Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bukti akan Ketepatan Nubuat Bible

Bukti akan Ketepatan Nubuat Bible

TERDAPAT SEBUAH GERBANG DI TENGAH ROM, ITALI, YANG MENARIK PELANCONG DARI SERATA DUNIA. GERBANG ITU DIBINA UNTUK MENGINGATI SALAH SEORANG MAHARAJA ROMA YANG PALING DIKASIHI, IAITU TITUS.

Gerbang Titus mempunyai dua ukiran besar tentang suatu peristiwa bersejarah. Namun, ramai orang tidak terfikir tentang kaitannya dengan Bible. Sebenarnya, Gerbang Titus merupakan satu bukti akan ketepatan nubuat Bible.

KOTA YANG BAKAL DIHANCURKAN

Pada abad pertama Masihi, Empayar Roma merangkumi kawasan dari Britain dan Gaul (kini Perancis) ke Mesir. Wilayah itu amat stabil dan makmur, tetapi ada satu kawasan terpencil yang sentiasa menimbulkan masalah bagi Roma: Daerah Yudea.

Encyclopedia of Ancient Rome menyatakan, “Jarang ada kawasan jajahan Roma seperti Yudea, yang ada kebencian yang begitu kuat daripada kedua-dua pihak. Orang Yahudi membenci penguasa asing yang tidak peduli akan tradisi mereka, dan orang Roma tidak tahan dengan kedegilan orang Yahudi.” Oleh itu, ramai orang Yahudi menantikan seorang penyelamat yang akan mengusir orang Roma dan memulihkan zaman kegemilangan Israel. Namun pada tahun 33 M, Yesus Kristus mengumumkan bahawa bencana bakal menimpa Yerusalem.

Yesus berkata, “Masanya akan tiba apabila musuh kamu menancapkan kayu-kayu yang tajam di sekelilingmu. Mereka akan mengepung kamu dan mengasak kamu dari semua arah serta menghempaskan kamu dan anak-anak kamu ke tanah. Mereka tidak akan membiarkan satu batu pun di dalam kota ini tersusun di atas batu yang lain.”​Lukas 19:43, 44.

Kata-kata Yesus tentu membingungkan pengikutnya. Dua hari kemudian, semasa melihat Rumah Tuhan, muridnya berkata, “Guru, lihatlah betapa indahnya batu-batu dan bangunan-bangunan ini!” Menurut laporan, sesetengah batu itu berukuran 11 m panjang, 5 m lebar, dan 3 m tinggi! Namun Yesus berkata, “Akan tiba masanya semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan. Batu-batu di sini pasti dirobohkan sehingga satu batu pun tidak akan tersusun di atas batu yang lain.”​Markus 13:1; Lukas 21:6.

Yesus menyambung, “Apabila kamu nampak Yerusalem dikepung oleh tentera, ketahuilah bahawa kota itu akan dimusnahkan dengan segera. Pada masa itu, hendaklah mereka yang berada di Yudea melarikan diri ke kawasan pergunungan, dan hendaklah mereka yang berada di Yerusalem keluar dari sana. Mereka yang berada di kawasan pekan pula janganlah memasuki kota itu.” (Lukas 21:20, 21) Adakah hal itu terjadi?

KEHANCURAN KOTA ITU

Selepas 33 tahun, kebencian penduduk Yudea terhadap penguasa Roma masih membara. Tetapi ketika Gessius Florus, pegawai Roma yang mentadbir Yudea, merampas wang daripada tabung Rumah Tuhan pada tahun 66 M, orang Yahudi tidak dapat berdiam diri lagi. Pejuang Yahudi menyerbu Yerusalem, membunuh askar Roma di situ, dan mengisytiharkan kemerdekaan daripada Roma.

 Kira-kira tiga bulan kemudian, Cestius Gallus mengetuai 30,000 orang askar Roma ke Yerusalem untuk menghapuskan pemberontakan itu. Dalam masa yang pendek, askar Roma memasuki kota itu dan berjaya meruntuhkan tembok luar Rumah Tuhan. Namun, mereka tiba-tiba berundur tanpa sebab. Para pemberontak Yahudi sangat gembira dan mula mengejar askar Roma. Setelah kedua-dua pihak itu meninggalkan Yerusalem, orang Kristian yang mendengar amaran Yesus melarikan diri dari Yerusalem ke kawasan gunung di seberang Sungai Yordan.​—Matius 24:15, 16.

Tahun berikutnya, tentera Roma datang lagi. Kali ini, mereka diketuai Panglima Vespasian dan anaknya Titus. Namun, selepas Maharaja Nero mangkat pada tahun 68 M, Vespasian kembali ke Roma untuk menjadi maharaja. Maka, angkatan tentera yang menyerang Yudea, yang berjumlah 60,000 orang, kini diketuai anaknya Titus.

Pada Jun 70 M, Titus mengarahkan tenteranya menebang semua pokok di kawasan desa Yudea. Pokok-pokok itu digunakan untuk membina pagar tajam yang panjangnya 7 km di sekeliling Yerusalem. Menjelang bulan September, tentera Roma membakar kota Yerusalem dan merampas hartanya. Mereka juga membakar Rumah Tuhan dan merobohkannya batu demi batu, seperti yang dinubuatkan Yesus. (Lukas 19:43, 44) Mengikut anggaran, “antara 250,000 dan 500,000 orang di Yerusalem dan Yudea telah dibunuh.”

MERAIKAN KEMENANGAN YANG BESAR

Pada tahun 71 M, kepulangan Titus ke Itali disambut dengan meriah oleh semua penduduk ibu kota. Perarakan kemenangan itu merupakan salah satu perayaan terbesar yang pernah diadakan di sana.

Penduduk kota ternganga semasa melihat harta yang berlimpah dibawa melalui jalan di Roma. Mereka juga melihat kapal-kapal yang ditawan dan menyaksikan perarakan yang mempamerkan barangan dari Rumah Tuhan di Yerusalem dan yang mengisahkan babak peperangan Titus.

Titus mewarisi takhta ayahnya Vespasian pada tahun 79 M, tetapi dua tahun kemudian, dia tiba-tiba meninggal. Adiknya Domitian menggantikannya sebagai maharaja lalu mendirikan sebuah gerbang untuk memperingati jasa Titus.

GERBANG TITUS HARI INI

Gerbang Titus di Rom hari ini

Hari ini, Gerbang Titus masih dikagumi ribuan pelancong yang melawat Rom setiap tahun. Bagi sesetengah orang, gerbang itu merupakan karya seni, dan ada pula yang menganggapnya sebagai tugu untuk meraikan kemegahan kuasa Roma atau untuk memperingati kejatuhan Yerusalem dan Rumah Tuhan.

Namun, bagi orang yang mengkaji Bible, Gerbang Titus mempunyai makna yang lebih mendalam. Binaan itu merupakan bukti kukuh bahawa nubuat Bible memang tepat, dapat dipercayai, dan diilhami Tuhan.​—2 Petrus 1:19-21.