Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Janji-Janji yang Akan Menjadi Kenyataan

Janji-Janji yang Akan Menjadi Kenyataan

Seperti yang dinubuatkan Yesus, berita baik tentang Kerajaan Tuhan sedang dikhabarkan di seluruh dunia. (Matius 24:14) Bab kedua dalam buku Daniel mengandungi sebuah nubuat tentang turutan kuasa besar dunia dari zaman Babilon kuno sehingga hari ini, dan menjelaskan apa yang akan dilakukan oleh Kerajaan Tuhan pada masa depan. Ayat 44 menyatakan,

“Tuhan di syurga akan mendirikan sebuah kerajaan yang tidak dapat dimusnahkan. Kerajaan ini tidak akan diserahkan kepada bangsa lain. Kerajaan ini akan meremukkan dan mengakhiri semua kerajaan itu. Hanya kerajaan ini yang akan kekal buat selama-lamanya.”

Nubuat-nubuat Bible menyatakan bahawa Kerajaan Tuhan akan menggantikan semua pemerintahan manusia lalu membawa kedamaian dan ketenteraman. Bagaimanakah keadaan hidup di bawah Kerajaan Tuhan? Perhatikan janji-janji ini:

  • TIADA LAGI PEPERANGAN

    Mazmur 46:9: “Tuhan menghentikan peperangan di seluruh dunia. Dia mematahkan busur dan menghancurkan tombak; Dia menghanguskan semua kereta kuda.”

    Bayangkan keadaan dunia ketika semua wang dan usaha yang dihabiskan untuk menciptakan senjata, digunakan demi kesejahteraan manusia! Janji itu akan menjadi kenyataan di bawah Kerajaan Tuhan.

  • TIADA LAGI PENYAKIT

    Yesaya 33:24: “Tiada sesiapa pun . . . akan berkata, ‘Aku sakit.’”

    Bayangkan dunia yang tiada penyakit jantung, kanser, malaria, dan sebagainya. Hospital dan ubat tidak diperlukan lagi. Pada masa depan, penduduk bumi akan menikmati kesihatan yang sempurna.

  • TIADA LAGI KEKURANGAN MAKANAN

    Mazmur 72:16: “Bumi akan melimpah dengan biji-bijian, dan puncak gunung akan mengeluarkan hasil yang lumayan.”

    Bumi akan menghasilkan makanan yang cukup, dan semua orang dapat menikmatinya. Masalah kelaparan dan kekurangan zat akan menjadi kisah silam.

  • TIADA LAGI KESAKITAN, KESEDIHAN, DAN KEMATIAN

    Wahyu 21:4: “[Tuhan] akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi. Perkara-perkara yang lama sudah lenyap.”

     Ya, kita dapat hidup dengan sempurna buat selama-lamanya di bumi firdaus! Itulah janji Tuhan Yehuwa, Pencipta kita yang pengasih.

“FIRMAN-KU . . . PASTI BERJAYA”

Adakah semua berkat itu sekadar mimpi? Ramai orang setuju bahawa kehidupan yang dijanjikan dalam Bible memang indah, tetapi mereka berasa susah untuk percaya bahawa kita dapat hidup selama-lamanya. Hal itu tidak menghairankan, kerana tiada orang pernah menikmati kehidupan sedemikian.

Dosa, kematian, kesusahan, penderitaan, dan kesakitan, telah menghantui dan membelenggu manusia untuk begitu lama, sehingga ramai orang sudah menerima semua itu sebagai lumrah hidup. Namun, hal itu jauh berbeza daripada tujuan asal Pencipta kita, Tuhan Yehuwa.

Untuk meyakinkan kita bahawa semua janji-Nya pasti ditunaikan, Tuhan berkata, “Firman-Ku tidak akan kembali kepada-Ku dengan sia-sia, tetapi pasti akan melaksanakan apa sahaja yang Aku kehendaki, dan pasti berjaya melakukan perkara yang Aku ingini.”​—Yesaya 55:11.

Bible menggambarkan Yehuwa sebagai “Tuhan yang tidak dapat berdusta.” (Titus 1:2) Memandangkan Dia telah menjanjikan masa depan yang begitu cerah, fikirkanlah soalan-soalan ini: Mungkinkah manusia dapat hidup selama-lamanya di bumi Firdaus? Apakah yang perlu kita lakukan agar dapat menikmati semua berkat yang dijanjikan Tuhan? Jawapannya akan dibincangkan dalam beberapa halaman yang seterusnya.