Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 KISAH HIDUP

Kami telah Dilimpahi Kebaikan Hati Yehuwa yang Unggul

Kami telah Dilimpahi Kebaikan Hati Yehuwa yang Unggul

SEMASA muda, bapa saya Arthur mengasihi Tuhan dan ingin menjadi paderi Methodist. Namun, rancangannya berubah apabila dia membaca bahan bacaan Pelajar Bible dan bergaul dengan mereka. Dia dibaptis pada tahun 1914, semasa dia berusia 17 tahun. Pada masa itu, Perang Dunia Pertama sedang berlangsung, dan dia dipanggil untuk khidmat tentera. Oleh sebab dia enggan menggunakan senjata, dia dipenjarakan selama sepuluh bulan di Penjara Kingston, Ontario, Kanada. Selepas dibebaskan, Ayah menjadi peneraju (perintis).

Pada tahun 1926, Arthur Guest mengahwini Hazel Wilkinson (ibunya menerima kebenaran pada tahun 1908), dan mereka mempunyai empat orang anak. Saya ialah anak kedua dan dilahirkan pada 24 April 1931. Ayah sangat menghormati Bible, dan teladannya membantu kami menghargai Firman Tuhan sepanjang hayat kami. Keluarga kami mengutamakan penyembahan Yehuwa dan sering menginjil bersama-sama dari rumah ke rumah.Kis. 20:20.

MENGIKUT JEJAK AYAH—TETAP NEUTRAL DAN MENJADI PERINTIS

Perang Dunia Kedua tercetus pada tahun 1939. Tahun berikutnya, kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa di Kanada diharamkan. Murid-murid di sekolah disuruh menyertai upacara patriotik seperti menabik bendera dan menyanyi lagu kebangsaan. Biasanya, saya dan kakak saya Dorothy diizinkan untuk meninggalkan kelas semasa upacara sedemikian, tetapi pada suatu hari, cikgu saya memalukan saya dengan mengatakan bahawa saya ini pengecut. Selepas sekolah, saya dibelasah oleh beberapa rakan kelas, tetapi serangan itu menguatkan tekad saya untuk “patuh kepada Tuhan  sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.”Kis. 5:29.

Pada Julai 1942, ketika saya berusia 11 tahun, saya dibaptis dalam tangki air di sebuah ladang. Setiap tahun semasa cuti sekolah, saya akan merintis. Pernah sekali, saya dan tiga orang saudara mengunjungi kawasan di utara Ontario yang tidak dijaga oleh mana-mana sidang. Kami telah menginjil kepada para pembalak di situ.

Saya menyertai khidmat perintis biasa pada 1 Mei 1949. Ketika itu, kerja pembinaan sedang dijalankan di Bethel Kanada, jadi saya dijemput untuk menjadi ahli Bethel pada 1 Disember. Saya bekerja di kilang percetakan dan belajar mengendalikan mesin cetak. Untuk beberapa minggu, saya bekerja syif malam untuk mencetak risalah tentang penganiayaan yang dihadapi umat Yehuwa di Kanada.

Kemudian saya ditugaskan ke Bahagian Kerja Penyebaran. Di situ, saya berjumpa dengan perintis-perintis yang akan berkhidmat di Quebec, tempat kita ditentang dengan kuat. Salah seorang perintis ialah Mary Zazula dari Edmonton, Alberta. Dia dan abangnya Joe enggan berhenti belajar Bible, jadi mereka diusir dari rumah oleh ibu bapa mereka yang merupakan Kristian Orthodoks. Mereka berdua dibaptis pada Jun 1951 dan mula merintis enam bulan kemudian. Saya sangat kagum dengan sifat rohani Mary, dan saya berfikir, “Jika tiada sifat buruk yang timbul, nampaknya saya akan mengahwini gadis ini.” Sembilan bulan kemudian, pada 30 Januari 1954, kami telah berkahwin. Seminggu selepas itu, kami dijemput untuk dilatih dalam kerja lawatan. Untuk dua tahun seterusnya, kami berkhidmat dalam sebuah litar di utara Ontario.

Apabila kerja penyebaran sedunia berkembang dengan pesat, keperluan untuk mubaligh juga bertambah. Memandangkan kesejukan pada musim dingin dan nyamuk pada musim panas di Kanada bukannya masalah bagi kami, kami berasa bahawa kami cukup tahan lasak untuk apa sahaja tugasan. Kami telah menyertai kelas Gilead yang ke-27 dan lulus pada Julai 1956. Pada bulan November, kami tiba di Brazil.

KHIDMAT MUBALIGH DI BRAZIL

Semasa kami tiba di pejabat cawangan Brazil, kami mula belajar bahasa Portugis. Setelah mempelajari cara asas untuk bertegur sapa dan menghafal penyampaian majalah yang panjangnya satu minit, kami mula menginjil. Jika penghuni rumah berminat, kami digalakkan untuk membaca ayat tentang kehidupan di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan. Pada hari pertama kami menginjil, saya membacakan Wahyu 21:3, 4 kepada seorang wanita yang berminat. Tetapi selepas itu saya terus  pengsan! Rupa-rupanya saya belum menyesuaikan diri dengan cuaca yang lembap dan panas. Cuaca di situ sentiasa mencabar bagi saya.

Kami ditugaskan ke bandar Campos yang kini mempunyai 15 sidang, tetapi semasa kami tiba, bandar itu hanya mempunyai satu kumpulan terpencil dan sebuah rumah mubaligh yang didiami empat orang saudari: Esther Tracy, Ramona Bauer, Luiza Schwarz, dan Lorraine Brookes (sekarang Wallen). Kerja saya di rumah mubaligh adalah untuk membasuh kain dan mendapatkan kayu api untuk memasak. Kadang-kadang, rumah kami juga ada “pelawat” lain. Suatu hari Isnin selepas pembelajaran majalah, isteri saya berbaring di sofa dan bersembang dengan saya. Semasa dia bangun, seekor ular keluar dari bantalnya! “Pelawat” itu buat rumah kami huru-hara sehingga saya membunuhnya.

Setahun selepas kami belajar bahasa Portugis, saya dilantik sebagai penyelia litar. Kami perlu hidup sederhana di kawasan desa; tiada bekalan elektrik, tidur di atas tikar, dan menggunakan kereta kuda sebagai pengangkutan. Semasa kempen menginjil di sebuah kawasan baharu, kami menaiki kereta api ke sebuah pekan di kawasan pergunungan dan menyewa sebuah bilik. Pejabat cawangan mengirim 800 naskhah majalah kepada kami untuk diedarkan. Jadi kami perlu berulang kali pergi ke pejabat pos untuk membawa kotak-kotak yang berisi majalah ke penginapan kami.

Pada tahun 1962, sekolah latihan diadakan di serata Brazil untuk para saudara dan juga untuk saudari yang merupakan mubaligh. Selama enam bulan, saya ditugaskan untuk mengajar dalam sekolah di Manaus, Belém, Fortaleza, Recife, dan Salvador. Kemudian, saya mengaturkan konvensyen distrik di panggung opera di Manaus. Tetapi hujan lebat mengotorkan sumber air minuman kami dan membuat kawasan kafeteria tidak dapat digunakan. (Pada masa itu, makanan disediakan untuk hadirin.) Jadi saya hubungi pihak tentera, dan seorang pegawai yang baik hati telah mengaturkan supaya kami diberi air minuman sepanjang konvensyen. Dia juga menyuruh askar-askar mendirikan dua buah khemah yang besar sebagai dapur dan kafeteria kami.

Mary tidak mengikut saya ke sekolah-sekolah itu, maka dia pergi menginjil di sebuah kawasan perniagaan. Orang di situ datang dari Portugal. Mereka sangat mementingkan wang, dan tiada yang mahu bercakap tentang Bible. Jadi Mary berkata kepada beberapa orang ahli Bethel, “Antara semua tempat di bumi, saya tidak mahu tinggal di Portugal.” Tetapi tidak lama kemudian, kami dijemput untuk berkhidmat di Portugal! Mary betul-betul terkejut, tetapi kami menerima  tugasan itu juga. Ketika itu, kerja penyebaran di sana diharamkan.

TUGAS KAMI DI PORTUGAL

Kami tiba di Lisbon, Portugal, pada Ogos 1964. Polis rahsia Portugis (PIDE) sering menganiaya saudara saudari di situ, jadi tiada orang menyambut ketibaan kami, dan kami juga tidak menghubungi Saksi tempatan. Kami menginap di rumah tumpangan sementara menantikan visa untuk tinggal di Portugal. Selepas visa kami diluluskan, kami menyewa sebuah rumah pangsapuri. Lima bulan kemudian, pada Januari 1965, barulah kami dapat menghubungi pejabat cawangan dan menghadiri perjumpaan buat kali pertama!

Pada masa itu, perjumpaan diadakan di rumah kerana Dewan Perjumpaan ditutup. Maka setiap hari, rumah saudara saudari diserbu polis. Ratusan Saksi dibawa ke balai polis untuk disoal. Pegawai polis melayan saudara dengan lebih buruk kerana ingin memaksa mereka mendedahkan nama saudara yang mengendalikan perjumpaan. Oleh itu, nama keluarga tidak digunakan. Sebaliknya, mereka memanggil satu sama lain dengan nama pertama sahaja.

Matlamat utama kami adalah untuk memastikan saudara saudari sentiasa mendapat makanan rohani. Mary ditugaskan untuk menaip rencana pembelajaran dan bahan bacaan lain pada kertas khas yang akan digunakan untuk menghasilkan salinan fotokopi.

MEMPERTAHANKAN BERITA BAIK DI MAHKAMAH

Pada Jun 1966, satu kes mahkamah penting dibicarakan di Lisbon. Kesemua 49 orang ahli Sidang Feijó didakwa kerana menghadiri perjumpaan haram di rumah. Saya melatih mereka untuk proses pengadilan dan pemeriksaan dengan berlakon sebagai pendakwa raya. Kami tahu bahawa kami akan kalah, tetapi itulah peluang untuk memberikan kesaksian yang baik. Peguam kami yang berani mengakhiri hujahnya dengan memetik kata-kata Gamaliel. (Kis. 5:33-39) Kes itu dilaporkan dalam akhbar, dan 49 orang saudara saudari dijatuhkan hukuman penjara dari 45 hari hingga lima bulan setengah. Kami gembira kerana sebelum peguam kami itu meninggal, dia mula mempelajari Bible dan menghadiri perjumpaan.

Pada Disember 1966, saya dilantik sebagai penyelia cawangan. Kami meluangkan banyak masa dalam hal perundangan untuk mempertahankan kebebasan beribadat Saksi-Saksi Yehuwa. (Flp. 1:7) Akhirnya, pada 18 Disember 1974, kami diiktiraf secara sah, dan sebuah perhimpunan yang bersejarah telah diadakan di Oporto dan Lisbon. Saudara Nathan Knorr dan Frederick Franz dari ibu pejabat sedunia, dan 46,870 orang saudara  saudari telah menghadiri peristiwa yang menggembirakan itu.

Yehuwa telah membuka peluang agar berita baik disebarkan kepada orang yang berbahasa Portugis di beberapa pulau seperti Azores, Madeira, São Tomé dan Príncipe, dan Tanjung Verde. Disebabkan perkembangan itu, kami memerlukan pejabat cawangan yang lebih besar. Maka pada 23 April 1988, Saudara Milton Henschel telah mentahbiskan bangunan cawangan yang baharu. Seramai 45,522 orang menghadiri acara yang bersejarah itu, dan 20 orang mubaligh yang pernah berkhidmat di Portugal juga kembali untuk menghadirinya.

KAMI BELAJAR DARIPADA TELADAN YANG BAIK

Saya dan Mary telah belajar banyak perkara daripada saudara saudari yang setia. Pernah sekali, saya menemani Saudara Theodore Jaracz semasa dia membuat lawatan zon ke sebuah cawangan yang menghadapi masalah serius. Jawatankuasa Cawangan di situ telah melakukan apa yang terdaya untuk menanganinya. Jadi Saudara Jaracz menenangkan hati mereka dengan berkata, “Sekarang, mari kita biar daya aktif Tuhan melakukan kerjanya.” Puluhan tahun lalu, saya dan Mary telah melawat ke Brooklyn. Kami dan beberapa orang lain sempat bergaul dengan Saudara Franz yang telah lama berkhidmat kepada Yehuwa. Dia menasihati kami, “Berpautlah pada organisasi Yehuwa di bumi, tidak kira senang atau susah. Inilah satu-satunya organisasi yang mematuhi perintah Yesus untuk menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan!”

Saya dan Mary sangat bersukacita kerana mengikut nasihat itu. Setiap kali kami membuat lawatan zon, kami berpeluang menunjukkan penghargaan kepada saudara saudari yang tua dan muda, serta menggalakkan mereka untuk terus berkhidmat kepada Yehuwa dengan setia. Semua itu telah menjadi kenangan manis bagi kami.

Kini, kami sudah berumur 80-an. Mary ada banyak masalah kesihatan. (2 Kor. 12:9) Namun, semua cabaran yang dihadapi telah memurnikan iman kami dan menguatkan tekad kami untuk tetap setia. Apabila mengenang kembali haluan hidup kami, memang jelas bahawa kami telah dilimpahi kebaikan hati Yehuwa yang unggul. *

^ per. 29 Semasa rencana ini disediakan, Saudara Douglas Guest yang menyembah Yehuwa dengan setia telah meninggal pada 25 Oktober 2015.