Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Apakah Sifat-Sifat Tuhan?

Apakah Sifat-Sifat Tuhan?

Apabila kita mengetahui lebih banyak tentang sifat seseorang, kita mengenalinya dengan lebih baik, dan persahabatan kita dengannya pun akan menjadi semakin kukuh. Begitu juga, apabila kita mengetahui sifat-sifat Yehuwa dengan lebih baik, kita akan semakin mengenali-Nya, dan persahabatan kita dengan-Nya pun akan menjadi semakin kukuh. Tuhan mempunyai empat sifat yang utama, iaitu kuasa, kebijaksanaan, keadilan, dan kasih.

TUHAN ITU BERKUASA

‘Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, Engkau telah menciptakan langit dan bumi dengan kuasa-Mu yang menakjubkan.’​YEREMIA 32:17.

Kuasa Tuhan ternyata melalui ciptaan-Nya. Contohnya, jika anda berdiri di bawah panas terik matahari, anda sedang merasai kuasa daripada ciptaan Yehuwa. Seberapa besarkah kuasa matahari? Suhu di teras matahari dikatakan sekitar 15,000,000 darjah Celsius. Tenaga yang dipancarkan matahari setiap saat bersamaan dengan letupan ratusan juta bom nuklear.

Namun, matahari kita kecil sahaja berbanding dengan banyak bintang di alam semesta. Menurut anggaran ahli sains, salah satu bintang yang terbesar, iaitu UY Scuti, mempunyai diameter 1,700 kali ganda lebih besar daripada diameter matahari. Jika UY Scuti berada di kedudukan matahari, saiznya akan lebih besar daripada saiz orbit planet Musytari. Maksudnya, beberapa planet yang paling dekat dengan matahari, termasuk bumi, akan  berada di dalam bintang itu. Anggaran sebegitu mungkin dapat membantu kita memahami kata-kata Yeremia bahawa Tuhan Yehuwa menciptakan langit dan bumi, iaitu alam semesta, dengan kuasa-Nya yang menakjubkan.

Bagaimanakah kuasa Tuhan membantu kita? Nyawa kita bergantung pada ciptaan Tuhan, seperti matahari dan sumber-sumber bumi. Tuhan juga menggunakan kuasa-Nya untuk membantu manusia secara peribadi. Bagaimana? Pada abad pertama, Tuhan memberi Yesus kuasa untuk melakukan mukjizat. Bible menyatakan, “Orang buta dapat melihat, orang tempang dapat berjalan, pesakit kusta disembuhkan, orang tuli dapat mendengar, orang mati dibangkitkan.” (Matius 11:5) Bagaimana pula dengan hari ini? Bible menyatakan, “Dia menguatkan orang yang lelah,” dan “orang yang berharap kepada Yehuwa akan dikuatkan semula.” (Yesaya 40:29, 31) Tuhan dapat memberi kita “kuasa luar biasa” agar kita mampu menghadapi cabaran dan kesusahan dengan tabah. (2 Korintus 4:7) Tidakkah anda ingin bersahabat dengan Tuhan yang begitu mengasihi kita dan sanggup menggunakan kuasa-Nya yang besar untuk membantu kita?

TUHAN ITU BIJAKSANA

“Betapa banyaknya perbuatan-Mu, ya Yehuwa! Engkau telah menciptakan semuanya dengan bijaksana.”MAZMUR 104:24.

Setiap kali kita mengkaji ciptaan Tuhan, kita berasa kagum akan kebijaksanaan-Nya. Terdapat satu bidang yang dipanggil biomimetik, yang mengkaji ciptaan Yehuwa dan meniru rekaan alam semula jadi untuk meningkatkan kecekapan barang buatan manusia, daripada benda kecil seperti kanta kamera sehingga benda besar seperti kapal terbang.

Mata manusia merupakan rekaan yang sungguh menakjubkan

Kebijaksanaan Tuhan paling terserlah melalui tubuh manusia. Contohnya, fikirkan proses pertumbuhan bayi. Satu sel yang disenyawakan, yang mengandungi semua maklumat genetik, mula-mulanya dibahagi kepada banyak sel yang serupa. Tetapi pada masa yang tepat, sel-sel itu mula tergolong kepada sekitar 200 jenis sel, seperti sel darah, saraf, dan tulang. Tidak lama kemudian, sistem organ terbentuk dan mula berfungsi. Dalam sembilan bulan sahaja, sel yang asal itu telah menjadi seorang bayi yang mempunyai berbilion-bilion sel. Kebijaksanaan di sebalik rekaan itu telah membuat ramai orang bersetuju dengan kata-kata penulis Bible: “Aku memuji-Mu kerana Engkau menciptakan aku dengan baik dan luar biasa.”​—Mazmur 139:14.

Bagaimanakah kebijaksanaan Tuhan membantu kita? Pencipta kita yang maha bijaksana mengetahui cara kita dapat hidup bahagia, dan Dia memberi kita nasihat yang berguna melalui Firman-Nya Bible. Contohnya, kita diajar, “Teruslah . . . mengampuni dengan rela hati.” (Kolose 3:13) Adakah nasihat itu bijak? Ya. Para doktor mendapati bahawa sikap rela mengampuni dapat meningkatkan mutu tidur dan mengurangkan tekanan darah. Sikap itu juga mengurangkan risiko  masalah kemurungan dan masalah kesihatan yang lain. Seperti seorang sahabat yang bijak dan penyayang, Tuhan sentiasa memberi kita nasihat yang bermanfaat. (2 Timotius 3:16, 17) Inginkah anda memiliki sahabat sebegini?

TUHAN ITU ADIL

“Yehuwa mencintai keadilan.”MAZMUR 37:28.

Tuhan selalu melakukan hal yang benar. “Mustahil bagi Tuhan yang benar untuk melakukan hal yang jahat; Dia Yang Maha Kuasa pasti tidak akan berbuat salah!” (Ayub 34:10) Penulis mazmur mengatakan bahawa Yehuwa “akan menghakimi orang dengan adil.” (Mazmur 67:4) Oleh sebab “Yehuwa melihat hati orang,” tiada sesiapa pun yang dapat menipu-Nya. (1 Samuel 16:7) Tuhan sentiasa mengetahui hal yang sebenar, dan keputusan-Nya sentiasa tepat dan saksama. Tambahan lagi, Dia tahu benar semua ketidakadilan dan penyelewengan yang terjadi, dan Dia berjanji bahawa tidak lama lagi, “orang jahat akan dilenyapkan dari bumi.”​—Amsal 2:22.

Namun, Tuhan bukanlah hakim yang tegas, yang mencari peluang untuk menjatuhkan hukuman. Bible menyatakan, “Yehuwa penuh rahmat dan belas kasihan.” Jika orang yang jahat bertaubat dengan ikhlas, Tuhan juga akan berbelas kasihan terhadap mereka. Bukankah itu keadilan yang sejati?​—Mazmur 103:8; 2 Petrus 3:9.

Bagaimanakah keadilan Tuhan membantu kita? Rasul Petrus berkata, “Tuhan tidak berat sebelah. Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.” (Kisah 10:34, 35) Oleh sebab Tuhan tidak berat sebelah atau pilih kasih, kita boleh mendapat perkenan-Nya dan menyembah-Nya tidak kira bangsa, kaum, kedudukan, atau tahap pendidikan kita.

Tuhan tidak berat sebelah. Kita dapat menerima berkat-Nya tanpa mengira bangsa atau kedudukan kita

Tuhan ingin kita memahami dan mendapat manfaat daripada keadilan-Nya. Oleh itu Dia mengurniai kita hati nurani. Ayat Bible menggambarkan hati nurani sebagai hukum yang ‘tertulis dalam hati kita,’ yang “menjadi saksi” sama ada  perbuatan kita betul atau salah. (Roma 2:15) Apakah manfaat memiliki hati nurani? Hati nurani yang terlatih dapat menjauhkan kita daripada perbuatan yang jahat atau tidak adil. Jika kita berbuat silap, hati nurani akan menggerakkan kita untuk bertaubat dan membetulkan kesalahan sendiri. Ya, memahami keadilan Tuhan itu bermanfaat dan mendekatkan kita kepada-Nya!

TUHAN ITU KASIH

“Tuhan itu kasih.”1 YOHANES 4:8.

Tuhan menunjukkan kuasa, kebijaksanaan, dan keadilan, tetapi Bible tidak mengatakan bahawa Tuhan itu kuasa, kebijaksanaan, atau keadilan. Sebaliknya, Bible menyatakan bahawa Tuhan itu kasih. Mengapa? Kuasa Tuhan membolehkan-Nya bertindak, manakala keadilan dan kebijaksanaan-Nya membimbing tindakan-Nya. Tetapi kasih Yehuwa mendorong-Nya untuk bertindak. Kasih merupakan dasar segala perbuatan Yehuwa.

Meskipun Yehuwa tidak kekurangan apa-apa, kasih mendorong-Nya untuk menciptakan makhluk di syurga dan di bumi, yang dapat hidup bahagia di bawah kasih dan jagaan-Nya. Dia mempersiapkan bumi dengan teliti supaya menjadi kediaman yang sempurna untuk manusia yang diciptakan-Nya. Sampai hari ini, kasih-Nya terus diperlihatkan. “Dia membuat matahari terbit untuk orang jahat dan orang baik, dan membuat hujan turun untuk orang baik dan orang jahat.”​—Matius 5:45.

Yehuwa juga “berbelas kasihan dan mempunyai kasih yang mendalam.” (Yakobus 5:11) Tuhan menyayangi setiap orang yang berusaha mengenali dan menghampiri-Nya. Ya, “Dia mengambil berat tentang kamu.”​1 Petrus 5:7.

Bagaimanakah kasih Tuhan membantu kita? Kita kagum dengan keindahan langit senja, tersenyum semasa mendengar suara bayi ketawa, dan berasa puas ketika dikasihi sanak keluarga. Semua itu bukan keperluan hidup, tetapi mampu memperkaya kehidupan kita.

Doa merupakan satu lagi bukti akan kasih Tuhan. Bible menggesa kita, “Janganlah khuatir akan apa-apa pun. Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan melalui doa dan rayuan yang disertai ucapan syukur.” Yehuwa, Bapa kita yang penyayang, ingin mendengar isi hati dan kekhuatiran kita, dan Dia berjanji untuk memberi kita “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.”​—Filipi 4:6, 7.

Setelah membincangkan kuasa, kebijaksanaan, keadilan, dan kasih Tuhan, adakah anda mengenali Tuhan dengan lebih baik? Kami menjemput anda untuk terus mengenali-Nya dengan mempelajari hal-hal yang pernah dan yang akan dilakukan-Nya demi manfaat anda.

APAKAH SIFAT-SIFAT TUHAN? Yehuwa lebih berkuasa, bijaksana, dan adil daripada sesiapa pun. Tetapi kasih ialah sifat-Nya yang paling menawan hati