Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bercakap Benar

Bercakap Benar

“Hendaklah kamu bercakap benar dengan satu sama lain.”​—ZA. 8:16.

LAGU: 56, 124

1, 2. Ciptaan apakah yang membawa paling banyak kesusahan kepada manusia? Siapakah yang menciptakannya?

TELEFON, mentol, kereta, dan peti sejuk, merupakan sesetengah ciptaan yang meningkatkan mutu hidup. Ciptaan lain pula membahayakan nyawa, seperti pistol, periuk api, rokok, dan bom atom. Namun, terdapat sesuatu yang diciptakan jauh lebih awal lagi dan yang paling memudaratkan, iaitu dusta! Berdusta, atau berbohong, bermaksud mengatakan sesuatu yang diketahui tidak benar untuk memperdaya orang lain. Siapakah pencipta dusta? Yesus Kristus berkata bahawa “Si Iblis” ialah “bapa segala dusta.” (Baca Yohanes 8:44.) Bilakah dia mengucapkan dusta pertama?

2 Beribu-ribu tahun lalu, semasa Adam dan Hawa hidup bahagia di Firdaus yang dikurniai Yehuwa, Si Iblis telah bertindak. Dia tahu Tuhan telah berfirman bahawa jika mereka makan buah daripada “pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat,” mereka akan mati. Meskipun begitu, Syaitan menggunakan seekor ular untuk memberitahu Hawa, “Kamu pasti tidak akan mati [dusta pertama dalam sejarah]. Tuhan berfirman demikian kerana Dia tahu bahawa jika kamu memakan buah itu, pada hari itu juga mata kamu akan terbuka. Kamu akan menjadi seperti Tuhan dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.”​—Kej. 2:15-17; 3:1-5.

3. Mengapakah kita berkata bahawa dusta Syaitan bertujuan mencelakakan manusia? Apakah akibatnya?

 3 Dusta Syaitan bertujuan mencelakakan manusia. Dia tahu benar bahawa sekiranya dia berjaya memujuk Hawa untuk makan buah larangan, Hawa pasti mati. Akhirnya, Hawa dan Adam melanggar perintah Yehuwa dan mati. (Kej. 3:6; 5:5) Akibat dosa mereka, “kematian tersebar kepada semua orang” dan “memerintah sebagai raja,” bahkan atas orang yang tidak melakukan dosa yang dilakukan Adam. (Rm. 5:12, 14) Itulah sebabnya manusia tidak dapat hidup sempurna dan kekal, seperti yang dikehendaki Tuhan pada mulanya. ‘Usia kita hanya 70 tahun, atau 80 tahun jika kita sangat kuat,’ dan hidup kita “sarat dengan kesusahan dan kesedihan.” (Mzm. 90:10) Semua itu terjadi gara-gara dusta Syaitan!

4. (a) Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab? (b) Menurut Mazmur 15:1, 2, siapakah yang dapat menjadi sahabat Yehuwa?

4 Yesus menjelaskan bahawa Si Iblis “tidak berpegang teguh pada kebenaran kerana kebenaran tidak ada dalam dirinya.” Hari ini, kebenaran masih tidak ada dalam diri Syaitan. Dia terus “menyesatkan seluruh dunia” dengan dustanya. (Why. 12:9) Kita tidak mahu menjadi mangsanya. Maka mari kita membincangkan tiga soalan ini: Bagaimanakah Syaitan menyesatkan manusia? Mengapakah orang sering berdusta? Bagaimanakah kita dapat sentiasa “bercakap benar” supaya kita tidak kehilangan persahabatan kita dengan Yehuwa, seperti yang terjadi kepada Adam dan Hawa?​—Baca Mazmur 15:1, 2, nota kaki.

CARA SYAITAN MENYESATKAN MANUSIA

5. Bagaimanakah Syaitan menyesatkan manusia hari ini?

5 Rasul Paulus tahu bahawa kita dapat mengelak daripada diperdaya oleh Syaitan, “kerana kita bukannya tidak mengetahui muslihatnya,” atau niatnya. (2 Kor. 2:11) Kita tahu bahawa seluruh dunia, termasuk agama palsu, kerajaan yang menyeleweng, dan perdagangan yang tamak, semuanya dikawal Iblis. (1 Yoh. 5:19) Maka, tidak hairanlah Syaitan dan roh-roh jahat dapat menggerakkan orang yang berkuasa untuk berdusta. (1 Tim. 4:1, 2) Misalnya, dunia perdagangan sering menggunakan iklan untuk memperdaya pengguna agar membeli produk yang bermasalah atau menyertai skim penipuan.

6, 7. (a) Mengapakah para pemimpin agama yang berdusta menanggung dosa yang besar? (b) Apakah sesetengah dusta mereka yang pernah anda dengar?

6 Pemimpin agama yang berdusta menanggung dosa yang besar kerana ajaran mereka mengancam masa depan orang lain. Sesiapa yang menerima ajaran palsu mereka dan melakukan perbuatan yang dibenci Tuhan mungkin kehilangan peluang untuk hidup kekal. (Hos. 4:9) Yesus tahu bahawa para pemimpin agama pada zamannya menyesatkan orang, maka dia memberitahu mereka dengan berani, “Alangkah malangnya kamu, jurutulis hukum dan orang Farisi! Kamu orang yang bermuka dua! Kamu menyeberangi laut dan menjelajah darat untuk menjadikan seseorang pemeluk agama kamu. Tetapi apabila dia memeluk agama kamu, kamu menjadikan dia lebih berdosa daripada kamu dan patut dibuang dalam Gehena [pembinasaan kekal].” (Mat. 23:15, nota kaki) Yesus mengutuk para pemimpin agama itu dengan seberat-beratnya. Mereka memang berasal daripada ‘bapa mereka, Si Iblis,’ yang merupakan pembunuh.​—Yoh. 8:44.

7 Dunia kita dipenuhi pemimpin agama yang menggunakan pelbagai gelaran seperti pastor, imam, dan sebagainya. Seperti pemimpin agama palsu abad pertama, mereka “menghalang orang daripada mengetahui  kebenaran” dan “menggantikan kebenaran Tuhan dengan dusta.” (Rm. 1:18, 25) Mereka menyebarkan ajaran seperti “sekali selamat, tetap selamat,” roh orang mati, kelahiran semula, dan mendukung fahaman bahawa Tuhan menerima gaya hidup atau perkahwinan sejenis.

8. Apakah dusta yang bakal diucapkan para pemimpin politik tidak lama lagi? Apakah seharusnya reaksi kita?

8 Manusia juga disesatkan oleh tipu daya pemimpin politik. Salah satu dusta terbesar yang bakal diucapkan mereka ialah pengisytiharan bahawa “semuanya damai dan selamat!” Tetapi “kebinasaan akan tiba-tiba menimpa mereka.” Maka, janganlah kita ditipu sehingga mengetepikan fakta bahawa sistem dunia ini bagaikan telur di hujung tanduk! Hakikatnya, kita “tahu benar bahawa hari Yehuwa akan datang seperti pencuri datang pada waktu malam.”​—1 Tes. 5:1-4.

SEBABNYA ORANG SERING BERDUSTA

9, 10. (a) Mengapakah orang berdusta? Apakah kesannya? (b) Apakah yang harus kita ingat tentang Yehuwa?

9 Produk baharu yang menjadi popular akan dikilangkan secara besar-besaran. Begitu juga dengan dusta. Rencana “Sebabnya Kita Berbohong” dalam majalah National Geographic menyatakan, “Berbohong telah diakui sebagai salah satu ciri manusia yang berurat berakar.” Maksudnya, amalan menipu telah menjangkiti semua lapisan masyarakat, bukan sahaja orang yang berpengaruh. Manusia sering berbohong untuk melindungi atau menonjolkan diri, untuk menutupi kesilapan dan perbuatan jahat sendiri, atau untuk mendapat keuntungan, contohnya dari segi kewangan. Rencana itu turut menjelaskan bahawa terdapat orang yang berbohong dengan mudah “kepada orang yang tidak dikenali, rakan kerja, sahabat, dan orang tersayang.”

10 Penipuan yang menular ini mampu menghilangkan kepercayaan dan meretakkan hubungan yang baik. Bayangkan perasaan seorang suami yang setia ketika mendapat tahu bahawa isterinya telah berlaku curang dan mencuba menutupi perbuatannya. Atau bayangkan betapa buruknya apabila seorang lelaki nampaknya seperti bapa dan suami yang penyayang di khalayak ramai, tetapi sebenarnya mendera anak isterinya. Namun, ingatlah bahawa orang sebegini tidak dapat mengelabui mata Yehuwa, kerana “segala sesuatu jelas kelihatan dan terdedah di mata-Nya.”​—Ibr. 4:13.

11. Apakah yang kita pelajari daripada contoh buruk Ananias dan Safira? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

11 Sebagai contoh, Bible menyebut tentang Ananias dan Safira, sebuah pasangan Kristian yang dipengaruhi Syaitan sehingga berani berbohong kepada Tuhan. Setelah menjual harta mereka, Ananias dan Safira hanya memberikan sebahagian daripada hasil jualan kepada para rasul, tetapi berkata bahawa itulah semua wang yang diperoleh. Mereka mencuba memperdaya para rasul supaya kelihatan sangat murah hati. Namun, Yehuwa nampak perbuatan mereka lalu menghukum mereka.​—Kis. 5:1-10.

12. Apakah yang akan terjadi kepada pendusta yang enggan bertaubat? Mengapa?

12 Apakah perasaan Yehuwa terhadap pendusta? Sesiapa sahaja yang berdusta untuk mencelakakan orang lain dan yang enggan bertaubat akan “dilemparkan ke dalam tasik api” seperti Syaitan. (Why. 20:10; 21:8; Mzm. 5:6) Mengapa? Kerana di mata Yehuwa, para pembohong tergolong bersama orang “yang mengamalkan perbuatan yang menjijikan.”​—Why. 22:15, nota kaki.

13. Apakah yang kita tahu tentang Yehuwa? Bagaimanakah pengetahuan itu harus mendorong kita?

13 Kita tahu bahawa Yehuwa “bukan seperti  manusia yang suka berdusta.” Sebenarnya, “tidak mungkin Tuhan akan berdusta.” (Bil. 23:19; Ibr. 6:18) ‘Yehuwa benci lidah yang menipu.’ (Ams. 6:16, 17) Maka, untuk mendapat perkenan-Nya, kita tidak boleh “saling berdusta.”​—Kol. 3:9.

KITA “BERCAKAP BENAR”

14. (a) Apakah perbezaan antara orang Kristian sejati dengan penganut agama palsu? (b) Jelaskan prinsip di Lukas 6:45.

14 Apakah salah satu perbezaan antara orang Kristian sejati dengan penganut agama palsu? Kita “bercakap benar.” (Baca Zakharia 8:16, 17.) Paulus menjelaskan, ‘Kami menunjukkan bahawa kami ialah hamba Tuhan dengan bercakap benar.’ (2 Kor. 6:4, 7) Yesus berkata, “Apa yang melimpah dalam hati, itulah yang akan diucapkan oleh mulut.” (Luk. 6:45) Apabila seseorang jujur dalam hati, kata-katanya pun sentiasa jujur. Dia akan bercakap benar kepada orang yang tidak dikenali, rakan kerja, sahabat, dan orang tersayang. Perhatikan sesetengah cara kita dapat menunjukkan bahawa kita berusaha bersikap jujur dalam segala hal.

Adakah kehidupan saudari muda ini bermasalah? (Lihat perenggan 15, 16)

15. (a) Mengapakah hidup bermuka dua bukanlah tindakan yang bijak? (b) Bagaimanakah kaum muda dapat melawan tekanan rakan sebaya yang buruk? (Lihat nota kaki.)

15 Jika anda kaum muda yang ingin diterima oleh rakan sebaya, janganlah mengikut jejak sesetengah orang muda yang hidup bermuka dua. Mereka berkelakuan murni di depan ahli keluarga dan sidang, tetapi berubah menjadi orang lain semasa mendampingi muda-mudi duniawi atau di rangkaian sosial. Mereka menggunakan bahasa kesat, mengenakan pakaian yang menjolok mata, mendengar muzik yang buruk, mengambil dadah, mabuk, curi-curi berdating, dan melakukan hal-hal terkutuk yang lain. Mereka sebenarnya hidup dalam dusta dan menipu ibu bapa, rakan seiman, dan Tuhan. (Mzm. 26:4, 5) Yehuwa tahu apabila kita hanya ‘menghormati-Nya dengan bibir kita, tetapi hati kita jauh daripada-Nya.’ (Mrk. 7:6) Semoga kita mengikut nasihat ini: “Janganlah iri hati terhadap pendosa, tetapi takutlah akan Yehuwa senantiasa.”​—Ams. 23:17. *

16. Bagaimanakah kita dapat bercakap benar semasa mengisi permohonan untuk khidmat sepenuh masa?

16 Katakan anda ingin menjadi perintis biasa atau menyertai khidmat khas sepenuh masa seperti kerja Bethel. Semasa mengisi permohonan, anda patut  jujur sepenuhnya semasa menjawab soalan-soalan tentang kesihatan, hiburan, dan moral anda. (Ibr. 13:18) Bagaimana pula jika anda telah melakukan sesuatu yang najis atau yang mengganggu hati nurani anda, tetapi belum meminta bantuan penatua? Berjumpalah dengan mereka supaya anda dapat berkhidmat dengan hati nurani yang bersih.​—Rm. 9:1; Gal. 6:1.

17. Apakah yang harus kita buat semasa disoal oleh penentang mengenai rakan seiman kita?

17 Bagaimana pula jika aktiviti Saksi diharamkan di negara anda, dan anda disoal oleh pihak berkuasa tentang saudara saudari anda? Haruskah anda memberitahu mereka segala-galanya? Apakah yang dilakukan Yesus semasa disoal oleh gabenor Roma? Dia mengikut prinsip Bible “ada waktu untuk berdiam, dan ada waktu untuk bercakap,” maka dia ada kalanya berdiam diri sahaja! (Pkh. 3:1, 7; Mat. 27:11-14) Dalam situasi sebegini, gunakanlah pertimbangan yang baik supaya kita tidak membahayakan rakan seiman kita.​—Ams. 10:19; 11:12.

Bilakah anda akan berdiam diri atau menceritakan segala-galanya? (Lihat perenggan 17, 18)

18. Apakah tanggungjawab kita semasa ditanya oleh penatua tentang rakan seiman kita?

18 Jika anda tahu bahawa seorang ahli sidang terlibat dalam dosa serius, apakah yang harus anda lakukan? Penatua bertanggungjawab memelihara kebersihan moral sidang. Maka, mereka mungkin menanya anda tentang kejadian itu. Sekiranya orang yang terlibat itu ialah sahabat atau saudara-mara yang rapat dengan anda, apakah yang akan anda buat? “Saksi yang setia mengatakan apa yang benar.” (Ams. 12:17; 21:28) Maka, anda bertanggungjawab memberitahu penatua seluruh ceritanya tanpa mengurangkan atau mengubah mana-mana unsurnya. Penatua berhak mengetahui faktanya supaya mereka dapat menentukan cara yang terbaik untuk membantu pendosa membaiki hubungannya dengan Yehuwa.​—Yak. 5:14, 15.

19. Apakah yang akan kita pelajari dalam rencana seterusnya?

19 Daud berdoa kepada Yehuwa, “Engkau berkenan kepada orang yang tulus hati.” (Mzm. 51:6) Daud tahu bahawa kejujuran kita mesti berasal dari hati. Dalam setiap aspek kehidupan, orang Kristian sejati “bercakap benar dengan satu sama lain.” Satu lagi cara untuk menunjukkan bahawa hamba-hamba Tuhan memang berbeza adalah dengan mengajarkan kebenaran semasa menginjil. Rencana berikut akan menjelaskan cara untuk berbuat demikian.

^ per. 15 Lihat soalan 6, “Bagaimanakah Saya Dapat Melawan Tekanan Rakan Sebaya?” dalam brosur Jawapan kepada 10 Pertanyaan Kaum Muda dan bab 16, “Bermuka Dua​—Haruskah Aku Mengaku?” dalam buku “Pertanyaan Kaum Muda,” Jilid 2, bahasa Indonesia.