Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

George Rollston dan Arthur Willis berhenti untuk mengisi air ke dalam radiator kereta.—Wilayah Utara, 1933

KHAZANAH ROHANI KITA

“Tiada Jalan yang Terlalu Susah atau Terlalu Jauh”

“Tiada Jalan yang Terlalu Susah atau Terlalu Jauh”

PADA 26 Mac 1937, Arthur Willis dan Bill Newlands kembali ke Sydney, Australia, dalam trak mereka yang diliputi debu. Selama setahun, mereka telah membuat perjalanan sejauh 19,300 km ke kawasan pedalaman Australia yang terpencil dan berbukit bukau. Mereka bukan penjelajah atau pengembara. Sebaliknya, mereka ialah perintis yang bersemangat, yang ingin menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan.

Sebelum akhir tahun 1920-an, kumpulan Pelajar Bible * yang kecil di Australia biasanya menginjil di bandar dan pekan di pinggir pantai. Kawasan pedalaman pula merupakan tanah gersang dan sangat jarang penduduknya. Namun, saiznya hampir 17 kali lebih besar daripada Malaysia. Saudara saudari sedar bahawa para pengikut Yesus harus memberikan kesaksian tentangnya “sampai ke hujung bumi,” termasuk kawasan pedalaman Australia. (Kis. 1:8) Tetapi bagaimanakah mereka dapat melaksanakan tugas yang besar itu? Mereka yakin bahawa Yehuwa pasti memberkati usaha mereka. Maka mereka bertekad untuk melakukan yang terbaik.

PARA PERINTIS MEMBUKA JALAN

Pada tahun 1929, sidang di Queensland dan Australia Barat telah menyediakan beberapa buah van yang dilengkapi dengan barang keperluan. Para perintis yang tahan lasak dan tahu membaiki kereta telah menggunakannya untuk menginjil di banyak kawasan yang tidak pernah dikunjungi.

Para perintis yang tidak mampu membeli kenderaan pula akan menggunakan basikal. Misalnya, pada tahun 1932, Bennett Brickell, yang berusia 23 tahun, bertolak dari Rockhampton, Queensland, ke kawasan terpencil di bahagian utara untuk menginjil selama lima bulan. Basikalnya penuh dengan barang seperti selimut, pakaian, makanan, dan banyak buku. Semasa tayar basikalnya haus, dia meneruskan khidmatnya kerana yakin bahawa Yehuwa akan membimbingnya. Dia menolak basikalnya sejauh 320 km melalui kawasan di mana ramai orang pernah mati kerana tiada air. Selama 30 tahun yang seterusnya, Saudara Brickell pergi ke merata tempat di Australia dengan basikal, motosikal, dan kereta. Dialah yang mula menginjil kepada orang asli di Australia dan menubuhkan sidang-sidang baharu. Dia dikenali dan dihormati ramai penduduk di kawasan pedalaman.

MENGATASI CABARAN

Australia ialah salah satu tempat di dunia yang paling rendah kepadatan penduduknya, terutamanya di kawasan pedalaman. Maka umat Yehuwa bertekad untuk mencari orang yang tinggal di sana.

Perintis yang bernama Stuart Keltie dan William Torrington juga bertekad untuk berbuat demikian. Pada tahun 1933, mereka merentasi Gurun Simpson yang sangat luas untuk menginjil di pekan Alice Springs, yang terletak di tengah-tengah Australia. Apabila kereta mereka rosak dan terpaksa ditinggalkan, Saudara Keltie, yang mempunyai satu kaki palsu, terus menginjil dengan menaiki unta! Usaha mereka membuahkan hasil apabila mereka berjumpa dengan Charles Bernhardt, seorang pengurus hotel di William Creek, iaitu suatu tempat yang terpencil. Selepas Charles menerima kebenaran, dia menjual hotelnya dan mula merintis berseorangan selama 15 tahun di beberapa tempat yang paling kering dan terpencil di Australia.

Arthur Willis bersiap sedia untuk menginjil di kawasan pedalaman yang luas di Australia.—Perth, Australia Barat, 1936

Para perintis pada masa itu perlu berani dan tabah untuk mengatasi banyak cabaran. Pernah sekali, semasa menginjil di kawasan pedalaman Australia, Arthur Willis dan Bill Newlands, yang disebut di awal rencana, telah mengambil masa dua minggu untuk perjalanan sejauh 32 km kerana hujan lebat telah mengubah padang pasir menjadi lautan lumpur. Ada kalanya, mereka perlu menolak trak mereka di bawah panas terik untuk merentasi bukit pasir yang besar. Mereka juga harus melalui lembah berbatu dan dasar sungai yang berpasir. Memandangkan trak mereka sering rosak, mereka perlu berjalan atau berbasikal ke pekan terdekat dan menunggu beberapa minggu untuk mendapatkan alat ganti. Namun begitu, mereka masih bersikap positif. Arthur Willis pernah mengutip kata-kata dalam majalah The Golden Age yang berbunyi, “Tiada jalan yang terlalu susah atau terlalu jauh bagi para saksi-Nya.”

Charles Harris, yang sudah lama merintis, menjelaskan bahawa kesusahan yang dihadapinya di tempat yang terpencil telah membantunya lebih mendekati Yehuwa. Dia berkata, “Jalan hidup kita lebih bermakna jika harta kita sedikit. Memandangkan Yesus rela tidur tanpa bumbung, kita harus rela berbuat demikian jika perlu.” Itulah yang dilakukan oleh ramai perintis. Usaha mereka yang gigih untuk menyebarkan berita baik ke setiap penjuru Australia telah membantu ramai orang untuk menyokong Kerajaan Tuhan.

^ per. 4 Pelajar Bible mula digelar sebagai Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 1931.Yes. 43:10.