Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Berbahagialah Mereka yang Menyembah “Tuhan yang Gembira”

Berbahagialah Mereka yang Menyembah “Tuhan yang Gembira”

“Berbahagialah umat yang mengakui Yehuwa sebagai Tuhan mereka!”​—MZM. 144:15.

LAGU: 44, 125

1. Mengapakah penyembah Yehuwa ialah umat yang bahagia? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

SAKSI-SAKSI YEHUWA ialah umat yang bahagia. Di perjumpaan, perhimpunan, atau pertemuan sosial, mereka bersembang dengan gembira diselangi gelak ketawa. Mengapakah mereka begitu gembira? Sebab utama ialah mereka mengenali, menyembah, dan berusaha meniru Yehuwa, “Tuhan yang gembira.” (1 Tim. 1:11; Mzm. 16:11) Yehuwa ialah Sumber kebahagiaan. Dia mahu kita bahagia, dan Dia memberi kita banyak sebab untuk bersukacita.​—Ul. 12:7; Pkh. 3:12, 13.

2, 3. (a) Apakah itu kebahagiaan? (b) Mengapakah kebahagiaan tidak mudah diraih?

2 Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda bahagia? Dapatkah anda menjadi lebih bahagia? Kebahagiaan ialah perasaan yang berkekalan. Seseorang yang bahagia mungkin sekadar berasa puas atau mungkin merasai sukacita yang amat mendalam, dan dia ingin perasaan itu berterusan. Bible menunjukkan bahawa orang yang diberkati oleh Yehuwa ialah orang yang benar-benar bahagia. Namun, kebahagiaan mungkin sukar diraih di dunia sekarang. Mengapa?

 3 Kegembiraan kita mungkin diragut akibat situasi yang mencabar, seperti kematian atau penyingkiran orang tersayang, perceraian, pengangguran, kesihatan yang merosot, penyakit yang berterusan, atau kemurungan. Kita juga mungkin kehilangan sukacita akibat ketegangan dan pertengkaran dalam keluarga, ejekan daripada rakan sekerja atau sekolah, penganiayaan, atau kerana dipenjarakan demi iman kita. Namun, ingatlah bahawa Yesus Kristus, “satu-satunya Pemegang Kuasa yang gembira,” suka membawa kelegaan dan kebahagiaan kepada orang lain. (1 Tim. 6:15; Mat. 11:28-30) Dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus menyebut sesetengah sifat yang akan membantu kita tetap bersukacita meskipun kita masih perlu berdepan dengan pelbagai cubaan di dunia Syaitan.

KEROHANIAN YANG TEGUH​—ASAS KEBAHAGIAAN

4, 5. Bagaimanakah kita dapat meraih kebahagiaan dan menikmatinya secara berterusan?

4 Perkara pertama yang disebut Yesus amat penting: “Berbahagialah orang yang sedar akan keperluan rohani mereka, kerana Kerajaan di syurga milik mereka.” (Mat. 5:3) Jika kita sedar akan keperluan rohani sendiri, kita akan mengkaji Bible, mematuhi piawaian Tuhan, dan mengutamakan ibadat Yehuwa. Langkah-langkah itu dapat meningkatkan kebahagiaan kita dan meneguhkan keyakinan kita bahawa janji Tuhan pasti ditunaikan. Kita juga akan digalakkan kerana memiliki “harapan yang menggembirakan” daripada Firman Tuhan.​—Tit. 2:13.

5 Jika kita menginginkan kebahagiaan yang berkekalan, kita mesti memelihara hubungan yang kukuh dengan Yehuwa. Rasul Paulus menulis, “Hendaklah kamu sentiasa bersukacita kerana kamu hidup bersatu dengan Tuan kita [Yehuwa]. Sekali lagi aku berkata: Bersukacitalah!” (Flp. 4:4) Untuk tetap akrab dengan Tuhan, kita memerlukan kebijaksanaan daripada-Nya. Bible menyatakan, “Berbahagialah orang yang mendapat kebijaksanaan dan orang yang memperoleh daya penilaian. Kebijaksanaan bagaikan pokok kehidupan; sesiapa yang berpegang erat padanya akan hidup dan mendapat kebahagiaan.”​—Ams. 3:13, 18.

6. Apakah yang diperlukan untuk mendapat kebahagiaan yang kekal?

6 Untuk menikmati kebahagiaan yang berterusan, sekadar membaca Firman Tuhan tidak memadai. Kita juga harus menerapkan apa yang dipelajari. Yesus menegaskan hal ini dengan berkata, “Jika kamu mengetahui hal-hal ini, berbahagialah kamu jika kamu melakukannya.” (Yoh. 13:17; baca Yakobus 1:25.) Itulah kunci untuk memuaskan keperluan rohani anda dan meraih kebahagiaan yang kekal. Namun, bagaimanakah kita dapat bersukacita padahal terdapat begitu banyak masalah yang mendukacitakan? Mari kita meneliti kata-kata Yesus yang seterusnya.

SIFAT-SIFAT YANG MENINGKATKAN KEBAHAGIAAN

7. Mengapakah orang yang berdukacita dapat bahagia?

7 “Berbahagialah orang yang berdukacita, kerana hati mereka akan dilegakan.” (Mat. 5:4) Sesetengah orang mungkin berfikir, “Mustahil orang yang berdukacita dapat bahagia!” Namun, kata-kata Yesus itu tidak merujuk kepada semua orang yang bersedih. Orang jahat pun berdukacita kerana masalah yang timbul pada “masa genting yang sukar dihadapi.” (2 Tim. 3:1) Namun, memandangkan mereka hanya  berfikir tentang diri sendiri, dukacita yang dirasai mereka tidak mendekatkan mereka kepada Yehuwa dan tidak membawa kebahagiaan. Orang yang dimaksudkan Yesus sedar akan keperluan rohani mereka dan berdukacita kerana keadaan rohani kebanyakan orang semakin merosot. Mereka juga menyedari dosa sendiri dan keadaan dunia yang teruk. Yehuwa memperhatikan orang yang berdukacita atas sebab yang betul. Dia melegakan hati mereka melalui Firman-Nya, mengurniai mereka kebahagiaan, dan memberi mereka kehidupan kekal.​—Baca Yehezkiel 5:11; 9:4.

8. Jelaskan kaitan antara sifat lemah lembut dengan kebahagiaan.

8 “Berbahagialah orang yang lemah lembut, kerana mereka akan mewarisi bumi.” (Mat. 5:5) Apakah kaitan antara sifat lemah lembut dengan kebahagiaan? Setelah menimba pengetahuan yang tepat tentang kebenaran, orang yang dahulunya kasar, suka bertengkar, dan agresif telah mengenakan “keperibadian baharu.” Kini, mereka menikmati kebahagiaan, kedamaian, dan hubungan yang baik dengan orang lain, kerana mereka menunjukkan “belas kasihan, kebaikan hati, kerendahan hati, kelemahlembutan, dan kesabaran.” (Kol. 3:9-12) Bible menyatakan bahawa orang sebegini akan “mewarisi bumi.”​—Mzm. 37:8-10, 29.

9. (a) Apakah maksud orang yang lemah lembut “akan mewarisi bumi”? (b) Mengapakah orang yang “lapar dan haus akan keadilan” ialah orang yang bahagia?

9 Apakah maksud orang yang lemah lembut “akan mewarisi bumi”? Orang Kristian terurap akan memerintah bumi sebagai raja dan imam. (Why. 20:6) Jutaan orang yang tidak dipanggil ke syurga pula akan mendiami bumi untuk selama-lamanya dan menikmati kehidupan yang sempurna, damai, dan bahagia. Kedua-dua kumpulan itu berbahagia kerana mereka “lapar dan haus akan keadilan.” (Mat. 5:6) Rasa “lapar dan haus” itu akan dipuaskan dengan sepenuhnya di dunia baharu. (2 Ptr. 3:13) Selepas Tuhan melenyapkan segala kejahatan, kebahagiaan mereka tidak akan diancam lagi.​—Mzm. 37:17.

10. Apakah maksud berbelas kasihan?

10 “Berbahagialah orang yang berbelas kasihan, kerana mereka akan mendapat belas kasihan.” (Mat. 5:7) Orang yang berbelas kasihan akan menunjukkan kasih sayang, kelemahlembutan, dan simpati. Namun, belas kasihan bukan sekadar perasaan. Menurut Bible, orang yang berbelas kasihan akan bertindak untuk membantu orang yang menderita.

11. Apakah yang dapat kita pelajari daripada cerita tentang lelaki Samaria yang berbelas kasihan?

11 Baca Lukas 10:30-37. Cerita Yesus tentang seorang lelaki Samaria tepat menggambarkan maksud berbelas kasihan. Setelah mengisahkan bagaimana rasa kasihan telah mendorong lelaki Samaria itu untuk menghulurkan bantuan, Yesus berkata, “Pergilah dan berbuatlah demikian.” Maka, tanyalah diri, “Adakah saya meniru belas kasihan lelaki Samaria itu? Dapatkah saya menggandakan usaha untuk menunjukkan belas kasihan terhadap mereka yang menderita? Dapatkah saya membantu orang Kristian yang berusia, balu, dan anak-anak yang ibu bapa mereka tidak seiman? Dapatkah saya mengambil inisiatif untuk ‘mengucapkan kata-kata yang melegakan hati kepada orang yang murung’?”​—1 Tes. 5:14; Yak. 1:27.

Ambillah inisiatif untuk menunjukkan belas kasihan, dan lihatlah kebahagiaan yang terhasil (Lihat perenggan 12)

12. Mengapakah sifat belas kasihan mendatangkan kebahagiaan?

12 Mengapakah sifat belas kasihan mendatangkan kebahagiaan? Semasa kita  berbelas kasihan, kita berasa bahagia kerana kita telah memberi, dan kerana kita menyenangkan hati Yehuwa. (Kis. 20:35; baca Ibrani 13:16.) Raja Daud mengatakan bahawa orang yang berbelas kasihan “akan dinyatakan sebagai orang yang berbahagia. Yehuwa akan menjaganya dan memelihara nyawanya.” (Mzm. 41:1, 2) Jika kita menunjukkan sifat belas kasihan, kita juga akan menerima belas kasihan Yehuwa dan hidup bahagia untuk selama-lamanya.​—Yak. 2:13.

MENGAPAKAH ORANG YANG “BERHATI MURNI” BERBAHAGIA?

13, 14. Mengapakah orang yang berhati murni akan bahagia?

13 “Berbahagialah orang yang berhati murni,” kata Yesus, “kerana mereka akan melihat Tuhan.” (Mat. 5:8) Untuk memelihara hati yang murni, fikiran dan keinginan kita mesti tetap suci. Dengan itu, ibadat kita kepada Yehuwa tidak akan dicemari.​—Baca 2 Korintus 4:2; 1 Tim. 1:5.

14 Orang yang berhati murni dapat menikmati hubungan yang baik dengan Yehuwa. Dia berfirman, “Berbahagialah orang yang mencuci jubah mereka.” (Why. 22:14) Apakah maksud “mencuci jubah”? Bagi orang Kristian terurap, hal itu bermaksud mereka murni di mata Yehuwa dan akan dikurniai nyawa yang tidak dapat mati dan kebahagiaan abadi di syurga. Bagi kumpulan besar manusia yang akan hidup di bumi pula, hal itu bermaksud mereka diterima sebagai sahabat Tuhan. Kini, mereka “mencuci dan menjadikan jubah mereka putih dengan darah Anak Bebiri.”​—Why. 7:9, 13, 14.

15, 16. Bagaimanakah orang yang berhati murni “melihat Tuhan”?

15 Memandangkan “tiada orang yang dapat hidup setelah melihat [Tuhan],” bagaimanakah orang yang berhati murni “melihat Tuhan”? (Kel. 33:20) Perkataan Yunani untuk “melihat” juga bermaksud “membayangkan, memahami, atau mengenali.” Jadi, orang yang melihat Tuhan dengan “mata hati” ialah orang yang mengenali-Nya dan menghargai sifat-sifat-Nya. (Ef. 1:18) Yesus mencerminkan keperibadian Tuhan dengan sempurna, maka dia dapat berkata, “Sesiapa yang sudah melihat aku sudah melihat Bapa juga.”​—Yoh. 14:7-9.

16 Selain mengenali sifat-sifat Tuhan, para penyembah-Nya juga “melihat Tuhan” semasa mereka memperhatikan bagaimana Dia membantu mereka dalam kehidupan seharian. (Ayb. 42:5) Mereka juga “melihat Tuhan” kerana “mata hati” mereka tertumpu kepada berkat-berkat yang dijanjikan Tuhan kepada orang yang berusaha untuk tetap murni dan setia. Kaum terurap akan melihat Yehuwa dalam erti harfiah apabila mereka dibangkitkan ke syurga.​—1 Yoh. 3:2.

 BERBAHAGIA MESKIPUN DILANDA KESUSAHAN

17. Mengapakah orang yang berusaha mewujudkan kedamaian akan bahagia?

17 Yesus berkata seterusnya, “Berbahagialah orang yang berusaha mewujudkan kedamaian.” (Mat. 5:9) Orang yang mengambil inisiatif untuk berdamai akan bahagia. Yakobus menulis, “Buah kebaikan ditanam dalam suasana yang damai untuk orang yang berusaha mewujudkan kedamaian.” (Yak. 3:18) Semasa hubungan kita dengan ahli sidang atau keluarga menjadi tegang, mohonlah bantuan Tuhan agar kita dapat mewujudkan kedamaian. Dengan demikian, kuasa suci Yehuwa dapat menghasilkan sifat-sifat Kristian dalam diri kita dan membantu kita menjadi lebih bahagia. Yesus menekankan bahawa mengambil inisiatif untuk berdamai sangat penting. Dia berkata, “Semasa kamu membawa pemberianmu ke mazbah, dan kamu teringat bahawa saudaramu tidak senang hati terhadapmu, tinggalkanlah pemberianmu itu di hadapan mazbah. Pergilah dan berdamailah dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah kamu kembali untuk mempersembahkan pemberianmu.”​—Mat. 5:23, 24.

18, 19. Mengapakah orang Kristian bersukacita bahkan semasa dianiaya?

18 “Berbahagialah kamu apabila orang menghina, menganiaya, dan mengatakan segala macam perkara yang keji untuk memfitnah kamu kerana kamu pengikutku.” Apakah maksud Yesus? Dia menambah, “Hendaklah kamu bergembira dan melimpah dengan sukacita, kerana ganjaran kamu besar di syurga. Ingatlah bahawa nabi-nabi sebelum kamu juga dianiaya dalam cara yang sama.” (Mat. 5:11, 12) Semasa para rasul dipukul dan dilarang menginjil, mereka meninggalkan Majlis Orang Yahudi dengan sukacita. Sudah tentu, mereka bersukacita bukan kerana dipukul, tetapi “kerana Tuhan menganggap mereka layak dihina demi nama Yesus.”​—Kis. 5:41.

19 Dewasa ini, umat Yehuwa juga bersukacita semasa mereka dianiaya demi nama Yesus atau semasa menghadapi cubaan. (Baca Yakobus 1:2-4.) Seperti para rasul, kita tidak suka menderita, tetapi jika kita tetap setia kepada Yehuwa semasa diuji, Dia akan membantu kita agar tetap teguh dan tabah. Pada Ogos 1944, Henryk Dornik dan abangnya dihantar ke kem konsentrasi. Tetapi para penentang mengaku, “Kami tidak dapat ubah mereka. Mereka gembira jika dapat mati demi kepercayaan mereka.” Saudara Dornik menjelaskan, “Saya tidak mahu mati, tetapi saya gembira kerana sanggup menderita dengan berani dan bangga demi Yehuwa. . . . Doa yang sungguh-sungguh telah membantu saya menghampiri Yehuwa, dan Dia memang Penolong yang setia.”

20. Mengapakah kita berasa gembira untuk menyembah “Tuhan yang gembira”?

20 Apabila Yehuwa, “Tuhan yang gembira,” berkenan kepada kita, kita dapat tetap bahagia meskipun dianiaya, ditentang oleh keluarga, jatuh sakit, atau menjadi tua. (1 Tim. 1:11) Kita berbahagia kerana “Tuhan yang tidak dapat berdusta” pasti mengotakan semua janji-Nya. (Tit. 1:2) Apabila janji Yehuwa ditunaikan, kita akan berasa begitu takjub sehingga melupakan masalah dan cabaran yang kita hadapi sekarang. Berkat-berkat yang bakal dicurahkan di bumi Firdaus akan menjangkaui apa yang kita bayangkan. Ketika itu, kita akan “menikmati kebahagiaan dan kedamaian yang berlimpah-limpah.”​—Mzm. 37:11.