Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mereka Rela Berkhidmat​—Di Myanmar

Mereka Rela Berkhidmat​—Di Myanmar

“TUAIAN memang banyak, tetapi pekerja hanya sedikit. Jadi, rayulah Pemilik tuaian supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian.” (Luk. 10:2) Kata-kata Yesus yang diucapkan 2,000 tahun lalu padan benar dengan situasi di Myanmar. Mengapa? Penduduk Myanmar berjumlah 55 juta orang, tetapi hanya terdapat sekitar 4,200 orang penyiar berita baik di situ.

Namun begitu, Yehuwa, “Pemilik tuaian,” telah menggerakkan ratusan saudara saudari dari pelbagai negara untuk datang ke Asia Tenggara dan membantu kerja menuai di Myanmar. Mengapakah mereka sanggup meninggalkan kampung halaman sendiri? Apakah yang membantu mereka untuk berpindah? Apakah berkat yang diraih mereka? Mari kita lihat.

“DATANGLAH, KAMI PERLU LEBIH BANYAK PERINTIS!”

Beberapa tahun lalu, Kazuhiro, seorang perintis di Jepun, diserang sawan, tidak sedar diri, lalu dibawa ke hospital. Ketika doktor memberitahunya bahawa dia tidak patut memandu selama dua tahun, Kazuhiro berasa terkejut dan berfikir, “Jika begitu, bagaimanakah saya dapat meneruskan khidmat perintis, kerja kesukaan saya?” Dia berdoa dengan bersungguh-sungguh dan memohon agar Yehuwa membuka jalan baginya untuk terus merintis.

Kazuhiro dan Mari

Kazuhiro menyambung, “Sebulan kemudian, kawan saya yang berkhidmat di Myanmar dengar tentang keadaan saya. Dia menelefon saya dan kata, ‘Pengangkutan utama di Myanmar ialah bas. Jika kamu datang, kamu dapat menginjil tanpa kereta!’ Semasa saya tanya doktor sama ada keadaan saya mengizinkan saya pergi ke Myanmar, dia menjawab, ‘Seorang pakar otak dari Myanmar sedang lawat Jepun sekarang. Saya akan perkenalkan kamu kepadanya. Jika kamu diserang sawan di sana, dia dapat bantu kamu.’ Saya rasa itulah jawapan daripada Yehuwa.”

Kazuhiro segera menghantar e-mel kepada pejabat cawangan Myanmar untuk menyatakan bahawa dia dan isterinya ingin merintis di situ. Lima hari kemudian, pejabat cawangan menjawab, “Datanglah, kami perlu lebih banyak perintis!” Kazuhiro dan isterinya Mari menjual kereta mereka, mendapatkan visa, dan beli tiket kapal terbang. Hari ini, mereka berkhidmat dengan gembira dalam kumpulan  bahasa isyarat di Mandalay. Kazuhiro berkata, “Pengalaman ini menguatkan iman kami terhadap janji Tuhan di Mazmur 37:5, ‘Serahkanlah hidupmu kepada Yehuwa; bergantunglah pada-Nya, dan Dia akan bertindak bagi pihakmu.’”

YEHUWA MEMBUKA JALAN

Pada tahun 2014, Saksi-Saksi Yehuwa di Myanmar mengadakan konvensyen istimewa yang dihadiri wakil dari luar negara. Monique, seorang saudari berusia 30-an dari Amerika Syarikat, berkata, “Sekembalinya dari konvensyen, saya berdoa tentang langkah seterusnya yang harus saya ambil. Saya juga bincangkan matlamat rohani saya dengan ibu bapa. Kami setuju bahawa saya harus kembali ke Myanmar, tetapi saya perlu banyak berdoa dan luangkan masa sebelum membuat keputusan.” Mengapa?

Monique dan Li

“Yesus menggalakkan pengikutnya untuk ‘mengira perbelanjaan.’ Maka saya fikir, ‘Mampukah saya berpindah? Dapatkah saya cari makan di situ tanpa menghabiskan terlalu banyak masa untuk bekerja?’” Monique mengaku, “Saya sedar saya tidak cukup wang untuk berpindah.” Namun, dia berpindah juga pada akhirnya. Apakah yang terjadi?​—Luk. 14:28.

Monique berkata, “Suatu hari, bos ingin jumpa saya. Saya agak risau kerana sangka saya akan dipecat. Tetapi dia ucapkan terima kasih untuk kerja baik saya. Dia kata dia mahu beri saya bonus, dan jumlahnya tepat memenuhi keperluan saya!”

Apakah perasaan Monique setelah berkhidmat di Myanmar sejak Disember 2014? “Saya sangat gembira,” katanya. “Saya ada tiga pelajar Bible, dan salah seorang sudah berumur 67 tahun. Dia selalu senyum dan peluk saya. Apabila dia belajar bahawa nama Tuhan ialah Yehuwa, dia menangis dan kata, ‘Seumur hidup saya, inilah kali pertama saya belajar nama Tuhan ialah Yehuwa. Kamu jauh lebih muda daripada saya, tapi kamu ajar saya hal yang terpenting.’ Saya pun menangis bersamanya. Pengalaman seperti ini buktikan bahawa berkhidmat di tempat yang lebih memerlukan bantuan memang sangat memuaskan.” Baru-baru ini, Monique telah menghadiri Sekolah Latihan Penginjil.

Sesetengah penyiar didorong untuk berpindah ke Myanmar setelah membaca tentang negara itu dalam Buku Tahunan (Yearbook) 2013. Li, seorang saudari di Asia Tenggara yang berusia sekitar 30 tahun, bekerja sepenuh masa, tetapi dia berfikir untuk berkhidmat di Myanmar sesudah membaca kisah tentang Myanmar. “Semasa saya hadiri konvensyen istimewa tahun 2014 di Yangon, saya jumpa satu pasangan yang datang ke Myanmar untuk membantu di kawasan penyebaran bahasa Cina. Saya tahu berbahasa Cina, maka saya berpindah ke Myanmar untuk sokong kumpulan Cina di situ. Monique jadi rakan saya, dan kami berpindah ke Mandalay. Yehuwa memberkati kami. Dia membolehkan kami cari kerja separuh masa sebagai guru di sekolah yang sama, dan kami dapat cari sebuah apartmen yang berdekatan. Walaupun cuaca di sini panas dan ada sedikit kesulitan hidup, saya masih suka berkhidmat di sini. Orang Myanmar hidup sederhana, tetapi mereka sopan dan rela dengar berita baik. Saya teruja kerana dapat lihat Yehuwa mempercepat kerja menginjil. Saya sangat yakin Yehuwa mahu saya berada di Mandalay.”

YEHUWA MENDENGAR DOA

Ramai saudara saudari yang rela berkhidmat telah merasai kuasa doa. Jumpei dan isterinya Nao, yang berumur pertengahan 30-an, telah berpindah dari sidang bahasa isyarat di Jepun ke Myanmar. Mengapa? Jumpei berkata, “Sudah lama saya  dan isteri bermatlamat untuk berkhidmat di negara asing. Seorang saudara dari sidang bahasa isyarat kami di Jepun telah pindah ke Myanmar, dan kami pun pindah pada Mei 2010, walaupun simpanan kami sikit sahaja. Saudara saudari di Myanmar menyambut kami dengan mesra!” Apakah perasaannya tentang kawasan penyebaran bahasa isyarat di Myanmar? “Orang di sini sangat berminat. Semasa kami mainkan video bahasa isyarat, penghuni rumah yang pekak sangat kagum. Kami amat gembira kerana memilih untuk berkhidmat kepada Yehuwa di sini!”

Nao dan Jumpei

Bagaimanakah keperluan kewangan Jumpei dan Nao dijaga? “Tiga tahun kemudian, simpanan kami hampir habis dan kami tidak cukup wang untuk bayar sewa tahun berikutnya. Saya dan isteri berdoa banyak kali. Tanpa disangka, pejabat cawangan menulis surat kepada kami dan menjemput kami untuk berkhidmat sebagai perintis khas sementara! Kami bersandar pada Yehuwa, dan Dia tidak meninggalkan kami. Dia menjaga setiap keperluan kami.” Baru-baru ini, Jumpei dan Nao juga menghadiri Sekolah Latihan Penginjil.

YEHUWA MENDORONG BANYAK ORANG

Simone, seorang saudara dari Itali yang berusia 43 tahun, dan isterinya Anna, 37 tahun, dari New Zealand, juga berpindah ke Myanmar. Apakah yang mendorong mereka? “Laporan buku tahunan 2013 tentang Myanmar!” jawab Anna. Simone berkata, “Kami berbesar hati kerana dapat berkhidmat di Myanmar. Kehidupan di sini sangat sederhana, dan saya dapat luangkan lebih banyak masa untuk kerja Yehuwa. Kami teruja kerana merasai jagaan Yehuwa apabila kami berkhidmat di tempat yang lebih memerlukan bantuan.” (Mzm. 121:5) Anna berkata, “Saya tidak pernah begitu gembira. Kami hidup sederhana, saya ada lebih banyak masa bersama suami, dan kami jadi lebih rapat. Kami juga dapat sahabat baharu. Orang di sini tidak berprasangka terhadap Saksi, dan sambutan mereka sangat baik!”

Simone dan Anna

Anna menceritakan pengalamannya: “Suatu hari semasa di pasar, saya menginjil kepada seorang pelajar perempuan universiti dan berjanji untuk jumpa dengannya lagi. Semasa kami berjumpa, dia bawa seorang kawan bersamanya. Pada kunjungan seterusnya, dia bawa beberapa orang kawan lagi, dan kemudiannya dia bawa lebih ramai kawan. Sekarang, saya belajar bersama lima orang kawannya.” Simone berkata, “Orang di sini ramah dan berminat untuk tahu lebih banyak. Kami tidak cukup masa untuk mengunjungi semua orang.”

Sachio dan Mizuho

Apakah sesetengah langkah yang dapat diambil sebelum memutuskan untuk berpindah ke Myanmar? Mizuho dari Jepun berkata, “Saya dan suami saya Sachio selalu ingin berkhidmat di negara yang lebih memerlukan bantuan, tetapi di mana? Selepas membaca pengalaman dalam buku tahunan 2013  tentang Myanmar, kami begitu tersentuh dan mula berfikir sama ada kami dapat berkhidmat di situ.” Sachio berkata, “Kami telah melawat Yangon, sebuah kota besar di Myanmar, selama seminggu untuk melihat keadaannya. Lawatan yang singkat itu meyakinkan kami bahawa kami patut berpindah.”

DAPATKAH ANDA MENYAHUT SERUAN INI?

Jane, Danica, Rodney, dan Jordan

Rodney dan isterinya Jane berusia 50-an dan berasal dari Australia. Mereka bersama anak lelaki mereka Jordan dan anak perempuan mereka Danica, telah berkhidmat di Myanmar sejak tahun 2010. Rodney berkata, “Kami terharu semasa melihat orang di sini yang mendahagakan hal rohani. Saya ingin menggalakkan keluarga lain untuk berkhidmat di tempat seperti Myanmar.” Mengapa? “Kerana keluarga kami meraih berkat rohani yang tidak ternilai! Banyak orang muda sekarang sibuk dengan telefon, kereta, kerja, dan sebagainya, tetapi anak kami sibuk belajar perkataan baharu untuk menginjil, belajar cara untuk ajar orang yang tidak kenal Bible, dan belajar untuk memberikan komen dalam bahasa tempatan. Mereka juga seronok melakukan banyak kegiatan rohani yang lain.”

Oliver dan Anna

Oliver, seorang saudara berusia lewat 30-an dari Amerika Syarikat, menjelaskan sebabnya dia menggalakkan orang lain untuk menceburi khidmat ini, “Meninggalkan keselesaan rumah sendiri dan berkhidmat kepada Yehuwa dalam persekitaran yang berbeza membawa banyak manfaat. Saya berasa lebih yakin kepada Yehuwa dan belajar untuk bergantung pada-Nya tidak kira apa pun yang terjadi. Saya berkhidmat bersama mereka yang belum pernah dikenali tetapi kami disatukan kerana kepercayaan yang sama. Hal ini buat saya sedar bahawa tiada apa-apa di dunia ini yang lebih penting daripada Kerajaan Tuhan.” Kini, Oliver dan isterinya Anna menginjil dengan bersemangat dalam kawasan penyebaran bahasa Cina.

Trazel

Trazel, seorang saudari berusia awal 50-an dari Australia, telah berkhidmat di Myanmar sejak tahun 2004. Dia berkata, “Jika keadaan kamu mengizinkan, berkhidmatlah di tempat yang memerlukan bantuan. Pengalaman saya buktikan bahawa jika kita ingin berkhidmat, Yehuwa pasti berkati usaha kita. Saya tidak pernah bayangkan bahawa saya akan menikmati kehidupan yang begitu memuaskan dan bermakna.”

Semoga luahan hati saudara saudari di Myanmar menggalakkan anda untuk membantu orang yang berhati jujur di kawasan yang tidak pernah dikunjungi. Ya, sahutlah seruan mereka, “Datanglah ke Myanmar dan bantulah kami!”