan Yesus!

8. Apakah perkhabaran yang diberikan oleh Yehuwa kepada Yehezkiel?

8 Perpaduan sebegini tidak menghairankan bagi umat Yehuwa. Sebenarnya, hal ini sudah dinubuatkan oleh Yehuwa. Fikirkan perkhabaran-Nya kepada Yehezkiel mengenai kayu “untuk Yehuda” dan kayu “untuk Yusuf” yang digabung menjadi satu. (Baca Yehezkiel 37:15-17.) Pertanyaan Pembaca” dalam Menara Pengawal Julai 2016 menjelaskan bahawa perkhabaran itu “menggambarkan bagaimana bangsa Israel akan disatukan setelah mereka kembali ke Tanah yang Dijanjikan. Nubuat itu juga menggambarkan penyatuan umat Tuhan yang bermula semasa hari-hari terakhir.”

9. Bagaimanakah nubuat Yehezkiel menjadi kenyataan setiap tahun semasa sambutan Peringatan?

9 Sejak tahun 1919, Yehuwa telah mengaturkan dan menyatukan kaum terurap, yang dilambangkan oleh kayu “untuk Yehuda.” Kemudian, semakin banyak orang yang berpeluang untuk hidup di bumi, iaitu kayu “untuk Yusuf,” mula menyertai kaum terurap. Yehuwa telah berjanji untuk menggabungkan dua batang kayu itu menjadi satu di dalam tangan-Nya. (Yeh. 37:19) Kini, dua kumpulan itu menjadi “satu kawanan” yang bersatu di bawah pemerintahan Raja Yesus Kristus, yang digelar “hamba-Ku Daud” dalam nubuat Bible. (Yoh. 10:16; Yeh. 37:24, 25; Za. 8:23) Perpaduan yang digambarkan dalam buku Yehezkiel jelas kelihatan setiap tahun semasa kaum terurap di bumi dan “biri-biri lain” berkumpul untuk memperingati kematian Kristus. Namun, apakah yang dapat kita masing-masing lakukan untuk memelihara dan menguatkan perpaduan itu?

CARA SETIAP ORANG DAPAT MENGUKUHKAN PERPADUAN

10. Bagaimanakah kita dapat mengukuhkan perpaduan umat Tuhan?

10 Cara pertama untuk mengukuhkan perpaduan umat Tuhan adalah dengan bersikap rendah hati. Semasa di bumi, Yesus menasihati pengikutnya untuk merendahkan diri. (Mat. 23:12) Jika kita rendah hati, kita tidak akan membanggakan diri seperti orang di dunia. Sebaliknya, kita akan tunduk dan taat kepada mereka yang mengambil pimpinan. Sifat ini akan menyatukan sidang. Penting sekali, jika kita rendah hati, kita menyenangkan hati Tuhan, kerana Dia “menentang orang yang angkuh tetapi Dia menunjukkan kebaikan hati yang unggul kepada orang yang rendah hati.”​—1 Ptr. 5:5.

11. Bagaimanakah merenungkan erti roti dan wain Peringatan dapat membantu mengukuhkan perpaduan kita?

11 Cara kedua kita mengukuhkan perpaduan adalah dengan merenungkan erti roti  dan wain Peringatan. Fikirkan maknanya secara mendalam sebelum dan terutamanya pada malam Peringatan. (1 Kor. 11:23-25) Roti yang tidak beragi melambangkan tubuh sempurna Yesus yang dikorbankan, dan wain itu melambangkan darahnya yang dicurahkan. Namun, sekadar mengetahui hal itu tidak cukup. Ingatlah bahawa korban tebusan Kristus mencerminkan kasih yang paling agung daripada dua individu: Yehuwa yang rela menyerahkan Anak-Nya demi kita, dan Yesus yang rela mengorbankan nyawanya demi kita. Apabila kita merenungkan kasih mereka, kita akan terdorong untuk membalas kasih mereka. Jika setiap seorang daripada kita mengasihi Yehuwa, kasih itu akan menjadi ikatan yang mengukuhkan perpaduan kita.

Sikap rela mengampuni mengukuhkan perpaduan (Lihat perenggan 12, 13)

12. Dalam perumpamaan tentang seorang raja dan hambanya, bagaimanakah Yesus menunjukkan dengan jelas bahawa Yehuwa mahu kita memaafkan orang lain?

12 Cara ketiga untuk mengukuhkan perpaduan adalah dengan bersikap rela mengampuni. Semasa kita memaafkan orang yang bersalah terhadap kita, kita menunjukkan bahawa kita menghargai korban tebusan Kristus, yang membolehkan dosa kita diampunkan. Fikirkan perumpamaan Yesus di Matius 18:23-34, kemudian tanyalah diri, “Adakah saya terdorong untuk menerapkan ajaran Yesus? Adakah saya bersabar dan bertimbang rasa terhadap rakan seiman? Adakah saya bersedia mengampuni orang yang berdosa terhadap saya?” Memang benar bahawa sesetengah dosa lebih serius dan terdapat kesalahan yang sangat susah dimaafkan oleh manusia yang tidak sempurna. Namun, perumpamaan ini menunjukkan apa yang dikehendaki Yehuwa. (Baca Matius 18:35.) Yesus menyatakan bahawa jika kita enggan memaafkan rakan seiman padahal kita ada sebab yang baik untuk berbuat demikian, Yehuwa pun tidak akan mengampuni kita. Hal itu sangat serius. Apabila kita mengikut ajaran Yesus dan memaafkan orang lain, kita sedang melindungi dan memelihara perpaduan kita.

13. Apabila kita berusaha memelihara kedamaian, bagaimanakah hal itu akan mengukuhkan perpaduan kita?

13 Apabila kita rela mengampuni, kita  memelihara kedamaian. Rasul Paulus menasihati kita agar “berusaha sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya perpaduan yang dikurniakan oleh kuasa suci Tuhan tetap terpelihara.” (Ef. 4:3) Maka, semasa musim Peringatan dan terutamanya pada malam Peringatan, fikirkan secara mendalam cara anda melayan orang lain. Tanyalah diri soalan-soalan yang serius seperti: “Dapatkah orang lain lihat bahawa saya tidak berdendam? Dapatkah orang lain lihat bahawa saya sanggup membuat pengorbanan demi menjaga keamanan dan perpaduan?”

14. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa ‘kasih mendorong kita untuk bersabar terhadap satu sama lain’?

14 Cara keempat untuk mengukuhkan perpaduan adalah dengan meniru kasih Yehuwa. (1 Yoh. 4:8) Kita tidak ingin berkata, “Saya perlu mengasihi rakan seiman, tetapi saya tidak menyukai mereka.” Pemikiran sebegitu bercanggah dengan nasihat Paulus yang berbunyi, “Biarlah kasih mendorong kamu untuk bersabar terhadap satu sama lain.” (Ef. 4:2) Adakah kita perhatikan perbezaannya? Kita bukan sahaja patut “bersabar terhadap satu sama lain,” tetapi harus berbuat demikian kerana ‘didorong oleh kasih.’ Yehuwa telah memimpin bermacam-macam orang ke dalam sidang. (Yoh. 6:44) Maka pasti ada sebabnya Dia mengasihi mereka. Jika begitu, wajarkah kita menghakimi mereka dan berkata bahawa mereka tidak layak dikasihi? Janganlah teragak-agak untuk mengasihi mereka, seperti yang diperintahkan Yehuwa!​—1 Yoh. 4:20, 21.

SAMBUTAN PERINGATAN YANG TERAKHIR—BILA?

15. Bagaimanakah kita tahu bahawa akan adanya sambutan Peringatan yang terakhir?

15 Suatu hari nanti, kita akan menyambut Peringatan buat kali terakhir. Bagaimanakah kita tahu akan hal itu? Paulus menulis bahawa semasa orang Kristian terurap memperingati kematian Yesus setiap tahun, mereka sedang “mengumumkan kematiannya sehingga dia datang.” (1 Kor. 11:26) Yesus pernah menyebut tentang kedatangannya dalam nubuat tentang kesengsaraan besar yang akan berlaku tidak lama lagi. Dia berkata, “Tanda Anak Manusia akan muncul di langit dan semua suku bangsa di bumi akan memukul dada dengan sedih. Mereka akan melihat Anak Manusia datang di atas awan dengan kuasa dan kemuliaan yang besar. Trompet akan dibunyikan dengan kuat dan [Yesus] akan mengutus malaikat-malaikatnya ke empat arah mata angin untuk mengumpulkan umatnya yang terpilih dari satu hujung langit ke hujung yang lain.” (Mat. 24:29-31) ‘Umat yang terpilih,’ iaitu semua orang Kristian terurap yang masih di bumi, akan dikumpulkan dan dibawa ke syurga selepas kesengsaraan besar bermula tetapi sebelum perang Armagedon tercetus. Selepas itu, Yesus dan 144,000 kaum terurap akan mengalahkan semua raja di dunia. (Why. 17:12-14) Sambutan Peringatan yang kita hadiri sebelum Yesus “datang” untuk membawa kaum terurap ke syurga, ialah Peringatan yang terakhir.

16. Mengapakah anda bertekad untuk menghadiri Peringatan tahun ini?

16 Semoga kita bertekad untuk menghadiri dan memanfaatkan sambutan Peringatan yang jatuh pada 31 Mac 2018. Mintalah bantuan Yehuwa supaya kita terus menyumbang kepada perpaduan umat-Nya. (Baca Mazmur 133:1.) Ingatlah, suatu hari nanti kita akan menyambut Peringatan yang terakhir. Sebelum masa itu tiba, marilah kita berusaha untuk menghadiri acara itu dan menghargai perpaduan yang kita nikmati.