Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Asa, Yosafat, Hizkia, Yosia

Sembahlah Yehuwa dengan Sepenuh Hati!

Sembahlah Yehuwa dengan Sepenuh Hati!

“Ya Yehuwa, ingatlah bahawa aku telah mengabdi kepada-Mu dengan setia dan dengan sepenuh hati.”2 RAJ. 20:3, NW.

LAGU: 52, 65

1-3. Apakah maksudnya menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati? Berikan contoh.

KITA semua tidak sempurna dan cenderung berbuat salah. Namun, jika kita bertaubat dan memohon ampun atas dasar korban tebusan Yesus, Yehuwa “tidak menghukum kita setimpal dengan dosa kita.” (Mzm. 103:10) Tetapi, seperti yang dikatakan Daud kepada Salomo, kita mesti “mengabdikan diri kepada-Nya dengan tulus ikhlas” dan sepenuh hati, barulah ibadat kita akan diterima oleh Yehuwa. (1 Taw. 28:9) Bagaimanakah kita dapat melakukan hal ini?

2 Untuk mengetahui caranya, mari kita bandingkan kehidupan Raja Asa dengan Raja Amazia. Mereka berdua melakukan apa yang benar dalam mata Yehuwa, tetapi hanya Asa yang menyembah Tuhan dengan sepenuh hati. (2 Taw. 15:16, 17; 25:1, 2; Ams. 17:3) Kedua-dua raja itu tidak sempurna dan berbuat silap. Namun kita boleh mengatakan bahawa Asa berpegang pada haluan Tuhan kerana dia “mengabdikan diri kepada-Nya” dengan sepenuh hati. (1 Taw. 28:9) Amazia pula tidak berbuat demikian. Setelah mengalahkan musuh-musuh  Tuhan, dia membawa pulang dewa dewi mereka untuk disembah.2 Taw. 25:11-16.

3 Menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati bermaksud mengabdikan diri kepada-Nya untuk selama-lamanya. Dalam Bible, perkataan “hati” merujuk kepada batin kita, iaitu keinginan, fikiran, sikap, perangai, kebolehan, niat, dan tujuan kita. Walaupun kita tidak sempurna, kita dapat menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Kita ingin menyembah-Nya bukan kerana hal itu suatu kebiasaan atau kerana dipaksa.2 Taw. 19:9.

4. Apakah yang akan kita kaji?

4 Untuk lebih memahami maksudnya menyembah Tuhan dengan sepenuh hati, marilah kita mengkaji contoh Raja Asa dan raja-raja Yehuda lain yang setia, iaitu Yosafat, Hizkia, dan Yosia. Mereka semua pernah membuat kesilapan, tetapi dalam mata Yehuwa, mereka masih menyembah-Nya dengan sepenuh hati. Mengapakah Yehuwa memandang mereka sedemikian, dan bagaimanakah kita dapat mencontohi mereka?

ASA MENYEMBAH YEHUWA DENGAN SEPENUH HATI

5. Apakah yang dilakukan oleh Raja Asa?

5 Asa ialah raja Yehuda ketiga selepas bangsa Israel dibahagikan kepada kerajaan Israel dan kerajaan Yehuda. Asa menghapuskan segala penyembahan berhala dan menghalau semua pelacur lelaki dari kuil. Dia bahkan menyingkirkan neneknya Maakha “daripada kedudukannya sebagai bonda ratu, kerana Maakha telah membuat sebuah patung lucah.” (1 Raj. 15:11-13) Asa juga menggalakkan penduduk Yehuda untuk ‘melakukan kehendak Yehuwa . . . dan taat kepada ajaran dan perintah-Nya.’ Ya, Asa menyokong ibadat sejati.2 Taw. 14:4.

6. Apakah reaksi Asa semasa diserang oleh orang Etiopia?

6 Oleh itu, Yehuwa telah memberkati pemerintahan Asa dengan kedamaian selama 10 tahun. Kemudian, seorang lelaki dari Etiopia yang bernama Zerah membawa 1,000,000 askar dan 300 kereta kuda untuk menyerang Yehuda. (2 Taw. 14:1, 6, 9, 10) Apakah reaksi Asa? Dia berdoa kepada Yehuwa dengan penuh keyakinan. (Baca 2 Tawarikh 14:11.) Kadangkala, walaupun raja yang memerintah tidak setia, Yehuwa masih melindungi umat-Nya demi nama-Nya. (1 Raj. 20:13, 26-30) Namun, Asa bergantung pada Yehuwa, maka Yehuwa membantunya menghapuskan seluruh tentera Etiopia. (2 Taw. 14:12, 13) Pada kemudian hari, Asa bertindak dengan tidak bijak kerana meminta bantuan daripada raja Siria. (1 Raj. 15:16-22) Walaupun begitu, Yehuwa masih dapat melihat bahawa Asa ‘tetap setia kepada-Nya’ dengan sepenuh hati. Bagaimanakah kita dapat mencontohi Asa?1 Raj. 15:14.

7, 8. Bagaimanakah anda dapat mencontohi Asa?

7 Kita harus memeriksa diri untuk mengetahui sama ada kita menyembah Tuhan dengan sepenuh hati atau tidak. Tanyalah diri, “Adakah saya bertekad untuk menyenangkan hati Yehuwa, mempertahankan ibadat sejati, dan memastikan sidang sentiasa bersih secara rohani?” Fikirkan contoh Asa. Dia harus sangat berani untuk menyingkirkan neneknya Maakha daripada kedudukannya sebagai bonda ratu! Ada kalanya, anda juga harus berani seperti Asa. Misalnya, jika seorang  ahli keluarga atau kawan karib anda disingkirkan kerana enggan bertaubat, apakah reaksi anda? Adakah anda akan bertekad untuk tidak bergaul dengannya?

8 Seperti Asa, anda boleh bergantung pada Tuhan dengan sepenuh hati apabila menghadapi tentangan yang besar. Anda mungkin diejek di sekolah kerana anda berpendirian teguh sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Rakan sekerja anda mungkin mentertawakan anda kerana mengambil cuti untuk aktiviti rohani atau tidak bekerja lebih masa. Dalam situasi sebegini, berdoalah kepada Yehuwa dan teruslah melakukan apa yang benar dengan berani. Sepertimana Tuhan telah menguatkan dan membantu Asa, Dia juga pasti akan membantu anda.

9. Bagaimanakah kita menyenangkan hati Yehuwa?

9 Asa menggalakkan orang lain untuk ‘melakukan kehendak Yehuwa.’ Kita juga ingin membantu orang lain berbuat demikian kerana kita mengasihi Yehuwa dan mereka. Apabila kita tidak mementingkan diri dan membantu orang lain mengenali Tuhan, kita sedang menyenangkan hati Yehuwa!

YOSAFAT BERGANTUNG PADA YEHUWA

10, 11. Bagaimanakah kita mencontohi Yosafat?

10 Seperti bapanya Asa, Raja Yosafat ‘melakukan apa yang benar di sisi Yehuwa.’ (2 Taw. 20:31, 32) Dia menggalakkan rakyatnya untuk melakukan kehendak Yehuwa dan mengutus orang untuk mengajar mereka tentang ‘kitab Taurat Yehuwa.’ (2 Taw. 17:7-10) Dia bahkan pergi ke kawasan perbukitan Efraim, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Israel, ‘untuk memimpin rakyat kembali kepada Yehuwa.’ (2 Taw. 19:4) Ya, ‘Raja Yosafat telah mengabdi kepada Yehuwa dengan sepenuh hati.’2 Taw. 22:9.

11 Kita semua berpeluang mengambil bahagian dalam kerja pendidikan yang sedang dilakukan dengan giat pada hari ini. Adakah anda giat menginjil dan mengajar Firman Tuhan kepada orang setiap bulan? Jika kita berusaha, Yehuwa akan memberkati kita supaya kita dapat memulakan pembelajaran Bible. Adakah anda berdoa untuk mencapai matlamat itu? Adakah anda sudi melakukan pembelajaran Bible, meskipun anda perlu mengorbankan masa lapang sendiri? Sepertimana Yosafat mengunjungi orang di kawasan Efraim untuk membantu mereka kembali ke ibadat sejati, kita juga boleh berusaha membantu penyiar yang tidak aktif. Selain itu, penatua membuat aturan untuk melawat orang yang telah disingkirkan. Kemungkinan individu sebegini sudah menghentikan tabiat berdosa dan dapat dibantu untuk kembali kepada Yehuwa.

12, 13. (a) Semasa menghadapi masalah yang besar, apakah reaksi Yosafat? (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara Yosafat berdoa?

12 Apabila Yosafat diserang oleh musuh yang sangat kuat, dia bergantung pada Yehuwa, sama seperti bapanya Asa. (Baca 2 Tawarikh 20:2-4.) Walaupun Yosafat berasa takut, dia segera ‘berdoa kepada Yehuwa meminta petunjuk.’ Dalam doanya, dia mengakui bahawa dia dan rakyatnya “tidak berdaya melawan tentera besar yang menyerang” dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Namun, dengan penuh keyakinan dia berkata, ‘Engkaulah Tuhan kami.’2 Taw. 20:12.

13 Seperti Yosafat, ada kalanya kita mungkin kebuntuan jalan dan berasa takut. (2 Kor. 4:8, 9) Namun ingatlah bahawa Yosafat telah berdiri di hadapan rakyat  untuk berdoa. Dalam doanya, dia mengakui bahawa dia dan rakyatnya berasa lemah dan memerlukan bantuan. (2 Taw. 20:5) Begitu juga, kepala keluarga boleh mencontohi Yosafat dengan berdoa meminta Yehuwa untuk membimbing dan menguatkan mereka semasa menghadapi masalah. Janganlah berasa malu untuk meluahkan rayuan anda di hadapan ahli keluarga yang lain. Mereka akan sedar bahawa anda mempercayai Yehuwa dengan sepenuh hati. Yehuwa pasti akan membantu anda sebagaimana Dia membantu Yosafat.

HIZKIA TETAP MELAKUKAN APA YANG BENAR

14, 15. Bagaimanakah Hizkia bergantung pada Yehuwa dengan sepenuhnya?

14 Hizkia merupakan raja yang ‘taat kepada Yehuwa.’ Walaupun bapanya menyembah berhala, dia tidak mengikut jejaknya. Sebaliknya, Hizkia “memusnahkan tempat-tempat penyembahan berhala, memecahkan tiang-tiang batu, dan merobohkan patung-patung Dewi Asyera. Baginda juga menghancurkan ular gangsa yang dibuat oleh Musa dahulu . . . kerana hingga masa itu umat Israel masih membakar kemenyan untuk menghormati ular gangsa itu.” Dia mengabdikan diri kepada Yehuwa dengan sepenuh hati. Ya, ‘dengan sungguh-sungguh baginda mentaati segala perintah yang telah diberikan oleh Yehuwa.’2 Raj. 18:1-6.

15 Apabila empayar Asyur, yang merupakan kuasa dunia pada masa itu, menyerang Yehuda dan mengancam untuk memusnahkan kota Yerusalem, Hizkia bergantung pada Yehuwa dengan sepenuhnya. Sanherib, iaitu raja Asyur, mencela Yehuwa dan ingin menggertak Hizkia sehingga dia menyerah. Tetapi, Hizkia berdoa kepada Yehuwa dan mempercayai kuasa penyelamatan-Nya. (Baca Yesaya 37:15-20.) Tuhan mengabulkan doanya dengan mengutus satu malaikat untuk membinasakan 185,000 orang askar Asyur.Yes. 37:36, 37.

16, 17. Bagaimanakah kita dapat mencontohi Hizkia?

16 Semasa Hizkia sakit tenat dan hampir meninggal, dia merayu agar Yehuwa ingat bahawa dia telah mengabdikan diri kepada-Nya dengan setia. (Baca 2 Raja-Raja 20:1-3.) Yehuwa mengabulkan doa Hizkia dan menyembuhkannya. Walaupun kita tidak mengharapkan mukjizat sedemikian hari ini, kita masih dapat berdoa seperti Hizkia: ‘Aku telah mengabdi kepada-Mu dengan taat dan setia, dan aku sentiasa berusaha untuk melakukan kehendak-Mu.’ Adakah anda yakin bahawa Yehuwa rela dan dapat memelihara dan menguatkan anda semasa anda sakit?Mzm. 41:4.

17 Apakah perkara lain yang dapat kita belajar daripada contoh Hizkia? Kita tidak mahu membiarkan apa-apa untuk menjejaskan hubungan kita dengan Tuhan atau mengalihkan perhatian kita daripada ibadat sejati. Contohnya, kita mungkin menggunakan rangkaian sosial untuk berhubung dengan keluarga atau sahabat karib. Namun, ramai orang hari ini membazirkan banyak masa untuk melihat gambar dan maklumat tentang orang lain. Melalui rangkaian sedemikian, mereka memuja manusia dan mengikut-ikut orang yang tidak dikenali. Kita harus berwaspada agar tidak menjadi seperti mereka. Orang Kristian juga perlu berhati-hati agar tidak menjadi sombong apabila ada banyak orang suka akan gambar atau komen yang dipaparkan mereka, atau menjadi marah  jika ada orang yang tidak lagi mengikuti mereka. Cuba bayangkan, jika Paulus atau Akwila dan Priskila hidup pada zaman sekarang, adakah mereka akan sibuk menggunakan rangkaian sosial untuk memaparkan gambar atau mengikut orang yang tidak menyembah Yehuwa? Bible menyatakan bahawa “Paulus menggunakan seluruh masanya untuk mengkhabarkan firman Tuhan.” Akwila dan Priskila pula meluangkan masa untuk “menjelaskan jalan Tuhan dengan lebih tepat lagi” kepada orang lain. (Kis. 18:4, 5, 26) Jadi tanyalah diri, “Adakah saya berhati-hati agar tidak memuja manusia atau membazirkan banyak masa bagi hal yang tidak penting?”Baca Efesus 5:15, 16.

YOSIA MENTAATI PERINTAH YEHUWA

18, 19. Bagaimanakah anda dapat mencontohi Yosia?

18 Cicit Hizkia, iaitu Raja Yosia, juga ‘menurut hukum serta perintah Yehuwa dengan segenap hati.’ (2 Taw. 34:31) ‘Ketika Yosia masih muda, baginda mula menyembah Yehuwa.’ Apabila dia berumur 20 tahun, dia mula menyingkirkan penyembahan berhala dari Yehuda. (Baca 2 Tawarikh 34:1-3.) Berbanding dengan raja-raja Yehuda sebelumnya, Yosia mencurahkan lebih banyak usaha untuk menyenangkan hati Tuhan. Apabila Kitab Taurat Musa dijumpai dan dibacakan kepada Yosia, hatinya digerakkan untuk melakukan kehendak Tuhan dengan lebih baik. Dia menggalakkan orang lain untuk menyembah Yehuwa. Hasilnya, ‘selama Raja Yosia hidup, rakyat tetap setia kepada Yehuwa.’2 Taw. 34:27, 33.

19 Jika anda masih muda, contohilah Yosia yang menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Yosia mungkin belajar tentang belas kasihan Tuhan daripada pengalaman Raja Manasye yang telah bertaubat. Kaum muda, hampirilah penyembah Yehuwa yang setia dalam keluarga atau sidang. Belajarlah cara Yehuwa membimbing dan memberkati mereka. Selain itu, hati Yosia digerakkan ketika Kitab Taurat dibacakan kepadanya, maka hati anda juga akan digerakkan jika anda membaca Firman Tuhan. Hasilnya, anda akan menjadi lebih gembira dan hubungan anda dengan Yehuwa akan dikukuhkan. Anda juga akan lebih bersemangat untuk membantu orang mengenali Tuhan. (Baca 2 Tawarikh 34:18, 19.) Semasa mempelajari Bible, jika anda dapati bahawa mutu khidmat anda kepada Yehuwa dapat ditingkatkan, berusahalah untuk berbuat demikian seperti yang dilakukan Yosia.

SEMBAHLAH YEHUWA DENGAN SEPENUH HATI!

20, 21. (a) Apakah yang dapat kita pelajari daripada Asa, Yosafat, Hizkia, dan Yosia? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

20 Apakah yang dapat kita pelajari daripada Asa, Yosafat, Hizkia, dan Yosia? Mereka melakukan kehendak Tuhan dengan bersemangat, dan mereka bertekad untuk melaksanakan perintah-Nya, biarpun menghadapi tentangan yang besar. Yang terpenting, mereka menyembah Yehuwa kerana mereka mengasihi-Nya.

21 Walaupun mereka tidak sempurna dan melakukan kesilapan, Yehuwa dapat melihat bahawa mereka masih menyembah-Nya dengan sepenuh hati. Kita juga tidak sempurna tetapi adakah Yehuwa menganggap kita sebagai penyembah-Nya yang setia? Rencana seterusnya akan membincangkan hal ini.