Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Di bawah pemerintahan Tuhan, semua ciptaan bersatu padu dan hidup damai

Mengapakah Kita Memerlukan Kerajaan Tuhan?

Mengapakah Kita Memerlukan Kerajaan Tuhan?

Semasa manusia yang pertama diciptakan, hanya ada satu Pemerintah, iaitu Pencipta kita yang bernama Yehuwa. Yehuwa ialah Pemerintah yang pengasih. Dia menciptakan Taman Eden yang indah sebagai tempat tinggal manusia, dan menyediakan makanan yang melimpah untuk mereka. Dia juga memberi manusia pekerjaan yang memuaskan. (Kejadian 1:28, 29; 2:8, 15) Jika manusia terus mentaati pemerintahan Tuhan, mereka akan hidup damai sampai sekarang.

Pasangan manusia yang pertama tidak mahu diperintah oleh Tuhan

Bible menyatakan bahawa satu malaikat, yang kemudiannya dipanggil Syaitan Si Iblis, telah memberontak dan mencabar hak Tuhan untuk memerintah. Dia mendakwa bahawa manusia akan lebih bahagia tanpa pemerintahan Tuhan. Sedihnya, Adam dan Hawa, iaitu nenek moyang kita, mengikut Syaitan dan memberontak terhadap Tuhan.​—Kejadian 3:1-6; Wahyu 12:9.

Oleh sebab Adam dan Hawa tidak mahu diperintah oleh Tuhan, mereka tidak dibenarkan tinggal di firdaus, dan mereka kehilangan peluang untuk hidup kekal dan menikmati kesihatan yang sempurna. (Kejadian 3:17-19) Keputusan mereka juga mempengaruhi keturunan mereka. Bible menyatakan bahawa akibat perbuatan Adam, ‘dosa masuk ke dalam dunia, dan dosa membawa kematian.’ (Roma 5:12) Dosa itu juga membawa satu lagi masalah: “Manusia menguasai manusia sehingga mereka menderita.” (Pengkhutbah 8:9) Dalam kata lain, jika manusia memerintah manusia, masalah pasti timbul.

MANUSIA MULA MEMERINTAH

Nimrod memberontak terhadap Yehuwa

Nimrod ialah pemerintah manusia pertama yang disebut dalam Bible, dan dia menentang pemerintahan Tuhan. Sejak zaman Nimrod, orang yang berpangkat tinggi telah menyalahgunakan kuasa mereka. Kira-kira 3,000 tahun yang lalu, Raja Salomo menulis, “Aku nampak orang yang ditindas menangis, tetapi tiada seorang pun yang melegakan hati mereka. Oleh sebab orang yang menindas mereka berkuasa, tiada seorang pun yang melegakan hati mereka.”​—Pengkhutbah 4:1.

Masalah yang sama masih berlaku pada hari ini. Pada tahun 2009, satu rencana yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan bahawa semakin ramai orang yang berpendapat bahawa pemerintahan yang buruk merupakan “salah satu punca utama masalah masyarakat.”

TUHAN AKAN BERTINDAK!

Jelaslah, manusia memerlukan pemerintah dan kerajaan yang lebih baik, dan itulah yang dijanjikan oleh Pencipta kita!

Kerajaan manusia yang terbaik pun gagal menyelesaikan masalah besar manusia

Tuhan telah mendirikan sebuah kerajaan yang akan menggantikan semua kerajaan manusia. Kerajaan itu ialah Kerajaan Tuhan yang disebut jutaan orang semasa berdoa. (Matius 6:9, 10) Kerajaan itu akan “kekal buat selama-lamanya.” (Daniel 2:44) Namun, Tuhan tidak akan menjadi Raja kerajaan itu. Dia telah melantik seseorang yang pernah hidup sebagai manusia untuk menjadi Raja Kerajaan-Nya. Siapakah itu?