Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Kamu lebih berharga.”​—MATIUS 10:31

Adakah Tuhan Memperhatikan Anda?

Adakah Tuhan Memperhatikan Anda?

PENGAJARAN DARIPADA CIPTAAN

Enam puluh minit pertama selepas seorang bayi dilahirkan merupakan waktu yang penting. Mengapa? Ibu yang menjalin hubungan akrab dengan bayi dalam tempoh masa itu akan banyak menyumbang kepada tumbesaran anaknya. *

Apakah yang mendorong seorang ibu untuk menyayangi bayinya? Menurut Profesor Jeannette Crenshaw, paras hormon oksitosin yang meningkat akan “menghasilkan sifat keibuan selepas seorang wanita bersalin, apabila dia menyentuh, memandang, dan menyusui bayinya.” (The Journal of Perinatal Education) Satu lagi hormon yang dibebaskan pada masa itu akan membantu dan menguatkan interaksi antara ibu dengan bayi. Apakah yang dapat kita pelajari?

Hubungan antara ibu dengan bayi direka oleh Pencipta kita, Tuhan Yehuwa. * Raja Daud menulis bahawa Tuhan membawanya “keluar daripada kandungan” dan membuatnya berasa selamat dalam dakapan ibunya. Dia berdoa, “Sejak lahir, aku dipercayakan kepada-Mu; sejak dalam kandungan, Engkaulah Tuhanku.”​—Mazmur 22:9, 10.

FIKIRKAN: Jika Tuhan menciptakan sistem yang begitu kompleks untuk memastikan seorang ibu akan menyayangi dan menjaga bayinya, sudah pasti Dia ambil berat terhadap kita masing-masing, kerana kita ialah “anak-anak Tuhan”!​—Kisah 17:29.

AJARAN BIBLE TENTANG CARA TUHAN MEMPERHATIKAN KITA

Yesus Kristus paling mengenali Pencipta kita. Dia berkata, “Bukankah dua ekor burung pipit dijual dengan mata wang yang kecil nilainya? Meskipun demikian, tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa diketahui oleh Bapa kamu. Sebenarnya, bahkan rambut di kepala kamu sudah dihitung. Oleh itu, janganlah takut. Kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.”​—Matius 10:29-31.

Kita jarang memperhatikan setiap burung, apatah lagi memberi perhatian apabila seekor burung “jatuh ke tanah.” Tetapi Bapa kita yang di syurga memperhatikan setiap burung! Bagi Tuhan, manusia lebih berharga daripada banyak burung. Maka, “janganlah takut.” Tuhan sangat mengambil berat tentang anda!

Tuhan sangat mengambil berat tentang kita dan memperhatikan kita seperti seorang bapa yang penyayang

 Bible meyakinkan kita

  • “Yehuwa nampak apa yang berlaku di merata tempat; Dia memerhatikan orang baik dan orang jahat.”​—AMSAL 15:3.

  • “Mata Yehuwa memperhatikan orang yang berbuat benar, dan telinga-Nya mendengar seruan mereka meminta tolong.”​—MAZMUR 34:15.

  • “Aku akan bergembira dan bersukacita kerana kasih setia-Mu. Engkau telah melihat penderitaanku, dan Engkau mengetahui kesengsaraanku.”​—MAZMUR 31:7.

“SAYA SERING RASA YEHUWA TIDAK SAYANG SAYA”

Apakah kesannya jika kita sedar bahawa Tuhan sangat prihatin terhadap kita dan memperhatikan kita seperti seorang bapa yang penyayang? Hannah * dari England menjelaskan,

“Saya sering rasa Yehuwa tidak sayang saya dan tidak jawab doa saya. Saya fikir saya tidak penting dan tidak cukup beriman, jadi Tuhan menghukum saya dan tidak ambil peduli tentang saya.”

Kini Hannah yakin bahawa Yehuwa prihatin terhadapnya dan mengasihinya. Mengapa? “Perasaan saya berubah secara beransur-ansur,” katanya. “Saya teringat satu ceramah Bible bertahun-tahun lalu tentang korban tebusan Yesus, dan ceramah itu meyakinkan saya tentang kasih Yehuwa. Apabila doa saya dijawab, saya sering menangis kerana sedar bahawa Yehuwa memang sayang saya. Semasa saya kaji Bible dan menghadiri perjumpaan Kristian, saya belajar lebih banyak tentang Yehuwa, sifat-sifat-Nya, dan perasaan-Nya terhadap kita. Sekarang, saya dapat lihat dengan jelas bahawa Yehuwa menyokong dan mengasihi kita semua, dan Dia ingin menjaga setiap seorang daripada kita.”

Kata-kata Hannah sungguh menggalakkan. Namun, adakah Tuhan memahami dan mengambil kira perasaan anda? Rencana berikut akan membincangkan buktinya.

^ per. 3 Sesetengah ibu yang meroyan (kemurungan selepas bersalin) mungkin berasa susah menjadi akrab dengan bayi sendiri. Namun, hal itu bukan salah mereka. Menurut Institut Kesihatan Mental Kebangsaan A.S., kemurungan itu “biasanya berpunca daripada gabungan beberapa faktor emosi dan fizikal, . . . bukan daripada perbuatan si ibu.” Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Memahami Depresi Pascapersalinan” dalam majalah Sedarlah! bahasa Indonesia, terbitan 8 Jun 2003.

^ per. 5 Menurut Bible, Yehuwa ialah nama Tuhan.​—Mazmur 83:18.

^ per. 15 Sesetengah nama dalam siri rencana ini telah diubah.