Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda Memiliki Pandangan Yehuwa tentang Keadilan?

Adakah Anda Memiliki Pandangan Yehuwa tentang Keadilan?

‘Aku akan memuji nama Yehuwa. Tuhan kita setia, tidak ada kecurangan pada-Nya.’​—UL. 32:3, 4.

LAGU: 5, 46

1, 2. (a) Apakah yang berlaku kepada Nabot dan anak-anaknya? (b) Apakah dua sifat yang akan kita kaji dalam rencana ini?

SEORANG lelaki dituduh melakukan kesalahan yang serius. Tuduhan itu tidak benar, tetapi atas keterangan dua orang penjahat, dia disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman mati. Bayangkan perasaan orang yang mencintai keadilan semasa melihat dia dan anak-anaknya dihukum mati. Itulah kisah benar yang terjadi kepada Nabot, penyembah setia Yehuwa yang hidup pada zaman Raja Ahab di Israel.​—1 Raj. 21:11-13; 2 Raj. 9:26.

2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan pengalaman Nabot dan kesilapan seorang penatua dalam sidang abad pertama. Dua contoh itu akan mengajar kita bahawa jika kita ingin memiliki pandangan Yehuwa dalam soal keadilan, kita mesti bersikap rendah hati dan sudi mengampuni.

KEADILAN DIPUTARBALIKKAN

3, 4. Siapakah Nabot? Mengapakah dia enggan menjual ladang anggurnya kepada Raja Ahab?

3 Nabot setia kepada Yehuwa meskipun kebanyakan orang  Israel pada masa itu mengikut contoh buruk Raja Ahab dan isterinya Izebel. Mereka menyembah Baal dan langsung tidak menghormati Yehuwa dan piawaian-Nya. Namun, Nabot begitu menghargai hubungannya dengan Yehuwa sehingga sanggup mengorbankan nyawanya.

4 Baca 1 Raja-Raja 21:1-3. Apabila Ahab memberitahu Nabot bahawa dia ingin membeli ladang anggurnya atau memberinya ladang anggur yang lebih baik sebagai ganti, Nabot menolak tawaran itu. Mengapa? Nabot berkata, ‘Ladang anggur ini pusaka nenek moyang hamba. Demi Yehuwa, hamba tidak boleh memberikannya kepada tuanku!’ Nabot menolak tawaran Ahab kerana dia mematuhi hukum Yehuwa yang menyatakan bahawa tanah warisan suku tidak boleh dijual untuk selama-lamanya. (Im. 25:23; Bil. 36:7) Jelaslah, Nabot memiliki pandangan Yehuwa.

5. Bagaimanakah Izebel merancang pembunuhan Nabot?

5 Setelah mendengar jawapan Nabot, Raja Ahab dan isterinya telah melakukan hal-hal yang sangat keji. Untuk merampas ladang Nabot, Izebel mengaturkan agar Nabot difitnah dan dihukum mati bersama anak-anaknya. Sungguh menyedihkan! Apakah yang akan dilakukan oleh Yehuwa untuk menegakkan keadilan?

PENGHAKIMAN TUHAN YANG ADIL

6, 7. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia mencintai keadilan? Mengapakah hal ini dapat membawa kelegaan kepada keluarga dan kawan-kawan Nabot?

6 Yehuwa segera mengutus Elia kepada Ahab. Elia memberitahu Ahab bahawa memandangkan dia itu pembunuh dan pencuri, Yehuwa telah berfirman bahawa kematian yang menimpa Nabot dan anak-anaknya juga akan menimpa Ahab, isterinya, dan anak-anaknya.​—1 Raj. 21:17-25.

7 Sahabat dan keluarga Nabot yang meratapi kematiannya pasti lega kerana Yehuwa mengetahui apa yang terjadi dan segera bertindak untuk menegakkan keadilan. Namun, kerendahan hati mereka dan keyakinan mereka kepada Yehuwa bakal diuji, kerana perkembangan seterusnya memang di luar jangkaan mereka.

8. Apakah reaksi Ahab terhadap penghakiman Yehuwa? Apakah hasilnya?

8 Apabila Ahab mendengar tentang penghakiman Yehuwa, dia “mengoyakkan pakaiannya. Baginda menanggalkan pakaian lalu memakai kain guni sebagai tanda penyesalan. Raja Ahab berpuasa, dan baginda beradu dengan berpakaian kain guni. Raja Ahab berjalan ke sana sini dengan muka yang muram dan berdukacita.” Semasa Ahab merendahkan dirinya, apakah reaksi Yehuwa? Dia berfirman kepada Elia, ‘Oleh sebab dia telah merendahkan diri di hadapan-Ku, Aku tidak akan mendatangkan bencana itu kepadanya pada masa hidupnya. Aku akan mendatangkan bencana itu kepada keluarganya pada masa hidup anaknya.’ (1 Raj. 21:27-29; 2 Raj. 10:10, 11, 17) Yehuwa, Tuhan yang menguji hati orang, telah menunjukkan belas kasihan kepada Ahab.​—Ams. 17:3.

SIFAT RENDAH HATI MELINDUNGI KITA

9. Bagaimanakah sifat rendah hati melindungi keluarga dan sahabat Nabot?

9 Bagaimanakah keputusan Tuhan mempengaruhi orang yang mengetahui perbuatan jahat Ahab? Perubahan itu mungkin telah menguji iman keluarga dan sahabat Nabot. Dalam keadaan sebegini, sifat rendah hati akan melindungi mereka dan mendorong mereka agar terus menyembah Yehuwa dengan setia. Mereka  juga akan dibantu agar tetap yakin bahawa segala tindakan Yehuwa pasti adil. (Baca Ulangan 32:3, 4.) Pada masa depan, Yehuwa akan menegakkan keadilan yang sepenuhnya bagi Nabot dan keluarganya dengan membangkitkan mereka. (Ayb. 14:14, 15; Yoh. 5:28, 29) Selain itu, orang yang rendah hati sentiasa ingat bahawa ‘Tuhan akan mengadili semua perbuatan kita, yang baik, yang jahat, mahupun yang tersembunyi.’ (Pkh. 12:14) Semasa menghakimi orang, Yehuwa juga mengambil kira faktor-faktor yang tidak kita ketahui. Jika kita tetap rendah hati, kita akan dilindungi agar iman kita tidak hancur.

10, 11. (a) Apakah situasi yang boleh menguji iman kita? (b) Bagaimanakah sifat rendah hati melindungi kita?

10 Jika anda tidak faham atau setuju dengan suatu keputusan yang dibuat oleh para penatua, apakah reaksi anda? Contohnya, jika anda atau orang tersayang anda tidak lagi diberi peluang khidmat tertentu, apakah yang akan anda lakukan? Bagaimana pula jika pasangan anda, anak anda, atau kawan karib anda disingkirkan, dan anda tidak setuju dengan keputusan itu? Apakah reaksi anda jika anda berasa bahawa keputusan para penatua tidak setimpal dengan kesalahan seorang  pendosa? Situasi sebegini boleh menguji iman anda terhadap Yehuwa dan aturan-Nya. Bagaimanakah sifat rendah hati dapat melindungi anda? Mari kita lihat dua cara.

Apakah reaksi anda jika anda tidak menyetujui keputusan para penatua? (Lihat perenggan 10, 11)

11 Pertama, kerendahan hati akan membantu kita sedar bahawa kita tidak mengetahui segala sesuatu tentang apa yang terjadi. Tidak kira betapa banyaknya maklumat yang kita tahu, hanya Yehuwa yang dapat membaca isi hati orang. (1 Sam. 16:7) Oleh itu, kita akan tetap rendah hati, mengakui keterbatasan sendiri, dan rela mengubah pandangan kita. Kedua, kerendahan hati akan membantu kita agar terus taat dan sabar sambil menantikan Yehuwa untuk membetulkan suatu masalah. Bible menyatakan, ‘Orang yang taat kepada Tuhan akan hidup senang, tetapi orang jahat cepat berlalu seperti bayang-bayang, kerana mereka tidak taat kepada Tuhan.’ (Pkh. 8:12, 13) Jelaslah bahawa sifat rendah hati akan melindungi kerohanian kita dan kerohanian semua orang yang terlibat.​—Baca 1 Petrus 5:5.

KESILAPAN SEORANG PENATUA

12. Apakah kisah yang akan kita kaji, dan mengapa?

12 Orang Kristian abad pertama di Antiokhia, Siria, menghadapi situasi yang menguji kerendahan hati dan kesudian mereka untuk mengampuni. Mari kita kaji kisah itu dan memikirkan kerelaan kita untuk mengampuni orang. Kisah tersebut juga akan membantu kita memahami kaitan antara sikap rela mengampuni dengan pandangan Yehuwa tentang keadilan.

13, 14. Apakah tanggungjawab besar yang diamanahkan kepada Petrus? Bagaimanakah dia menunjukkan keberanian?

13 Rasul Petrus merupakan seorang penatua yang dikenali ramai dalam sidang Kristian. Dia merupakan kawan karib Yesus dan diamanahkan tanggungjawab yang besar. (Mat. 16:19) Contohnya, pada tahun 36 M, Petrus telah diutus untuk menginjil kepada Kornelius dan keluarganya. Peristiwa itu sangat istimewa, kerana Kornelius bukan orang Yahudi dan dia tidak bersunat. Apabila daya aktif Tuhan dicurahkan ke atas mereka, Petrus berkata, “Bolehkah sesiapa menghalang mereka daripada dibaptis dengan air?”​—Kis. 10:47.

14 Pada tahun 49 M, para rasul dan penatua di Yerusalem bermesyuarat untuk membincangkan sama ada orang bukan Yahudi yang menjadi orang Kristian harus bersunat atau tidak. Semasa mesyuarat itu, Petrus telah bercakap dengan berani. Dia memberitahu saudara-saudara lain apa yang dilihatnya beberapa tahun yang lalu semasa orang bukan Yahudi yang tidak bersunat dikurniai daya aktif Tuhan. Kata-katanya telah membantu badan pimpinan abad pertama untuk membuat keputusan yang wajar. (Kis. 15:6-11, 13, 14, 28, 29) Sudah tentu, orang Kristian Yahudi dan bukan Yahudi menghargai keberanian Petrus. Mereka pasti berasa bahawa Petrus matang secara rohani dan dapat dipercayai.​—Ibr. 13:7.

15. Apakah kesilapan Petrus semasa di Antiokhia? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

15 Tidak lama kemudian, Petrus melawat ke Antiokhia, Siria. Semasa di situ, dia bergaul dengan saudara saudari yang bukan Yahudi, dan mereka pasti menghargai pengetahuan dan kebijaksanaan yang dikongsinya. Tetapi bayangkan perasaan mereka semasa Petrus tiba-tiba enggan makan bersama mereka. Bukan itu sahaja, ahli sidang berbangsa Yahudi yang lain, termasuk Barnabas, juga terikut-ikut dengan Petrus. Mengapakah Petrus, seorang penatua yang matang, membuat kesilapan yang mungkin  merosakkan perpaduan sidang? Lebih penting lagi, apakah yang dapat kita belajar daripada kisah ini yang dapat membantu kita semasa disakiti oleh percakapan atau perbuatan seorang penatua?

16. Bagaimanakah Petrus dibetulkan? Apakah soalan yang timbul?

16 Baca Galatia 2:11-14. Petrus tunduk kepada rasa takut akan manusia. (Ams. 29:25) Meskipun Petrus mengetahui pandangan Yehuwa terhadap orang bukan Yahudi, dia masih takut akan pandangan orang Yahudi dari sidang di Yerusalem. Rasul Paulus, yang juga menghadiri mesyuarat di Yerusalem pada tahun 49 M, segera menegur Petrus dan mendedahkan sifatnya yang bermuka dua. (Kis. 15:12; Gal. 2:13, nota kaki) Apakah reaksi orang Kristian bukan Yahudi yang dilukai akibat kesilapan Petrus? Adakah mereka akan tersandung? Adakah Petrus akan kehilangan penghormatan istimewa kerana kesilapannya?

SIFAT RELA MENGAMPUNI

17. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa telah mengampuni Petrus?

17 Petrus menerima teguran Paulus dengan rendah hati. Bible tidak menyatakan bahawa Petrus kehilangan peluang istimewanya. Sebenarnya, selepas kejadian itu, dia diilhami Tuhan untuk menulis dua pucuk surat yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Bible. Dalam suratnya yang kedua, Petrus memanggil Paulus sebagai “saudara yang kita kasihi.” (2 Ptr. 3:15) Walaupun kesilapan Petrus mungkin telah melukai orang Kristian bukan Yahudi, Yesus, selaku ketua sidang, masih mempercayainya. (Ef. 1:22) Peristiwa itu telah memberi ahli-ahli sidang peluang untuk mencontohi Yesus dan Yehuwa dengan menunjukkan sifat rela mengampuni. Kita berharap agar tiada sesiapa yang tersandung kerana kesilapan seorang yang tidak sempurna.

18. Kita harus memiliki pandangan Yehuwa tentang keadilan dalam situasi apa?

18 Hari ini, semua penatua dalam sidang tidak sempurna dan “sering berbuat silap.” (Yak. 3:2) Kita mungkin mengakui hakikat itu, tetapi bagaimana pula jika kita disakiti kerana ketidaksempurnaan seorang saudara? Adakah kita akan memiliki pandangan Yehuwa tentang keadilan? Misalnya, apakah reaksi anda jika seorang penatua mengatakan sesuatu yang berbaur prasangka? Adakah anda akan tersandung jika seorang penatua menyinggung perasaan anda dengan tidak sengaja? Adakah anda akan segera menyimpulkan bahawa saudara itu tidak layak menjadi penatua, atau adakah anda akan menantikan Yesus, ketua sidang kita? Adakah anda akan berfokus kepada kerja keras saudara itu selama ini dan bukan kepada kesilapannya? Jika saudara itu terus berkhidmat sebagai penatua atau diberi lebih banyak tanggungjawab, adakah anda akan tumpang gembira? Jika anda rela memaafkannya, anda menunjukkan bahawa anda memiliki pandangan Yehuwa tentang keadilan.​—Baca Matius 6:14, 15.

19. Apakah seharusnya tekad kita?

19 Orang yang mencintai keadilan pasti menanti-nantikan masanya apabila Yehuwa melenyapkan segala ketidakadilan yang disebabkan oleh Syaitan dan sistem dunianya. (Yes. 65:17) Namun, sebelum masa itu tiba, semoga kita semua mengakui keterbatasan sendiri dan rela mengampuni orang yang menyinggung perasaan kita. Jika kita berbuat demikian, kita sedang memupuk pandangan Yehuwa tentang keadilan.