Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Nubuat yang Telah Menjadi Kenyataan

Nubuat yang Telah Menjadi Kenyataan

Sebelum ini, kita membaca tentang Croesus yang ditipu oleh ahli ramal dari Delphi sehingga dikalahkan oleh raja Persia. Namun, Bible ada satu nubuat yang terperinci tentang raja Persia yang telah menjadi kenyataan.

Kira-kira 200 tahun sebelum peristiwa itu berlaku, lama sebelum raja itu lahir, Yesaya, seorang nabi berbangsa Ibrani, telah menyebut nama raja itu, iaitu Kores, dan menggambarkan bagaimana dia akan menawan kota Babilon yang teguh.

Yesaya 44:24, 27, 28: “Demikianlah firman Yehuwa, . . . ‘Aku berfirman kepada air yang dalam, “Jadilah kering. Aku akan mengeringkan semua sungaimu.” Mengenai Kores, Aku berfirman, “Dialah gembala yang Aku lantik. Dia pasti akan melaksanakan segala kehendak-Ku.” Mengenai Yerusalem, Aku berfirman, “Kota itu akan dibina semula.” Mengenai Rumah-Ku, Aku berfirman, “Asasnya akan diletakkan.”’”

Menurut Herodotus, seorang sejarawan Yunani, tentera Kores mengubah haluan Sungai Efrat yang mengalir menerusi kota Babilon. Dengan itu, para askar dapat berjalan menyeberangi sungai dan memasuki kota. Setelah menawan kota Babilon, Kores membebaskan tawanan Yahudi di situ dan membenarkan mereka pulang untuk membina semula Yerusalem, kota yang dimusnahkan 70 tahun yang lalu.

Yesaya 45:1: “Yehuwa telah melantik Kores dan memegang tangan kanannya, untuk menakluki bangsa-bangsa di hadapannya, untuk melucutkan kuasa raja-raja, dan untuk membuka pintu-pintu di hadapannya supaya pintu-pintu gerbang tidak ditutup.”

Kota Babilon mempunyai tembok yang tinggi, maka sekiranya orang Babilon menyedari rancangan Kores, mereka akan menutup semua pintu yang menghadap sungai. Namun, pintu-pintu gerbang dibiarkan terbuka dengan tidak sengaja sehingga askar Persia dapat memasuki kota itu dengan mudah sekali.

Bible ada banyak lagi nubuat sebegini yang telah menjadi kenyataan dengan tepat. * Tidak seperti ramalan manusia, yang sering dikaitkan dengan dewa dewi mereka, nubuat Bible berasal daripada Tuhan yang berfirman, “Sejak permulaan, Aku telah bernubuat tentang hal yang akan berlaku. Sejak zaman dahulu, Aku telah menyatakan perkara yang belum terjadi.”​—Yesaya 46:10.

 Hanya Tuhan yang benar, yang bernama Yehuwa, dapat melakukan hal itu. Nama “Yehuwa,” yang nampaknya bermaksud “Dia Menyebabkan Menjadi,” menyatakan kebolehan-Nya untuk mengetahui dan mengubah masa depan menurut kehendak-Nya. Nama itu juga merupakan jaminan bahawa Dia pasti menunaikan semua janji-Nya.

NUBUAT-NUBUAT YANG MENJADI KENYATAAN HARI INI

Inginkah anda mengetahui nubuat Bible mengenai zaman kita? Kira-kira 2,000 tahun lalu, Bible menubuatkan bahawa “masa genting yang sukar dihadapi” akan tiba “pada hari-hari terakhir.” Hari-hari terakhir bagi apa? Bukan bagi manusia atau bumi, tetapi akhir bagi pertengkaran, penindasan, dan penderitaan yang menyusahkan manusia selama ribuan tahun. Mari kita lihat beberapa nubuat tentang “hari-hari terakhir.”

2 Timotius 3:1-5: “Pada hari-hari terakhir . . . , manusia akan mencintai diri sendiri, mencintai wang, bercakap besar, bersikap angkuh, dan menghina Tuhan. Mereka tidak mematuhi ibu bapa, tidak tahu berterima kasih, tidak setia, tidak memiliki kasih sayang, tidak mahu dibawa berbincang, suka memfitnah, tidak tahu mengawal diri, garang, dan tidak mencintai kebaikan. Mereka juga suka berkhianat, keras kepala, sombong, dan mencintai kesenangan tetapi tidak mencintai Tuhan. Di depan orang lain mereka nampaknya beribadat kepada Tuhan, tetapi mereka tidak hidup sesuai dengan ibadat mereka.”

Tidakkah anda setuju bahawa perangai sedemikian semakin menjadi-jadi? Adakah anda mendapati bahawa orang di sekeliling kita mencintai diri dan wang, dan bersikap sombong? Adakah anda memperhatikan bahawa orang sekarang susah dibawa berbincang dan lebih suka menuntut? Anda pasti nampak ramai anak-anak melawan ibu bapa dan kebanyakan orang lebih mencintai kesenangan daripada mencintai Tuhan. Tidak dapat dinafikan bahawa semua masalah itu makin hari makin buruk.

Matius 24:6, 7: “Kamu akan mendengar tentang peperangan di pelbagai tempat. . . . Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain.”

Menurut anggaran, lebih daripada 100 juta orang telah mati akibat peperangan dan konflik bersenjata sejak tahun 1914. Angka itu jauh lebih tinggi daripada jumlah penduduk di banyak negara. Sudah tentu, peperangan telah membawa keperitan, kesusahan, dan penderitaan yang tidak terhingga. Tetapi soalannya, sudahkah bangsa-bangsa bertekad agar tidak mengulangi kesilapan ini?

Matius 24:7: ‘Kebuluran akan terjadi.’

Program Makanan Sedunia menyatakan, “Dunia ini menghasilkan makanan yang cukup untuk semua orang. Tetapi 815 juta orang, iaitu satu persembilan penduduk dunia, harus tidur dengan perut kosong setiap malam. Tambahan lagi, satu pertiga penduduk dunia menderita akibat kekurangan zat makanan.” Menurut anggaran, tiga juta orang kanak-kanak mati kebuluran setiap tahun.

Lukas 21:11: “Gempa bumi yang dahsyat akan berlaku.”

Setiap tahun, terdapat sekitar 50,000 gempa bumi yang cukup kuat untuk dirasai manusia. Antaranya, ada kira-kira 100 yang mampu merosakkan bangunan, dan satu gempa bumi yang sangat dahsyat akan berlaku sekali setahun. Menurut satu anggaran, antara tahun 1975 dan 2000, sebanyak 471,000 orang telah terkorban akibat gempa bumi.

Matius 24:14: “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.”

Lebih daripada lapan juta orang Saksi-Saksi Yehuwa sedang menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan di kira-kira 240 negara. Mereka menginjil di kota atau desa, di bukit mahupun lembah. Bible menubuatkan bahawa apabila kerja ini mencapai tahap yang dikehendaki Tuhan, “akhir akan datang.” Ketika itu, pemerintahan manusia akan berakhir, dan Kerajaan Tuhan akan berkuasa. Apakah janji-janji yang akan ditunaikan di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan? Lihatlah rencana seterusnya.