Kebenaran tentang Masa Depan

Kebenaran tentang Masa Depan

Pernahkah anda tertanya-tanya tentang keadaan kita pada masa depan? Bible menyatakan bahawa tidak lama lagi, peristiwa-peristiwa yang besar akan berlaku dan mempengaruhi semua orang di bumi.

Yesus menjelaskan bagaimana kita dapat ‘mengetahui bahawa Kerajaan Tuhan sudah dekat.’ (Lukas 21:31) Dia menubuatkan bahawa akan berlakunya perang yang besar, gempa bumi yang dahsyat, kebuluran, wabak penyakit, dan sebagainya. Semua peristiwa yang disebut oleh Yesus sedang berlaku sekarang.​—Lukas 21:10-17.

Bible juga menyatakan bahawa pada “hari-hari terakhir” pemerintahan manusia, kebanyakan orang akan menunjukkan sikap dan kelakuan yang buruk. Sila baca 2 Timotius 3:1-5. Tidakkah anda setuju bahawa ayat itu tepat menggambarkan sikap dan kelakuan orang sekarang?

Maksudnya, tidak lama lagi, Kerajaan Tuhan akan membawa perubahan yang besar dan mendatangkan kehidupan yang lebih baik di bumi. (Lukas 21:36) Dalam Bible, Tuhan menjanjikan banyak berkat bagi bumi dan penduduk bumi. Perhatikan beberapa contoh.

PEMERINTAHAN YANG BAIK

“[Yesus] diberi kuasa pemerintahan, kemuliaan, dan sebuah kerajaan agar orang dari semua bangsa, suku, dan bahasa melayaninya. Pemerintahannya kekal dan tidak akan berakhir, dan kerajaannya tidak akan dibinasakan.”​DANIEL 7:14.

Maksudnya: Anda dapat menikmati kehidupan di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan. Kerajaan itu dipimpin oleh Yesus dan akan berkuasa atas seluruh bumi.

KESIHATAN YANG SEMPURNA

“Tiada sesiapa pun di negeri itu yang akan berkata, ‘Aku sakit.’”​YESAYA 33:24.

Maksudnya: Anda tidak akan jatuh sakit atau menghadapi masalah kesihatan. Anda dapat hidup selama-lamanya dan tidak akan mati.

KEDAMAIAN YANG KEKAL

“Tuhan menghentikan peperangan di seluruh dunia.”​MAZMUR 46:9.

Maksudnya: Tiada lagi perang, dan penderitaan yang disebabkan oleh perang.

BUMI AKAN PENUH DENGAN ORANG BAIK

“Orang jahat akan dibinasakan . . . Orang yang rendah hati akan memiliki bumi.”​MAZMUR 37:10, 11.

Maksudnya: Tiada lagi orang jahat. Semua orang akan suka mentaati Tuhan.

SELURUH BUMI AKAN MENJADI FIRDAUS

“Orang akan membina rumah dan mendiaminya; mereka akan mengusahakan ladang anggur dan memakan hasilnya.”​YESAYA 65:21, 22.

Maksudnya: Seluruh bumi akan menjadi tempat yang cantik. Permintaan kita agar kehendak Tuhan “terlaksana di bumi” akan dikabulkan.​—Matius 6:10.