Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 KISAH HIDUP

Saya Dibantu kerana Bergaul dengan Orang Bijak

Saya Dibantu kerana Bergaul dengan Orang Bijak

SAYA masih ingat apa yang berlaku di Brookings, Dakota Selatan, A.S., banyak tahun yang lalu. Suhu pada pagi itu luar biasa dingin dan mengingatkan saya bahawa cuaca yang sangat sejuk akan datang. Saya dan beberapa orang lain berdiri sambil menggigil kesejukan di dalam sebuah bangsal. Di hadapan kami, terdapat sebuah palung, iaitu tempat ternakan diberi minum, yang berisi air sejuk. Apakah yang sedang berlaku? Biarlah saya menceritakan serba sedikit tentang diri saya dahulu.

KELUARGA SAYA

Pak Cik Alfred bersama bapa saya

Saya dilahirkan pada 7 Mac 1936. Ibu dan ayah mempunyai empat orang anak, dan saya ialah anak bongsu. Kami tinggal di sebuah ladang di bahagian timur Dakota Selatan. Kerja di ladang ialah pekerjaan keluarga kami, tetapi sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kerja Tuhan ialah keutamaan kami. Ibu bapa saya telah membaktikan diri dan dibaptis pada tahun 1934. Ayah saya, Clarence, dan kemudiannya pak cik saya, Alfred, berkhidmat sebagai hamba sidang (kini dipanggil koordinator badan penatua) di Conde, Dakota Selatan.

Keluarga kami selalu menghadiri perjumpaan dan menginjil dari rumah ke rumah untuk mengongsi harapan daripada Bible kepada orang lain. Teladan dan latihan daripada ibu bapa saya telah membawa kesan yang besar terhadap kami. Saya dan kakak saya, Dorothy, menjadi penyiar apabila kami berumur enam tahun. Pada tahun 1943, saya menyertai Sekolah Penyebaran Teokratik yang baru bermula.

Merintis pada tahun 1952

Konvensyen dan perhimpunan merupakan peristiwa penting bagi kami. Pada tahun 1949, semasa konvensyen di Sioux Falls, Dakota Selatan, Saudara Grant Suiter telah memberikan ceramah yang bertajuk “Akhir Lebih Dekat daripada Sangkaan Anda!” Dia menegaskan bahawa setiap orang Kristian harus menggunakan kehidupan  mereka untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Ceramahnya mendorong saya untuk membaktikan diri kepada Yehuwa. Pada 12 November 1949, semasa perhimpunan litar di Brookings, saya dan empat orang lain berdiri di dalam bangsal yang sejuk itu. Palung besi yang berisi air sejuk itu ialah kolam pembaptisan kami.

Saya menetapkan matlamat untuk merintis. Pada 1 Januari 1952, semasa saya berusia 15 tahun, saya telah menceburi khidmat perintis biasa. Ramai ahli keluarga saya yang bijak telah membantu saya. Contohnya, Pak Cik Julius telah menjadi rakan perintis saya. Biarpun dia sudah berusia 60 tahun, kami gembira kerana dapat menginjil bersama-sama. Banyak yang saya pelajari daripada pengalaman hidupnya, seperti yang dikatakan dalam Bible: “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak.” (Ams. 13:20) Tidak lama kemudian, Dorothy juga mula merintis.

PENYELIA LITAR PRIHATIN TERHADAP SAYA

Semasa saya muda, ibu bapa saya sering menjemput penyelia litar dan isteri mereka untuk tinggal di rumah kami. Salah satu pasangan yang prihatin terhadap saya ialah Jesse dan Lynn Cantwell. Ketika mereka melawat sidang-sidang berdekatan, mereka juga menjemput saya untuk menginjil bersama mereka. Pergaulan bersama mereka amat menyenangkan, dan telah mendorong saya untuk merintis dan mengejar matlamat rohani.

Penyelia litar kami yang seterusnya ialah Bud Miller dan isterinya Joan. Ketika itu, saya berumur 18 tahun dan dipanggil oleh lembaga kerahan tentera untuk melakukan kerja yang bertentangan dengan perintah Yesus untuk tetap neutral dalam hal politik. (Yoh. 15:19) Tetapi saya ingin menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Maka, saya merayu agar diberi status sebagai penginjil supaya dapat dikecualikan daripada kerja itu.

Saya terharu kerana Saudara Miller berkata bahawa dia akan menemani saya untuk berjumpa dengan lembaga kerahan tentera. Saudara Miller matang secara rohani, peramah, dan tidak mudah digertak. Kehadirannya membuat saya berasa yakin! Setelah diberi status sebagai penginjil  pada tahun 1954, saya berpeluang mencapai satu lagi matlamat rohani.

Di sebelah trak di ladang. Saya baru menjadi ahli Bethel

Tidak lama kemudian, saya dijemput untuk berkhidmat di Bethel, yang pada masa itu dipanggil Ladang Watchtower, yang terletak di Pulau Staten, New York. Selama tiga tahun di sana, saya berpeluang untuk mengenali dan bekerja bersama ramai saudara saudari yang bijaksana.

KHIDMAT BETHEL

Di WBBR bersama Saudara Franz

Ladang Watchtower juga merupakan tapak stesen radio WBBR, yang digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa dari tahun 1924 hingga 1957. Hanya terdapat 15 hingga 20 orang ahli Bethel yang berkhidmat di situ, dan kebanyakannya merupakan orang muda yang kurang berpengalaman. Namun, ada seorang saudara terurap yang lebih tua di situ, yang bernama Eldon Woodworth. Seperti seorang bapa yang bijaksana, dia telah membina kerohanian kami. Apabila ketidaksempurnaan manusia menguji kesabaran kami, Saudara Woodworth akan berkata, “Biarpun Tuhan menggunakan orang seperti kita, Dia masih dapat melakukan banyak perkara yang hebat. Menakjubkan, bukan?”

Harry Peterson menginjil dengan bersemangat

Kami juga berpeluang untuk bergaul dengan seorang lagi saudara yang bijaksana, iaitu Saudara Frederick W. Franz. Kami amat digalakkan kerana dia sangat mengenali Alkitab dan mengambil berat terhadap setiap orang. Saudara Harry Peterson pula ialah tukang masak kami dan dia juga seorang saudara terurap. Walaupun nama sebenarnya ialah Papargyropoulos, kami memanggilnya Saudara Peterson kerana lebih mudah disebut. Dia melaksanakan tugasnya di Bethel dengan baik, tetapi tidak pernah mengabaikan kerja penyebaran. Saudara Peterson menginjil dengan bersemangat dan mengedarkan beratus-ratus majalah setiap bulan. Dia seperti gedung ilmu Alkitab dan dapat menjawab banyak soalan kami.

DIBANTU OLEH SAUDARI-SAUDARI YANG BIJAKSANA

Di Ladang Watchtower, kami juga memproses dan mengetin hasil tanaman. Kira-kira 45,000 tin buah-buahan dan sayuran disediakan setiap tahun untuk keluarga Bethel. Saya berpeluang untuk bekerja dengan Etta Huth, seorang saudari yang bijaksana. Dia bertanggungjawab  menyediakan resipi untuk makanan tin dan mengaturkan kerja bagi saudari-saudari tempatan yang datang membantu. Walaupun peranannya penting, Etta sentiasa menghormati para penyelia di ladang. Dia memang teladan yang baik bagi kami.

Bersama Angela dan Etta Huth

Salah seorang saudari yang datang membantu ialah Angela Romano. Etta pernah membantunya mempelajari kebenaran. Dengan itu, semasa berkhidmat di Bethel, saya dapat mengenali seorang lagi saudari yang bijaksana. Kami telah berkahwin pada April 1958 dan berkhidmat bersama-sama selama 58 tahun. Kesetiaan Angela kepada Yehuwa telah mengukuhkan perkahwinan kami. Angela seorang yang dapat diharapkan dalam apa jua situasi.

KHIDMAT MUBALIGH DAN KERJA LAWATAN

Pada tahun 1957, stesen radio WBBR dijual dan kemudiannya dinamakan WPOW. Maka, saya ditugaskan ke Bethel Brooklyn. Tidak lama kemudian, saya dan Angela berkahwin lalu meninggalkan Bethel. Kami merintis di Pulau Staten untuk tiga tahun. Buat suatu ketika, saya bekerja untuk pemilik baharu stesen radio itu.

Saya dan Angela bertekad untuk hidup sederhana supaya kami dapat berkhidmat di mana-mana sahaja. Pada awal tahun 1961, kami ditugaskan sebagai perintis khas ke Falls City, Nebraska. Sebaik sahaja kami menyesuaikan diri di sana, kami dijemput untuk menghadiri sekolah latihan Bible yang diadakan selama sebulan di Lansing Selatan, New York. Kami menikmati latihan yang diberikan dan menyangka bahawa kami akan kembali ke Nebraska selepas itu. Tetapi tanpa disangka, kami ditugaskan sebagai mubaligh ke Kemboja! Di tempat yang indah itu, kami telah melihat, mendengar, dan merasai hal-hal yang baharu. Kami tidak sabar-sabar untuk menyebarkan berita baik di sana.

Namun, keadaan politik di sana berubah, dan kami terpaksa berpindah ke Vietnam Selatan. Sedihnya, dua tahun kemudian, saya menghadapi masalah kesihatan yang serius, maka kami pulang ke Amerika Syarikat. Setelah berehat untuk suatu ketika, saya pulih dan kami mula merintis lagi.

Bersama Angela sebelum ditemu ramah di televisyen, tahun 1975

Pada Mac 1965, kami mula berkhidmat dalam kerja lawatan. Selama 33 tahun, saya dan Angela membantu dalam kerja litar dan distrik, termasuk kerja mengaturkan konvensyen. Saya sangat suka kerja itu, kerana konvensyen merupakan detik istimewa bagi saya. Untuk bertahun-tahun, kami melawat sidang-sidang di Bandar Raya New York, dan banyak konvensyen diadakan di Stadium Yankee.

KEMBALI KE BETHEL DAN SEKOLAH TEOKRATIK

Seperti rakan seiman lain yang menceburi khidmat khas sepenuh masa, saya dan Angela diberi banyak tugasan baharu yang mencabar. Contohnya pada tahun 1995, saya dijemput untuk mengajar di Sekolah Latihan Pengorganisasian. Tiga tahun kemudian, kami dijemput ke Bethel. Saya sangat gembira kerana itulah tempatnya saya mula menceburi khidmat khas sepenuh masa 40 tahun yang lalu! Buat suatu ketika, saya bekerja dalam Bahagian Kerja Penyebaran  dan mengajar di beberapa sekolah. Pada tahun 2007, Badan Pimpinan membentuk satu bahagian baharu untuk menyelia semua sekolah Bible yang diadakan di Bethel, iaitu Bahagian Sekolah Teokratik. Saya berpeluang menjadi penyelia bahagian itu untuk banyak tahun.

Beberapa tahun belakangan ini, terdapat banyak perubahan dalam pendidikan teokratik. Sekolah untuk Penatua Sidang telah dimulakan pada tahun 2008. Dalam dua tahun yang berikutnya, lebih daripada 12,000 orang penatua telah dilatih di Bethel di Paterson dan Brooklyn. Sekolah itu masih diadakan di tempat-tempat lain. Pada tahun 2010, Sekolah Latihan Pengorganisasian telah diberi nama baharu, iaitu Sekolah Bible untuk Saudara Bujang. Sebuah sekolah baharu juga dibentuk, iaitu Sekolah Bible untuk Pasangan Kristian.

Dua sekolah Bible itu kemudiannya telah digabungkan pada September 2014 dan dikenali sebagai Sekolah Latihan Penginjil. Sekolah ini terbuka kepada pasangan suami isteri dan saudara saudari yang bujang. Ramai sangat teruja ketika mendengar bahawa sekolah itu akan diadakan di banyak cawangan. Saya gembira kerana lebih banyak saudara saudari akan berpeluang menikmati pendidikan teokratik, dan saya juga bersyukur kerana dapat menemui ramai pelajar yang telah mengubah hidup mereka supaya dapat dilatih oleh Tuhan.

Apabila saya melihat kehidupan saya dari masa sebelum saya dibaptis sehingga hari ini, saya berterima kasih kepada Yehuwa kerana mengurniakan banyak insan yang bijak untuk membantu saya menempuh haluan kebenaran. Mereka tidak sebaya dengan saya dan tidak mempunyai latar belakang yang sama. Namun, kasih yang mendalam untuk Yehuwa tertanam jauh di lubuk hati mereka, dan kasih itu dinyatakan melalui sikap dan kelakuan mereka. Dalam organisasi Yehuwa, kita berpeluang untuk bergaul dengan banyak orang yang bijaksana. Saya amat bersyukur kerana telah menikmati pergaulan sedemikian.

Saya suka mengenali pelajar-pelajar dari merata tempat