Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 TOPIK UTAMA | MALAIKAT​—ADAKAH MEREKA WUJUD? DAPATKAH MEREKA MEMPENGARUHI ANDA?

Adakah Malaikat Jahat Wujud?

Adakah Malaikat Jahat Wujud?

Ya, mereka memang wujud. Namun, apakah asal usul malaikat jahat? Semasa menciptakan malaikat, Tuhan memberi mereka kebebasan memilih. Tidak lama selepas Adam dan Hawa diciptakan, satu malaikat yang sempurna telah menyalahgunakan kebebasannya. Dia menghasut Adam dan Hawa untuk memberontak terhadap Tuhan. (Kejadian 3:1-7; Wahyu 12:9) Bible tidak menyatakan nama malaikat itu atau kedudukannya di syurga sebelum dia memberontak. Tetapi selepas dia mula melawan Tuhan, Bible menggelarnya Syaitan, yang bermaksud “Penentang,” dan Iblis, yang bermaksud “Pemfitnah.”​—Matius 4:8-11.

Sedihnya, pemberontakan terhadap Tuhan tidak berakhir. Pada zaman Noah, sebilangan malaikat “meninggalkan tugas asal dan tempat tinggal mereka.” Mereka turun ke bumi dan menjelma sebagai manusia demi memuaskan nafsu yang tidak bermoral.​—Yudas 6; Kejadian 6:1-4; 1 Petrus 3:19, 20.

Apakah yang terjadi kepada malaikat-malaikat jahat itu? Semasa Tuhan mendatangkan banjir untuk membinasakan orang jahat di bumi, mereka kembali ke alam roh. Namun, Tuhan tidak mengizinkan mereka pulang ke “tempat tinggal mereka” yang asal. Sebaliknya, mereka dikurung “dalam kegelapan [rohani] yang pekat” dan dibelenggu dalam keadaan yang hina, yang dipanggil Tatarus. (Yudas 6; 2 Petrus 2:4) Roh-roh jahat itu telah menjadi pengikut Syaitan Si Iblis, iaitu “ketua roh-roh jahat” yang “terus menyamar sebagai malaikat cahaya.”​—Matius 12:24; 2 Korintus 11:14.

Bible mengajarkan bahawa Kerajaan Mesias telah diasaskan oleh Tuhan di syurga pada tahun 1914. * Selepas detik yang bersejarah itu, Syaitan dan roh-roh jahat telah diusir dari syurga dan dikurung berhampiran bumi. Dunia kita yang sarat dengan kejahatan dan keruntuhan akhlak membuktikan betapa kuatnya pengaruh mereka.​—Wahyu 12:9-12.

Namun, keganasan dan kejatuhan moral yang mendadak menunjukkan bahawa pemerintahan roh-roh jahat bakal berakhir. Tidak lama lagi, mereka akan dihukum, dan Kerajaan Tuhan akan memerintah bumi firdaus selama 1,000 tahun. Kemudian, roh-roh jahat akan diberi masa yang singkat untuk menguji manusia buat kali terakhir. Selepas itu, mereka akan dibinasakan buat selama-lamanya.​—Matius 25:41; Wahyu 20:1-3, 7-10.

^ per. 6 Untuk maklumat lanjut tentang Kerajaan Tuhan, lihat bab 8 dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? Buku ini diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa dan boleh didapati di www.jw.org/ms.