Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

1918​—Seratus Tahun yang Lalu

1918​—Seratus Tahun yang Lalu

“Apakah yang akan terjadi pada tahun 1918?” Demikianlah kata-kata pembukaan The Watch Tower terbitan 1 Januari 1918. Ketika itu, Perang Besar masih berlangsung di Eropah, tetapi peristiwa yang terjadi pada awal tahun itu nampaknya menandakan hal yang baik untuk Pelajar Bible dan manusia sejagat.

DUNIA BERCAKAP TENTANG KEDAMAIAN

Pada 8 Januari 1918, Presiden Woodrow Wilson telah mengusulkan 14 idea kepada Kongres A.S. yang dianggapnya penting untuk membawa “kedamaian yang stabil dan adil.” Dia mencadangkan diplomasi terbuka, pengurangan senjata, dan penubuhan “persatuan bangsa-bangsa” yang akan memberikan faedah kepada “negara yang besar mahupun yang kecil.” “Empat Belas Perkara” yang disebut Woodrow telah digunakan dalam pembentukan Liga Bangsa-Bangsa dan perundingan dalam Perjanjian Versailles, justeru menamatkan Perang Besar.

PARA PENENTANG DIKALAHKAN

Meskipun tahun sebelumnya dipenuhi kemelut, * peristiwa semasa mesyuarat tahunan Watch Tower Bible and Tract Society nampaknya menandakan bahawa Pelajar Bible bakal menikmati kedamaian.

Semasa mesyuarat itu, yang diadakan pada 5 Januari 1918, beberapa orang lelaki yang telah diusir dari Bethel cuba merampas tampuk pimpinan organisasi. Richard H. Barber, seorang penyelia lawatan yang setia, memulakan mesyuarat itu dengan doa. Selepas laporan tentang kegiatan tahun sebelumnya dibacakan, pengundian tahunan bagi ahli lembaga pengarah dijalankan. Saudara Barber mencalonkan Joseph Rutherford dan enam orang saudara lain. Kemudian seorang peguam yang memihak kepada para penentang telah mencalonkan tujuh orang, termasuk mereka yang diusir dari Bethel. Kebanyakan pemegang saham telah mengundi Saudara Rutherford dan enam orang saudara yang setia, manakala para penentang kalah teruk.

Ramai saudara yang menghadiri mesyuarat itu menyifatkannya sebagai pertemuan “yang paling diberkati.” Namun, kegembiraan mereka tidak bertahan lama.

REAKSI TERHADAP THE FINISHED MYSTERY

Selama berbulan-bulan, Pelajar Bible mengedarkan buku The Finished Mystery. Kebenaran Bible dalam buku itu telah disambut baik oleh para pembaca yang tulus ikhlas.

E. F. Crist, seorang penyelia lawatan di Kanada, menceritakan pengalaman sepasang suami isteri yang membaca The Finished Mystery dan menerima kebenaran dalam lima minggu sahaja! Dia berkata, “Mereka berdua berbakti sepenuhnya dan maju dengan baik.”

Seorang lelaki yang menerima buku itu segera mengongsi maklumatnya dengan kawan-kawan. Dia berkata, “Semasa saya berjalan di Third Avenue, ada sesuatu jatuh dan terkena bahu saya. Saya sangka itu bata, tetapi rupa-rupanya itu buku The Finished Mystery. Saya bawanya pulang dan  membaca seluruh buku itu. . . . Kemudian barulah saya tahu buku itu dibuang dari tingkap . . . oleh seorang penginjil yang mengamuk. . . . Saya percaya, tindakannya itu telah membantu lebih ramai orang untuk menerima harapan hidup kekal berbanding apa-apa usahanya sepanjang hidupnya. . . . Kerana kemarahan penginjil itu, kami dapat memuji Tuhan.”

Reaksi penginjil itu turut diperlihatkan oleh pihak berkuasa Kanada pada 12 Februari 1918. Buku itu telah diharamkan kerana didakwa mengandungi pernyataan berunsur hasutan dan antiperang. Tidak lama kemudian, kerajaan Amerika Syarikat juga berbuat demikian. Pegawai kerajaan telah menggeledah bangunan Bethel dan pejabat di New York, Pennsylvania, dan California, untuk mencari bukti bagi menuduh saudara-saudara yang memimpin organisasi. Pada 14 Mac 1918, Jabatan Kehakiman A.S. mengharamkan The Finished Mystery atas dakwaan bahawa penerbitan dan pengedaran buku itu menjejaskan peperangan dan melanggar Akta Pengintipan.

DIPENJARAKAN!

Pada 7 Mei 1918, Jabatan Kehakiman telah mengeluarkan waran tangkap bagi Giovanni DeCecca, George Fisher, Alexander Macmillan, Robert Martin, Frederick Robison, Joseph Rutherford, William Van Amburgh, dan Clayton Woodworth. Mereka dituduh “sengaja menggunakan cara yang haram, yang salah di sisi undang-undang, untuk membuat orang enggan taat setia dan menolak tugas dalam tentera darat dan laut Amerika Syarikat.” Biarpun perbicaraan mereka akan bermula pada 5 Jun 1918, nampaknya mereka pasti akan didapati bersalah. Mengapa?

Mereka dituduh melanggar Akta Pengintipan, sebuah akta yang digambarkan oleh peguam negara A.S. sebagai “senjata efektif untuk melawan propaganda.” Pada 16 Mei 1918, Kongres telah menolak pindaan yang bertujuan melindungi mereka yang menerbitkan “apa yang benar dengan motif yang baik dan untuk tujuan yang munasabah.” Buku The Finished Mystery telah menjadi sasaran perdebatan mereka. Catatan rasmi Kongres menyatakan, “Salah satu contoh yang paling berbahaya tentang propaganda sebegini ialah buku yang dipanggil ‘The Finished Mystery’ . . . Buku ini membuat askar tidak mempercayai perjuangan kita dan menyebabkan orang . . . menentang kerahan tentera.”

Pada 20 Jun 1918, pihak juri mendapati lapan orang saudara itu bersalah atas semua tuduhan. Hari berikutnya, hakim berkata, “Propaganda agama yang disebarkan defendan dengan bersungguh-sungguh . . . lebih berbahaya daripada unit Tentera Jerman. . . . Hukuman yang berat mesti diberikan.” Lapan orang saudara itu dijatuhkan hukuman penjara antara 10 dengan 20 tahun. Dua minggu kemudian, mereka memasuki Penjara Persekutuan di Atlanta, Georgia.

 KERJA PENYEBARAN DITERUSKAN

Sepanjang masa itu, Pelajar Bible ditentang sengit. Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah menyiasat kegiatan mereka dengan teliti lalu mencatatkan ribuan dokumen. Catatan FBI membuktikan bahawa saudara saudari kita bertekad untuk terus menginjil.

Dalam sepucuk surat kepada FBI, ketua pos di Orlando, Florida, menulis, “[Pelajar Bible] melawat rumah demi rumah, dan melakukannya pada waktu malam. . . . Nampaknya mereka ingin meneruskan kerja ini meskipun ditentang.”

Dalam laporannya kepada FBI tentang aktiviti Frederick W. Franz, yang kemudiannya menganggotai Badan Pimpinan, seorang kolonel di Jabatan Perang menulis, “F. W. Franz . . . terlibat secara aktif dalam penjualan beberapa ribu naskhah ‘Finished Mystery’.”

Charles Fekel, yang kemudiannya menjadi ahli Badan Pimpinan, dianiaya dengan teruk. Pihak berkuasa menangkapnya kerana mengedarkan buku The Finished Mystery. Dia dipenjarakan selama sebulan di Baltimore, Maryland, dilabel sebagai “musuh dari Austria,” dan semua suratnya dipantau. Semasa dia memberikan kesaksian dengan berani kepada para penyiasat, dia teringat kata-kata Paulus di 1 Korintus 9:16, “Malanglah aku jika aku tidak mengisytiharkan berita baik!”

Selain menginjil dengan gigih, para Pelajar Bible juga mengedarkan petisyen untuk membebaskan saudara-saudara yang dipenjarakan di Atlanta. Anna K. Gardner berkata, “Semasa para saudara dipenjarakan, kami pergi dari rumah ke rumah untuk meminta tandatangan. Beribu-ribu orang telah menandatangani petisyen itu! Kami memberitahu mereka bahawa saudara-saudara kami ialah orang Kristian sejati yang dipenjarakan dengan tidak adil.”

KONVENSYEN

Sepanjang masa yang mencabar itu, konvensyen diadakan secara kerap untuk meneguhkan kerohanian saudara saudari. The Watch Tower menyatakan, “Lebih daripada empat puluh konvensyen . . . telah diadakan dalam setahun . . . dan hasilnya sungguh memberangsangkan. Sebelum ini, semua konvensyen diadakan pada lewat musim panas atau awal musim luruh, tetapi sekarang konvensyen diadakan setiap bulan.”

Orang yang berhati jujur masih menyambut berita baik. Di sebuah konvensyen di Cleveland, Ohio, sekitar 1,200 orang telah hadir, dan 42 orang telah dibaptis, termasuk seorang budak lelaki yang “begitu beriman dan menghargai Tuhan, sehingga orang dewasa pun akan berasa malu terhadap diri sendiri.”

APAKAH YANG AKAN TERJADI NANTI?

Apabila tahun 1918 menutup tirainya, Pelajar Bible menghadapi masa depan yang tidak menentu. Sebilangan harta di Brooklyn telah dijual, dan ibu pejabat dipindahkan ke Pittsburgh, Pennsylvania. Ketika mereka yang mengambil pimpinan meringkuk di penjara, mesyuarat tahunan bagi para pemegang saham telah dijadualkan pada 4 Januari 1919. Apakah yang akan terjadi nanti?

Saudara saudari terus berusaha dengan semangat yang kental. Mereka begitu yakin bahawa mereka pasti berjaya, sehingga memilih Yesaya 54:17 sebagai ayat tahunan 1919: “Semua senjata yang dihasilkan untuk melawanmu akan menjadi tidak berguna.” Kini, mereka bersedia menyaksikan perubahan besar yang akan menguatkan iman mereka dan mempersiapkan mereka untuk tugas besar yang bakal dijalankan.

^ per. 6 Lihat “Seratus Tahun Yang Lalu​—1917” dalam “Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 2017,” muka surat 172-176, dalam bahasa Indonesia.