Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 TOPIK UTAMA | MALAIKAT​—ADAKAH MEREKA WUJUD? DAPATKAH MEREKA MEMPENGARUHI ANDA?

Cara Malaikat Membantu Anda

Cara Malaikat Membantu Anda

Malaikat yang setia prihatin terhadap manusia dan sibuk menjalankan kehendak Yehuwa. Semasa Tuhan menciptakan bumi, para malaikat ‘bernyanyi bersama-sama dan bersorak gembira.’ (Job 38:4, 7) Sepanjang sejarah, malaikat juga “ingin sekali memahami” nubuat tentang apa yang akan terjadi di bumi.​—1 Petrus 1:11, 12.

Bible menunjukkan bahawa untuk melaksanakan kehendak Tuhan, ada kalanya malaikat akan melindungi hamba-hamba-Nya. (Mazmur 34:8) Contohnya:

  • Semasa Yehuwa membinasakan Sodom dan Gomora, para malaikat membantu Lot dan keluarganya untuk melarikan diri.​—Kejadian 19:1, 15-26.

  • Di Babilon kuno, semasa tiga orang pemuda Ibrani dilemparkan ke dalam relau yang bernyala-nyala, Tuhan “mengutus malaikat untuk menyelamatkan” mereka.​—Daniel 3:19-28.

  • Selepas Daniel dibuang ke dalam gua singa, dia menjelaskan bahawa dia selamat kerana ‘Tuhan telah mengirim malaikat-Nya untuk menutup mulut singa-singa itu.’​—Daniel 6:17, 23.

Sejak dulu lagi, malaikat membantu orang yang setia

PARA MALAIKAT MEMBANTU SIDANG KRISTIAN MASA AWAL

Ada kalanya, malaikat Tuhan memberikan bantuan kepada orang Kristian pada masa awal supaya tujuan Yehuwa terlaksana. Misalnya:

  • Satu malaikat membebaskan para rasul dari penjara dan menyuruh mereka terus menginjil di Rumah Tuhan.​—Kisah 5:17-21.

  • Satu malaikat mengarahkan Filipus untuk pergi ke jalan yang menghubungkan Yerusalem dan Gaza, dan menginjil kepada seorang lelaki Etiopia yang baru sahaja beribadat di Yerusalem.​—Kisah 8:26-33.

  • Apabila Tuhan membuka peluang bagi orang bukan Yahudi untuk menjadi orang Kristian, satu malaikat menampakkan diri dalam penglihatan kepada seorang pegawai tentera Roma yang bernama Kornelius. Malaikat itu menyuruhnya menjemput Rasul Petrus ke rumahnya.​—Kisah 10:3-5.

  • Semasa Rasul Petrus dipenjarakan, satu malaikat muncul dan membawanya keluar dari penjara.—Kisah 12:1-11.

CARA MALAIKAT MEMBANTU ANDA

Hari ini, tiada bukti yang menunjukkan bahawa Tuhan masih mengutus malaikat-Nya untuk membantu manusia dalam cara yang dicatatkan dalam Bible. Namun, Yesus pernah mengatakan  bahawa pada zaman kita, “berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.” (Matius 24:14) Tahukah anda bahawa para pengikut Kristus sedang melakukan tugas ini dengan bimbingan malaikat?

Malaikat menyokong kerja menyebarkan berita baik di serata dunia

Buku Wahyu menunjukkan bahawa malaikat akan sibuk membantu orang di serata dunia untuk belajar tentang Tuhan Yehuwa dan tujuan-Nya. Rasul Yohanes menulis, “Aku melihat satu lagi malaikat yang terbang di tengah langit. Dia mempunyai berita baik yang kekal untuk diisytiharkan kepada orang yang tinggal di bumi, iaitu kepada setiap bangsa, suku, bahasa, dan kaum. Malaikat itu berkata dengan suara yang lantang, ‘Takutlah kepada Tuhan dan muliakanlah Dia kerana masa penghakiman-Nya sudah tiba. Sembahlah Dia yang menjadikan langit, bumi, laut, dan mata air.’” (Wahyu 14:6, 7) Banyak pengalaman hari ini membuktikan bahawa malaikat sedang menyokong kerja penyebaran di serata dunia. Sudah tentu, apabila seorang pendosa bertaubat dan kembali kepada Yehuwa, “malaikat-malaikat Tuhan akan bersukacita.”​—Lukas 15:10.

Apakah yang akan terjadi apabila kerja penyebaran selesai dilakukan? “Angkatan tentera di syurga” yang dianggotai oleh para malaikat akan menyokong Yesus Kristus, Raja atas segala raja, dalam perang Armagedon yang akan tercetus pada “hari besar Tuhan Yang Maha Kuasa.” (Wahyu 16:14-16; 19:14-16) Malaikat yang berkuasa akan melaksanakan penghakiman Tuhan ketika Yesus “mendatangkan pembalasan ke atas mereka . . . yang tidak mentaati berita baik.”​—2 Tesalonika 1:7, 8.

Yakinlah bahawa para malaikat sangat mengambil berat tentang anda. Mereka ingin membantu orang yang menyembah Tuhan, dan Tuhan sering mengutus mereka untuk menguatkan dan melindungi hamba-hamba-Nya di bumi.​—Ibrani 1:14.

Kita masing-masing harus memilih: Adakah kita akan mendengar dan mentaati berita baik yang disebarkan di serata dunia? Saksi-Saksi Yehuwa gembira membantu anda untuk memanfaatkan bantuan para malaikat.