Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 7

Orang Mati Akan Hidup Semula!

Orang Mati Akan Hidup Semula!

1-3. Semua orang “dipenjarakan” oleh apa? Bagaimanakah Yehuwa akan membebaskan kita?

BAYANGKAN anda dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup padahal anda tidak bersalah. Anda tidak mungkin dibebaskan dan anda tidak dapat melakukan apa-apa. Tetapi ketika anda hampir putus asa, ada seorang yang sangat berkuasa berjanji untuk menolong anda! Apakah perasaan anda?

2 Kita semua “dipenjarakan” oleh kematian. Kita tidak dapat melarikan diri daripadanya. Tetapi Yehuwa ada kuasa untuk membebaskan kita. Dia berjanji bahawa “musuh terakhir yang akan dilenyapkan ialah kematian.”​—1 Korintus 15:26.

3 Alangkah baiknya jika kita tidak perlu mati lagi! Namun, Yehuwa bukan sahaja berjanji untuk melenyapkan kematian, malah Dia akan membuat “orang mati hidup semula.” (Yesaya 26:19) Dapatkah anda bayangkannya? Itulah janji pembangkitan yang disebut dalam Bible.

APABILA ORANG TERSAYANG MATI

4. (a) Dari manakah kita dapat mencari kelegaan apabila ahli keluarga atau kawan baik kita meninggal? (b) Siapakah antara sahabat baik Yesus?

4 Semasa ahli keluarga atau kawan baik kita meninggal, kita pasti berasa sangat sedih, kerana kita tidak dapat melakukan apa-apa supaya mereka hidup semula. Tetapi Bible dapat melegakan hati kita. (Baca 2 Korintus 1:3, 4.)  Mari kita lihat satu contoh yang menunjukkan bahawa Yehuwa dan Yesus benar-benar mahu membangkitkan orang tersayang kita. Semasa Yesus di bumi, dia sering melawat Lazarus, Marta, dan Maria. Mereka bertiga ialah sahabat baik Yesus. Bible berkata, “Yesus mengasihi Marta, Maria, dan Lazarus.” Namun, Lazarus kemudiannya meninggal.​—Yohanes 11:3-5.

5, 6. (a) Apakah yang berlaku semasa Yesus nampak keluarga dan kawan Lazarus menangis? (b) Selepas mengetahui perasaan Yesus tentang kematian, mengapakah kita berasa lega?

5 Yesus pergi melawat Marta dan Maria. Semasa Marta mendengar bahawa Yesus akan sampai, dia pergi ke luar kota untuk berjumpa dengannya. Marta gembira semasa nampak Yesus, tetapi dia menyangka Yesus sudah terlambat untuk membantu Lazarus. Maka dia memberitahu Yesus, “Jika Tuan ada di sini, tentu adikku tidak akan mati.” Semasa Yesus nampak semua orang di situ menangis, dia juga berasa susah hati lalu menangis. (Yohanes 11:21, 33, 35) Yesus dapat merasai betapa sedihnya kita semasa orang tersayang kita mati.

6 Kita berasa lega kerana Yesus ada perasaan yang sama tentang kematian. Perasaan Yesus menunjukkan bahawa dia dan Bapanya Yehuwa membenci kematian. (Yohanes 14:9) Ingatlah, Yehuwa ada kuasa untuk melenyapkan kematian buat selama-lamanya, dan Dia pasti akan berbuat demikian tidak lama lagi.

“LAZARUS, KELUARLAH!”

7, 8. Mengapakah Marta tidak mahu batu di depan kubur Lazarus dialihkan? Tetapi apakah yang dilakukan Yesus?

7 Semasa Yesus tiba di tempat Lazarus dikuburkan, pintu masuk kubur sudah ditutup dengan batu besar. Yesus berkata, “Alihkanlah batu itu.” Tetapi Marta tidak setuju,  kerana Lazarus sudah mati selama empat hari. (Yohanes 11:39) Sebenarnya, Marta tidak tahu apa yang akan dilakukan Yesus.

Bayangkan betapa gembiranya keluarga dan sahabat Lazarus semasa dia dibangkitkan!​—Yohanes 11:38-44

8 Selepas batu itu dialihkan, Yesus berkata kepada Lazarus, “Keluarlah!” Kemudian, mukjizat yang sangat hebat berlaku. “Lelaki yang mati itu pun keluar. Tangan dan kakinya masih terbalut dengan kain.” (Yohanes 11:43, 44) Lazarus sudah hidup semula dan bersatu dengan keluarga dan kawan-kawannya. Mereka dapat memeluk dia, menyentuh dia, dan bercakap dengan dia. Yesus telah membangkitkan Lazarus!

“ANAK KECIL, BANGUNLAH!”

9, 10. (a) Siapakah yang memberi Yesus kuasa untuk membangkitkan orang? (b) Mengapakah kisah pembangkitan penting bagi kita?

9 Adakah Yesus menggunakan kuasa sendiri untuk membangkitkan orang mati? Tidak. Sebelum membangkitkan Lazarus, Yesus berdoa kepada Yehuwa, dan Yehuwa memberinya kuasa untuk membangkitkan Lazarus. (Baca Yohanes 11:41, 42.) Yesus juga pernah membangkitkan orang lain. Ada seorang budak perempuan berumur 12 tahun yang sakit tenat. Dia ialah anak tunggal Yairus. Yairus merayu kepada Yesus agar menyembuhkan anaknya. Semasa Yairus sedang bercakap dengan Yesus, ada orang datang dan memberitahunya, ‘Anak perempuanmu sudah mati! Tidak payah susahkan Guru lagi.’ Tetapi Yesus berkata, “Janganlah bimbang. Berimanlah dan anakmu akan diselamatkan.” Kemudian dia berjalan bersama Yairus ke rumahnya. Semasa mereka sudah dekat, Yesus nampak orang di situ sedang menangis, jadi dia memberitahu mereka, “Janganlah menangis. Gadis kecil ini tidak mati, dia hanya tidur.” Ibu  bapa budak itu pasti berasa hairan. Selepas Yesus menyuruh semua orang beredar, dia membawa ibu bapa gadis itu ke bilik gadis itu berbaring. Dengan lembut, Yesus memegang tangan gadis itu dan berkata, “Anak kecil, bangunlah!” Gadis itu segera bangun dan mula berjalan. Bayangkan betapa gembiranya ibu bapanya semasa melihat Yesus membangkitkan anak mereka! (Markus 5:22-24, 35-42; Lukas 8:49-56) Sejak hari itu, setiap kali mereka memandang anak itu, mereka akan ingat bagaimana Yehuwa telah menggunakan Yesus untuk membantu mereka. *

10 Orang yang dibangkitkan oleh Yesus akhirnya mati lagi. Tetapi kisah mereka sangat penting dan memberi kita harapan. Yehuwa mahu dan pasti akan membangkitkan orang mati.

APA YANG KITA PELAJARI DARIPADA KISAH PEMBANGKITAN

Rasul Petrus membangkitkan Dorkas, seorang wanita Kristian.​—Kisah 9:36-42

Elia membangkitkan anak seorang balu.​—1 Raja-Raja 17:17-24

11. Apakah yang kita pelajari tentang Lazarus daripada Pengkhutbah 9:5?

11 Bible berkata bahawa “orang mati tidak tahu apa-apa pun.” (Pengkhutbah 9:5) Maksudnya, Lazarus juga “tidak tahu apa-apa pun” semasa dia di kuburan. Yesus berkata bahawa Lazarus seperti sedang tidur.​—Yohanes 11:11.

12. Mengapakah kita pasti bahawa Lazarus benar-benar telah dibangkitkan?

12 Semasa Yesus membangkitkan Lazarus, banyak  orang nampak apa yang berlaku. Bahkan musuh Yesus juga mengakui hal itu. Lazarus sudah hidup semula, dan itulah bukti bahawa pembangkitan benar-benar berlaku. (Yohanes 11:47) Banyak orang yang melawat Lazarus selepas itu juga mula percaya bahawa Yesus diutus oleh Tuhan. Musuh Yesus sangat marah, jadi mereka mahu membunuh Yesus dan Lazarus.​—Yohanes 11:53; 12:9-11.

13. Mengapakah kita pasti bahawa Yehuwa mampu membangkitkan orang mati?

13 Yesus berkata bahawa “semua orang di dalam makam peringatan” akan dibangkitkan. (Yohanes 5:28) Maksudnya, semua orang mati yang diingati Yehuwa akan hidup semula. Tetapi dapatkah Yehuwa mengingati semua maklumat tentang manusia? Fikirkan: Walaupun jumlah bintang tidak terkira, Bible menyatakan bahawa Yehuwa tahu nama setiap bintang. (Baca Yesaya 40:26.) Jika Tuhan dapat mengingati nama setiap bintang, tidaklah susah bagi-Nya untuk mengingati semua maklumat tentang orang yang akan dibangkitkan-Nya. Lebih penting lagi, Yehuwa telah menciptakan segala-galanya, jadi Dia pasti ada kuasa untuk membangkitkan orang mati.

14, 15. Apakah yang kita pelajari tentang pembangkitan daripada kata-kata Ayub?

14 Ayub, seorang hamba Tuhan yang setia, pernah bertanya, “Jika manusia mati, dapatkah mereka hidup semula?” Kemudian dia berkata kepada Yehuwa, “Engkau akan memanggil aku, dan aku akan menjawab. Sesungguhnya, Engkau sangat rindu akan orang yang telah Engkau ciptakan.” Ya, Ayub percaya akan pembangkitan dan tahu bahawa Yehuwa tidak sabar-sabar ingin membangkitkan orang mati.​—Ayub 14:13-15.

 15 Apakah perasaan anda selepas belajar tentang harapan pembangkitan? Mungkin anda berfikir, “Adakah ahli keluarga dan kawan saya yang sudah mati akan dibangkitkan?” Kita rasa lega kerana Yehuwa sangat ingin membangkitkan orang mati. Mari kita lihat ajaran Bible tentang siapa yang akan dibangkitkan dan di mana mereka akan tinggal.

MEREKA “AKAN MENDENGAR SUARANYA LALU KELUAR”

16. Bagaimanakah kehidupan orang yang akan dibangkitkan di bumi nanti?

16 Orang yang dibangkitkan pada zaman dulu dapat hidup bersama lagi dengan keluarga dan kawan mereka di bumi. Pembangkitan pada masa depan juga begitu, tetapi keadaannya jauh lebih baik. Mengapa? Kerana orang yang dibangkitkan di bumi nanti berpeluang untuk hidup selama-lamanya. Mereka akan hidup dalam keadaan yang sangat berbeza, iaitu dalam dunia yang tiada peperangan, jenayah, ataupun penyakit.

17. Siapakah yang akan dibangkitkan?

17 Siapakah yang akan dibangkitkan? Yesus berkata bahawa “semua orang di dalam makam peringatan akan mendengar suaranya lalu keluar.” (Yohanes 5:28, 29) Wahyu 20:13 menyatakan, “Laut menyerahkan orang mati yang ada di dalamnya. Maut menyerahkan orang mati yang ada dalamnya, begitu juga dengan Kuburan.” Ya, jutaan orang mati akan hidup semula. Rasul Paulus juga berkata bahawa “orang yang baik dan orang yang tidak baik” akan dibangkitkan. (Baca Kisah 24:15.) Apakah maksudnya?

Di Firdaus, orang mati akan dibangkitkan dan berjumpa lagi dengan orang tersayang

18. Siapakah “orang yang baik” yang akan dibangkitkan?

18 “Orang yang baik” termasuk hamba-hamba setia  Yehuwa yang hidup sebelum Yesus datang ke bumi, seperti Nuh, Abraham, Sara, Musa, Rut, Ester, dan orang lain yang disebut dalam Ibrani bab 11. Mereka semua akan dibangkitkan di bumi. Bagaimana pula dengan hamba-hamba Yehuwa yang setia pada zaman kita? Mereka juga “orang yang baik,” jadi mereka akan dibangkitkan.

19. Siapakah “orang yang tidak baik”? Apakah peluang yang akan diberikan kepada mereka?

 19 “Orang yang tidak baik” pula termasuk jutaan orang yang belum berpeluang untuk mengenali Yehuwa. Walaupun mereka sudah mati, Yehuwa masih mengingati mereka. Dia akan membangkitkan mereka dan memberi mereka peluang untuk belajar tentang-Nya dan menyembah-Nya.

20. Mengapakah sesetengah orang tidak akan dibangkitkan?

20 Adakah semua orang mati akan dibangkitkan? Tidak. Yesus berkata bahawa ada orang yang tidak akan dibangkitkan. (Lukas 12:5) Siapakah yang menentukan sama ada seseorang akan dibangkitkan atau tidak? Yehuwa ialah Hakim tertinggi, tetapi Dia juga melantik Yesus untuk “menghakimi orang hidup dan orang mati.” (Kisah 10:42) Jika seseorang terus berbuat jahat dan tidak mahu bertaubat, dia tidak akan dibangkitkan.​—Lihat Penjelasan 19.

PEMBANGKITAN KE SYURGA

21, 22. (a) Orang yang dibangkitkan ke syurga memerlukan tubuh apa? (b) Siapakah orang pertama yang dibangkitkan ke syurga?

21 Bible juga mengatakan bahawa sebilangan orang akan tinggal di syurga. Mereka tidak akan dibangkitkan dengan tubuh manusia, tetapi akan diberi tubuh roh supaya mereka dapat hidup di syurga.

22 Yesus ialah orang pertama yang dibangkitkan sebagai roh. (Yohanes 3:13) Tiga hari selepas Yesus dibunuh, Yehuwa membangkitkannya. (Mazmur 16:10; Kisah 13:34, 35) Rasul Petrus menjelaskan bahawa Yesus “dibunuh dalam tubuh jasmani tetapi dihidupkan dalam tubuh roh.” (1 Petrus 3:18) Ya, Yesus telah hidup semula sebagai makhluk roh yang sangat  berkuasa! (1 Korintus 15:3-6) Namun, Bible berkata bahawa bukan Yesus sahaja yang dibangkitkan dalam cara ini.

23, 24. Siapakah “kawanan kecil” yang disebut Yesus? Berapakah jumlah mereka?

23 Tidak lama sebelum Yesus dibunuh, dia memberitahu murid-muridnya, “Aku akan pergi untuk menyediakan tempat bagi kamu.” (Yohanes 14:2) Maksudnya, sesetengah pengikutnya akan dibangkitkan dan hidup bersamanya di syurga. Berapakah jumlah mereka? Yesus memanggil mereka “kawanan kecil.” Maksudnya, jumlah mereka tidak banyak. (Lukas 12:32) Rasul Yohanes memberitahu kita angkanya semasa dia nampak Yesus “berdiri di atas Gunung Sion [di syurga]. Bersama-samanya ada 144,000 orang.”​—Wahyu 14:1.

24 Bilakah 144,000 orang Kristian itu akan dibangkitkan? Bible berkata bahawa selepas Kristus mula menjadi raja di syurga. (1 Korintus 15:23) Kita sedang hidup pada masa itu, dan hampir semua 144,000 orang Kristian itu sudah dibangkitkan ke syurga. Mereka yang masih hidup di bumi sekarang akan segera dibangkitkan ke syurga apabila mereka mati. Namun, kebanyakan orang akan dibangkitkan pada masa depan dan hidup di bumi Firdaus.

25. Apakah yang akan kita belajar dalam bab seterusnya?

25 Tidak lama lagi, Yehuwa akan membebaskan semua orang daripada kematian dan melenyapkan kematian untuk selama-lamanya! (Baca Yesaya 25:8.) Namun, mengapakah sesetengah orang pergi ke syurga? Bible menjelaskan bahawa mereka akan menjadi raja bersama Yesus dalam Kerajaan Tuhan. Kita akan belajar tentang Kerajaan itu dalam bab seterusnya.

^ per. 9 Terdapat kisah Bible lain tentang orang yang dibangkitkan, termasuk orang tua dan muda, lelaki dan perempuan, orang Israel dan orang bangsa asing. Anda dapat membaca kisah-kisah itu di 1 Raja-Raja 17:17-24; 2 Raja-Raja 4:32-37; 13:20, 21; Matius 28:5-7; Lukas 7:11-17; 8:40-56; Kisah 9:36-42; 20:7-12.