Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mengapakah Kita Harus ‘Terus Berjaga-jaga’?

Mengapakah Kita Harus ‘Terus Berjaga-jaga’?

“Kamu tidak tahu bila Tuan kamu akan datang.”​—MAT. 24:42.

LAGU: 136, 129

1. Berikan contoh mengapa penting untuk berjaga-jaga terhadap masa dan persekitaran kita. (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

PROGRAM konvensyen akan bermula. Pengerusi naik ke pentas dan mula mengalu-alukan kedatangan semua orang lalu selingan muzik dimainkan. Para hadirin mula duduk dan menikmati muzik orkestra Watchtower itu. Mereka juga menyiapkan hati dan minda untuk mendengar ceramah yang akan diberikan. Namun, terdapat individu yang masih bercerita dan mundar-mandir. Mereka sebenarnya tidak berjaga-jaga terhadap masa dan persekitaran mereka. Begitu juga, kita sedang menantikan suatu peristiwa penting yang bakal berlaku. Maka kita harus berjaga-jaga. Namun, apakah peristiwa itu?

2. Mengapakah Yesus berkata kepada muridnya, “Teruslah berjaga-jaga”?

2 Sewaktu Yesus bercakap tentang “penghujung sistem ini,” Yesus menggesa para muridnya, “Teruslah berjaga-jaga dan teruslah berwaspada, kerana kamu tidak tahu waktu yang ditentukan oleh Tuhan.” Selepas itu, Yesus mengulangi kata-kata tersebut, “Teruslah berjaga-jaga.” (Mat. 24:3; baca Markus 13:32-37.) Buku Matius juga mencatatkan amaran  Yesus: “Teruslah berjaga-jaga, kerana kamu tidak tahu bila Tuan kamu akan datang. . . . Pastikan bahawa kamu bersedia, kerana Anak manusia akan datang pada waktu yang tidak kamu jangkakan.” Kemudian, Yesus berkata sekali lagi, “Teruslah berjaga-jaga, kerana kamu semua tidak tahu hari atau waktunya.”—Mat. 24:42-44; 25:13.

3. Mengapakah kita perlu memandang serius amaran Yesus?

3 Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kita memandang serius amaran Yesus. Mengapa? Kerana kita mengetahui bahawa kita sedang hidup pada “akhir zaman” dan masa hanya tinggal sedikit sebelum “kesengsaraan besar” berlaku. (Dan. 12:4; Mat. 24:21) Kita menyaksikan bahawa peperangan, kejatuhan akhlak, kejahatan, kekeliruan agama, kebuluran, wabak, dan gempa bumi sedang berlaku di mana-mana sahaja. Kita juga dapat melihat kerja penyebaran dilakukan dengan giat di seluas dunia. (Mat. 24:7, 11, 12, 14; Luk. 21:11) Kita tidak sabar menantikan masanya apabila Yesus akan datang dan melaksanakan kehendak Bapanya.—Mrk. 13:26, 27.

HARI ITU SEMAKIN MENDEKAT!

4. (a) Mengapakah kita boleh pasti bahawa Yesus sudah mengetahui bila Armagedon akan berlaku? (b) Walaupun kita tidak tahu bila kesengsaraan besar akan bermula, kita boleh pasti tentang apa?

4 Kita tahu dengan tepat bila sesi konvensyen akan bermula. Namun mengenai kesengsaraan besar, kita tidak dapat tahu dengan pasti bila masanya atau hari peristiwa itu akan berlaku. Semasa di bumi, Yesus berkata, “Tiada seorang pun yang tahu hari atau waktunya, baik malaikat di syurga mahupun Anak. Hanya Bapa yang tahu.” (Mat. 24:36) Namun Yesus sudah naik syurga dan dia bakal berperang dengan dunia Syaitan. (Why. 19:11-16) Maka kita boleh menyimpulkan bahawa Yesus sekarang sudah mengetahui bila Armagedon akan berlaku. Walau bagaimanapun, kita masih belum mengetahuinya. Oleh itu, kita mesti berjaga-jaga. Tetapi, Yehuwa sudah menentukan hari dan waktunya kesengsaraan besar akan berlaku. Hari itu semakin mendekat dan “tidak akan ditangguhkan”! (Baca Habakuk 2:1-3.) Mengapakah kita boleh berasa pasti mengenai nubuat ini?

5. Berikan contoh yang menunjukkan bahawa nubuat Tuhan selalu menjadi kenyataan tepat pada waktu yang ditentukan-Nya.

5 Nubuat-nubuat Yehuwa selalu menjadi kenyataan tepat pada waktunya! Cuba fikir tentang nubuat pembebasan orang Israel dari Mesir pada 14 Nisan 1513 SM. Musa berkata, ‘Apabila genap tahun yang ke-430, semua suku daripada umat Yehuwa meninggalkan negeri Mesir.’ (Kel. 12:40-42) “Tahun yang ke-430” itu mula dikira sejak tahun 1943 SM apabila perjanjian antara Yehuwa dan Abraham menjadi sah. (Gal. 3:17, 18) Kemudian, selepas perjanjian itu, Yehuwa memberitahu Abraham lagi, ‘Keturunanmu akan menjadi orang asing di negeri lain; mereka akan menjadi hamba di sana dan akan ditindas selama 400 tahun.’ (Kej. 15:13; Kis. 7:6) Penindasan selama ‘400 tahun’ itu nampaknya bermula sejak tahun 1913 SM apabila Ismael mengejek Ishak, dan berakhir pada tahun 1513 SM apabila orang Israel dibebaskan dari Mesir. (Kej. 21:8-10; Gal. 4:22-29) Ya, Yehuwa sudah pun mengetahui masanya orang Israel akan dibebaskan, empat abad sebelum hal itu berlaku!

6. Mengapakah kita boleh pasti bahawa Yehuwa akan menyelamatkan umat-Nya?

6 Yosua adalah antara mereka yang dibebaskan dari Mesir. Dia berkata, ‘Kamu masing-masing tahu betul bahawa Yehuwa,  Tuhan kamu telah memberi kamu segala yang baik, yang dijanjikan-Nya. Setiap janji-Nya telah ditepati; tiada satu pun yang dimungkiri-Nya.’ (Yos. 23:2, 14) Kita boleh pasti bahawa janji Yehuwa untuk melindungi kita semasa kesengsaraan besar akan menjadi kenyataan. Namun, jika kita ingin diselamatkan apabila sistem dunia ini dibinasakan, kita mesti berjaga-jaga.

TERUSLAH BERJAGA-JAGA SUPAYA DISELAMATKAN

7, 8. (a) Apakah peranan seorang pengawal pada zaman kuno, dan apakah pengajarannya bagi kita? (b) Berikan contoh tentang apa yang boleh berlaku apabila para pengawal tertidur semasa menjalankan tugasnya.

7 Kita boleh belajar sesuatu daripada zaman kuno mengenai kepentingan untuk tetap berjaga-jaga. Pada masa dahulu, terdapat banyak kota besar seperti Yerusalem yang dikelilingi oleh tembok-tembok tinggi. Tembok-tembok tinggi ini melindungi kota itu daripada penceroboh dan juga merupakan tempat di mana pengawal dapat mengawasi kawasan sekeliling kota itu. Siang dan malam, para pengawal ditempatkan di atas tembok dan di pintu gerbang. Mereka akan memberikan amaran kepada penduduk kota jika terdapat ancaman. (Yes. 62:6) Kerja mereka melibatkan hidup mati orang, maka pengawal itu perlu tetap berjaga-jaga.—Yeh. 33:6.

8 Seorang sejarawan Yahudi, iaitu Josephus berkata bahawa pada tahun 70 M, tentera Roma dapat menawan Menara Antonia yang bersambung dengan tembok kota Yerusalem kerana para pengawal di pintu gerbang tertidur! Dari sana, tentera Roma dapat menceroboh Rumah Tuhan dan membakarnya. Peristiwa ini merupakan kesudahan kepada kesengsaraan terbesar yang dialami bangsa Yahudi.

9. Apakah yang tidak disedari oleh ramai orang hari ini?

9 Kebanyakan negara hari ini memasang sistem pengawasan yang canggih serta mempunyai pengawal untuk menjaga sempadan negara. Mereka mengawasi kawasan mereka agar tiada penceroboh dan musuh yang mengancam keselamatan negara. Namun, mereka hanya dapat melihat ancaman daripada kerajaan manusia yang lain. Mereka tidak sedar akan kewujudan dan aktiviti Kerajaan Tuhan di syurga yang dipimpin oleh Kristus. Kerajaan Tuhan akan menghakimi semua bangsa. (Yes. 9:5, 6; 56:10; Dan. 2:44) Namun, jika kita tetap berwaspada dan berjaga-jaga secara rohani, kita akan bersiap sedia apabila hari penghakiman itu tiba.—Mzm. 130:6.

BERHATI-HATI AGAR PERHATIAN KITA TIDAK DIGANGGU

10, 11. (a) Apakah yang perlu kita berhati-hati, dan mengapa? (b) Apakah yang meyakinkan anda bahawa Iblis telah mempengaruhi manusia untuk meremehkan nubuat Bible?

10 Bayangkan seorang pengawal yang telah berjaga sepanjang malam. Hal ini tentu menyebabkan dia berasa penat lalu tertidur. Begitu juga, semakin dekat kita kepada akhir sistem dunia ini, semakin mencabar bagi kita untuk terus berjaga-jaga. Betapa sedihnya jika kita gagal berjaga-jaga! Oleh itu, marilah kita mengkaji tiga pengaruh negatif yang boleh menyebabkan kita tidak lagi berwaspada.

11 Syaitan memperdaya orang. Sebelum kematiannya, Yesus telah memberikan amaran sebanyak tiga kali kepada murid-muridnya tentang “pemerintah dunia ini.” (Yoh. 12:31; 14:30; 16:11) Yesus mengetahui bahawa Iblis akan menyebabkan manusia berada dalam kegelapan mental. Hal ini menyebabkan mereka tidak memberikan  perhatian terhadap nubuat-nubuat Bible mengenai masa hadapan. (Zef. 1:14) Syaitan membutakan fikiran manusia melalui empayar agama palsu sedunia. Apakah yang anda perhatikan semasa anda berbual dengan orang lain? Bukankah fikiran manusia “yang tidak percaya telah dibutakan oleh tuhan sistem dunia ini”? Mereka tidak percaya bahawa penghujung sistem dunia ini sudah dekat dan Yesus telah mula memerintah sebagai raja Kerajaan Tuhan. (2 Kor. 4:3-6) Seberapa kerapkah anda mendengar orang berkata, “Saya tidak berminat”? Selalunya, mereka bersikap tidak peduli apabila kita memberitahu mereka tentang apa yang bakal berlaku kepada dunia.

12. Mengapakah kita tidak seharusnya membiarkan Iblis memperdaya kita?

12 Jangan biarkan sikap orang yang tidak peduli membuatkan anda berasa tawar hati sehingga tidak dapat terus berjaga-jaga. Paulus menulis kepada rakan seimannya, “Kamu sendiri tahu benar bahawa hari Yehuwa akan datang seperti pencuri datang pada waktu malam.” (Baca 1 Tesalonika 5:1-6.) Yesus juga mengingatkan kita, “Pastikan bahawa kamu sentiasa bersedia, kerana Anak manusia akan datang pada waktu yang tidak kamu jangkakan.” (Luk. 12:39, 40) Tidak lama lagi, Syaitan akan memperdaya orang untuk percaya bahawa “semuanya damai dan selamat!” Syaitan akan menyesatkan orang untuk berfikir bahawa sistem dunia ini berkekalan. Bagaimana pula dengan kita? Hari penghakiman Yehuwa tidak seharusnya “tiba-tiba menimpa [kita] sebagaimana siang hari tiba-tiba menimpa pencuri.” Oleh itu, kita harus “tetap berjaga-jaga dan memelihara daya pemikiran kita” dengan terus membaca dan merenungkan ayat-ayat Bible setiap hari untuk mengetahui apa yang difirmankan oleh Yehuwa.

13. Apakah kesan pengaruh dunia terhadap manusia? Bagaimanakah kita dapat mengelakkan bahaya ini?

13 Pengaruh dunia menyebabkan orang tertidur secara rohani. Kebanyakan orang terlalu asyik dengan aktiviti harian sehingga mereka tidak “sedar akan keperluan rohani mereka.” (Mat. 5:3) Mereka begitu tertarik dengan kebendaan di dunia sehingga mereka tergoda oleh “keinginan  tubuh yang berdosa” dan “keinginan mata.” (1 Yoh. 2:16) Hiburan juga menyebabkan kebanyakan orang “mencintai kesenangan” dan godaan ini semakin bertambah tahun demi tahun. (2 Tim. 3:4) Oleh sebab itu, Paulus memberitahu orang Kristian bahawa mereka tidak seharusnya “membuat rancangan untuk memuaskan keinginan tubuh yang berdosa” kerana hal ini menyebabkan mereka tertidur secara rohani.—Rm. 13:11-14.

14. Apakah amaran yang tercatat di Lukas 21:34, 35?

14 Kita ingin didorong oleh daya aktif Tuhan dan bukannya pengaruh dunia. Daya aktif Tuhan membantu kita untuk memahami dengan jelas apa yang bakal berlaku. [1] (1 Kor. 2:12) Selain itu, kita harus berhati-hati supaya aktiviti harian tidak menyebabkan kita terlena secara rohani. (Baca Lukas 21:34, 35.) Orang lain mungkin mengejek kita kerana tetap berjaga-jaga, tetapi hal itu tidak seharusnya menyebabkan kita hilang tumpuan. (2 Ptr. 3:3-7) Sebaliknya, kita ingin terus dibimbing oleh daya aktif Tuhan dengan bergaul bersama rakan seiman secara tetap di perjumpaan.

Adakah anda berusaha sedaya upaya untuk berjaga-jaga secara rohani? (Lihat perenggan 11-16)

15. Apakah yang telah berlaku kepada Petrus, Yakobus, dan Yohanes? Bagaimanakah hal yang sama boleh berlaku kepada kita?

15 Ketidaksempurnaan kita boleh melemahkan tekad kita untuk tetap berjaga-jaga. Yesus tahu bahawa manusia tidak sempurna dan mempunyai kelemahan. Fikirkan apa yang berlaku pada malam sebelum Yesus mati. Dia perlu kekuatan daripada Bapanya di syurga untuk mengekalkan kesetiaannya. Yesus menyuruh Petrus, Yakobus, dan Yohanes untuk ‘berjaga-jaga’ sementara dia berdoa. Namun, mereka tidak sedar betapa pentingnya untuk berjaga-jaga. Mereka berasa penat lalu terlelap. Walaupun Yesus berasa penat secara jasmani, dia tetap berjaga-jaga dan berdoa kepada Bapanya. Sebenarnya, itulah apa yang harus dilakukan oleh sahabatnya juga.—Mrk. 14:32-41.

16. Menurut Lukas 21:36, bagaimanakah Yesus mengajar kita untuk ‘terus berjaga-jaga’?

16 Untuk ‘terus berjaga-jaga’ secara rohani, hal itu tidak hanya melibatkan keinginan yang kuat. Beberapa hari sebelum peristiwa yang berlaku di Taman Getsemani, Yesus memberitahu murid-muridnya untuk merayu kepada Yehuwa untuk memberikan bantuan. (Baca Lukas 21:36.) Maka, kita juga perlu terus berdoa jika kita ingin tetap berjaga-jaga secara rohani.—1 Ptr. 4:7.

BUKTIKANLAH BAHAWA ANDA TERUS BERJAGA-JAGA

17. Bagaimanakah kita boleh bersedia bagi peristiwa yang bakal berlaku tidak lama lagi?

17 Yesus berkata bahawa akhir sistem ini akan tiba ‘pada waktu yang kita tidak jangkakan.’ Maka, sekarang bukanlah masanya untuk tertidur secara rohani. Kita juga tidak harus mengejar gaya hidup yang ditawarkan oleh dunia Syaitan. (Mat. 24:44) Menerusi lembaran Firman Tuhan, Yehuwa dan Yesus sudah pun memberitahu kita apa yang bakal kita nikmati dan cara untuk tetap berjaga-jaga. Marilah kita bertekad untuk melindungi kerohanian dan hubungan baik kita dengan Yehuwa, serta mengutamakan Kerajaan Tuhan. Kita harus tetap berjaga-jaga supaya bersedia untuk peristiwa yang bakal berlaku kerana hal ini melibatkan hidup mati kita!—Why. 22:20.

^ [1] (perenggan 14) Lihat bab 21 dalam buku Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!