Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 1

Siapakah Tuhan?

Siapakah Tuhan?

1, 2. Apakah soalan yang sering ditanya orang?

KANAK-KANAK suka bertanya. Selepas anda menjelaskan sesuatu, mereka sering bertanya, “Kenapa?” Tetapi sebaik sahaja anda menjawab, mereka akan bertanya lagi, “Kenapa begitu?”

2 Tidak kira tua atau muda, kita semua ada soalan, seperti: Mahu makan apa? Sekarang jam berapa? Mahu pakai apa? Kita juga mungkin bertanya tentang kehidupan dan masa depan kita. Tetapi apabila kita tidak mendapat jawapan yang memuaskan, kita mungkin berhenti mencari jawapannya.

3. Mengapakah banyak orang berasa bahawa mereka tidak mungkin mendapat jawapan kepada soalan-soalan tentang kehidupan?

3 Dapatkah Bible menjawab soalan-soalan penting tentang kehidupan kita? Sesetengah orang berfikir bahawa Bible ada jawapannya, tetapi mereka berasa Bible terlalu susah difahami. Mereka menyangka hanya guru atau paderi yang mengetahui jawapannya. Ada pula yang malu mengakui bahawa mereka tidak mengetahui jawapannya. Bagaimana pula dengan anda?

4, 5. Apakah soalan-soalan penting yang pernah anda tanya? Mengapakah anda patut terus mencari jawapannya?

4 Anda mungkin sedang mencari jawapan kepada soalan seperti: Apakah tujuan hidup saya? Orang mati akan pergi ke mana? Apakah sifat-sifat Tuhan? Yesus, Guru Agung kita, berkata, “Teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya; teruslah mencari, dan kamu akan menemukannya; teruslah mengetuk, dan pintu akan dibuka  bagimu.” (Matius 7:7) Ya, “teruslah mencari” jawapan yang benar tanpa berputus asa.

5 Jika anda terus berusaha, anda akan menemui jawapannya dalam Bible. (Amsal 2:1-5) Jawapannya tidak susah difahami. Selepas mengetahuinya, anda akan lebih bahagia dan memiliki masa depan yang cerah. Mari kita bincangkan satu soalan yang membingungkan banyak orang.

ADAKAH TUHAN MENGAMBIL BERAT TENTANG KITA?

6. Mengapakah sesetengah orang berfikir bahawa Tuhan tidak peduli tentang mereka?

6 Banyak orang berfikir bahawa kehidupan yang susah ialah cubaan daripada Tuhan. Mereka berasa bahawa jika Tuhan mengambil berat tentang manusia, keadaan dunia akan lebih baik. Sekarang peperangan, kebencian, dan penderitaan, berlaku di merata tempat. Orang jatuh sakit, hidup sengsara, dan akhirnya mati. Maka ada yang berfikir, “Jika Tuhan peduli tentang kita, kenapa Dia membiarkan kita terus menderita?”

7. (a) Apakah yang dikatakan sesetengah pemimpin agama apabila hal buruk berlaku? (b) Mengapakah kita boleh yakin bahawa Tuhan tidak menyebabkan hal buruk berlaku?

7 Kadang-kadang, apabila hal buruk terjadi, pemimpin agama akan berkata bahawa itulah kehendak Tuhan. Namun, Bible menjelaskan bahawa Tuhan tidak menyebabkan hal yang jahat berlaku. Menurut Yakobus 1:13, Tuhan tidak mencubai sesiapa pun dengan hal-hal yang jahat. Ayat itu berkata, “Semasa seseorang menghadapi cubaan, dia tidak patut berkata, ‘Tuhan sedang mencubai aku.’ Hal ini demikian kerana Tuhan tidak boleh dicubai oleh kejahatan, dan Dia  juga tidak mencubai sesiapa pun dengan hal-hal yang jahat.” Maksudnya, walaupun Tuhan tidak menghentikan kejahatan, Dia bukanlah puncanya.​Baca Ayub 34:10-12.

8, 9. Mengapakah tidak adil jika kita menyalahkan Tuhan atas masalah kita? Berikan contoh.

8 Fikirkan contoh berikut: Seorang pemuda tinggal bersama ibu bapanya. Ayahnya sangat menyayanginya dan mengajarnya supaya membuat keputusan yang bijak. Tetapi pemuda itu tidak mahu mendengar cakap ayahnya. Dia meninggalkan rumah, berbuat jahat, dan akhirnya mendapat susah. Patutkah kita menyalahkan ayah itu kerana tidak menghalang anaknya daripada meninggalkan rumah? Tidak! (Lukas 15:11-13) Begitu juga, Tuhan tidak menghalang manusia daripada melawan perintah-Nya dan berbuat jahat. Oleh itu, jika perkara buruk terjadi, ingatlah bahawa Tuhan bukan penyebabnya. Jadi, tidak adil jika kita menyalahkan-Nya.

9 Terdapat satu sebab yang baik Tuhan membiarkan perkara buruk berlaku. Dalam Bab 11, anda akan mengetahui sebabnya. Namun, yakinlah bahawa Tuhan menyayangi kita dan Dia tidak patut disalahkan atas masalah kita. Sebenarnya, hanya Dia yang dapat menyelesaikan masalah kita.​—Yesaya 33:2.

10. Mengapakah Tuhan pasti akan menghilangkan semua masalah yang disebabkan oleh orang jahat?

10 Tuhan itu suci. (Yesaya 6:3) Segala yang dilakukan-Nya murni, tulus, dan baik. Oleh itu, kita dapat mempercayai-Nya. Manusia pula akan berbuat salah. Pemerintah yang paling baik hati pun tidak mampu menghilangkan semua masalah yang disebabkan orang jahat. Tetapi Tuhan sangat berkuasa. Dia ingin dan  mampu menghilangkan semua masalah yang disebabkan oleh orang jahat. Dia akan melenyapkan kejahatan buat selama-lamanya.​—Baca Mazmur 37:9-11.

APAKAH PERASAAN TUHAN TENTANG PENDERITAAN KITA?

11. Apakah perasaan Tuhan tentang penderitaan anda?

11 Apakah perasaan Tuhan semasa melihat keadaan dunia sekarang dan masalah yang anda hadapi? Bible mengajar kita bahawa Tuhan “mencintai keadilan.” (Mazmur 37:28) Dia tidak mahu dunia ini dipenuhi kejahatan dan hal yang tidak adil. Dia benci melihat orang hidup susah. Dahulu, semasa bumi dipenuhi orang jahat, Tuhan berasa “kecewa dan sakit hati.” (Kejadian 6:5, 6) Perasaan Tuhan tidak berubah. (Maleakhi 3:6) Dia benar-benar mengambil berat tentang anda.​—Baca 1 Petrus 5:7.

Bible mengajar kita bahawa Yehuwa ialah Pencipta alam semesta yang pengasih

12, 13. (a) Mengapakah kita dapat mengasihi dan mengambil berat tentang orang lain, dan apakah perasaan kita apabila melihat orang lain menderita? (b) Mengapakah anda percaya bahawa Tuhan pasti melenyapkan semua kesusahan dan ketidakadilan?

12 Bible juga berkata bahawa Tuhan menciptakan kita menurut gambaran-Nya. (Kejadian 1:26) Maksudnya, kita ada sifat-sifat baik seperti Tuhan. Contohnya, Bible mengajar kita bahawa “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Tuhan melakukan segala-galanya kerana kasih. Kita ada kasih kerana Tuhan ada kasih. Oleh itu, jika anda susah hati semasa melihat orang baik menderita, Tuhan pasti lebih susah hati!

13 Fikirkan: Jika anda berkuasa, adakah anda akan menghapuskan semua penderitaan dan kejahatan di dunia? Sudah pasti, kerana anda mengasihi orang lain. Bagaimana pula dengan Tuhan? Dia berkuasa, dan Dia  menyayangi kita. Jadi, Dia pasti akan melenyapkan semua kesusahan dan ketidakadilan. Percayalah bahawa Tuhan akan menunaikan semua janji-Nya yang terdapat pada permulaan buku ini! Namun untuk mempercayai janji-janji itu, anda perlu lebih mengenali Tuhan.

TUHAN INGIN ANDA MENGENALI-NYA

Untuk menjadi kawan seseorang, anda akan memberitahunya nama anda. Tuhan memberitahu kita nama-Nya melalui Bible

14. Siapakah nama Tuhan? Mengapakah kita patut menggunakan nama-Nya?

14 Jika anda ingin berkawan dengan seseorang, apakah yang akan anda beritahunya terlebih dahulu? Nama anda. Adakah Tuhan mempunyai nama? Banyak agama mengajar bahawa nama-Nya ialah Tuhan atau Tuan. Namun itu bukanlah nama, itu hanyalah gelaran, seperti “Cikgu” atau “Encik.” Tuhan memberitahu kita bahawa nama-Nya ialah Yehuwa. Mazmur 83:18 mengatakan, “Hendaklah orang tahu bahawa Engkau, yang bernama Yehuwa, ialah satu-satunya Tuhan Yang Maha Tinggi di seluruh bumi.” Penulis Bible menggunakan nama Tuhan ribuan kali. Maksudnya, Yehuwa ingin anda mengetahui dan menggunakan nama-Nya. Dia memberitahu anda nama-Nya supaya anda dapat menjadi sahabat-Nya.

15. Apakah maksud nama Yehuwa?

 15 Nama Tuhan, iaitu Yehuwa, sangat bermakna. Nama Tuhan bermaksud Dia mampu menunaikan segala janji-Nya dan melaksanakan segala kehendak-Nya. Tiada apa-apa yang dapat menghalang-Nya. Hanya Yehuwa yang layak memiliki nama ini. *

16, 17. Apakah maksud (a) “Yang Maha Kuasa”? (b) “Raja yang kekal”? (c) “Pencipta”?

16 Seperti yang kita baca tadi, Mazmur 83:18 berkata  bahawa Yehuwa “ialah satu-satunya Tuhan Yang Maha Tinggi.” Wahyu 15:3 juga berkata, “Tuhan Yehuwa Yang Maha Kuasa, perbuatan-Mu agung dan menakjubkan. Ya Raja yang kekal, haluan-Mu benar dan adil.” Apakah maksud “Yang Maha Kuasa”? Maksudnya Yehuwalah yang paling berkuasa di alam semesta. Gelaran “Raja yang kekal” pula bermaksud Dia sentiasa wujud. Mazmur 90:2 berkata bahawa Dia “kekal selama-lamanya.” Sangat menakjubkan, bukan?

17 Yehuwalah satu-satunya Pencipta. Wahyu 4:11 berkata, “Ya Yehuwa, Tuhan kami, Engkau layak menerima kemuliaan, kehormatan, dan kuasa, kerana Engkau menciptakan segala sesuatu, dan kerana kehendak-Mu segala sesuatu wujud dan diciptakan.” Ya, tidak kira malaikat di syurga, bintang di langit, buah pada pokok, atau ikan di laut, semuanya diciptakan oleh Yehuwa!

 DAPATKAH ANDA MENJADI SAHABAT YEHUWA?

18. Mengapakah ada orang berfikir bahawa mereka tidak mungkin dapat menjadi sahabat Tuhan? Apakah ajaran Bible tentang hal itu?

18 Selepas membaca tentang sifat Yehuwa yang menakjubkan, ada orang berasa takut lalu berfikir, “Tuhan begitu berkuasa, kedudukan-Nya begitu tinggi, dan Dia tinggal di syurga. Tidak mungkin Dia peduli tentang saya.” Adakah Tuhan mahu kita berfikir begitu? Tidak! Yehuwa mahu menghampiri kita. Bible menyatakan bahawa Tuhan “tidak jauh daripada kita masing-masing.” (Kisah 17:27) Tuhan ingin anda mendekati-Nya, dan Dia berjanji bahawa ‘Dia pun akan menghampiri anda.’​—Yakobus 4:8.

19. (a) Bagaimanakah anda dapat menjadi sahabat Tuhan? (b) Apakah sifat Yehuwa yang paling anda suka?

19 Bagaimanakah anda dapat menjadi sahabat Tuhan? Yesus berkata, “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Engkau utus, maka mereka mendapat kehidupan kekal.” (Yohanes 17:3) Teruslah belajar tentang Yehuwa dan Yesus. Dengan itu, anda akan mendapat kehidupan kekal. Tadi kita sudah belajar bahawa “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:16) Namun, Dia juga ada sifat-sifat murni yang lain. Bible berkata bahawa Yehuwa ‘penuh rahmat dan belas kasihan, tidak cepat murka, dan menunjukkan kasih setia yang melimpah.’ (Keluaran 34:6) Yehuwa “baik dan suka mengampuni.” (Mazmur 86:5) Dia juga sabar dan setia. (2 Petrus 3:9; Wahyu 15:4) Anda akan belajar tentang sifat-sifat Tuhan yang lain semasa membaca Bible.

20-22. (a) Bagaimanakah kita dapat mendekati Tuhan sedangkan kita tidak dapat melihat-Nya? (b) Apakah yang harus anda lakukan jika orang menyuruh anda berhenti belajar Bible?

20 Anda tidak dapat melihat Tuhan. Jadi bagaimanakah  anda dapat mendekati-Nya? (Yohanes 1:18; 4:24; 1 Timotius 1:17) Semasa anda membaca tentang Yehuwa dalam Bible, anda akan lebih mengenali fikiran dan perasaan-Nya. (Mazmur 27:4; Roma 1:20) Apabila anda semakin mengenali Yehuwa, anda akan semakin mengasihi-Nya dan semakin rapat dengan-Nya.

Seorang bapa mengasihi anaknya, tetapi Bapa kita di syurga lebih mengasihi kita

21 Anda juga akan belajar bahawa Yehuwa ialah Bapa kita. (Matius 6:9) Dia memberi kita nyawa. Seperti seorang bapa yang sangat menyayangi anaknya, Tuhan mahu kita menikmati kehidupan yang terbaik. (Mazmur 36:9) Bible berkata bahawa anda dapat menjadi sahabat Tuhan. (Yakobus 2:23) Bayangkan, Yehuwa, Pencipta alam semesta, mahu anda menjadi sahabat-Nya!

22 Tetapi, ada orang mungkin tidak suka melihat anda belajar Bible. Mereka mungkin tidak mahu anda menukar agama. Namun, jangan biar sesiapa pun menghalang anda daripada menjadi sahabat Yehuwa, kerana Dialah Sahabat yang terbaik.

23, 24. (a) Mengapakah anda patut terus bertanya? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam bab seterusnya?

23 Semasa belajar Bible, jika anda tidak memahami sesuatu, janganlah malu untuk bertanya atau meminta bantuan. Yesus berkata bahawa kita harus rendah hati seperti budak-budak yang suka bertanya. (Matius 18:2-4) Tuhan mahu anda mendapat jawapan kepada soalan anda, jadi kajilah Bible dengan teliti untuk memastikan apa yang anda belajar ialah kebenaran.​—Baca Kisah 17:11.

24 Cara terbaik untuk belajar tentang Yehuwa adalah dengan mengkaji Bible. Dalam bab seterusnya, kita akan membincangkan sebabnya Bible berbeza daripada buku-buku lain.

^ per. 15 Jika anda ingin tahu lebih banyak tentang maksud dan sebutan nama Tuhan, sila lihat Penjelasan 1.