Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Korban Tebusan—“Pemberian yang Sempurna” daripada Tuhan

Korban Tebusan—“Pemberian yang Sempurna” daripada Tuhan

‘Setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna berasal daripada Tuhan.’YAK. 1:17.

LAGU: 148, 109

1. Apakah berkat yang dibawa oleh korban tebusan?

BANYAK berkat dapat dinikmati melalui korban tebusan Yesus. Keturunan Adam yang setia berpeluang menyertai keluarga Tuhan. Kita juga berpeluang untuk hidup kekal dengan bahagia. Namun, tebusan Kristus bukan sahaja membawa sinar harapan bagi manusia. Kerelaan Yesus untuk mati demi menjunjung kedaulatan Yehuwa juga berkait rapat dengan isu yang melibatkan seluruh alam semesta.Ibr. 1:8, 9.

2. (a) Apakah perkara-perkara penting yang didoakan oleh Yesus? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah yang akan kita kaji dalam rencana ini?

2 Kira-kira dua tahun sebelum kematian Yesus, dia mengajar para pengikutnya untuk berdoa, “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan. Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi seperti di syurga.” (Mat. 6:9, 10) Untuk memperdalam penghargaan kita terhadap korban tebusan, marilah kita mengkaji kaitannya dengan penyucian  nama Tuhan, pemerintahan Kerajaan Tuhan, dan pelaksanaan tujuan Tuhan.

“SEMOGA NAMA-MU DISUCIKAN”

3. Nama Yehuwa merangkumi apa, dan bagaimanakah Syaitan mencemari nama suci Tuhan?

3 Yesus menyebut tentang penyucian nama Tuhan sebagai permohonan pertama dalam doanya. Nama Yehuwa merangkumi segala keagungan, kemuliaan, dan kesucian-Nya. Dalam doa yang lain, Yesus menggelar Yehuwa sebagai “Bapa yang suci.” (Yoh. 17:11) Yehuwa adalah suci, maka semua perintah dan prinsip-Nya juga suci. Biarpun demikian, semasa di Taman Eden, Syaitan dengan liciknya telah mempersoalkan hak Tuhan untuk menetapkan piawaian bagi manusia. Dengan memfitnah Yehuwa, Syaitan telah mencemari nama suci-Nya.Kej. 3:1-5.

4. Bagaimanakah Yesus membantu menyucikan nama Tuhan?

4 Yesus pula sangat mencintai nama Yehuwa dan berusaha untuk menyucikan nama itu. (Yoh. 17:25, 26; baca Mazmur 40:9-11.) Melalui kelakuan dan ajarannya, Yesus membuktikan bahawa piawaian yang ditetapkan oleh Yehuwa adalah adil dan munasabah. Biarpun Syaitan menyebabkannya diseksa sampai mati, Yesus tetap setia kepada Bapanya. Kesetiaannya membuktikan bahawa manusia yang sempurna mampu mematuhi perintah Tuhan dengan sepenuhnya.

5. Bagaimanakah kita membantu menyucikan nama Tuhan?

5 Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mencintai nama Yehuwa? Dengan berkelakuan suci seperti yang dikehendaki Yehuwa. (Baca 1 Petrus 1:15, 16.) Maksudnya, kita akan menyembah Yehuwa sahaja dan mentaati-Nya dengan sepenuh hati. Walaupun dianiaya, kita tetap berpegang pada prinsip dan perintah-Nya. Kita juga ingin berbuat baik supaya cahaya kita bersinar dan memuliakan nama Yehuwa. (Mat. 5:14-16) Sebagai umat Tuhan yang suci, cara hidup kita harus menunjukkan bahawa hukum Yehuwa memang baik, dan bahawa tuduhan Syaitan palsu belaka. Biarpun kita akan berbuat silap, kita ingin bertaubat dan menjauhi semua amalan yang mengaibkan nama Yehuwa.Mzm. 79:9.

6. Meskipun kita tidak sempurna, mengapakah Yehuwa masih dapat menerima kita?

6 Atas dasar korban Kristus, Yehuwa dapat mengampunkan dosa orang yang beriman. Mereka yang membaktikan diri kepada-Nya akan diterima sebagai penyembah-Nya. Yehuwa menerima orang Kristian terurap sebagai anak-anak-Nya dan “biri-biri lain” sebagai sahabat-Nya. (Yoh. 10:16; Rm. 5:1, 2; Yak. 2:21-25) Meskipun kita tidak sempurna, tebusan membolehkan kita mendapat perkenan Bapa kita dan membolehkan kita menyucikan nama-Nya.

“DATANGLAH KERAJAAN-MU”

7. Dengan adanya korban tebusan, apakah berkat-berkat yang dapat dibawa oleh Kerajaan Tuhan?

7 Permohonan Yesus yang seterusnya ialah: “Datanglah Kerajaan-Mu.” Apakah kaitan Kerajaan Tuhan dengan korban tebusan? Dengan adanya tebusan, 144,000 orang dapat dibawa ke syurga untuk menjadi raja dan imam bersama Kristus. (Why. 5:9, 10; 14:1) Mereka dan Yesus akan memerintah bumi selama 1,000 tahun. Sepanjang masa itu, Kerajaan Tuhan akan membuat bumi menjadi Firdaus, dan membantu manusia yang taat  menjadi sempurna melalui tebusan Yesus. Akhirnya, ahli keluarga Tuhan di syurga dan di bumi akan bersatu. (Why. 5:13; 20:6) Yesus akan meremukkan kepala ular dan melenyapkan segala kesan pemberontakan Syaitan.Kej. 3:15.

8. (a) Bagaimanakah Yesus membantu para pengikutnya menyedari pentingnya Kerajaan Tuhan? (b) Bagaimanakah kita menyokong Kerajaan Tuhan hari ini?

8 Ketika di bumi, Yesus membantu para pengikutnya menyedari pentingnya Kerajaan Tuhan. Selepas Yesus dibaptis, dia segera menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan” ke merata tempat. (Luk. 4:43) Sebelum dia kembali ke syurga, dia menyuruh pengikutnya memberikan kesaksian tentangnya “sampai ke hujung bumi.” (Kis. 1:6-8) Melalui kerja penyebaran Kerajaan Tuhan, semua orang berpeluang belajar tentang tebusan dan menjadi rakyat Kerajaan Tuhan. Kini, kita menyokong Kerajaan Tuhan dengan membantu kaum terurap mengkhabarkan berita baik Kerajaan Tuhan di seluruh dunia.Mat. 24:14; 25:40.

“SEMOGA KEHENDAK-MU TERLAKSANA”

9. Mengapakah kita yakin bahawa Yehuwa akan melaksanakan tujuan-Nya bagi manusia?

9 Apakah maksud Yesus apabila dia berkata, “Semoga kehendak-Mu terlaksana”? Yehuwa ialah Pencipta. Apa sahaja yang difirmankan-Nya pasti berlaku. (Yes. 55:11) Yehuwa tidak akan mengizinkan pemberontakan Syaitan untuk menghalang tujuan-Nya daripada terlaksana. Dari mula lagi, Yehuwa menghendaki bumi dipenuhi dengan keturunan Adam dan Hawa yang sempurna. (Kej. 1:28) Jika Adam dan Hawa mati sebelum beranak cucu, tujuan Tuhan tidak akan tercapai. Maka, selepas Adam dan Hawa berdosa, Yehuwa mengizinkan mereka beranak cucu. Melalui korban tebusan, Tuhan memberi semua orang yang beriman peluang untuk menjadi sempurna dan hidup selama-lamanya. Yehuwa mengasihi manusia dan ingin mereka menikmati kehidupan yang dikehendaki-Nya.

10. Bagaimanakah korban tebusan membantu manusia yang telah meninggal?

10 Bagaimana pula dengan semua orang yang meninggal sebelum berpeluang untuk mengenal dan menyembah Yehuwa? Yehuwa ingin manusia hidup. Oleh itu, melalui korban tebusan, Bapa kita yang pengasih akan membangkitkan mereka. Mereka akan diberi peluang untuk mempelajari tujuan-Nya dan memperoleh kehidupan kekal. (Kis. 24:15) Sebagai sumber segala kehidupan, Tuhan Yehuwa menjadi Bapa kepada semua orang yang dibangkitkan. (Mzm. 36:10) Itulah sebabnya Yesus mengatakan bahawa Yehuwa ialah “Bapa kami yang di syurga.” (Mat. 6:9) Yehuwa telah memberi Yesus peranan yang penting dalam pembangkitan. Yesus berkata, “Akulah pembangkitan dan kehidupan.”Yoh. 11:25; 6:40, 44.

11. Apakah kehendak Tuhan bagi “kumpulan besar manusia”?

11 Kemurahan hati Yehuwa tidak ditunjukkan kepada segelintir orang sahaja. Yesus berkata, “Sesiapa yang melakukan kehendak Tuhan, dialah adik lelakiku, adik perempuanku, dan ibuku.” (Mrk. 3:35) Tuhan menghendaki orang daripada segala bangsa, suku, dan bahasa untuk menjadi penyembah-Nya. Mereka digambarkan sebagai “kumpulan besar manusia yang jumlahnya tidak dapat dihitung.” Mereka beriman kepada tebusan Kristus dan melakukan kehendak Tuhan. Pada masa depan, mereka akan berseru, “Penyelamatan  datang daripada Tuhan kita yang duduk di atas takhta, dan daripada Anak Bebiri!”Why. 7:9, 10.

12. Bagaimanakah tujuan Yehuwa bagi umat manusia dinyatakan menerusi doa Yesus?

12 Tujuan Yehuwa bagi manusia yang setia dinyatakan menerusi tiga permohonan Yesus dalam doanya. Selaras dengan permohonannya yang pertama, kita harus berusaha untuk menyucikan nama Yehuwa. (Yes. 8:13) Nama Yesus bermaksud “Yehuwa Ialah Penyelamatan.” Oleh itu, penyelamatan kita menerusi tebusan Yesus juga mengagungkan dan memuliakan nama Yehuwa. Permohonan Yesus yang kedua menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan akan digunakan untuk membantu manusia meraih manfaat daripada korban tebusan. Akhir sekali, doa Yesus meyakinkan kita bahawa tiada apa-apa yang dapat menghalang tujuan Tuhan daripada terlaksana.Mzm. 135:6; Yes. 46:9, 10.

HARGAILAH KORBAN TEBUSAN

13. Apakah maksud pembaptisan kita?

13 Salah satu cara kita menunjukkan kesyukuran atas tebusan adalah dengan membaktikan diri kepada Yehuwa lalu dibaptis. Pembaptisan menunjukkan bahawa kita beriman kepada tebusan dan bahawa “kita milik Yehuwa.” (Rm. 14:8) Pembaptisan juga merupakan permohonan agar kita diberi hati nurani yang bersih. (1 Ptr. 3:21) Atas dasar korban Kristus, Yehuwa pasti menunaikan permohonan itu. Kita yakin bahawa Dia pasti mengotakan semua janji-Nya.Rm. 8:32.

Apakah caranya kita menunjukkan penghargaan kita untuk korban tebusan? (Lihat perenggan 13, 14)

14. Mengapakah Yehuwa memerintahkan kita untuk mengasihi orang lain?

14 Satu lagi cara untuk menunjukkan bahawa kita menghargai tebusan adalah dengan mencerminkan kasih Tuhan.  Memandangkan kasih ialah pendorong di sebalik setiap perbuatan Yehuwa, Dia mahu semua penyembah-Nya mengikut teladan-Nya. (1 Yoh. 4:8-11) Dengan mengasihi orang lain, kita menunjukkan bahawa kita ingin menjadi “anak-anak Bapa [kita] yang di syurga.” (Mat. 5:43-48) Sebenarnya, perintah untuk mengasihi orang lain ialah perintah kedua yang terpenting. (Mat. 22:37-40) Satu cara utama kita menunjukkan kasih sedemikian adalah dengan mengikut perintah untuk menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan. Kasih yang kita tunjukkan kepada orang lain mencerminkan kemuliaan Yehuwa. Jika kita mematuhi perintah Yehuwa untuk mengasihi orang lain, terutamanya saudara saudari kita, kasih kepada Tuhan sudah “disempurnakan dalam diri kita.”1 Yoh. 4:12, 20.

YEHUWA ‘MENYEGARKAN KITA’ MELALUI TEBUSAN

15. (a) Apakah berkat-berkat yang kita terima daripada Yehuwa sekarang? (b) Apakah berkat-berkat yang kita nantikan?

15 Jika kita beriman kepada tebusan, Firman Tuhan menyatakan bahawa dosa kita akan “dihapuskan,” atau diampunkan dengan sepenuhnya. (Baca Kisah 3:19-21.) Seperti yang dibincangkan tadi, tebusan Yesus membolehkan hamba-hamba Yehuwa yang terurap menjadi anak angkat-Nya. (Rm. 8:15-17) Bagi “biri-biri lain” pula, Yehuwa sudah bersedia untuk menerima mereka sebagai anak angkat-Nya. Setelah mereka menjadi sempurna dan berjaya mengharungi ujian terakhir, Yehuwa akan mengambil mereka sebagai anak-anak-Nya di bumi. (Rm. 8:20, 21; Why. 20:7-9) Kasih Yehuwa terhadap anak-anak-Nya tidak berkesudahan. Manfaat daripada tebusan Yesus juga akan bertahan selama-lamanya. (Ibr. 9:12) Nilai tebusan Yesus tidak akan merosot sama sekali, dan tiada sesiapa pun yang dapat merampas pemberian yang bernilai ini daripada kita.

16. Bagaimanakah korban tebusan akan membebaskan kita?

16 Jika seseorang benar-benar bertaubat, Si Iblis langsung tidak dapat menghalangnya daripada menyertai keluarga Yehuwa. Yesus telah datang ke bumi dan mati “sekali sahaja untuk selama-lamanya.” Ya, tebusan sudah dibayar untuk selama-lamanya. (Ibr. 9:24-26) Korban Kristus akan meniadakan segala kutukan yang diwarisi daripada Adam. Dengan demikian, kita dibebaskan daripada dunia Syaitan dan daripada rasa takut akan kematian.Ibr. 2:14, 15.

17. Apakah perasaan anda terhadap kasih Yehuwa?

17 Semua janji Tuhan pasti ditunaikan. Sebagaimana hukum alam yang ditetapkan-Nya tidak berubah, Yehuwa juga tidak berubah, dan Dia tidak akan menghampakan kita. (Mal. 3:6) Namun, Yehuwa bukan sekadar mengurniai kita kehidupan. Dia menunjukkan kasih-Nya kepada kita. “Kita sudah tahu dan percaya bahawa Tuhan mengasihi kita. Tuhan itu kasih.” (1 Yoh. 4:16) Tidak lama lagi, seluruh bumi akan menjadi firdaus yang serba indah, dan semua orang akan mencerminkan kasih Tuhan. Pada masa itu, kita dan hamba-hamba Tuhan di syurga akan bergabung suara dan berkata, “Semoga pujian, kemuliaan, penghormatan, dan kesyukuran diberikan kepada Tuhan kita untuk selama-lamanya. Dialah yang mempunyai segala kebijaksanaan, kuasa, dan kekuatan. Amin.”Why. 7:12.