Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 KISAH HIDUP

Bertekad untuk Tidak Tawar Hati

Bertekad untuk Tidak Tawar Hati

“DADDY,” “PAPA,” “UNCLE.” Itulah panggilan yang diberikan ramai orang muda di Bethel kepada saya. Saya sudah berumur 89 tahun, dan saya suka dipanggil begitu. Saya rasa itulah salah satu berkat daripada Yehuwa atas khidmat sepenuh masa saya yang menjangkau masa 72 tahun. Menerusi pengalaman saya, saya dapat memberitahu anak-anak muda ini dengan sepenuh hati, ‘Kamu akan mendapat ganjaran atas segala usahamu, jika kamu tidak tawar hati.’​—2 Taw. 15:7.

IBU BAPA DAN ADIK-BERADIK SAYA

Ibu bapa saya berhijrah dari Ukraine ke Kanada dan menetap di pekan Rossburn, wilayah Manitoba. Ibu saya melahirkan 8 orang anak lelaki dan 8 orang anak perempuan (tiada kembar), dan saya ialah anak yang ke-14. Bapa mencintai Bible dan membacakannya kepada kami setiap pagi Ahad, tetapi dia berasa bahawa agama ialah alat untuk mengaut keuntungan. Dia sering bergurau, “Entah siapa yang bayar Yesus untuk menginjil dan mengajar orang?”

Lapan orang adik-beradik saya​—empat orang lelaki dan empat orang perempuan​—telah menerima kebenaran. Rose, kakak saya, telah merintis sehingga akhir hayatnya. Dia menghabiskan hari-hari terakhirnya untuk menggalakkan semua orang agar meneliti Bible. “Saya mahu jumpa kamu di dunia baharu,” katanya. Ted, abang saya, dahulunya pendukung ajaran neraka. Setiap pagi Ahad dia akan berkhutbah di radio dan memberitahu orang bahawa pendosa akan dibakar selama-lamanya di neraka. Namun, dia kemudiannya menjadi penyembah Yehuwa yang setia dan bersemangat.

SAYA MULA BERKHIDMAT SEPENUH MASA

Suatu hari pada Jun 1944, saya pulang dari sekolah dan nampak sebuah buku kecil bertajuk The Coming World Regeneration * di atas meja makan. Saya baca halaman pertama, kedua, dan terus membacanya sampai habis. Selepas itu, saya bertekad untuk berkhidmat kepada Yehuwa seperti yang dilakukan Yesus.

Bagaimanakah kami mendapat buku kecil itu? Abang saya Steve berkata bahawa dua orang “penjual buku” telah melawat rumah kami. “Saya  beli buku kecil itu sebab harganya hanya lima sen,” katanya. Dua orang itu melawat kami lagi pada hari Ahad berikutnya. Mereka memperkenalkan diri sebagai Saksi-Saksi Yehuwa dan berkata bahawa mereka menggunakan Bible untuk menjawab soalan orang. Kami suka hal itu kerana ibu bapa kami telah mengajar kami untuk menghormati Firman Tuhan. Dua orang itu juga mengatakan bahawa para Saksi akan mengadakan konvensyen di bandar Winnipeg, tempat tinggal kakak saya Elsie. Maka saya memutuskan untuk menghadirinya.

Saya mengayuh basikal kira-kira 320 km ke Winnipeg. Sebelum tiba di situ, saya singgah di pekan Kelwood, tempat tinggal dua orang Saksi yang melawat rumah kami. Semasa di situ, saya menghadiri perjumpaan dan mendapat tahu apa itu sidang. Saya juga belajar bahawa setiap lelaki, wanita, dan remaja, harus mengajar orang dari rumah ke rumah, seperti yang dilakukan Yesus.

Semasa konvensyen di Winnipeg, saya berjumpa dengan abang saya Jack, yang datang dari utara Ontario. Pada hari pertama konvensyen, seorang saudara mengumumkan bahawa pembaptisan akan berlangsung. Jack dan saya memutuskan untuk dibaptis di konvensyen itu dan menjadi perintis dengan secepat mungkin. Jack mula merintis sejurus selepas konvensyen itu. Saya pula berumur 16 tahun dan masih bersekolah, tetapi tahun berikutnya saya pun menjadi perintis biasa.

WAKTU UNTUK BELAJAR

Saya merintis bersama Stan Nicolson di Souris, sebuah pekan di wilayah Manitoba. Dalam masa yang singkat, saya belajar bahawa khidmat perintis tidak selalunya mudah. Wang kami makin berkurang, tetapi kami terus menginjil. Pernah sekali selepas menginjil sehari suntuk, kami sangat lapar dan tidak ada satu sen pun. Tetapi semasa kami pulang, kami nampak sebuah guni besar berisi makanan di pintu! Sememangnya ganjaran yang besar kerana tidak tawar hati! Sampai hari ini, kami tidak tahu siapa pemberinya, tetapi pada malam itu, kami menjamu selera dengan sepuas-puasnya. Pada akhir bulan itu, berat badan saya telah bertambah!

Beberapa bulan kemudian, kami ditugaskan ke pekan Gilbert Plains, kira-kira 240 km di utara Souris. Pada masa itu, setiap sidang ada carta besar di pentas untuk menunjukkan kegiatan sidang setiap bulan. Apabila aktiviti sidang menurun pada suatu bulan, saya memberikan ceramah untuk menegaskan bahawa saudara saudari perlu berusaha dengan lebih gigih. Selepas perjumpaan, seorang saudari perintis yang tua, yang suaminya tidak seiman, berkata kepada saya sambil menitiskan air mata, “Saya sudah cuba, tetapi saya tidak mampu buat lebih banyak lagi.” Kemudian giliran saya pula untuk menangis, dan saya meminta maaf kepadanya.

Seperti saya, saudara-saudara muda dapat membuat kesilapan sebegitu dan kemudiannya berasa tawar hati. Tetapi saya telah belajar bahawa adalah lebih baik untuk mengambil iktibar daripada kesilapan itu dan terus maju dengan setia, kerana usaha yang dicurahkan pasti membawa ganjaran.

PERJUANGAN DI QUEBEC

Semasa berumur 21 tahun, saya berpeluang menghadiri Sekolah Gilead, kelas yang ke-14. Selepas kelas itu tamat pada Februari 1950, kira-kira 25 orang dihantar ke Quebec, wilayah bahasa Perancis di Kanada. Saya ditugaskan ke Val-d’Or, sebuah pekan lombong emas. Saksi-Saksi Yehuwa dianiaya dengan teruk di Quebec. Suatu hari, semasa kami menginjil di Val-Senneville, sebuah pekan yang berhampiran, paderi di situ mengugut akan menggunakan kekerasan jika kami tidak segera beredar. Saya telah mendakwanya di mahkamah atas ugutan itu, dan paderi itu telah disaman.

Peristiwa itu dan banyak kejadian yang serupa telah menjadi perjuangan kami di Quebec. Wilayah itu telah dikawal oleh Gereja Katolik untuk lebih  daripada 300 tahun. Pemimpin gereja dan rakan politik mereka telah menganiaya Saksi-Saksi Yehuwa. Waktu itu memang mencabar dan bilangan kami hanya sedikit, tetapi kami tidak tawar hati. Penduduk Quebec yang berhati jujur telah menerima kebenaran, dan saya berpeluang membantu beberapa orang berbuat demikian. Terdapat sebuah keluarga yang merupakan pelajar Bible saya, dan kesemua 10 orang ahli keluarga itu mula menyembah Yehuwa. Keberanian mereka telah mendorong orang lain untuk meninggalkan Gereja Katolik. Kami terus menginjil dan akhirnya memenangi perjuangan itu!

MELATIH SAUDARA SAUDARI DALAM BAHASA MEREKA

Pada tahun 1956, saya ditugaskan ke Haiti. Kebanyakan mubaligh baharu di situ berasa susah untuk belajar bahasa Perancis, tetapi penduduk di situ rela mendengar. Stanley Boggus berkata, “Kami rasa kagum kerana mereka cuba membantu kami.” Pada mulanya, saya ada kelebihan kerana sudah mempelajari bahasa Perancis di Quebec, tetapi kemudian kami mendapati kebanyakan saudara saudari tempatan hanya tahu bahasa Kreol Haiti. Maksudnya kami perlu belajar bahasa tempatan untuk melakukan tugas kami dengan baik. Usaha kami telah membawa ganjaran yang besar.

Kemudian, kami mendapat izin daripada Badan Pimpinan untuk menterjemahkan Menara Pengawal dan bahan bacaan lain ke dalam bahasa Kreol Haiti. Hadirin perjumpaan meningkat secara mendadak. Pada tahun 1950, terdapat 99 orang penyiar di Haiti, namun pada tahun 1960, angka itu meningkat kepada lebih daripada 800 orang! Sekitar masa itu, saya ditugaskan ke Bethel. Pada tahun 1961, saya dan pengajar lain berpeluang melatih 40 orang penatua dan perintis khas dalam Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik. Semasa konvensyen pada Januari 1962, kami menggalakkan saudara tempatan untuk meluaskan khidmat mereka, dan ada antara mereka yang dilantik sebagai perintis khas. Tindakan itu memang wajar kerana penganiayaan bakal melanda tidak lama lagi.

Pada 23 Januari 1962, selepas konvensyen itu, saya dan Andrew D’Amico, seorang mubaligh, telah ditangkap di pejabat cawangan, dan bekalan  majalah Sedarlah! terbitan 8 Januari 1962 dalam bahasa Perancis telah dirampas. Majalah itu memetik kata-kata akhbar Perancis bahawa spiritisme (voodoo) diamalkan di Haiti. Sesetengah pihak tidak suka pernyataan itu dan mendakwa bahawa kami telah menulis rencana itu di pejabat cawangan. Beberapa minggu kemudian, para mubaligh telah diusir. * Namun, saudara-saudara tempatan yang terlatih telah meneruskan kerja mereka dengan baik. Hari ini, saya bersukacita kerana ketabahan dan kemajuan mereka. Mereka bahkan memiliki Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Kreol Haiti, sesuatu yang tidak pernah kami bayangkan pada masa itu.

MEMBINA DI REPUBLIK AFRIKA TENGAH

Selepas itu, saya ditugaskan sebagai mubaligh di Republik Afrika Tengah. Kemudian, saya berkhidmat di situ sebagai penyelia lawatan dan penyelia cawangan.

Pada masa itu, banyak Dewan Perjumpaan sangat sederhana. Saya belajar untuk memungut jerami dan membuat atap. Kerja itu tidak mudah, dan ramai orang yang lalu lalang berasa lucu semasa melihat saya bertungkus lumus melakukannya. Kerja itu menggalakkan saudara saudari agar lebih berusaha membina dan menjaga Dewan Perjumpaan sendiri. Kami ditertawakan pemimpin agama kerana gereja mereka beratapkan timah, sedangkan Dewan Perjumpaan kami beratapkan jerami. Namun, kami tidak putus asa. Ejekan mereka akhirnya berhenti apabila Bangui, ibu kota, dilanda ribut yang dahsyat. Bumbung timah sebuah gereja telah ditiup ke jalan, tetapi atap jerami di dewan-dewan kami tidak tercabut. Kami kemudiannya membina sebuah pejabat cawangan dan kediaman mubaligh dalam masa lima bulan, agar dapat menyelia kerja penyebaran dengan lebih baik. *

TEMAN HIDUP YANG BERSEMANGAT

Hari perkahwinan kami

Pada tahun 1976, kerja kami diharamkan di Republik Afrika Tengah. Saya ditugaskan ke N’Djamena, ibu kota Chad. Di situlah saya berjumpa dengan Happy, seorang perintis khas yang bersemangat dari Cameroon. Kami telah berkahwin pada 1 April 1978. Pada bulan yang sama, perang saudara tercetus, lalu kami melarikan diri ke bahagian selatan negara itu. Apabila kami kembali, kami mendapati bahawa rumah kami telah menjadi markas sebuah kumpulan bersenjata. Bahan bacaan kami sudah hilang, begitu juga dengan pakaian pengantin Happy dan hadiah perkahwinan kami. Namun, kami tidak tawar hati. Kami masih hidup dan dapat berkhidmat bersama-sama.

Kira-kira dua tahun kemudian, kerja kami di Republik Afrika Tengah tidak diharamkan lagi. Kami pulang ke situ dan membuat kerja lawatan. Rumah kami ialah sebuah van. Di dalamnya terdapat katil lipat, sebuah tong yang dapat menyimpan 200 liter air, peti sejuk gas propana, dan dapur gas. Perjalanan kami amat mencabar. Pernah sekali, kami perlu melalui 117 tempat pemeriksaan polis dalam satu perjalanan.

Suhu di situ biasanya mencecah 50°C. Ada kalanya, kami tidak cukup air untuk pembaptisan. Jadi saudara-saudara mengorek dasar sungai yang kering dan mengumpulkan air sedikit demi sedikit di dalam tong, supaya orang dapat masuk ke dalamnya untuk dibaptis.

BERKHIDMAT DI NEGARA AFRIKA LAIN

Pada tahun 1980, kami ditugaskan ke Nigeria. Selama dua tahun setengah, kami membantu dalam kerja persiapan bagi pembinaan cawangan baharu. Sebuah gudang bertingkat dua telah dibeli, dan kami perlu membongkarnya dan membinanya semula di tapak baharu. Suatu pagi, saya naik ke bahagian atas bangunan itu untuk bekerja. Waktu tengah hari, saya turun mengikut jalan yang sama, tetapi sesetengah bahagian telah dibongkar, lalu saya terjatuh dari bangunan. Keadaan saya nampaknya serius, tetapi selepas menjalani  X-ray dan pemeriksaan, doktor memberitahu Happy, “Jangan risau, hanya ligamennya koyak. Dia akan sembuh dalam beberapa minggu.”

Menaiki “kenderaan awam” ke perhimpunan

Pada tahun 1986, kami berkhidmat dalam kerja lawatan di Côte d’Ivoire, dan kami juga melawat Burkina Faso yang berdekatan. Saya tidak pernah terfikir bahawa kami akan tinggal untuk seketika di Burkina bertahun-tahun kemudian.

Dalam kerja lawatan, bersama van yang juga rumah kami

Saya meninggalkan Kanada pada tahun 1956, tetapi 47 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2003, saya kembali ke Kanada dan berkhidmat di Bethel bersama Happy. Kami memang warganegara Kanada, tetapi Afrika sentiasa dekat di hati kami.

Mengadakan pembelajaran Bible di Burkina Faso

Pada tahun 2007, ketika saya berumur 79 tahun, kami pulang ke Afrika! Kami ditugaskan ke Burkina Faso, dan saya berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Tempatan. Pejabat di situ kemudiannya digunakan sebagai pejabat terjemahan di bawah jagaan cawangan Benin. Pada Ogos 2013, kami ditugaskan ke Bethel di Benin.

Bersama Happy di pejabat cawangan Benin

Meskipun kesihatan saya merosot, saya masih suka menginjil. Dalam tiga tahun yang lalu, dengan adanya bantuan isteri saya dan para penatua, saya dapat melihat dua orang pelajar saya, Gédéon dan Frégis, dibaptis dan menyembah Yehuwa dengan bersemangat.

Kini, saya dan isteri diberi jagaan di pejabat cawangan Afrika Selatan. Inilah negara Afrika ketujuh bagi saya. Pada Oktober 2017, kami berpeluang menghadiri pentahbisan ibu pejabat sedunia di Warwick, New York. Peristiwa itu memang berkat yang sukar dilupakan!

Buku Tahunan 1994, muka surat 255 menyatakan, “Kami ingin menggalakkan mereka yang telah bertabah selama bertahun-tahun: ‘Hendaklah kamu berani dan janganlah tawar hati kerana kamu akan mendapat ganjaran atas segala usahamu.’​—2 Taw. 15:7.” Happy dan saya bertekad untuk menyahut seruan ini, dan kami menggalakkan orang lain untuk berbuat demikian juga.

^ per. 9 Diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 1944, tetapi tidak dicetakkan lagi.

^ per. 23 Butiran terdapat dalam Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 1994, ms. 148-150, dalam bahasa Indonesia.

^ per. 26 Lihat rencana “Building on a Solid Foundation” dalam majalah Awake! 8 Mei 1966, ms. 27.