Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mengajarkan Kebenaran

Mengajarkan Kebenaran

“Ya Yehuwa, . . . segala firman-Mu benar.”—MZM. 119:159, 160.

LAGU: 29, 53

1, 2. (a) Apakah kerja yang menjadi tumpuan utama Yesus? Mengapa? (b) Apakah yang mesti kita lakukan untuk menjadi “rakan sekerja Tuhan” yang cekap?

YESUS KRISTUS pernah menjadi tukang kayu sebelum menjadi penginjil. (Mrk. 6:3; Rm. 15:8) Dia melakukan kedua-dua pekerjaan itu dengan sempurna sekali. Dalam kerja kayu, dia menguasai penggunaan peralatannya dan menghasilkan barang yang berguna. Dalam kerja penyebaran, dia menggunakan pengetahuannya yang luas tentang Ayat-Ayat Suci untuk membantu orang mengenali kebenaran. (Mat. 7:28; Luk. 24:32, 45) Pada usia 30 tahun, Yesus berhenti menjadi tukang kayu kerana dia tahu bahawa tugas sebagai penginjil jauh lebih penting. Dia berkata bahawa salah satu sebab dia diutus ke bumi adalah untuk mengkhabarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. (Mat. 20:28; Luk. 3:23; 4:43) Yesus memusatkan kehidupannya kepada kerja itu, dan dia ingin orang lain berbuat demikian juga.​—Mat. 9:35-38.

2 Kita mungkin bukan tukang kayu, tetapi kita ialah penginjil. Kerja penyebaran begitu penting sehingga melibatkan Tuhan, justeru menjadikan kita “rakan sekerja Tuhan.” (1 Kor. 3:9; 2 Kor. 6:4) Kita tahu bahawa “segala firman [Yehuwa] benar.” (Mzm. 119:159, 160) Oleh itu, kita ingin sentiasa “mengajar dan menjelaskan firman yang benar dengan baik.” (Baca 2 Timotius 2:15.) Untuk berbuat demikian, kita terus mengasah kemahiran kita  dalam menggunakan Bible, alat utama untuk mengajarkan kebenaran tentang Yehuwa, Yesus, dan Kerajaan Tuhan. Organisasi Yehuwa juga menyediakan alat-alat lain, yang dipanggil Bahan Utama untuk Mengajar. Untuk berjaya dalam kerja penyebaran, kita harus tahu cara menggunakannya.

3. Apakah tumpuan kita semasa memberikan kesaksian? Menurut Kisah 13:48, siapakah yang ingin kita cari?

3 Mengapakah alat-alat itu dipanggil Bahan Utama untuk Mengajar, bukannya Bahan Utama untuk Menginjil? “Menginjil” bermaksud menyebarkan suatu mesej, tetapi “mengajar” bermaksud menanamkan mesej itu dalam minda dan hati seseorang, supaya dia terdorong untuk bertindak. Memandangkan kita tidak mempunyai banyak masa lagi, tumpuan kita adalah untuk memulakan pembelajaran Bible dan mengajarkan kebenaran. Maksudnya, kita perlu giat mencari orang yang “memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal,” dan membantu mereka menyembah Yehuwa.​—Baca Kisah 13:44-48.

4. Bagaimanakah kita dapat menemui orang yang “memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal”?

4 Bagaimanakah kita dapat menemui orang yang “memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal”? Bagi orang Kristian abad pertama, satu-satunya cara adalah dengan memberikan kesaksian. Yesus memberitahu mereka, “Semasa kamu pergi ke mana-mana kota atau pekan, carilah orang yang layak.” (Mat. 10:11) Itulah yang perlu kita lakukan. Sudah pasti, kita tidak mengharapkan orang yang sombong, tidak ikhlas, atau yang tidak peduli tentang Tuhan, untuk menyambut berita baik. Kita ingin mencari orang yang jujur, rendah hati, dan yang mendahagakan kebenaran. Semasa Yesus menjadi tukang kayu, dia perlu mencari kayu yang sesuai untuk membuat perabot, pintu, kuk, atau benda lain. Setelah menemui bahan yang betul, barulah dia dapat menggunakan peralatan dan kemahirannya untuk menghasilkan barang yang diinginkan. Begitu juga, kita perlu mencari orang yang berhati jujur dahulu, barulah kita dapat menggunakan peralatan dan kemahiran kita untuk membantu mereka menjadi murid Yesus.​—Mat. 28:19, 20.

5. Apakah yang perlu kita ketahui tentang alat-alat dalam “Bahan Utama untuk Mengajar”? Jelaskan dengan menggunakan contoh. (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

5 Setiap alat mempunyai fungsi tersendiri. Semasa Yesus membuat kerja kayu, dia memerlukan pengukur dan penanda, alat untuk memotong, menggerudi, mengetam, dan mengikir, serta alat untuk mencantum dan memastikan setiap bahagian kayu dipasang dengan rata. * Begitu juga, setiap alat dalam “Bahan Utama untuk Mengajar” mempunyai tujuan tersendiri. Marilah kita belajar cara untuk menggunakan alat-alat yang penting ini.

ALAT UNTUK MEMPERKENALKAN KITA

6, 7. (a) Bagaimanakah anda pernah menggunakan kad jw.org? (b) Apakah dua tujuan surat jemputan sidang?

6 Kad jw.org. Alat yang kecil ini berguna untuk memperkenalkan diri kita dan menghalakan perhatian orang kepada jw.org supaya mereka dapat lebih mengenali kita dengan lebih baik dan memohon pembelajaran Bible. Setakat ini, lebih daripada 400,000 permohonan telah diterima, dan ratusan lagi diterima setiap hari! Bawalah beberapa keping kad ini supaya anda dapat memberikan kesaksian semasa melakukan kegiatan seharian.

 7 Surat Jemputan. Surat jemputan sidang mempunyai dua tujuan. Setelah menyatakan, “Anda dijemput untuk belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa,” pembaca diberi pilihan sama ada untuk belajar “di perjumpaan kami” atau “dengan pengajar Bible.” Maka, alat ini bukan sahaja memperkenalkan kita tetapi juga menjemput orang yang “sedar akan keperluan rohani mereka” untuk mempelajari Bible bersama kita. (Mat. 5:3) Sudah tentu, orang yang tidak ingin menerima pembelajaran Bible pun dialu-alukan ke perjumpaan kita. Semasa perjumpaan, mereka akan melihat betapa baiknya pendidikan Bible yang kita tawarkan.

8. Mengapakah orang lain perlu menghadiri perjumpaan kita sekurang-kurangnya sekali? Berikan contoh.

8 Amat penting untuk terus menjemput orang agar menghadiri perjumpaan kita sekurang-kurangnya sekali. Mengapa? Di perjumpaan, mereka dapat melihat perbezaan antara jamuan rohani kita dengan kebuluran rohani di Babilon Besar. (Yes. 65:13) Ray dan Linda dari Amerika Syarikat telah memperhatikan perbezaan itu. Beberapa tahun lalu, pasangan tersebut memutuskan bahawa mereka perlu pergi ke gereja. Mereka percaya kepada Tuhan dan sedar akan keperluan rohani sendiri, maka mereka mula melawat semua gereja di kota mereka. Dari awal lagi, mereka memutuskan bahawa mereka ingin menyertai gereja yang memenuhi dua syarat berikut: Pertama, mereka harus dapat belajar sesuatu, dan kedua, ahli gereja itu mesti kelihatan seperti orang yang mewakili Tuhan. Selepas beberapa tahun, mereka telah pergi ke setiap gereja, tetapi mereka sangat kecewa, kerana mereka tidak belajar apa-apa, dan penampilan orang di gereja juga tidak sopan. Selepas meninggalkan gereja terakhir dalam senarai panjang mereka, Linda pergi bekerja dan Ray pulang ke rumah. Dalam perjalanannya, Ray nampak sebuah Dewan Perjumpaan lalu berfikir, “Biar saya lihat apa yang berlaku di dalam.” Dia tidak pernah merasai pengalaman yang begitu baik! Semua orang di situ berpakaian kemas dan ramah mesra. Ray duduk di baris depan dan suka akan apa yang dipelajarinya! Reaksi Ray sama dengan gambaran Paulus tentang seorang yang menghadiri perjumpaan buat kali pertama lalu berkata, “Tuhan benar-benar ada dalam kalangan kamu.” (1 Kor. 14:23-25) Selepas itu, Ray menghadiri setiap perjumpaan hari Ahad. Kemudian, dia juga menyertai setiap perjumpaan pertengahan minggu. Linda juga mula menghadiri perjumpaan, dan pasangan itu telah menerima pembelajaran Bible semasa berusia 70-an lalu dibaptis.

ALAT UNTUK MEMULAKAN PERBUALAN

9, 10. (a) Mengapakah risalah kita mudah digunakan? (b) Jelaskan cara menggunakan risalah Apa Itu Kerajaan Tuhan?

9 Risalah. Kita mempunyai lapan risalah yang sangat berguna untuk memulakan perbualan. Sejak diterbitkan pada tahun 2013, kira-kira lima bilion helai risalah itu telah dicetak! Semua risalah itu mempunyai format yang sama. Jadi jika anda belajar cara menggunakan salah satu risalah, anda akan dapat menggunakan semua risalah yang lain. Bagaimanakah anda dapat menggunakan risalah untuk memulakan perbualan?

10 Anda boleh mencuba risalah Apa Itu Kerajaan Tuhan? Tunjukkan soalan di depan risalah kepada seseorang dan tanyalah dia, “Pernahkah anda fikir apa itu Kerajaan Tuhan? Adakah anda menjawab . . . ?” Kemudian, biarlah dia memilih salah satu daripada tiga jawapan di situ. Daripada memberitahunya bahawa jawapannya betul atau salah, bukalah bahagian “Jawapan Bible” dan bacakan ayat-ayat yang tertera, iaitu Daniel 2:44 dan Yesaya 9:6. Pada akhir perbualan,  sediakan asas untuk perbincangan seterusnya dengan menanyakan soalan di bahagian “Cuba Fikirkan”: “Apakah keadaan hidup di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan?” Semasa anda berjumpa dengannya lagi, anda boleh menghalakan perhatiannya kepada pelajaran 7 dalam brosur Berita Baik daripada Tuhan!, iaitu salah satu alat kita untuk memulakan pembelajaran Bible.

ALAT YANG MENCETUSKAN MINAT

11. Apakah tujuan majalah-majalah kita? Namun, apakah yang perlu kita tahu?

11 Majalah. Menara Pengawal dan Sedarlah! merupakan majalah yang diterjemahkan kepada paling banyak bahasa dan yang paling banyak diterbitkan di dunia! Orang yang membaca majalah-majalah itu tinggal di serata dunia, maka topik-topik yang menarik minat orang di pelbagai tempat digunakan pada muka majalah. Kita patut menggunakan alat-alat ini untuk membangkitkan minat orang terhadap hal yang terpenting dalam kehidupan sekarang. Namun, sebelum itu, kita perlu tahu pembaca sasaran bagi setiap majalah.

12. (a) Siapakah pembaca sasaran majalah Sedarlah!, dan apakah matlamat majalah ini? (b) Apakah pengalaman baik yang anda nikmati baru-baru ini semasa menggunakan majalah ini?

12 Sedarlah! ditujukan kepada pembaca yang kurang atau langsung tidak mengenali Bible. Mereka mungkin tidak mengetahui ajaran Kristian, tidak mempercayai hal agama, atau tidak sedar betapa bergunanya nasihat Bible. Matlamat utama Sedarlah! adalah untuk meyakinkan pembaca bahawa Tuhan wujud. (Rm. 1:20; Ibr. 11:6) Majalah ini juga bertujuan membantu pembaca percaya bahawa Bible “benar-benar daripada Tuhan.” (1 Tes. 2:13) Tiga terbitan bagi tahun 2018 berjudul: “Jalan yang Menuju Kebahagiaan,” “12 Rahsia Keluarga yang Bahagia,” dan “Bantuan untuk Orang yang Berkabung.”

13. (a) Menara Pengawal edisi umum disediakan untuk siapa? (b) Apakah pengalaman baik yang anda nikmati baru-baru ini semasa menggunakan majalah ini?

13 Menara Pengawal edisi umum bertujuan menjelaskan hal rohani kepada orang yang menghormati Tuhan dan Bible. Mereka mungkin memiliki pengetahuan Bible, tetapi tidak memahami ajarannya dengan tepat. (Rm. 10:2; 1 Tim. 2:3, 4) Tiga terbitan bagi tahun 2018 membincangkan soalan: “Adakah Bible Sudah Ketinggalan Zaman?,” “Apakah Masa Depan Kita?,” dan “Adakah Tuhan Peduli tentang Anda?

ALAT YANG MEMBERIKAN DORONGAN

14. (a) Apakah tujuan empat video dalam Bahan Utama untuk Mengajar? (b) Apakah pengalaman baik yang anda nikmati baru-baru ini semasa menggunakan beberapa video ini?

14 Video. Pada zaman Yesus, peralatan tukang kayu semuanya menggunakan tenaga manusia, tetapi pada zaman ini, terdapat alat-alat elektrik, seperti gergaji, gerudi, penembak paku, dan sebagainya. Selain bahan bacaan bercetak, kita mempunyai empat video dalam Bahan Utama untuk Mengajar, iaitu: Mengapa Belajar Bible?, Apakah yang Berlaku semasa Pembelajaran Bible?, Apakah yang Berlaku di Dewan Perjumpaan?, dan Saksi-Saksi Yehuwa—Siapakah Kami? Video yang panjangnya kurang daripada dua minit boleh digunakan semasa kunjungan pertama, manakala video yang lebih panjang boleh digunakan semasa kunjungan kembali atau untuk mereka yang ada lebih banyak masa. Alat-alat ini dapat mendorong orang untuk mempelajari Bible dan menghadiri perjumpaan.

15. Ceritakan kesannya apabila seseorang menonton video kita dalam bahasa sendiri.

15 Fikirkan pengalaman ini: Seorang saudari berjumpa dengan seorang wanita dari Micronesia yang berbahasa Yap. Semasa saudari kita memainkan video Mengapa Belajar  Bible? dalam bahasanya, wanita itu berkata, “Ini bahasa saya. Saya tidak percaya! Ini loghat dari pulau saya! Dia menuturkan bahasa saya!” Selepas itu, wanita tersebut berkata bahawa dia akan membaca dan menonton semua bahan di jw.org dalam bahasanya. (Bandingkan Kisah 2:8, 11.) Terdapat satu lagi pengalaman: Seorang saudari di Amerika Syarikat menghantar pautan untuk video yang sama kepada anak buahnya. Setelah menonton video itu dalam bahasa sendiri, anak buah itu menulis e-mel berikut kepada saudari itu: “Saya tertarik dengan bahagian tentang kuasa jahat yang mengawal dunia. Saya sudah memohon pembelajaran Bible.” Anak buah itu sebenarnya tinggal di negara yang menyekat kerja kita!

ALAT UNTUK MENGAJARKAN KEBENARAN

16. Jelaskan tujuan brosur-brosur berikut: (a) Dengarlah Cakap Tuhan dan Hidup Selama-lamanya. (b) Berita Baik daripada Tuhan! (c) Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?

16 Brosur. Bagaimanakah anda dapat mengajar seseorang yang kurang mahir membaca atau yang tidak memiliki bahan bacaan dalam bahasanya? Gunakan brosur Dengarlah Cakap Tuhan dan Hidup Selama-lamanya. * Brosur Berita Baik daripada Tuhan! merupakan alat yang berkesan untuk memulakan pembelajaran Bible. Terdapat 14 topik di belakang brosur itu. Anda boleh membiarkan pendengar memilih topik yang paling menarik minatnya, dan mula membincangkan pelajaran itu. Pernahkah anda mencuba kaedah ini semasa kunjungan kembali? Brosur Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa? pula bertujuan membantu pelajar mengenali organisasi kita. Untuk mengetahui cara menggunakannya pada setiap pembelajaran, lihat Lembaran Kerja terbitan Mac 2017.

17. (a) Apakah tujuan setiap buku pembelajaran? (b) Apakah yang perlu dilakukan oleh semua orang yang dibaptis, dan mengapa?

17 Buku. Selepas menggunakan brosur untuk memulakan pembelajaran, anda boleh beralih kepada buku Apakah yang Diajarkan Bible? pada bila-bila masa. Alat itu akan memperdalam pengetahuan pelajar tentang ajaran asas Bible. Jika pelajar terus membuat kemajuan setelah habis mempelajari buku itu, gunakan buku Bernaunglah Di Bawah Kasih Tuhan untuk mengajarnya cara menerapkan prinsip Bible dalam kehidupan seharian. Ingatlah, seseorang perlu habis mempelajari kedua-dua buku itu, bahkan selepas dibaptis, supaya dia memiliki asas yang kukuh dalam kebenaran.​—Baca Kolose 2:6, 7.

18. (a) Menurut 1 Timotius 4:16, apakah yang perlu kita lakukan sebagai pengajar kebenaran? Apakah hasilnya? (b) Apakah matlamat kita semasa menggunakan Bahan Utama untuk Mengajar?

18 Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kita diamanahkan “perkhabaran tentang kebenaran berita baik” yang membawa kehidupan kekal. (Kol. 1:5; baca 1 Timotius 4:16.) Kita juga diberi Bahan Utama untuk Mengajar yang serba lengkap. (Lihat “ Bahan Utama untuk Mengajar.”) Maka, gunakanlah semua alat itu dengan sebaik-baiknya. Setiap penyiar boleh memilih alat yang ingin digunakan dan masa untuk memperkenalkannya. Namun, matlamat kita bukan untuk mengedarkan bahan bacaan sahaja, dan kita tidak patut memberikan bahan bacaan kepada orang yang tidak berminat. Tujuan kita adalah untuk mencari orang yang jujur, rendah hati, dan yang mendahagakan kebenaran, iaitu orang yang “memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal,” dan membantu mereka menjadi murid Yesus.​—Kis. 13:48; Mat. 28:19, 20.

^ per. 5 Lihat rencana “Tukang Kayu” dan “Kotak Peralatan Tukang Kayu” dalam Menara Pengawal terbitan 1 Ogos 2010 dalam bahasa Indonesia.

^ per. 16 Jika orang itu buta huruf, anda boleh memberinya brosur Dengarlah Cakap Tuhan, yang mengandungi banyak gambar.